Download Chereads APP
Chereads App StoreGoogle Play
Chereads

Stellar Phantasm (My)

A_Boy27
--
chs / week
--
NOT RATINGS
360
Views
Synopsis
“Bintang ni, sesuatu yang hebat, bukan?” Itulah kata-kata terakhir yang didengar Hoshi daripada ibunya sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir. Pada hari yang penuh duka itu, Hoshi menjumpai sebuah buku lama milik ibunya. Di dalamnya terkandung sebuah puisi misteri yang menggambarkan kuasa yang mampu membawa kehidupan kembali. Tidak mampu menerima kehilangan tersebut, Hoshi nekad untuk menyelami makna di sebalik puisi itu, berharap dapat meraih semula saat-saat indah yang kini hanya tinggal kenangan. Perjalanannya mencari jawapan penuh liku, namun segalanya berubah apabila dia bertemu dengan Sora, seseorang yang memegang kunci kepada teka-teki itu—dan kepada masa depannya.
VIEW MORE

Chapter 1 - Prolog : Bintang dan Biru

"Hoshi,"

Suara lembut bergema ke setiap penjuru rumah itu. Hoshi yang sedang bermain dengan mainannya terhenti seketika. Matanya melilau ke semua tempat, cuba mencari tuan empunya suara.

"Sini."

Suara tadi sekali lagi kedengaran. Dia bangun dan meninggalkan mainannya. Kali ini Hoshi mengorak langkah. Dia pasti tempat datangnya suara tadi tidak jauh dari tempat dia berada.

Langkah demi langkah diinjak. Sejuknya malam menyengat tapak kaki Hoshi yang kecil. Diselangi dengan nafasnya yang ber wap. Sehinggalah dia sampai di sebuah bilik. Penglihatannya meluas ke seluruh pelosok bilik itu. Sempit, dipenuhi rak yang berisi buku. Sebahagian besar bilik itu diselebungi kegelapan malam, cuma cahaya bulan yang menembusi tingkap menerangi sebahagian kecil bilik itu. Menyuluh tepat pada tuan empunya suara. Ibunya Hoshi, Aoi.

"Tengok ni." pelawa Aoi sambil jarinya menunjuk ke arah tingkap dengan senyuman yang penuh teruja. Seketika, Hoshi terpaku melihat ibunya. Rambut panjangnya yang putih bersinar tidak olah seperti sang purnama yang mengembang mekar di malam hari. Tatapan mata birunya seperti langit malam yang menyenangkan, membuatkan sesiapa sahaja merasakan ketenangan. 

Hoshi mendekati ibunya. Sebaik sahaja pandangannya menembusi tingkap, matanya membulat, terpana dengan gugusan bintang yang bertaburan di langit malam. Buat pertama kalinya dia melihat bintang seterang itu walaupun kawasan bandar masih terang benderang dengan cahaya yang meriah.

"Wah cantiknya!" mata Hoshi bersinar penuh keterujaan sambil mulutnya koyak dengan senyuman. Aoi tertawa kecil melihat reaksi anaknya. 

"Itulah buruj Taurus."

"Taurus?"

"Yup, Taurus. Antara buruj yang terbesar. Muncul dari 20 April hingga 20 Mei sahaja tau!" Aoi berkata dengan lagaknya seperti seorang ahli nujum.

Memang sejak dari dulu lagi Aoi suka menghabiskan masa dan wang untuk memenuhi minatnya yang mendalam terhadap astronomi. Bilik yang dipenuhi buku ensiklopedia bintang serta teleskop yang berharga ratus-ratusan. Mustahil untuk menafikan betapa sayangnya dia terhadap bintang. 

"Hoshi mesti bosankan? Setiap hari dengar pasal bintang." Aoi berkata sambil tangannya mengusap lembut rambut Hoshi.

Hoshi menggelengkan kepala lalu menatap wajah ibunya "Hoshi pun sukakan bintang, sama macam ibu!"

Tertawa Aoi melihat anaknya yang bersungguh-sungguh memberi kata-kata positif "pandai juga kamu ambil hati ibu." Aoi dengan nada gembiranya.

Tiba-tiba tahi bintang menyusup di langit malam dengan pantas. Hanya mereka berdua yang menangkap momen itu dengan mata kepala mereka sendiri. Hoshi terus memandang ke arah ibunya seperti mengisyaratkan sesuatu. Dia tidak mahu mensia-siakan peluang ini.

"Ibu nampak tak tadi? Jom buat hajat!"

Aoi melihat anaknya. Redup sahaja tatapannya "Apa hajat Hoshi?"

Seketika Hoshi menutupkan matanya sambil mengusap dagu, cuba untuk memikirkan hajat terbaik. "Hmmm… Hoshi nak jadi superhero yang selamatkan bumi! Kalau ibu pula?". Kembung mulut Aoi, cuba untuk menahan gelak.

Kemudian giliran dia pula untuk berfikir. "Hm.. kalau ibu pula...", kata-kata Aoi terhenti.

Menyedari hal tersebut, Hoshi memandang ke arah Aoi.Tanpa diduga, bergelinang air di hujung mata ibunya.

"ibu…?"

Aoi terkejut seolah-olah baru terjaga dari alam mimpi. "Takda apalah" ujar Aoi sambil mengusap air matanya.

Aoi meletakkan kedua-dua belah tangannya pada bahu Hoshi. "Ibu cuma nak Hoshi sentiasa bahagia dalam apa jua yang Hoshi lakukan" senyuman yang terukir pada wajah Aoi begitu indah sehingga Hoshi terlupa akan keindahan bintang di langit tadi.

"Ibu ni… suka cakap perkara-perkara macam tu" ujar Hoshi sambil mendengus. 

Meskipun Hoshi berulang kali mendengar ucapan ibunya yang menyentuh hati, masih sahaja perasaan Hoshi disentak dengan rasa sebak. Sebagai seorang anak tunggal, dia cukup mengenali ibunya. Kulit Aoi sentiasa kering dan dia tidak mampu untuk mengangkat barang yang berat. Pergerakannya juga sering gemetar sehingga kebanyakan barang yang dipegangnya akan jatuh dan pecah. Ini kerana Aoi menderita dengan sejenis penyakit, akan tetapi dia merahsiakannya daripada Hoshi.

Aoi cuma tersenyum melihat reaksi anaknya. Perlahan-lahan tangannya mengusap rambut Hoshi. Malam yang tadinya dingin, kini bertukar menjadi hangat. Seperti hangatnya kasih sayang seorang ibu. 

"Bintang ni, sesuatu yang hebat bukan?"

 "Ibu….Ibu!" 

Jeritan Hoshi bergema ke setiap penjuru rumah. Biarlah berapa kali pun dirinya ditampar, matanya masih tidak mempercayai apa yang berlaku di hadapannya. Aoi rebah, tidak sedarkan diri. 

Jantung Hoshi berdegup kencang. Dadanya menjadi sempit. Keringat membasahi dahinya sambil tangannnya bergetar-getar cuba mencapai Aoi. 

Tiba-tiba pintu bilik dibuka.

''Hoshi? Aoi? Kenapa ni?" Eda Takizawa, ayah kepada Hoshi. Sebaik sahaja dia mendengar jeritan Hoshi , tanpa berfikir panjang dia bergegas dan menerjah masuk ke dalam bilik itu. Sebaik sahaja masuk, apa yang dilihatnya bukanlah satu perkara yang indah. 

Dengan pantas dia mengeluarkan telefonnya lalu menghubungi hospital. Beberapa kali dia cuba menyedarkan Aoi. Namun, badan yang tidak bermaya itu langsung tidak menunjukkan sebarang respons. 

Hoshi yang dari tadi tercegat cuma melihat saat itu berlaku dengan pantas. Badannya kaku, fikirannya bercelaru. Masih sukar untuk dipercayainya bahawa yang dia saksikan adalah sebuah realiti, bukannya mimpi. 

"Ibu...."

7 tahun kemudian.

"Tahniah"

"Jom ambil gambar!"

"Seronoknya dh bebas!"

 Itulah ucapan yang sudah berulang kali Hoshi dengar hari ini. Hari ini adalah hari terakhir persekolahan Hoshi sebelum melangkah ke alam dewasa.

 Dari awal hinggalah ke akhir majlis graduasi, Hoshi hanya duduk seorang diri. Tanpa seorang kawan atau ahli keluarga. Sangat berbeza dengan yang lainnya. Tidak lama kemudian, Hoshi pulang ditemani kesepian. 

 Aoi telah koma, tidak sedarkan diri sejak insiden 7 tahun lepas. Sejak dari itu, Aoi hanya ditempatkan di hospital. Setiap hari, Hoshi lah yang akan datang menjaganya dengan harapan suatu hari Aoi akan terjaga kembali. 

 Ayahnya, Eda pula sudah membuka sebuah restoran di pinggir bandar. Kerana begitu sibuk bekerja, dia tidak sempat untuk hadir pada hari graduasi anaknya sendiri. 

 Hoshi mengatur langkahnya perlahan-lahan meninggalkan sekolah yang takkan dia rindukan lagi. Baginya, segala bebanan sudah tiada. Dia juga tidak merancang apa-apa selepas sekolah melainkan menjaga Aoi setiap hari.

 "Ayah ni… apa yang sibuk sangat pun aku tak tahulah, hari graduasi anaknya sendiri pun dia tak pergi". Hoshi berjalan dengan penuh hampa.

 Dia dapat melihat sekumpulan remaja yang sebaya dengannya di seberang jalan. Masing-masing mengenakan baju berfesyen dan bersuka ria. Namun hoshi tidak sedikit pun mengimpikan kehidupan seperti itu. Baginya, bersama Aoi sudah cukup membahagiakan hidup. 

 Selang beberapa langkah, tiba-tiba telefonnya bergetar. Terpapar pada skrin nama ayahnya. Dengan berat hati, dia mengangkat panggilan tersebut.

"Ya ayah?"

"Hoshi, kamu dekat dengan restoran ke? Boleh kamu datang sekejap. Ayah perlukan bantuan di sini"

 Belum sempat Hoshi menjawab soalan itu panggilan sudah pun dimatikan.

Bertambah rasa bengang Hoshi dengan sikap ayahnya. "Dah lah tak datang, lepas tu minta tolong.." 

 Mahu tidak mahu, dia tetap harus pergi. Berat langkahnya ingin ke sana. Lebih baik dia pergi menjenguk Aoi di hospital.

 Perjalananya tidaklah jauh, cuma mengambil beberapa minit untuk sampai di sana. Setelah melalui beberapa lorong dan merentasi kawasan perumahan sebagai jalan pintas, akhirnya Hoshi berdiri di hadapan pintu restoran tersebut. Dengan perlahan dia membukanya. 

"Hoshi dah sampai….eh?"

 Dia pelik, keadaan restoran sudah menjadi gelap. Bangku dan meja semuanya sudah siap disusun. "Aku lambat sangat ke?" Soalan tersebut muncul dalam akalnya.

 Perlahan-lahan di melangkah masuk. Tiba-tiba lampu di buka.

 "SELAMAT HARI JADI HOSHI!!"

 Semua pekerja di restoran itu beserta ayahnya muncul dari bawah kaunter pesanan. 

 Hoshi sedikit pun tidak terkejut. Dia hanya melihat mereka dengan tatapan yang keliru tanpa sebarang reaksi. 

 "Kita gagal terkejutkan dia ke?"

 "Dia dah besar kot untuk benda macam ni."

 "Takkan lah."

 Hoshi menutup matanya sambil mengusap dagu.

 "Hari ni hari jadi Hoshi eh?"

 Pecah suasana janggal itu dengan gelak ketawa semua orang.

 "Haishh dia lupa rupanya." Eda bersuara.

 Eda memberikan kek kepada Hoshi yang tertera namanya "maaflah, ayah bukan tak mahu datang. Tapi ayah dah siapkan semua ni untuk kamu" 

 Semua perasaan marah Hoshi hilang serta merta. Barulah dia faham, inilah sebabnya ayahnya tidak datang.

 "Kan senang kalau ayah bagitahu terus. Buat susah orang je"

 "Tak seronok lah nanti kalau bagitahu."

 Mereka semua menjamah makanan yang telah dimasak. Terhidang pelbagai jenis makanan di atas meja dan salah satunya adalah onigiri kegemaran Hoshi. Sejak dari kecil lagi, sudah menjadi suatu kebiasaan Hoshi untuk membuat onigiri bersama Aoi. Lalu menikmatinya sambil mengagumi keindahan bintang.

 Setelah selesai semuanya, Hoshi membersihkan pinggan mangkuk yang telah digunakan dan yang lain menguruskan sampah sarap dan mengemas meja serta kerusi yang sudah digunakan.

 Seketika Hoshi melihat pada jam dinding. Jarum sudah menunjukkan pukul 8 malam. Dia sudah agak terlewat untuk menjenguk ibunya di hospital. Dia langsung mencapai beg galasnya. 

 "Ayah, Hoshi dah siapkan pinggan mangkuk. Hoshi nak pergi hospital ni, kalau lambat nanti jalan gelap."

 "Kamu pergilah ke sana dulu, ayah masih ada benda perlu dibuat. Hati-hati berjalan."

 Hoshi melangkah keluar dari kedai, seorang diri dia berjalan ke hospital. Dia melihat kawasan di sekitarnya, ada kedai yang sudah ditutup. Adapun kedai-kedai runcit dan bar yang masih dibuka. Lampu terang dan berwarna-warni di kedai-kedai itu mewarnai malam yang kebiasaanya gelap gelita. 

Tiba-tiba terlintas di fikirannya, apakah yang Aoi nampak sepanjang dia tidak sedarkan diri? Adakah semuanya gelap? Ataupun memori terakhir dia bersama Hoshi yang berputar tanpa penghujungnya? Hoshi sendiri tidak tahu jawapannya. 

Hoshi meneruskan perjalanannya Sehingga tiba di hospital. Tanpa berfikir panjang dia terus masuk ke dalamnya. Hoshi cukup mengenali setiap penjuru tempat itu, semuanya tersimpan 1001 kenangan. Tertanam dengan satu harapan, harapan agar Aoi kembali pulih. 

Langkahnya terhenti di hadapan pintu sebuah bilik. Bilik yang dihuni oleh Aoi sepanjang 7 tahun. Entah kenapa hari ini terasa berbeza berbanding sebelumnya. Mungkin kerana hari ini adalah hari lahirnya. 

Dengan berhati-hati, dia memutar tombol pintu lalu membukanya.

"Ibu…"

Serta merta beg yang digalasnya dilucutkan. Dia tidak percaya apa yang dilihatnya. Seolah-olah sebuah mimpi yang akhirnya menjadi nyata.

"Hoshi…"

Insan yang selama ini dia tunggu akhirnya telah kembali.

Dia langsung memeluk erat tubuh ibunya. Sesaat pun dia tidak mahu dilepaskan. Dengan penuh kasih sayang Aoi mengusap rambut anaknya. Aoi dapat rasakan eratnya pelukan itu bagaikan melepaskan rindu yang selama ini membelenggu Hoshi.

"7 tahun…7 tahun Hoshi tunggu.." ujar Hoshi dalam keadaan yang teresak-esak.

Aoi hanya mendengar sahaja curahan hati Hoshi sambil membenarkan titisan air mata membasahi bajunya. Seusai itu, perlahan-lahan Hoshi melepaskan dakapanya lalu menatap wajah yang tidak asing baginya. Dengan lemah lembut tangan Aoi menyeka air mata pada pipi Hoshi. Dingin jari jemarinya, sama seperti hamburan angin di malam hari.

"Hoshi nak buat tak benda yang kita buat dulu?"

Hoshi hanya mengangguk sederhana mempersetujui pelawaan itu. Dia sudah tak terdaya untuk mengeluarkan sepatah pun dari mulutnya. Dirinya seolah-olah sudah mengetahui apa yang dimaksudkan ibunya. 

Hoshi bangun lalu membuka langsir. Seusai itu, lampu dimatikan dan bilik itu diterangi oleh jasad alami yang bertaburan di langit malam. Sama seperti 7 tahun lepas, mereka bersinar dengan jelasnya, tidak sama seperti hari-hari lain. Hoshi duduk di samping ibunya sambil mereka mengamati keindahan malam.

"Hari ini hari jadi kamu kan?" Aoi bersuara memecahkan suasana yang sunyi sepi. 

"Macam mana ibu tahu?" 

"Haha..mestilah tahu, tengoklah siapa yang lahirkan kamu" 

Hoshi memandang wajah ibunya. Meskipun Aoi sudah terjaga, namun wajahnya

langsung tidak menunjukkan pertanda bahawa dia sudah sembuh dari sakitnya. 

Sehingga kini Hoshi masih lagi tidak tahu sakit yang dihidapi ibunya, biarpun beribu kali membuat carian dan bertanya kepada doktor jawapannya masih tidak diketahui.

"Maafkan ibu, Hoshi terpaksa bersusah payah selama ini. Ibu sememangnya bukan 'ibu' yang terbaik." ujar Aoi sambil memandang keluar tingkap. Dia tidak mampu melihat wajah Hoshi, dia merasakan dia gagal mewujudkan hidup yang bahagia untuk anaknya.

Hoshi menggenggam tangan ibunya. "Semua itu tak penting. Berapa tahun pun Hoshi sanggup, semua supaya ibu tersenyum lagi." Hoshi memandang tepat pada ibunya.

Aoi tersenyum mendengar kata-kata Hoshi. Hatinya berbunga-bunga, dia tidak menyangka akan dirinya disayangi sebegitu rupa. 

Tiba-tiba tahi bintang menyusup di langit malam dengan pantas. Hanya mereka berdua yang menangkap momen itu dengan mata kepala mereka sendiri.

Semuanya berlaku sekali lagi, seperti kaset video yang diputarkan kembali.

Hoshi memandang ibunya, "Ibu nampak tak tadi? Jom buat hajat"

"Apa hajat hoshi?" Aoi melihat anaknya. Redup sahaja tatapannya 

Seketika Hoshi menutupkan matanya sambil mengusap dagu, cuba untuk memikirkan hajat terbaik. "Hmmm… Hoshi tak nak ibu tinggalkan Hoshi lagi selepas ni. selama-lamanya. Kalau ibu pula?'' 

Aoi melihat ke luar tingkap. "Hmm... kalau ibu pula... " kata-kata Aoi terhenti.

Menyedari hal tersebut, Hoshi memandang ke arah Aoi. Tanpa diduga, bergelinang air di hujung mata ibunya.

"Ibu…"

Tiba-tiba Aoi mendakap lengan Hoshi. Perlahan-lahan dia merehatkan kepalanya pada bahu Hoshi.

 "Takda apalah" ujar Aoi sambil mengusap air matanya.

"Ibu nak Hoshi bahagia dalam apa jua yang Hosi lakukan. Selama-lamanya." senyuman terukir di wajah Aoi. Tanpa Hoshi sedari, air matanya sudah mengalir di pipi. Dia tidak tahu apa yang dia sedang rasakan, ianya perasaan yang sudah bertahun-tahun menghilang. Perasaan disayangi oleh seorang ibu.

"Ibu ni… suka cakap perkara-perkara macam tu" ujar Hoshi dalam pada merasa sebak. 

 

Aoi membengkokkan kakinya dan menikmati setiap saat yang sedang dia rasakan sambil mendakap Hoshi sepenuh hati. Malam yang tadinya dingin, kini bertukar menjadi hangat. Seperti hangatnya kasih sayang seorang ibu. 

"Bintang ni, sesuatu yang hebat bukan?"

-Prolog : tamat-