Chereads / Perpustakaan Jalan Syurga / Chapter 4 - Muka Belasahan

Chapter 4 - Muka Belasahan

"Saya..."

Gegaran daripada Perpustakaan Jalan Syurga tadi telah menganggu konsentrasinya dan kini dia masih berada dalam keadaan terpinga-pinga. Tambahan pula, dia langsung tidak mengetahui tentang rutin tumbukan pelajar tersebut, bagaimanakah dia hendak memberi tunjuk ajar kepadanya!

"Guru Zhang, tolong betulkan kesilapan saya!"

Liu Yang melangkah ke hadapan dan menunduk sepenuhnya.

Di sudut lain, Wang Ying mengedip-ngedipkan matanya. Dia ingin melihat bagaimanakah 'pakar' yang baru ditemuinya ini akan memberikan tunjuk ajarnya.

Pandangan kesemua penonton tertumpu padanya. Jika dia tidak mula bercakap, dia pasti akan dimalukan. Baru sahaja dia hendak mula merepek, dia teringat akan kelemahan Liu Yang yang tercatat dalam buku di perpustakaan itu.

Dia tidak tahu sama ada apa yang tercatat itu benar ataupun tidak. Bagaimanapun, dengan keadaan ini, adalah mustahil untuk dia mereka sebarang cerita. Jadi, dia mengumpulkan keberaniannya dan berkata, "Terdapat banyak kelemahan dalam rutin tumbukan kamu tadi, sebanyak 12 kelemahan semuanya!"

"Haha, katanya terdapat banyak kelemahan, 12 semuanya? Adakah saya tersalah dengar?"

"Ini adalah jenaka paling lucu yang pernah saya dengar!"

"Teknik Tumbukan Bunga Terbang ini tidaklah rumit, tetapi ia adalah antara teknik paling umum di seluruh negara dan dikenali sebagai Penumbuk Asas. Walaupun ia bukanlah teknik yang sempurna, ia telah diperbaiki dan dipermudahkan selama beribu tahun lamanya, dan dia berkata terdapat 12 kelemahan?"

"Penipuan! Mungkin dia tidak dapat memikirkan apa-apa petunjuk, jadi dia mereka-reka cerita!"

...

Pada awalnya, para penonton teragak-agak apakah yang ingin diperkatakan oleh Zhang Xuan. Apabila dia membuka mulutnya, kesemua penonton ketawa terbahak-bahak.

Tumbukan Bunga Terbang adalah salah satu teknik tumbukan asas di Kerajaan Tianxuan. Ianya mirip dengan Taizu Changquan, asalkan seseorang itu berlatih seni bela diri, mereka harus mempelajari teknik ini terlebih dahulu. Setelah ribuan tahun diperhalusi oleh ramai pakar, dan walaupun ia bukanlah teknik yang kuat, ianya sangat terkenal kerana tidak terdapat sebarang kelemahan. Apatah lagi, sesetengah orang menggelarnya "Penumbuk Tanpa Kesalahan".

Penumbuk yang mempunyai reputasi sekukuh ini, lelaki tersebut mengatakan terdapat 12 kelemahan padanya...Jenaka apakah ini!

Biarpun diketepikan hakikat yang dia mendapat markah kosong dalam Peperiksaan Kelayakan Guru, mana mungkin dia dapat mengenalpasti kelemahan sebanyak itu!

"Oh? Guru Zhang pastinya seorang bijaksana jika dapat mengenalpasti 12 kelemahan Penumbuk Bunga Terbang. Ajarkanlah kepada kami semua!"

Cao Xiong tidak menyangka Zhang Xuan akan bercakap besar dan berkata sedemikian. Matanya bersinar-sinar. Dia sengaja berkata sedemikian untuk memberikan tekanan pada Zhang Xuan.

Biarpun dengan reaksi sebegitu daripada penonton, Zhang Xuan tetap tidak menunjukkan sebarang emosi. Bagaimanapun, hatinya tetap berdegup kencang. Dia tidak menyangka Liu Yang akan menunjukkan rutin tumbukan yang dikenali oleh semua orang.

Dirinya yang terdahulu pasti akan menyedarinya. Tetapi, memandangkan dia baru sahaja dilahirkan semula, memori Zhang Xuan yang terdahulu belum lagi bercantum sepenuhnya dengannya!

Walaupun dia merupakan seorang pustakawan dalam kehidupan yang terdahulu, dia tetap adalah seorang yang dilahirkan semula dengan pengetahuan yang berbeza. Apatah lagi, dia seorang yang tidak kenal erti malu. "Kenapa, kamu semua tidak mempercayainya? Bukan saya tidak mahu memberikan tunjuk ajar, tetapi kamu semua tidak percayakan saya. Jika kamu tidak mahu menerima ajaran saya...Kamu semua tidak boleh menyalahkan saya! Wang Ying, mari kita pergi. Perjudian seperti ini tidak bermakna!"

"Tunggu, kami percayakan kamu! Ajarlah kami!"

Memandangkan Zhang Xuan ingin beredar, Cao Xiong serta-merta menghentikannya.

Dia tahu bahawa pihak lawannya sengaja memberikan satu angka yang melebih-lebih supaya semua orang akan tidak mempercayainya dan dia boleh menggunakan kesempatan ini untuk melarikan diri. Tetapi, bukan senang untuk dia mendapatkan peluang ini, peluang untuk memalukan lawannya. Tidak mungkin dia akan melepaskannya begitu sahaja!

"Itu…"

Menyedari yang dia tidak dapat melepaskan diri, Zhang Xuan hanya mampu mengeluarkan buku dari perpustakaan tersebut sekali lagi.

"Jika aku harus mati pun, matilah!"

Memandangkan dia tidak mempunyai pilihan lain, dia merenung pada kesemua 12 kelemahan yang ditulis dalam buku tersebut sekali lagi. Pandangannya tertumpu pada kelemahan yang terakhir. "Rutin tumbukan yang ditunjukkan kamu tadi adalah menggunakan tangan kanan. Izinkan saya mencadangkan sesuatu. Cuba kamu gunakan tangan kiri untuk menyerang tiang batu itu!"

Memandangkan ia adalah satu keistimewaan yang diberikan kepada insan yang lahir semula, terdapat kemungkinan besar ianya adalah nasihat yang tepat. Lagipun, biarpun maklumat itu tidak tepat, dia tidak mempunyai alasan lain untuk melarikan diri lagi pada waktu ini.

"Cuba menggunakan tangan kiri?"

"Ini pun boleh dikira sebagai tunjuk ajar?"

"Jenaka apakah ini. Tangan kiri seseorang itu biasanya adalah lebih lemah. Jika dia menumbuk dengan tangan kiri, bukankah dia akan merosakkan rutin tumbukan itu?"

...

Para penonton tergamam seketika sebelum kekecohan melanda. Kesemuanya merenung ke arah Zhang Xuan dengan penuh kebencian.

Semua orang tahu tangan kiri adalah tidak sekuat tangan kanan. Memandangkan Liu Yang telahpun menghasilkan gelombang yang kuat melalui tumbukan pertama tadi, sudah jelas dia bukanlah seorang yang kidal. Tetapi, dia diminta untuk menggunakan tangan kiri… Jenaka apakah ini?

"Liu Yang, cubalah menggunakan kaedah yang disarankan Guru Zhang supaya dia boleh mengaku kalah!"

Nampaknya Cao Xiong tidak menyangka Zhang Xuan akan berkata sedemikian. Dia sangat teruja dan ingin melompat kegembiraan, tetapi dia tetap memberikan arahan kepada Liu Yang.

Walaupun dia baru sahaja menerima Liu Yang sebagai anak murid, dia sangat pasti bahawa muridnya itu lebih selesa menggunakan tangan kanan dan bukannya seorang kidal. Jika dia menggunakan tangan kiri, mungkin 30kg pun tak sampai!

Jika seorang pelajar mencapai 62kg sebelum mendapat tunjuk ajar dan kemudiannya sekadar mencatatkan 30kg selepas mendapat tunjuk ajar, reputasi Zhang Xuan pasti akan hancur sama sekali!

Mari kita lihat jika dia akan dapat kekal sombong selepas ini!

"Baiklah!" Liu Yang ketawa dengan dingin dan menunjukkan rutin tumbukan tersebut sekali lagi.

Dia amat menyedari bahawa dia bukanlah seorang kidal. Disuruh menggunakan tangan kiri… Merepek!

Penumbuk Bunga Terbang adalah teknik yang telah digunakannya sejak zaman muda lagi. Sungguhpun dia tidak mahir dengan pertukaran antara tangan kiri dan kanan, dia telahpun membiasakan dirinya. Tumbukan tangan kiri tersebut menghasilkan angin yang kencang, tetapi sama ada dari segi kekuatan mahupun kemahiran, ia seakan-akan tidak sekuat tumbukan yang sebelumnya.

"Adakah mungkin...keistimewaan saya sebagai insan kelahiran semula adalah dusta semata-mata?"

Zhang Xuan merasa sangat gugup.

Keistimewaan yang diperoleh oleh insan kelahiran semula yang lain termasuklah seorang datuk yang akan memberikan pengajaran kepada mereka. Asalkan sahaja mereka mematuhi arahan datuk tersebut, mereka tidak akan berdepan sebarang masalah. Zhang Xuan pula hanya dikurniakan sebuah perpustakaan dengan pelbagai kata-kata yang tidak terurus. Jika apa yang tercatat dalam buku tersebut palsu, dia pastinya akan diusir dari akademi!

Hu!

Dengan pantasnya, rutin tersebut disempurnakan. Liu Yang melangkah ke arah tiang batu, mengangkat tangan kirinya dan menumbuk dengan kuat.

Weng!

Beberapa angka pun muncul.

"Satu. Haha, saya fikir paling sedikit pun akan dapat puluh-puluhan"

Bila angka '1' muncul. Cao Xiong ketawa terbahak-bahak dan wajahnya kelihatan teramat riang gembira. Akan tetapi, belum sempat pun dia menghabiskan kata-katanya, dia tergamam. Matanya seperti hendak jatuh keluar.

"123?"

"123kg?"

Para penonton yang bercadang hendak mengejeknya terus ketakutan dan menggigil.

Sebelum ini, tumbukan Liu Yang mencatat 62kg. Sekarang ia telah meningkat kepada 123kg, hampir 2 kali ganda! Peningkatan hampir 100%!

Benarkah ini?

Guru yang mendapat tempat pertama dalam Peperiksaan Kelayakan Guru pun tidak mungkin dapat meningkatkan keputusan seorang murid sebanyak 2 kali ganda melalui tunjuk ajar kali pertama!

"Saya….saya…. adakah ini datangnya dari saya?"

Bahkan Liu Yang sendiri tergamam.

Dia merenung ke arah tiang batu tersebut dengan rasa tidak percaya.

Dia tahu dia bukan kidal. Tetapi, dia tidak menyangka tangan kirinya mempunyai kekuatan sebegitu. Ianya dua kali ganda lebih kuat dari tangan kanannya!

Para penonton sangat terkejut. Zhang Xuan hampir saja melompat kegembiraan.

"Ia benar!"

Di saat ini, dia akhirnya dapat mengesahkan bahawa kelemahan yang dikumpulkan oleh perpustakaan tersebut adalah benar sekali.

Untuk dapat melihat kemahiran yang sedang dibentuk oleh seseorang dan kelemahannya juga… Keistimewaan insan kelahiran semula ini pastinya akan merempuh syurga!

"Jadi, macam mana? Tunjuk ajar awak telah membuahkan peningkatan sebanyak 20%. Guru Cao, apa lagi yang ingin awak katakan?" Zhang Xuan ketawa.

"Saya…" Wajah Cao Xiong pucat dan dia merasakan ia seolah-olah terbakar.

Pada asalnya, dia mencadangkan pertandingan ini supaya pihak lawannya akan mendapat malu. Tetapi akhirnya, dia yang malu sendiri.

Dia mengeluarkan token jed daripada genggamannya. Jarinya digigit dan setitik darah jatuh ke atas jed tersebut. "Liu Yang, dengan ini saya membatalkan status kamu sebagai anak murid saya. Kamu boleh memperakui Guru Zhang sebagai guru kamu!"

Setelah berkata sedemikian, dia merenung kepada Zhang Xuan. "Kamu tak perlu merasa sombong sangat. Kamu bertuah kali ini. Bila kita bertanding lain kali, saya akan pastikan reputasi kamu musnah…"

Dia berpaling dan beredar.

Kali ini, bukan sahaja reputasinya tercemar, dia juga kehilangan anak murid dan semestinya ini merupakan sebuah tamparan hebat.

Kalah kepada seorang guru lain sudah cukup memalukan. Tetapi, apa yang lebih memalukan adalah pihak lawannya merupakan seorang yang mendapat kosong markah dalam Peperiksaan Kelayakan Guru, guru paling teruk di seluruh akademi...

"Guru, guru…"

Memerhatikan Cao Xiong beredar, wajah Liu Yang mula muram.

Sungguhpun dia berjaya mendapatkan keputusan yang baik di bawah tunjuk ajar Zhang Xuan, dia berkongsi pendapat dengan Cao Xiong bahawa ianya hanyalah merupakan nasib baik semata-mata. Dia tidak percaya yang Zhang Xuan mempunyai kemahiran yang tinggi.

"Baiklah, kamu adalah muridku sekarang. Lekas ambil token pengenalan kamu!"

Zhang Xuan tidak peduli apa yang difikirkan murid itu. Dia telah memperolehi seorang murid baru hasil daripada kejayaannya dalam pertaruhan ini. Dengan selamba dia melempar sebuah token jed.

Walaupun Liu Yang tidak rela untuk menjadi anak murid beliau, dia tahu yang dia harus mematuhi keputusan pertaruhan tersebut. Jika dia tidak memperakui Zhang Xuan sebagai gurunya, guru-guru lain pasti akan menolaknya. Maka, dia hanya mampu menitiskan darahnya ke atas token jed tersebut untuk menyempurnakan proses pengesahan.

"Esok, jumpa saya di sini untuk pelajaran kamu!"

Setelah selesai berurusan dengan Liu Yang, Zhang Xuan tidak berkata apa-apa yang tidak perlu. Dia melihat ke arah Wang Ying dan mengeluarkan kata-kata yang hanya sayup-sayup kedengaran sebelum melangkah keluar dari kantin.

Kembali semula ke dewan kuliah, Zhang Xuan menumpukan mindanya untuk memeriksa Perpustakaan Jalan Syurga dengan lebih teliti.

Setelah memeriksa buat beberapa ketika, akhirnya dia memahami beberapa perkara tentangnya.

Asalkan seseorang itu menunjukkan kemahiran seni bela diri di hadapannya, perpustakaan tersebut akan serta-merta mengumpulkan sebuah buku tentang kelemahan mereka.

"Haha, saya benar-benar beruntung kali ini! Dengan benda ini dalam genggaman, saya akan dapat melihat sebarang kelemahan hanya dengan sekali imbas sahaja. Pada Peperiksaan Kelayakan Guru akan datang, tak mungkin saya akan mendapat kosong markah lagi!"

Perasaan riang tidak terhingga memenuhi hatinya. Sebagai insan kelahiran semula, Zhang Xuan akhirnya merasa teruja akan masa depannya.