Setelah melihat sekelilingnya, Zhang Xuan menyedari bahawa semua buku di perpustakaan tersebut adalah seumpama bayangan bulan pada permukaan air, ia mustahil untuk diambil daripada rak mereka. Oleh itu, dia pun hilang minat dan kesedarannya kembali ke dunia nyata.
"Sudah tiba masa makan tengahari. Selepas makan, saya akan mencari jalan untuk mendapatkan satu atau dua anak murid lagi"
Merenung ke luar jendela, waktunya kelihatan seperti sudah pun tengahari. Daripada 18 pelajar yang telah datang sejak pagi, dia cuma mampu mendapatkan satu untuk menjadi anak muridnya. Kadar penerimaannya teramatlah rendah. Dia tidak boleh berterusan dengan kadar yang sebegini pada petang nanti. Walau apapun yang berlaku, dia merupakan seorang yang melepasi zaman. Jika dia gagal untuk menipu mereka daripada zaman lampau, bagaimanakah dia dapat berkata dengan bangga bahawa dia berasal daripada zaman informasi teknologi?
Sambil meregangkan badannya, dia berjalan keluar dari dewan kuliah menuju ke kantin.
Sama seperti sekolah menengah daripada kehidupannya yang lalu, kantin Akademi Hongtian adalah amat besar. Saiznya cukup untuk menampung lebih daripada sepuluh ribu pelajar makan dengan selesa. Setelah berjaya mendapatkan seorang anak murid, perasaan Zhang Xuan teramat baik. Oleh demikian, dia memesan beberapa lagi hidangan dan duduk di penjuru kantin untuk menikmati makanannya.
"Eh, kamu Cikgu Zhang kan?"
Sedang dia menikmati makanannya, kedengaran satu suara bertanyakan soalan tersebut. Dia mendongakkan kepala dan melihat seorang lelaki muda merenungnya dengan muka tersenyum. Namun, raut wajahnya tidak mempamerkan sifat mesra, yang dapat dirasakan hanyalah sebuah senyuman palsu.
"Guru Cao?" Zhang Xuan mengenalinya.
Nama penuh Guru Cao adalah Cao Xiong. Dia telah menyertai akademi ini bersama-sama dengan Zhang Xuan. Tabiatnya adalah membandingkan pencapaiannya dengan orang lain serta menggunakan pencapaian tersebut sebagai alat untuk mengembangkan egonya.
Pemilik tubuh Zhang Xuan sebelum ini tidak tertahan untuk menerima penghinaan dan kerana itulah dia telah minum sehingga maut menjemputnya. Semestinya lelaki ini adalah salah seorang yang telah memainkan peranan besar dalam memberi tekanan terhadapnya.
"Hari ini, murid-murid baru melaporkan diri ke akademi untuk memilih guru mereka. Bagaimana pencapaian awak hari ini? Memandangkan kamu sedang makan dengan penuh berselera, saya rasa pastinya agak baik juga bukan? Lihat, ini semua murid yang telah saya rekrut, 12 orang kesemuanya. Saya ke sini untuk belanja mereka makan sebelum menempatkan mereka di tempat tinggal masing-masing!"
Wajah Guru Cao penuh dengan keangkuhan. Dia menuding ke belakang sambil bercakap besar. Tidak syak lagi, dia hanya singgah untuk bermegah-megah di hadapan Zhang Xuan.
Tiada dendam diantara Zhang Xuan dan Cao Xiong. Namun, oleh kerana mereka berdua datang ke akademi pada masa yang sama, perbandingan antara kedua-duanya tidak dapat dielakkan. Oleh demikian, Cao Xiong sering menggunakan Zhang Xuan sebagai alat untuk membuat dirinya merasa lebih baik dan hebat apabila dibandingkan.
Sekumpulan anak muda mengikutinya dari belakang. Setiap daripada mereka mempunyai wajah yang ceria dan masing-masing mempamerkan sifat ingin tahu tentang setiap perkara di akademi ini.
"Tuan-tuan dan puan-puan! Izinkan saya untuk memperkenalkan Guru Zhang, seorang selebriti di akademi ini. Dia merupakan guru pertama dalam akademi yang mendapat kosong markah dalam Peperiksaan Kelayakan Guru. Dia telah mencipta sejarah!"
Cikgu Cao bercerita kepada semua.
"Kosong markah di Peperiksaan Kelayakan Cikgu?"
"Ah, saya pernah mendengar tentangnya sebelum saya datang ke sini. Seorang murid yang diajarnya menjadi gila dan hampir saja tempang!
"Saya pernah mendengarnya juga. Ramai orang menasihati saya supaya tidak memilihnya untuk menjadi guru saya. Jika tidak, bukan sahaja saya tidak akan dapat maju dalam pertapaan, malah ia seakan membunuh diri!"
"Tak sangka dialah orangnya. Tapi, mukanya kelihatan begitu baik sekali!"
....
Mendengarkan pengenalan daripada Cao Xiong tersebut, para pelajarnya mula menjadi kecoh.
Terdapat banyak elemen di dalam Peperiksaan Kelayakan Cikgu dimana markah akan diberikan berdasarkan penilaian dalam pelbagai aspek. Oleh demikian, keputusan pelajar juga memainkan peranan dalam pemarkahan. Selagi guru itu mempunyai anak murid, dia pasti akan mendapat markah. Mendapat kosong markah sememangnya boleh dianggap sebagai terciptanya sejarah.
"Kamu sudah selesai memperkenalkan saya?"
Di tengah-tengah kekecohan itu, Zhang Xuan tidak sedikitpun naik marah.
Orang yang mendapat markah kosong itu merupakan Zhang Xuan yang dahulu, apa kaitannya dengan dirinya sekarang?
Namun, walaupun dia tidak marah, dia tetap berasa menyampah dengan tindakan Guru Cao yang menaikkan reputasi dirinya sambil merendahkan orang lain. Dia melambaikan tangannya lalu berkata, "Jika sudah selesai, kamu boleh beredar. Jangan mengganggu saya makan!"
Cao Xiong tidak menjangka bahawa Zhang Xuan tidak berasa malu apabila sejarahnya dibongkarkan. Malahan, dia diminta untuk berambus pula! Wajah Cao Xiong mula muram. Dengan nada yang melambangkan prestij seorang guru, dia berkata, "Selaku orang pertama yang telah mendapat kosong markah dalam Peperiksaan Kelayakan Guru, kamu tak rasa malu ke?".
"Malu? Mengapa perlu malu? Kamu sendiri yang mengakuinya, saya sudahpun mencatat sejarah dan menjadi seorang yang terkenal. Semua pelajar baru mengenali saya. Awak pula macam mana?" Zhang Xuan mengangkat tangannya lalu menuding kepada pelajar di belakangnya. "Berapakah markah kamu dalam peperiksaan yang lepas? Adakah mereka tahu? Sebelum kamu datang ke sini, adakah mereka mengenali siapa kamu ini? Jika bukan kerana kamu belanja mereka makan, adakah kamu fikir mereka semua menghendakkan kamu sebagai cikgu mereka ke? Kamu ini langsung tidak terkenal, tetapi kamu masih hendak bermegah di hadapan saya. Apa yang hendak kamu banggakan!
"Apa…?"
Jika orang lain mendapat kosong markah dalam Peperiksaan Kelayakan Cikgu, mereka pastinya tertunduk malu apabila berada di khalayak ramai. Tetapi, lelaki ini jauh berbeza. Dia gembira dan bangga akan pencapaiannya itu. Malah, dia merasa benci terhadap Cao Xiong kerana tidak mampu mendapat kosong markah.
Kemarahan Cao Xiong hampir saja meletus.
Dia memang tidak tahu malu. Dengan keputusan sebegini, bagaimanakah seseorang boleh merasa bangga akan dirinya?
Para pelajar di belakangnya memandang sesama sendiri, tidak pasti apa yang patut dilakukan.
Bagaimana pula dengan reputasi, reputasi dia sendiri?
Guru ini…..terlalu memalukan!
Malu? Tidak kenal malu? Lucunya! Dalam era asal Zhang Xuan, untuk menjadi terkenal, ada selebriti yang sanggup membuat apa sahaja perkara yang memalukan. Sebutlah apa sahaja yang mampu difikirkan akal, gambar bogel ataupun cerita palsu, mereka tidak berasa malu untuk melakukannya. Walaupun dia mendapat kosong markah didalam Peperiksaan Kelayakan Cikgu, ia tidak setanding dengan apa yang dilakukan oleh orang sebegitu.
Muka Cao Xiong kemerah-merahan, "Tugas guru adalah untuk mengajar. Saya tidak ada masa untuk bertengkar dengan kamu. Mari kita berhitung setelah kamu mempunyai anak murid sendiri. Pada waktu itu barulah kita boleh mengetahui anak murid siapa yang lebih handal!"
Selepas berkata demikian, dia berpaling dan beredar.
Pada waktu itu, perbualan antara seorang lelaki dan perempuan kedengaran dibelakangnya.
"Cikgu itu sebenarnya tidak teruk. Personaliti dia juga bagus…."
Kata perempuan itu dengan suara yang kebingungan, meskipun terdapat nada keraguan dalam percakapannya.
" Puan Muda kedua! Dengarlah kata saya. Sebelum kita keluar dari rumah, Tuan sudahpun mengamanahkan kepada saya untuk membawa kamu kepada Guru Lu Xun. Tetapi, kamu degil. Kamu pergi dengan sendiri. Pada akhirnya, kamu memilih dia daripada semua yang pilihan yang ada..."
Kedengaran sedikit kekecewaan di dalam nada orang tua tersebut.
"Guru itu…tidak seburuk yang kamu katakan. Dia….. dia sebenarnya seorang yang baik. Dia berjanji akan mengajar saya. Katanya…jika saya berlatih dengan betul, saya mampu menjadi antara yang terbaik di kalangan pelajar baru…" Keraguan tetap dapat didengari daripada nada suara perempuan tersebut.
"Kamu masih berangan menjadi antara yang terbaik di kalangan pelajar baru? Di bawah tunjuk ajar dia, sudah dikira beruntung jika pertapaan kamu tidak hilang kawalan. Puan Muda Kedua, tahukah kamu siapa dia itu? Dia dikenali sebagai guru yang paling tidak berguna di akademi ini. Dia mendapat markah kosong di Peperiksaan Kelayakan Cikgu yang lepas….Wahai puan muda, lebih baik kamu segera menarik balik permohonan kamu, jika tidak saya pasti akan dibunuh oleh tuan muda…." Rayu orang tua tersebut.
"Abang !"
Mendengar orang tua itu menyebut tentang tuan mudanya, gadis itu mula berasa takut. Wajahnya mula bertukar dan dia dilanda dilema.
Mendengar kata-kata tersebut, mata Cao Xiong yang sudah separuh jalan keluar daripada kantin mula bersinar. Dia tersenyum lalu berpaling semula kepada Zhang Xuan yang sedang makan.
"Guru Zhang, adakah gadis muda ini merupakan pelajar baru kamu? Haha, nampak gayanya nasib kamu kurang baik. Dia ingin menarik diri!"
Guru boleh memilih anak murid dan pada masa yang sama, anak murid juga boleh memilih guru mereka.
Jika didapati bahawa guru yang dipilih tidak sesuai untuk mereka, mereka boleh memulangkan token yang diberikan kepadanya.
Suara Cao Xiong yang kuat menarik perhatian orang ramai termasuklah perempuan dan orang tua yang sedang berbual tadi.
"Puan Muda Kedua, adakah dia merupakan Guru pilihanmu?" Mata orang tua itu merenung ke arah Zhang Xuan.
"Ya!" Gadis muda itu mengangguk.
Orang tua itu dengan lekas berdiri dan berjalan menuju ke Zhang Xuan, " Guru Zhang, puan muda keluarga saya ingin menarik diri daripada menjadi anak murid kamu!"
"Pak Cik Liu…" Dia tidak menjangka bahawa pergerakan orang tua tersebut begitu pantas. Mukanya merah sambil dia bergegas ke situ. Dia melihat muka Zhang Xuan dan raut wajahnya sendiri seakan-akan meminta maaf, "Guru, saya…."
Dia adalah anak murid yang baru sahaja diterima Zhang Xuan, Wang Ying.
"Wang Ying, kamu tahu saya tidak menerima pelajar. Saya menerima kamu kerana sudah suratan takdir kita bertemu. Mengapakah kamu ingin menarik diri daripada peluang yang sebegini. Tahukah kamu berapa ramai yang ingin menjadi anak murid saya tetapi saya tolak?"
Semestinya, Zhang Xuan tidak akan membenarkannya untuk menarik diri. Oleh demikian, Zhang Xuan berkata dengan nada yang matang.
"Apakah semua ini..."
Mendengarkan kata-katanya, mereka yang mengenali Zhang Xuan terasa kabur pandangan mata dan hampir sahaja pengsan.
"Abang, bolehkah kamu berasa malu sedikit? Apa yang kamu maksudkan dengan tidak menerima anak murid, suratan takdir dan ramai yang ingin menjadi anak murid kamu? Sudah terang lagi bersuluh yang kamu gagal mendapatkan seorang murid pun untuk berguru dengan kamu...
"Saya,….ini bukan…"
Dibawah tekanan, Wang Ying mula melambaikan tangannya. Tetapi sebelum sempat dia berkata-kata, orang tua itu menyampuk.
"Ya!" Setelah melihat keraguan puan muda keduanya, Pak Cik Liu melangkah kehadapan, "Guru Zhang, puan muda kedua kami sudah mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menjadi anak murid Guru Zhang. Dia cuma berasa malu untuk mengatakannya. Saya akan bergantung pada guru untuk prosedur menarik diri!"
"Menarik diri?" Mata Zhang Xuan terkelip-kelip. "Kamu perlu mempertimbangkannya betul-betul. Kamu akan mendapat reputasi yang buruk kerana mengundurkan diri daripada cikgu yang telah kamu akui. Malahan, sukar untuk guru lain menerima kamu kemudian! Sanggupkah kamu merosakkan masa depan puan muda kamu, hanya disebabkan kedegilan kamu sendiri? Sanggupkah kamu bertanggungjawab?"
"Ini…." Orang Tua Liu terpaku.
Pelajar sememangnya boleh menarik diri daripada permohonan mereka. Tetapi, ini akan dianggap sebagai penghinaan kepada seorang guru. Tambahan pula, jika seorang pelajar sanggup menarik diri sewenang-wenangnya dari perguruan seorang guru, ia memberikan petanda bahawa dia bakal melakukan perkara yang sama kepada guru-guru lain. Kebiasaannya, pelajar seperti ini akan mempunyai reputasi yang buruk dan tidak akan diterima oleh cikgu yang lain.
Tambahan pula, tidak ada orang yang akan sanggup menerima pelajar yang menghina prestij guru. Penerimaan pelajar sebegini merupakan penghinaan kepada guru yang ditinggalkannya. Semua guru merupakan rakan sekerja, oleh demikian, ia tidak bijak untuk menyinggung perasaan sesiapa sahaja.
Jika tidak mampu mencari seorang guru, pelajar tersebut akan dianggap gagal.
Mendengarkan kata-kata Zhang Xuan itu, Pak Cik Liu tiba-tiba berada dalam situasi yang rumit.
Dia hanyalah merupakan orang suruhan. Jika masa hadapan puan muda kedua ditunda ataupun dirosakkan disebabkan perkara ini, dia tidak akan mampu bertanggungjawab terhadapnya.
"Bertenanglah, puan muda keluarga kamu mempunyai bakat yang bagus. Saya akan mengajarnya dengan baik dan dia semestinya akan mendapat markah yang cemerlang…." Apabila melihat Pak Cik Liu mula meragui diri sendiri, Zhang Xuan mula meyakini kata-katanya.
Tidak akan dia membenarkan hasil titik peluhnya untuk hilang begitu sahaja!
"Nanti dulu! Siapa kata tiada guru yang sanggup mengambilnya? Gadis muda, jika kamu sanggup menarik diri daripada menjadi anak murid Guru Zhang ini, saya sanggup menerima kamu sekarang juga!"
Sebelum Zhang Xuan sempat menghabiskan ayatnya, Cao Xiong mara kehadapan dengan tangan yang terbuka.
Dia baru sahaja hilang air muka disebabkan Zhang Xuan, inilah peluang untuknya menebus semula maruahnya. Tak akan dia sekadar membiarkan peluang sebegini terlepas sebegitu sahaja?
"Cao Xiong, apakah niat kamu?"
Muka Zhang Xuan mula menggelap.
"Apa niat saya? Lihatlah betapa berbakatnya gadis ini, sayanglah jika ia dibazirkan! Mereka datang ke sini untuk belajar. Oleh demikian, mereka berhak memilih guru yang terbaik untuk mengajar mereka dan bukannya seorang yang mendapat kosong markah di Peperiksaan Kelayakan Guru!"
Cao Xiong tertawa gembira.
"Niat kamu adalah untuk mencuri anak murid saya secara terbuka. Kamu fikir saya tidak akan melaporkan kamu kepada Biro Pembelajaran Pusat?"
Ini bukanlah lagi perbalahan yang biasa tetapi pencurian anak murid secara terbuka!
Walaupun akademi menggalakkan guru untuk memilih anak murid mereka dengan bebas, mereka tidak akan memaafkan kelakuan sebegini! Jika insiden ini berlaku, bukan sahaja hubungan antara guru akan terjejas malah budaya akademi itu sendiri turut terancam.
"Mencuri anak murid? Kamu ini melampau. Beginilah, apa kata kita berdua bertanding dengan memberikan nasihat kepada gadis ini. Kita akan biar dia memilih sendiri gurunya. Beranikah kamu?" Kata Cao Xiong.