Gerimis hujan menitik perlahan di atas bumi, membentuk alur kecil yang mengalir di celah-celah rumput, bertakung di celahan batu yang tidak rata. Langit kelabu kelihatan berat dan tidak bergerak, seolah-olah turut berduka bersama mereka yang berada di bawahnya.
Hoshi berdiri kaku, sut hitam yang dipakainya melekap pada bahunya yang basah. Payung di tangannya sedikit bergetar, bukan kerana kesejukan, tetapi kerana beban yang menghimpit dadanya. Di sekelilingnya, kumpulan manusia berbaju hitam mula beredar perlahan-lahan, suara sayu mereka tenggelam di dalam irama hujan yang semakin renyai.
Satu demi satu pergi, sehingga tinggal hanya Hoshi dan ayahnya. Mereka berdua kekal berdiri di situ, terpaku di hadapan batu nisan yang baru terukir. Permukaan batu yang licin memantulkan cahaya suram, dan nama yang tertera di atasnya mencengkam hati mereka dengan begitu dalam: Aoi Takizawa.
Pandangan Hoshi tertumpu pada bunga-bunga basah yang menghiasi pusara itu. Titik-titik hujan melekat pada kelopak, berkilau seperti titisan air mata. Di sebelahnya, ayahnya menghela nafas panjang, bunyinya tenggelam dalam hujan. Tiada kata yang terucap. Mereka tidak perlu berbicara. Kesunyian di antara mereka sudah cukup untuk menyampaikan rasa kehilangan yang lebih berat daripada awan kelabu di langit.
"Sudahlah mari kita pulang." ujar Eda
"Senang kata ayah."
Eda terdiam mendengar balasan anaknya. Dia sendiri faham perasaan kehilangan orang tercinta. Pahit bagi Eda untuk menerima hakikat bahawa istrinya telah pergi selamanya. Lebih pahit lagi buat Hoshi yang berada di samping Aoi di saat nafas terakhirnya.
"Kalaulah mungkin waktu itu..Hoshi…"
"Ini bukan salah kamu, jangan menyalahkan diri sendiri,"
"Mungkin…mungkin Hoshi dapat…"
Eda mendekati anaknya lalu meletakkan tangannya pada bahu Hoshi, "Sedih itu biasa, tapi jangan salahkan takdir, Hoshi." nadanya tegas.
"Tapi hoshi gagal! HOSHI GAGAL UNTUK SELAMATKAN IBU!"
Tiba-tiba, tangan Eda melayang ke pipi Hoshi, tamparannya keras dan tegas. Bunyi tamparan itu bergema di ruang sunyi, membuatkan Hoshi terdorong ke belakang sebelum tubuhnya terhempas ke tanah. Dunia terasa berhenti seketika—rasa pedih menjalar di wajahnya, tetapi jauh lebih menyakitkan adalah luka yang tertinggal di hatinya.
"Bukan urusan kita untuk menentukan takdir. Terimalah dan teruskan hidup" Eda memberikan kata-kata terakhirnya sebelum berjalan pergi meninggalkan Hoshi sendiri.
Hoshi tertunduk melihat rumput yang dibasahi hujan. Kata-kata daripada Eda tadi sedikit pun tidak membantu dirinya. Melainkan menambah luka yang lebih dalam untuk menerima takdir. Takdir yang memisahkan Aoi dengan dirinya buat selamanya.
Sebaik sahaja Eda melangkah keluar dari pagar tanah perkuburan, suara tangisan Hoshi mula memenuhi udara yang dingin. Pada mulanya perlahan, teresak-esak, namun lama-kelamaan bertukar menjadi raungan yang penuh dengan kepiluan. Tangisan itu bergema di antara deretan batu nisan, menusuk jauh ke hati Eda.
Eda memberhentikan langkahnya sejenak, jemarinya menggenggam erat payung yang hampir terjatuh. Tapi akhirnya, dia memilih untuk terus melangkah, memalingkan wajahnya ke depan. Dia tahu, sesakit mana pun, waktu adalah guru yang paling bijak untuk mendewasakan anaknya. Baginya, Hoshi perlu belajar mengatasi kesedihan itu sendiri—walaupun hakikatnya, setiap raungan anaknya bagaikan pisau yang menghiris perlahan jiwa seorang ayah.
"Sampai waktu mungkin kamu akan faham."
★
Hoshi kembali semula ke bilik yang selalu dikunjunginya dulu. langsirnya terbuka
luas membenarkan cahaya mentari menyimbah sebahagian daripada bilik itu. Berbeza dengan sebelumnya, bilik itu sudah tidak berpenghuni. cuma ada beberapa barang peninggalan Aoi yang ditinggalkan di dalam ruangan itu.
Segalanya masih jelas di ingatan Hoshi—haruman minyak wangi kegemaran Aoi yang seakan-akan masih berlegar di setiap sudut ruang itu, lembut namun cukup untuk menikam hati. Setiap helaian kenangan bersama ibunya berputar seperti layar filem di benaknya—tawa kecil, sentuhan hangat, dan kata-kata yang tak pernah dia lupakan.
Kalau diikutkan hati, ingin sahaja dia menangis lagi, melepaskan segala kesedihan yang terpendam. Tetapi tubuhnya sudah lelah, air matanya seolah-olah telah habis, meninggalkan hanya kekosongan yang pekat. Kesakitan itu tidak berkurang, hanya berubah bentuk—senyap, tetapi membara.
Sesuatu menangkap perhatian Hoshi—sebuah jaket hitam yang tergantung sepi di belakang kerusi. Jaket itu kelihatan lusuh, tetapi masih memancarkan kenangan yang tak pernah pudar. Perlahan-lahan, Hoshi mengulurkan tangannya, menyentuh kain yang lembut tetapi dingin.
Dia mengangkatnya dengan berhati-hati, seolah-olah memegang sesuatu yang rapuh, lalu mendakapnya erat ke dada. Aroma yang samar-samar masih melekat—aroma yang pernah begitu akrab, membawa kembali bayangan-bayangan Aoi. Meskipun hanya sehelai pakaian, jaket itu memberikan kehangatan yang mampu mengisi sedikit ruang kosong di hatinya. Seketika, rindunya terasa kurang menyakitkan.
Kemudian, Hoshi tertumpu pada sebuah buku di atas meja. Sebuah diari
kepunyaan Aoi dahulu. Sudah lama ia tidak bertulis, mungkin 7 tahun lepas sebelum kejadian Aoi tidak sedarkan diri adalah kali terakhir sesuatu ditulis di dalamnya. Hoshi sendiri tidak pasti bagaimana diari ini boleh berada di sini.
Satu persatu helaian kertas buku itu dibelek. Setiap satunya dipenuhi dengan
tulisan Ibunya. Dia memainkan jarinya pada kertas buku itu, teksturnya kasar dan terdapat tompok- tompok coklat padanya. Bau nya juga sudah seperti buku yang sudah lama ditinggalkan. Setiap muka suratnya disertakan tarikh dan tulisan tangan Aoi yang menceritakan kejadian yang terjadi pada hari tersebut.
"Zodiak Aries, muncul pada…"
"Bulan akan beredar pada ufuk…."
Hoshi tersenyum kecil sambil menatap halaman-halaman buku yang sarat dengan kenangan ibunya, setiap tulisan di situ seperti mencerminkan jiwa Aoi. Tidak sedikit pun dia merasa janggal dengan topik-topik yang dibicarakan—semuanya seperti sudah dia jangka. Malah, setiap kata terasa begitu akrab, seperti suara seorang ibu yang bercerita kepada anaknya.
Semakin lama dia membaca, semakin dalam dia tenggelam dalam dunia itu. Tulisan-tulisan itu hidup di dalam fikirannya, membawa bayangan ibunya dengan nada suaranya yang ceria dan penuh semangat. Seolah-olah, jika dia memejamkan mata, dia benar-benar dapat mendengar Aoi berbicara, menyusun cerita dengan tawa kecil di sela-sela perkataan.
Sedang Hoshi meneliti satu persatu tulisan Aoi, dia membalikkan halaman dengan hati-hati, seolah-olah tidak mahu merosakkan memori yang termaktub di situ. Namun, apabila sampai pada halaman yang kosong, dia terhenti. Kekosongan itu berbicara lebih daripada kata-kata—dia tahu itulah saat di mana Aoi jatuh koma, dan pena yang biasa menari di atas kertas terhenti buat selama-lamanya.
Perlahan-lahan, Hoshi membiarkan jemarinya menyelak halaman-halaman kosong itu, satu demi satu, seperti mencari sesuatu yang mungkin tersembunyi di antara ruang putih yang sunyi. Setiap helaian terasa berat, seolah-olah membawa beban waktu yang tidak boleh dikembalikan.
Tiba-tiba, jemarinya berhenti pada satu halaman.
"Puisi?"
Di dunia ini wujud dua belas ikatan,
Setiap satunya menjadi benteng kehidupan.
Namun di balik langit dan bayang rahsia,
Dua ratu kembar menjaga takhta.
Seorang membawa bintang tanpa cahaya,
Yang redup namun penuh makna.
Seorang lagi membawa cahaya tanpa tuan,
Terang namun sepi, tidak berteman.
Jika takdir mempertemukan mereka,
Keseimbangan tercipta semula.
Dua kuasa bersatu, saling melengkapi,
Menghidupkan jiwa, mengembalikan yang mati.
Hoshi membaca setiap rangkap puisi itu dengan penuh kebingungan. Tidak pernah sekalipun dia mendengar ibunya menyebut sesuatu yang seaneh ini. Namun, ada satu bait yang benar-benar menangkap perhatiannya: 'kuasa yang mengembalikan jiwa yang mati'. Kata-kata itu bagaikan satu kunci kepada rahsia yang selama ini dia tidak sedar wujud.
Dia menghempaskan tubuhnya ke kerusi di dalam bilik, matanya tertumpu ke arah helaian kertas dengan pandangan kosong. Minda Hoshi ligat cuba memahami maksud tersirat di sebalik bait-bait puisi tersebut, namun seolah-olah kabus tebal menyelubungi fikirannya. Ini adalah teka-teki paling sukar yang pernah dihadapinya—teka-teki yang kelihatan mustahil untuk dirungkai.
Akan tetapi, disebabkan puisi ini, munculnya sebuah harapan baru buat Hoshi. Dia kini mempunyai alasan untuk terus maju ke hadapan. Meskipun maksud sebenar puisi itu masih kabur, dia bertekad untuk menyingkap misterinya. Tiada apa yang akan menghalangnya, dia akan tetap berusaha untuk mendapatkan kuasa tersebut. Kuasa untuk menghidupkan si mati. Kuasa yang membawa Aoi kembali.
★
"Hoshi saya nak pesan dua ramen lagi!"
"Boleh bawakan saya segelas soda?"
Enam bulan telah berlalu. Kini, Hoshi bekerja di restoran kecil milik ayahnya, membantu sebagai pelayan pelanggan. Pada awalnya, dia menganggap kerja itu hanyalah satu kewajipan—sebuah pengalihan perhatian daripada kekosongan yang membelenggu dirinya. Namun, semakin hari, dia mendapati ada sesuatu yang menenangkan dalam hiruk-pikuk restoran itu. Aroma sup miso hangat dan nasi yang baru dimasak memenuhi udara, diselingi gelak ketawa pelanggan dan bunyi pinggan mangkuk yang beradu lembut di dapur.
Hoshi sering mengamati para pelanggan yang datang dan pergi. Ada sesuatu tentang suasana meriah itu yang perlahan-lahan mengetuk pintu hatinya yang luka. Kadangkala, dia melihat seorang budak lelaki kecil duduk bersama ibunya di sudut restoran, menikmati sepinggan onigiri. Senyuman sang ibu ketika menyapu sisa nasi di pipi anaknya membuatkan hati Hoshi tersentuh. Momen-momen seperti itu, meskipun kecil, serba sedikit mengubati rindunya pada Aoi.
Namun, setiap kali perasaan rindu itu menguasainya, tekad Hoshi untuk mengembalikan Aoi hanya semakin menguat. Pandangannya sering melayang ke arah jam dinding restoran yang berdetak perlahan, seolah-olah mengingatkannya bahawa masa terus berlalu, tetapi dia masih terperangkap dalam teka-teki puisi misteri itu.
Dia telah membaca bait-bait puisi itu berkali-kali, mencatat setiap barisnya di helaian kertas lusuh yang kini tersimpan di poket apron kerjanya. Tiada satu pun petunjuk baru muncul. Tetapi Hoshi enggan menyerah. Dia tahu, di suatu tempat, jawapannya menanti—mungkin di celah bintang yang dia tatap setiap malam, atau mungkin dalam sesuatu yang dia abaikan selama ini.
Selepas hampir empat jam bekerja tanpa henti, akhirnya tiba masa untuk berehat. Hoshi menanggalkan apron yang sudah melekat dengan bau sup miso dan minyak panas, lalu menggantungnya pada penyangkut kayu di tepi dapur. Jemarinya menyentuh kertas lusuh di poket apron itu—puisi yang masih menyimpan rahsia—dan dengan pantas dia memindahkannya ke dalam poket seluarnya. Tidak pernah dia tinggalkan kertas itu jauh dari dirinya, seolah-olah takut jika ia hilang, bersama harapannya.
Tanpa banyak bicara, Hoshi melangkah keluar melalui pintu belakang restoran, menyedut udara luar yang dingin dengan lega. Angin petang menyapa wajahnya, membawa aroma jalanan—campuran bau daun basah, asap kereta, dan sedikit samar bau roti bakar dari kedai berdekatan. Dia menyusun langkah perlahan, menuju ke sebuah kedai runcit kecil yang terletak di hujung blok kedai.
Sebenarnya, Eda selalu menyediakan makanan untuk para pekerja, menu yang tidak pernah berubah—kari, sup, atau nasi goreng sederhana. Namun, setelah enam bulan, Hoshi merasa tekaknya sudah menjerit memohon variasi. Mungkin ini hanyalah alasan kecil untuk dia keluar sebentar, menikmati waktu sendirian jauh dari hiruk-pikuk restoran. Lagipun, mencari onigiri di kedai-kedai runcit berbeza di sekitar bandar telah menjadi ritualnya, sesuatu yang memberi sedikit kelainan dalam rutin harian yang semakin terasa kosong.
Hari itu, langkah Hoshi membawanya ke sebuah kedai runcit kecil di hujung lorong, tempat yang baru sahaja dia kunjungi buat kali pertama minggu lepas. Walaupun kecil, kedai itu terasa hangat dan selesa, dengan pencahayaan kuning lembut yang menyinari rak-rak kayu. Loceng kecil di atas pintu berdenting halus sewaktu dia melangkah masuk, dan seorang pekerja di kaunter mengangguk kecil sambil menyambutnya dengan senyuman separuh ikhlas.
Tanpa membuang masa, Hoshi terus ke seksyen makanan siap, matanya segera menangkap barisan onigiri yang tertata rapi dalam pembungkus plastik. Tuna mayo, salmon panggang, umeboshi—pelbagai pilihan tersedia, tetapi dia memilih dengan perlahan, membiarkan dirinya menikmati detik itu. Akhirnya, dia mengambil dua bungkus onigiri tuna, memasukkan satu lagi dengan rasa ingin mencuba. Sambil memegang pilihan makanannya, dia tidak dapat menahan senyum kecil. Mungkin kerana rutin sederhana ini memberikan sedikit ketenangan yang sukar dijelaskan—seolah-olah sekeping onigiri boleh menjadi pengubat kepada kekosongan yang dia rasa.
Dengan langkah ringan, dia menuju ke kaunter pembayaran. Di luar, matahari mulai condong, menciptakan bayang-bayang panjang di jalan. Dalam hati, Hoshi terfikir: walaupun hari ini sama seperti hari-hari lain, sekurang-kurangnya ada momen kecil seperti ini yang mengingatkan dia untuk terus bergerak ke depan, satu langkah pada satu masa.
Setiap barang yang diambil oleh Hoshi diimbas oleh pekerja kaunter, menghasilkan bunyi beep yang monoton. Hoshi berdiri diam, tangan menyeluk poket seluar, tetapi fikirannya melayang. Matanya terarah keluar, menembusi cermin kedai runcit yang memantulkan warna senja yang semakin redup.
Di kejauhan, sosok tubuh seorang wanita menarik perhatiannya. Dia berdiri di hujung jalan, mengenakan pakaian serba putih yang bersih seperti kabut pagi, dengan topi jerami besar yang dihias pita ungu rabon melilit di sekelilingnya. Rambutnya panjang, berwarna perang lembut seperti mutiara yang memantulkan cahaya matahari senja, melambai-lambai ditiup angin. Skirt wanita itu beralun perlahan, seakan menari bersama bayu petang.
Hoshi memiringkan kepalanya sedikit, memerhati lebih teliti. Wanita itu tidak kelihatan seperti penduduk setempat. Dia membawa aura yang aneh—bukan sekadar kerana pakaian putihnya yang kontras dengan suasana bandar, tetapi cara dia bergerak. Langkahnya perlahan, tetapi setiap pergerakan kelihatan seperti meluncur dengan tenang, seolah-olah dia tidak terganggu oleh dunia di sekitarnya.
"Dia nak pergi mana tu…" Hoshi berbisik kepada dirinya sendiri, keningnya berkerut kecil.
Kemudian, dia melihatnya—wanita itu sedang berjalan menuju ke kawasan larangan, yang ditandai dengan papan tanda besar bertulisan merah 'Jangan Masuk'. Kawasan itu adalah hutan kecil yang sudah lama terbiar, sering disebut oleh penduduk setempat sebagai tempat yang tidak elok untuk dilalui. Bahkan di siang hari, lorong itu menyeramkan.
Hoshi merasa sesuatu yang tidak kena. Wanita itu tidak menunjukkan sebarang tanda ragu atau takut, malah dia terus melangkah dengan yakin ke arah lorong tersebut.
"Kenapa dia pergi ke sana?" fikir Hoshi, perasaan risau mula merayap ke dadanya.
Tanpa berfikir panjang, Hoshi menyeluk dompet dari poketnya dan cepat-cepat membayar barang-barangnya. Tangannya hampir tersalah masukkan duit ke dalam dulang kerana tergesa-gesa. Dia mengucapkan "terima kasih" ringkas kepada pekerja kaunter dan terus bergegas keluar dari kedai runcit, onigiri masih tergenggam di dalam beg plastik di tangannya.
Keluar dari kedai, dia menoleh ke kiri dan kanan, mencari wanita itu. Sekilas, dia nampak pita ungu di topi jerami itu melambai-lambai di kejauhan, tepat di hujung kawasan larangan itu. Wanita itu sudah hampir hilang dari pandangan.
"Hey! Tunggu!" Hoshi menjerit, tetapi tiada reaksi.
Dia mula berlari, langkahnya bergema di atas jalan tar. Angin petang yang lembut terasa semakin dingin ketika dia menghampiri lorong tersebut. Langkahnya berhenti seketika di hadapan papan tanda besar bertulisan merah itu. Tulisan 'Jangan Masuk' kini terasa seperti amaran yang benar-benar hidup.
Namun, wanita itu sudah hilang ke dalam semak samar.
Hoshi menelan air liur, hatinya berdebar-debar. Sempat dia bertanya pada dirinya "Apakah patut aku masuk ke dalam?" Tanpa berfikir panjang, Hoshi melangkah masuk ke kawasan larangan itu, langkahnya perlahan tetapi penuh dengan tekad.
★
"Cik? Cik! Tempat ni bahaya!" Hoshi berseru, suaranya lantang tetapi bergetar sedikit. Dia kini berdiri betul-betul di belakang wanita itu, namun wanita tersebut langsung tidak mengendahkannya, seolah-olah dia tidak wujud.
Hoshi menggaru-garu kepalanya, matanya melirik ke langit. Matahari semakin condong ke ufuk, bayangnya memanjang di tanah. Dia sudah lewat 20 minit untuk kerja, tetapi perasaan berat di dadanya membuatnya enggan beredar.
"Apa aku nak buat ni…" gumamnya, seraya menggenggam penumbuk, tekad untuk bertindak.
Dengan langkah pantas, Hoshi berlari memintas dan berdiri tepat di hadapan wanita itu, menghalang laluannya. Nafasnya termengah-mengah, kemejanya sudah basah dek peluh.
"Cik kena ikut saya sekarang! Tempat ni bahaya!" katanya bersungguh-sungguh, kedua tangannya diangkat seakan cuba melindungi wanita itu daripada bahaya yang dia sendiri tidak pasti apa.
Namun wanita tersebut hanya memandangnya dengan pandangan dingin. Akhirnya, dia bersuara. "Pergi dari sini."
Kata-kata itu membuatkan Hoshi tersentak. Bingung. Letih mengekori wanita itu, gigih ingin menyelamatkannya, hanya untuk dihalau tanpa belas kasihan. Usahanya terasa sia-sia.
"Tapi cik—"
"Baik kau pergi sebelum aku bunuh kau," ujar wanita itu, nadanya tajam dan dingin.
Hoshi terpinga-pinga. "Eh?"
Wanita itu mengangkat tangannya, jari-jarinya membentuk pistol. Hoshi terkebil-kebil, tidak pasti sama ada dia sedang dipermainkan.
"Hahaha… awak ni kelakar lah," katanya, cuba ketawa walaupun canggung.
Tetapi ketawanya terhenti apabila cahaya putih muncul di hujung jari wanita itu. Sebelum sempat Hoshi memahami apa yang sedang berlaku, satu tembakan dilepaskan. Cahaya itu meluncur deras ke arahnya—tetapi tersasar, menghentam pokok besar di sebelahnya.
Pokok itu tidak hanya terluka; ia terus tumbang, akar-akarnya mencabut keluar dari tanah, dan batangnya rebah dengan bunyi berderak yang memekakkan telinga. Hoshi tergamam, tubuhnya terasa kaku. Jantungnya berlumba-lumba, darahnya berdesup naik ke kepala.
"Eh, sabar dulu, cik! Saya cuma nak A—"
Tembakan kedua menyusul sebelum dia sempat menghabiskan ayatnya. Kali ini, Hoshi melompat ke sisi, mengelak dengan sepantas mungkin.
Wanita itu terus menembak tanpa ragu, setiap cahaya yang ditembakkan berdesing di udara. Hoshi bergelut untuk mengelak, tubuhnya berpeluh dingin. Nafasnya semakin sempit, dan dia tahu dia tidak boleh terus bertahan begini.
Dia perlu lakukan sesuatu—dan dia perlu lakukannya sekarang.
Dengan tekad yang tiba-tiba menyala, Hoshi berlari ke arah wanita itu. Sebelum wanita tersebut sempat mengacukan jarinya lagi, Hoshi membongkok dan memeluk erat kaki kirinya.
"Nama saya Hoshi! Hoshi Takizawa! Apa kata kita berkenalan dulu?" katanya dengan nada yang separuh panik, separuh jenaka, cuba meredakan situasi.
Wanita itu terhenti, diam untuk beberapa saat. Hoshi masih memeluk kakinya erat, walaupun tubuhnya sudah menggigil ketakutan.
"Hoshi Takizawa…" wanita itu akhirnya bersuara, nadanya berubah—bukan lagi dingin, tetapi penuh dengan sesuatu yang menyeramkan. Dia menundukkan wajah, matanya menusuk tajam ke arah Hoshi, membuatkan bulu romanya berdiri.
"Tak mungkin."
Hoshi menghembuskan nafas lega apabila wanita itu akhirnya berhenti. Namun, pelukan pada kakinya masih belum dilepaskan. Ada sesuatu yang dia perlu tahu.
"Macam mana kau boleh ada kuasa tu?" tanyanya, dengan nada yang mendesak.
"Tak tahu," jawab wanita itu ringkas, tanpa sebarang emosi.
"Hey! Jawab soalan aku!" sergah Hoshi, keningnya berkerut, tidak puas hati dengan jawapan acuh tak acuh itu.
Wanita itu memejamkan mata. Wajahnya, yang sejak tadi sudah suram, kini jelas memancarkan keletihan yang sarat dalam dirinya. "Kau pergilah dari sini. Aku tak rasa nak bunuh orang hari ini." Suaranya dingin, namun di sudut hatinya, dia tahu dia tidak akan mencederakan Hoshi. Nama itu… nama Hoshi sudah lama dia dengar.
Hoshi, bagaimanapun, masih berdegil. Pelukannya semakin erat, seperti anak kecil yang enggan melepaskan sesuatu yang berharga. "Aku takkan lepaskan sampai kau jawab soalan aku." Dia tersenyum kecil, bangga dengan strateginya sendiri. Dia yakin, ini caranya untuk memastikan wanita itu tidak melarikan diri.
Wanita tersebut mendengus dan menarik nafas panjang, jelas kecewa dengan situasi itu. Tanpa sepatah kata lagi, dia mula mengheret Hoshi bersama kakinya. Tubuh Hoshi terseret di atas tanah, tetapi bukannya melonggarkan pelukan, dia malah semakin menguatkannya.
Selepas hampir lima minit berjalan dengan berat, wanita itu akhirnya berhenti. Dia tidak sanggup lagi untuk meneruskan perjalanan. "Baiklah, baiklah. Aku akan jawab soalan kau. Tapi hanya tiga soalan," katanya dengan nada lesu, seolah-olah menyerah.
Mata Hoshi bersinar penuh keterujaan. Usahanya akhirnya membuahkan hasil.
"Siapa nama kau?" tanya Hoshi dengan pantas.
"Sora Maikano."
"Kenapa kau masuk ke tempat ni?"
"Rumah aku dekat sini."
"Macam mana kau boleh ada kuasa tu?"
Sora terdiam seketika, pandangannya melayang ke tanah. "Aku…" dia menarik nafas panjang sebelum menyambung, "keluarga aku memantau orang yang ada kuasa bintang."
"Kuasa bintang?" Mata Hoshi membulat.
"Tiga soalan. Tamat." Sora memotong cepat. "Sekarang, lepaskan aku."
Hoshi tidak punya pilihan lain selain melepaskannya. Dia harus menepati janji. Wanita bernama Sora itu membetulkan kasutnya yang hampir tertanggal akibat aksi Hoshi tadi, sebelum dia mula melangkah pergi.
Hoshi hanya berdiri di situ, membiarkan dirinya ditinggalkan dengan penuh tanda tanya. Kuasa magis Sora, reaksi wanita itu ketika mendengar namanya, dan sebutan tentang kuasa bintang—semuanya seperti petunjuk, menyuluh kepada teka-teki yang selama ini dianggap mustahil untuk dirungkaikan.
Saat Sora semakin menjauh, Hoshi menundukkan badannya, seperti seseorang yang merayu. "Tolonglah… beritahu saya tentang kuasa bintang itu!" serunya, nada suaranya penuh dengan keinginan.
Namun, Sora tidak menoleh walau sedikit pun. Dia terus melangkah, langkahnya teguh tetapi perlahan.
Namun, ketika Sora sedar Hoshi masih tidak bergerak dari tempatnya, keraguan mula menyusup ke dalam hatinya. Walaupun dia cuba berlagak dingin, dia tahu, berada di kawasan seperti ini bukanlah tempat untuk manusia biasa seperti Hoshi.
Sora menghentikan langkahnya. Tangannya dikepalkan erat, seolah-olah cuba membuat keputusan yang berat. Akhirnya, dia menarik nafas panjang dan berkata, "Dalam dunia ni… ada 12 ikatan zodiak."
Kata-kata itu membuatkan kepala Hoshi terangkat serta-merta. Matanya bersinar dengan penuh minat.
"Setiap satu daripada mereka menjaga keseimbangan bumi. Jika keseimbangan itu hilang, kita semua akan hancur. Jadi, kami yang bertanggungjawab untuk memantau mereka, memastikan tiada apa-apa yang buruk terjadi."
Hoshi ternganga. Dia tidak menyangka kewujudan kuasa seperti itu di dunia ini. "Bolehkah aku… bekerja dengan kau?"
Sora tersenyum sinis, memandang Hoshi dari atas ke bawah. "Kau nampak kuasa aku tadi, kan? Kau fikir kerja macam ni sesuai untuk manusia biasa?"
"Aku tak kisah!" Hoshi berkata dengan penuh semangat, matanya berkobar-kobar. "Ada sesuatu tentang aku yang ada kaitan dengan kau. Jadi aku perlukan kerja itu."
Sora hanya tersenyum tipis. "Kalau kau begitu yakin, mari aku bagitahu syaratnya."
Hoshi menanti dengan penuh debaran.
"Sesiapa yang mengenali kau sekarang… akan lupa tentang kau," ujar Sora perlahan tetapi tegas.
Hoshi tersentak. Kata-kata itu bagaikan pisau yang menusuk ke jiwanya. Fikirannya terus melayang kepada Eda, satu-satunya keluarga yang masih ada di sisinya. Dia tidak sanggup kehilangan ayahnya setelah kehilangan Aoi. Tetapi, jauh di sudut hatinya, dia tahu menerima tawaran ini adalah kunci untuk memahami segala misteri yang menyelubungi hidupnya.
Melihat Hoshi terdiam dan tergamam, Sora mengangkat bahu, kemudian mula melangkah lagi. "Aku beri kau masa dua hari. Jika kau setuju, datang balik ke sini. Aku akan tunggu. Kalau tidak, jangan ganggu aku lagi."
Dalam sekelip mata, Sora hilang dari pandangan, meninggalkan Hoshi sendirian. Langit kini mula dilitupi cahaya senja, melukis warna emas dan jingga di cakrawala.
Hoshi memandang ke arah tempat Sora menghilang, kepalanya dipenuhi dengan persoalan. Dia tahu dia harus segera pulang, tetapi fikirannya terus berkisar pada pilihan yang baru sahaja dilemparkan kepadanya.
"Tak sangka semuanya jadi begini…" Hoshi menghela nafas panjang, kakinya melangkah perlahan-lahan ke arah kedai.
-Bab 1 : tamat-