Setelah beberapa minit, Airish memutuskan untuk memasuki salah satu tandas umum wanita yang ada di lapangan terbang itu bagi mengganti bagasi. Dia mengambil pakaian dan barang-barang miliknya lalu mengalihkannya ke bagasi baharu berwarna ungu yang dibelikan oleh mat salleh sebelum ini. Airish melihat bagasi berwarna pink miliknya yang telah mengalami kerosakan pada bahagian zip.
"Hmm..Maafkan aku pinky kerana tidak dapat menjagamu dengan baik. Jasamu akan tetap ku kenang.." Gumam Airish sendirian sambil menyentuh bagasi yang rosak zip itu.
Sepanjang dia di Jepun, Airish telah lama menggunakan bagasi kegemarannya bagi urusan memindahkan atau membawa barang. Kini, bagasi tersebut sudah tidak mampu dipakai lagi. Namun, Airish harus pasrah dengan apa yang sudah terjadi.
***
Selepas insiden memalukan itu dan menggantikan bagasi baharu, Airish memutuskan untuk mencari abang sulungnya, si Amir. Dia menggapai telefon pintar miliknya dari dalam beg sandang yang dibawanya sedari tadi lalu menelefon nombor telefon bimbit milik abangnya.
* Drrr...*
* Tut *
"Hello, abang kat mana?"
Airish terus menanyakan lokasi abangnya dengan pantas.
"Eh, hello adik, amboi salam takde terus tanya kat mana ek?" Amir menyindir secara halus kepada Airish di sebelah talian sana.
Airish membeliakkan mata sambil memegang telefon pintar miliknya sebelum membalas dalam nada yang geram. "Assalamualaikum abang kesayangan yang paling hensem dalam keluargaku."
Amir hanya mampu tersengih-sengih bagai kerang busuk apabila mendengarkan balasan daripada adiknya. "Waalaikumussalam, kejap adik Airi, abang hensem ini dah ada kat depan mata."
'Huh?'
Mata Airish terkebil-kebil sambil melihat abang sulungnya memang benar berada tepat di hadapan mata. Dia memerhati Amir melangkah secara bersahaja ke arahnya sambil memegang telefon pintar.
* Tut! *
Panggilan telefon juga telah diletakkan oleh abangnya.
'Sejak bila abang aku ada dekat sini? Tak perasan pun!'
Muhammad Amir Darwisy, dia merupakan abang Airish yang berusia 29 tahun. Dia merupakan abang paling sulung dan tua di antara adik-beradiknya yang lain. Amir seorang abang yang sporting dan tersangat lucu pada pandangan mata Airish. Namun Airish sering dikenakan oleh abangnya dek kerana keluguan yang dimiliki olehnya.
"Abang dah lama sampai dari tadi."
"Hello~?"
"Amboi, tak berkedip mata tengok abang hensem ni ek, Airi?" Amir menyakat adiknya yang sedang termenung sambil tersengih-sengih menampakkan giginya yang berwarna putih.
"Eleh, perasan lah abang ni!" Kata Airish selepas lamunannya terhenti sambil menjeling tajam ke arah Amir yang menghampirinya.
Amir kelihatan memakai T-shirt berwarna merah dan berseluar jeans berwarna biru. Amir boleh dikatakan mempunyai rupa yang kacak kerana dikatakan wajahnya mengikut muka ayah mereka, yang digilai oleh ramai wanita sejak dari dulu. Namun, ibu mereka sangat beruntung menjumpai cinta sejati seperti ayahnya yang hanya setia pada ibu mereka seorang.
"Eh kenapa? Ada apa-apa kat muka abang ni ke?" Berkerut dahi Amir sambil bertanya dan menyentuh wajahnya sendiri.
Airish hanya menggeleng-gelengkan wajahnya.
Sehingga kini, abangnya yang nakal ini belum menikah juga padahal usianya sudah mahu memasuki usia 30-an. Entah wanita apa yang dicari oleh abangnya itu.
'Dengan perangai abang aku camni, aku tak boleh nak kata apa-apa. Harap-harap la bakal kakak ipar aku boleh terima perangai abang aku yang entah pape ini seadanya. Hahaha.'
"Semoga cepat jumpa jodoh." Ujar Airish sambil menepuk bahu Amir.
Amir hanya berkerut melihat adiknya yang tiba-tiba berkata soal jodoh. Dia melihat ke arah Airish dan membalas dengan pantas. "Dah kenapa kau ni adik? Tenung aku semacam, tiber keluar perkataan jodoh. Jodoh kan rahsia Allah. Cepat atau lambat, nanti jodoh abang datang la tu."
"Hahaha...Yelah abangku yang hensem."
Airish hanya mampu ketawa dan tersengih melihat tingkah abangnya.
'Memang aku takkan menang lawan abang aku.'
Amir hanya merenung adiknya yang ketawa ceria kini sudah tumbuh membesar sebagai wanita cantik. Dahulu adiknya merupakan budak kecil yang tersangatlah comel yang sering mengikutinya ke mana-mana. Tanpa sedar masa telah berlalu dengan pantas. Airish sudah tumbuh menjadi wanita dewasa.
Airish kini sedang mengenakan sepasang blouse berwarna ungu gelap berserta tudung shawl litup berwarna ungu lembut. Beg sandang bertali warna keemasan turut berada di sampingnya. Kelihatan adiknya manis bertudung sambil ketawa. Entah apa diketawakan oleh adiknya, namun Amir hanya mampu tersenyum. Dia hanya berharap adiknya selalu dalam bahagia dengan kehidupannya sendiri. Apa yang membuat adiknya bahagia, membuatkan Amir turut sama bahagia.
Amir mencubit pipi mulus Airish dengan jarinya.
"Auch! Sakitlah abang Amir!" Airish menjeling terhadap Amir sambil menyapu pipinya dengan tangan.
"Dah kau gelak tak ingat dunia. Janganlah comel sangat nanti aku jual kau dekat makcik cleaner kat sana nak tak?" Usik Amir sambil menunjukkan jari kepada seorang mak cik yang sedang membersihkan lantai dengan penyapu.
"Ish, tak baik cakap camtu lah abang Amir. Mana ada aku comel!" Airish memalingkan mukanya ke sebelah kanan.
"Ha, tengok. Kau buat lagi, ni aku nak jual kau ni. Hahaha!"
Amir hanya ketawa berdekah-dekah sambil memegang perutnya. Gelagatnya yang sebegitu menyebabkan orang-orang di sekeliling mula memandang ke arah mereka termasuk mak cik cleaner itu.
"Maafkan kami—Maaf!"
Airish hanya mampu meminta maaf kepada orang sekeliling atas kelakuan abangnya itu. Orang-orang hanya mampu menggeleng kepala tatkala melihat seorang lelaki yang berwajah tampan sedang bergelak ketawa dengan nada yang kuat sambil memegang perutnya. Mak cik cleaner pula hanya mampu tersengih-sengih sambil memandang ke arah Airish.
'Aduh...Haa, apa nak jadi dengan abang aku ni...Perangai tak sama macam muka...'
Airish hanya mampu menghela nafas panjang sebelum mengheret tangan abangnya yang masih lagi ketawa, jauh daripada khalayak orang ramai.