"Cinta boleh dipupuk, kita yang memberi peluang pada diri kita untuk memupuk cinta itu tapi kalau putus asa sebelum berjuang itu pilihan awak, saya terima. Good luck for your future love but I won't give up that easy."
Kaki gadis bermuka bulat itu mengorak langkah menjauh meninggalnya. Hembusan keras keluar mengurangkan sesak di dada. Langkah gadis itu teratur mencerminkan kesopanan yang terdidik baik oleh keluarga Dato' Aznan. Liuk lentur tubuhnya tidak dinafikan menggamit perhatian ramai jejaka namun tidak baginya. Mungkin kerana dipaksa atau mungkin kerana protes kepada wasiat neneknya, dia tidak dapat menerima gadis tersebut.
Wasiat neneknya yang dibacakan peguam minggu lepas memberikan satu tekanan yang besar pada Idris. Semua orang tahu empayar Ghazali Group bukan sekadar syarikat kecil tetapi peneraju industri automotif di Asia. Namanya tercalon dalam menjadi kepala pimpinan Ghazali Group disamping nama pak cik dan dua orang sepupunya.
Walaupun arwah atuknya pemilik asal perusahaan ini tetapi tulang belakangnya adalah nenek, Datin Fauzana Adam. Pelbagai inovasi yang berlaku dalam syarikat datang dari Datin Fauzana. Untuk memenuhi legasi datuk dan neneknya adalah satu tanggungjawab yang amat berat dan sukar untuk dilakukan namun wasiat neneknya membuatkan dia termangu cuba memahami tujuan sebenar yang neneknya mahu capai.
Peneraju syarikat hanya boleh diterajui oleh mereka yang berkahwin sahaja dan pasangan yang perlu mereka kahwini telahpun di pilih oleh nenek dengan jelas, dan calon untuknya adalah anak sulung pemilik Suria Legasi.
Dia bukanlah pentingkan cinta tetapi dia mahukan tempat yang selesa. Di mana tempat rehatnya bukan padang pertempuran dua kuasa atau pertikaman merebut pemilikan. Dia mahu kediamannya menjadi tempat anak-anaknya membesar dengan penuh gelak tawa yang menjadi memori indah hidup mereka sekeluarga. Tidak sesekali mahu sejarah hitam berulang lagi. Dia tidak mahu anak-anaknya nanti merasai kematangan sebelum waktunya.
Kopi suam di hadapannya dihirup habis. Tangannya diangkat memanggil pelayan berhampiran memberikan isyarat dia sedia membuat pembayaran. Pelayan wanita itu menghampiri dengan resit bayaran yang perlu dijelaskan. Usai diberikan beberapa keping not merah kepada pelayan tersebut dia bingkas membawa arah ke pintu café.
Belum sempat dia melangkah keluar pelayan wanita tadi menahannya, "Maaf tuan, masih kurang RM21.60." Bisik pelayan tersebut dengan sopan.
"Tidak cukup? Mana mungkin dua cawan kopi mencecah angka RM100." Kerutan di dahi jelas menunjukkan rasa kurang senang. Resit di meja dicapai dan dengan penuh teliti dia dapati terdapat penambahan menu yang tidak dipesannya.
"Saya tidak pesan matcha frappucino ini. Boleh awak semak semula?"
"Pesanan itu dibuat oleh adik tuan tadi. Ini nota yang ditinggalkan pada tuan."
Dear My Sweet Brother,
Thank you for the drink, I'll be waiting in the office.
Your Sweet Angel,
Lisa
"Berapa lama dia di sini tadi?" Nota tersebut diramas, telinganya merah dan wajahnya berubah tegang.
"Errr, lebih kurang sejam. Adik tuan tiba lebih kurang 10minit sebelum tuan datang."
Dompet kulit berwarna hitam dibuka, sekeping not RM50 ditarik dan diberikan kepada pelayan tersebut, "Keep the change." Kali ini langkahnya tidak lagi dihalang oleh pelayan itu.
'Perempuan ini dah balik rupanya. Balik saja terus nak mengikis aku. Jaga kau Lisa!"