Chereads / Plan : Sekolah Elit Auster / Chapter 1 - Monolog

Plan : Sekolah Elit Auster

🇲🇾ziqru
  • --
    chs / week
  • --
    NOT RATINGS
  • 4.4k
    Views
Synopsis

Chapter 1 - Monolog

Suatu hari, sebelum aku masuk ke sekolah ini, ketika waktu petang yang redup suasananya, ketika damai dan indah cuacanya, ketika aku sedang berjalan-jalan di sebuah taman untuk melihat dunia dan menghirup udara luar, ketika aku sedang tersenyum menikmati kebebasan dunia, ketika aku sedang berada di dunia lain membayangkan kenikmatan yang mungkin terhingga, ketika aku sedang sibuk memikirkan tentang perkara yang bakal aku lakukan dan rasa, aku ternampak seekor kucing berwarna putih bersih sedang berehat di atas rumput yang terbentang luas dengan tenangnya sambil melihat manusia-manusia yang sentiasa ingin mengelilinginya.

Jarang aku lihat seekor kucing berkelah bersama tuannya di luar dan berjaya menuruti kata tuannya untuk duduk di satu tempat dan tidak pergi ke mana-mana. Jarang sekali aku dapat lihat kucing yang kelihatan setenang itu dan indah rupanya seperti ia. Mungkin kejarangan aku melihat semua ini ialah kesan daripada kejahilan aku terhadap dunia. Disebabkan itulah, aku perlu melihat dunia dan belajar semua perkara daripadanya sepuas-puasnya.

Impian aku adalah untuk jadi seperti kucing itu. Berehat di bawah suasana yang damai dengan hati yang gembira sambil menikmati keindahan dunia. Impian itu sangatlah mudah untuk dikecapi oleh sesiapa pun tidak kira latar belakangnya. Namun, jika kita seperti seekor kucing yang jarang keluar bersama tuannya untuk berkelah di bawah cahaya redup matahari sambil menikmati ketenangan yang tidak terhingga, adakah mudah untuk kita berada di tempat kucing itu?

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang hari kemudian. Sebuah peribahasa orang Melayu yang sudah tidak larat aku ulang di dalam kepala. Seorang lelaki pernah berkata bahawa kadangkala kita perlu jatuh untuk mengetahui sesuatu, jatuh untuk berkembang, kalah supaya dapat memperolehi sesuatu kerana pengajaran terbaik dalam kehidupan dapat diambil daripada kesakitan. Kata-kata itu menjelaskan sedikit sebanyak tentang dua frasa akhir peribahasa itu.

Aku tidak bersetuju dengan dua frasa awal peribahasa itu. Mengapa kita perlu pergi ke hulu dan mengapa kita perlu pergi ke tepian? Apakah manfaat yang dapat diperolehi kalau kita penat-penat berakit dan berenang jika pada akhirnya kita pulang ke garisan permulaan? Bukankah lebih baik jika kita menghabiskan perkara yang sudah kita mulakan? Walaupun mungkin dua frasa awal itu hanyalah sebagai hiasan untuk menaungi dua frasa akhir peribahasa tersebut, aku kesal dengan pencipta peribahasa itu kerana telah memberikan peringatan yang salah kepada generasi selepasnya.

Berakit-rakit sampai ke penghujung dahulu, berenang-renang ialah matlamat kemudian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang hari kemudian. Sebuah peribahasa yang baru sahaja aku cipta. Sudah semestinya peribahasa ini bunyinya tidak sesedap yang asal tetapi setidaknya, ada peringatan betul yang dapat diambil.

Peribahasa itu tamat berlegar-legar di dalam kepala sebaik sahaja aku masuk ke sekolah ini. Situasi ini dengan jayanya membuktikan kesahihan peribahasa itu. Sejujurnya, cabaran dan masalah itu sentiasa ada namun tidak ada apa-apa yang dapat aku rasa. Situasi ini secara tidak sedarnya telah menunjukkan kebenaran kata-kata lelaki itu.

Disebabkan tiga frasa awal peribahasa itu sudah aku lalui dengan tidak tenangnya. Sekarang, izinkan aku untuk bersenang-lenang. Disebabkan kata-kata lelaki itu sudah dapat aku ucapkan kepada generasi seterusnya supaya dapat dijadikan sebagai peringatan. Sekarang, sudah tiba masanya untuk aku merehatkan minda dan fizikal agar aku memperolehi ketenangan hidup yang sebenar di atas kaki aku sendiri.