Chereads / Plan : Sekolah Elit Auster / Chapter 2 - Bab 1

Chapter 2 - Bab 1

Sekolah Elit Auster. Sebuah sekolah yang dibina oleh pihak kerajaan Malaysia bagi pelajar-pelajar tingkatan satu hingga lima untuk menerima pendidikan paling berkualiti demi membawa nama negara ke peringkat tertinggi di masa hadapan. Sekolah ini mempunyai fasiliti dan kemudahan yang terbaik dan tercanggih di antara semua sekolah serta mempunyai sistem pelaksanaan yang unik dan lain daripada mana-mana sekolah di Malaysia.

Sejak pembukaannya kepada semua pelajar paling cemerlang di Malaysia, sekolah ini telah banyak mengukir nama di peringkat kebangsaan dan mengharumkan nama di peringkat antarabangsa walaupun baru sahaja tujuh tahun sejak namanya tercipta. Pada tahun lepas, Sekolah Elit Auster telah mencatat sejarah apabila menjadi sekolah menengah pertama di Malaysia yang mana kesemua pelajarnya mendapat semua 'A' dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sekolah ini sudah semestinya menjadi impian semua pelajar tahun 6 di sekolah rendah dan semua pelajar tingkatan tiga di sekolah menengah yang lain kerana kecemerlangannya yang luar biasa. Apabila menjejakkan kaki di sini, rasa bangga akan mengalir dalam setiap salur darah dalam diri setiap pelajar dan terutamanya ibu bapa yang berjaya membesarkan mereka dengan jayanya. Azam dan semangat baharu akan tersemat di dalam jiwa lalu terbukalah sebuah buku yang kosong bagi mereka untuk menukil di halaman putih.

Aku termenung ke luar tingkap sambil menongkat dagu. Semakin lama aku buat begini, semakin lenguh leher yang teralih ini dan semakin lenguh tangan yang menahan dagu ini. Posisi ini sangat terasa nikmatnya di hari yang indah cuacanya ini. Aku teringin menghirup udara segar di luar sekarang ini. Bukannya udara penghawa dingin ini teruk tetapi di luar sana pasti lebih baik. Bila agak-agaknya waktu persekolahan akan tamat? Aku melihat jam dinding yang tergantung kemas di hadapan kelas. Aku mengeluh panjang. Menyesal rasanya apabila melihat jam itu. Kalau ikutkan jam itu, aku baru sahaja duduk di atas kerusi selama sepuluh minit pada hari ini. Kelas pertama pun belum bermula lagi sebenarnya. Adakah jam itu rosak?

Langit pada hari ini kelihatan lebih cerah daripada pagi-pagi sebelum ini. Namun, langit itu masih sunyi tanpa penghuni. Sang kepala sahaja yang ada ketika ini bagi menerangi bumi dan mengejutkan makhluk-makhluk yang masih sedap tidur lena.

Apabila semua pelajar terdiam sebaik sahaja pintu kelas terbuka, itu menandakan bahawa kelas akan bermula. Seorang guru perempuan berwajah seperti bos yang baru sahaja memarahi anak buahnya memasuki kelas ini dengan gaya lenggok seseorang yang sudah bersedia untuk memulakan harinya. Bunyi kasut tumit tingginya memecahkan kesunyian kelas yang datang secara tidak sengaja apabila jam sudah menunjukkan pukul 7.30 pagi. Selepas memberikan salam hormat, para pelajarnya duduk di atas kerusi tanpa wajah mereka menoleh ke mana-mana selain susuk tubuh guru itu. Masing-masing membetulkan posisi duduk mereka supaya tidak ditenung oleh guru bengis itu kerana berjaya menarik perhatiannya.

"Selamat pagi semua. Perkara pertama yang bakal kamu lakukan pada hari ini ialah mendengar penerangan saya mengenai sebuah program yang diadakan oleh pelajar kehormat dan Kesatuan Pelajar Elit Auster (KPEA) pada tahun ini." Guru itu lantas memaparkan sebuah informasi grafik berkenaan program itu di skrin televisyen.

Seperti biasa, guru yang dipanggil oleh anak-anak muridnya sebagai cikgu Zalina ini akan terus kepada perkara yang terletak di dalam fikirannya tanpa beramah mesra menanyakan khabar pelajar-pelajarnya pada hari ini. Namun, kalau ditanya sekali pun. Jarang sekali akan ada pelajar yang angkat tangan lalu mengatakan bahawa dia tidak sihat.

"Program ini dilaksanakan khas buat para pelajar tingkatan lima sahaja. Tujuan utamanya adalah untuk meningkatkan prestasi akademik para pelajar terutamanya pelajar-pelajar tingkatan lima yang akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini."

Apa pula sekarang? Adakah pihak sekolah, pelajar kehormat dan ahli-ahli KPEA berniat untuk mencatatkan sejarah dengan menjadi sekolah menengah pertama di Malaysia yang mendapat semua 'A+' bagi setiap mata pelajaran dalam peperiksaan SPM pula?

"Tujuannya yang lain pula adalah untuk membantu para pelajar menambah baik lagi diri dalam sesetengah aspek seperti disiplin, sahsiah dan kokurikulum. Program ini dinamakan sebagai 'Progam Mentor Mentee' yang akan dilaksanakan secara berpasangan di mana kedua-dua orang yang telah dipasangkan bersama akan saling membantu dalam setiap perkara terutamanya aspek akademik."

Kelas tiba-tiba menjadi kecoh. Kedengaran suara pelajar semakin lama semakin kuat jadinya membincangkan sedikit tentang perkara yang baru sahaja mereka dengar. Namun, perkara yang menjadi topik buah mulut mereka bukanlah program ini secara umumnya sebenarnya tetapi lebih kepada perkara yang lebih mendalam.

"Cikgu." Seorang pelajar lelaki pantas mengangkat tangan sambil berharap cikgu Zalina akan membenarkan dia untuk bertanya.

"Ya. Silakan."

"Bukankah ini sedikit bertentangan dengan sistem sekolah kita yang berteraskan konsep individualiti?"

"Soalan itu tidak sepatutnya diajukan kepada saya mahupun guru-guru yang lain. Ahli-ahli KPEA dan pelajar kehormat yang bertanggungjawab dalam hal ini."

Memang benar program itu bertentangan sedikit dengan prinsip individualiti sekolah ini. Sekolah ini mengamalkan sistem meritokrasi di mana pelajar yang mempunyai markah peribadi yang tertinggi dan dalam masa yang sama berada di kedudukan yang teratas dalam ranking individu sekolah ini, dalam erti kata lain pelajar terhebat di sekolah ini mempunyai kuasa penuh untuk mengawal sistem sekolah ini.

Para pelajar perlu bersaing sesama sendiri demi mencapai kedudukan yang tinggi dan merebut takhta supaya menjadi orang yang paling berkuasa. Mempunyai kedudukan yang tinggi bukan sahaja kedudukan yang tinggi semata-mata. Semakin tinggi seseorang itu dalam ranking individu, semakin banyaklah kelebihan yang bakal dia dapat.

Ringkasnya, di sekolah ini, pelajar yang berada di puncak rantai makanan akan hidup di sekolah ini dengan senang lenang manakala pelajar yang sering dijadikan sebagai makanan pula akan menjadi sebaliknya. Penindasan terhadap orang yang lemah sudah semestinya akan berlaku dek orang di atas berasa bangga dengan kedudukan tingginya. Perasaan, emosi, tindakan dan cara berfikir para pelajar sekolah ini yang sebegitu secara tidak langsung melahirkan sebuah suasana dan atmosfera yang tegang. Persaingan demi mendapatkan kemahuan boleh sehingga menumpahkan darah. Siapa yang masih kekal hidup, dialah yang akan menjadi pemenang.

"Izzat. Apa jawapan kau?" Pelajar lelaki itu menujukan pertanyaan kepada seorang lelaki yang enak dilihat rupanya dan senang diajak untuk berbicara. Dia merupakan salah seorang ahli KPEA. Semua orang di dalam kelas mengalihkan pandangan mereka kepadanya. Cikgu Zalina hanya diam dan seperti tidak tertarik untuk mendengar jawapan Izzat.

"Aku akan jelaskan semua ni kat korang nanti. Sekarang, kau duduk dulu. Kita dengar apa yang cikgu belum habis sampaikan." Izzat menjawab dengan suara yang sedap didengar dan tidak menyakitkan hati sesiapa. Lelaki itu akur dan tidak berniat untuk menambah apa-apa lagi.

"Pada pandangan saya, ini hanyalah sebuah program yang dilaksanakan untuk membantu meningkatkan prestasi para pelajar. Hanya membantu. Jadi, ia tidak mengganggu secara langsung sistem yang digunakan di sekolah ini. Tiada perkara yang adil mahupun tidak. Walau apa pun tindakan yang dilakukan, hasilnya bergantung kepada diri sendiri." Sambung cikgu Zalina mengemukakan pandangannya sebagai seorang guru di sekolah ini.

"Saya akan sambung bercakap kembali mengenai program ini." Semua orang di dalam kelas kembali menumpukan perhatian.

"Pasangan dalam program ini secara umumnya dipilih berdasarkan ranking individu sambil aspek akademik menjadi perkara utama dalam pemilihan dan penentuan pasangan. Disebabkan pasangan ini akan saling membantu dalam banyak perkara, keserasian perlu wujud antara pasangan demi menjayakan program ini. Keserasian ini penting supaya masalah seperti mahu menukar pasangan dan pergaduhan sesama sendiri dapat dielakkan. Disebabkan itu, pelajar kehormat dan ahli-ahli KPEA telah meminta para pelajar tingkatan lima untuk menjawab ujian personaliti beberapa minggu yang lalu demi menentukan jenis personaliti masing-masing berdasarkan Myers-Briggs Type Indicator (MBTI)."

Oh… Sebab program inilah kami perlu menjawab ujian personaliti itu dua minggu lepas. Jenis personaliti aku ialah INFP yang bermaksud Introverted, Intuitive, Feeling dan Perceiving.

Jenis personaliti ada 16. Huruf pertama akan ditentukan oleh bagaimana kita itu berhubung dengan dunia luar sama ada secara introvert mahupun extrovert. Kemudian, huruf kedua akan ditentukan oleh bagaimana kita menerima maklumat sama ada melalui rasa mahupun intuisi. Seterusnya, huruf ketiga pula ditentukan oleh bagaimana kita membuat keputusan. Adakah kita lebih mengutamakan perasaan atau pun fikiran? Akhir sekali, huruf keempat akan ditentukan oleh kita mengaitkan diri dengan dunia luar. Adakah kita lebih suka berkomunikasi dengan menghakimi atau mempunyai persepsi terhadap orang lain?

Mewujudkan keserasian menggunakan jenis personaliti merupakan perkara yang berkesan bagi aku. Setiap orang mempunyai perkara yang mereka mahu dan tidak mahu serta percaya dan tidak percaya. Melalui gandingan jenis personaliti yang serasi, masing-masing akan memberikan keperluan dan kepercayaan kepada sesama sendiri sekali gus dapat memuaskan segala pemikiran dan tindakan kita. Mengikut fakta, ENFJ, ENTJ dan ENFP ialah jenis personaliti yang akan serasi dengan INFP. Jadi, siapakah pasangan aku?

"Pasangan terdiri daripada mana-mana orang daripada mana-mana kelas. Tanpa membuang masa, berikut merupakan pasangan yang telah ditentukan bagi para pelajar kelas ini, kelas 5-3." Senarai nama berwarna-warni terpampang di skrin televisyen.

Baiklah. Mari kita lihat siapa pasangan aku. Mata aku terus melihat di bahagian bawah senarai nama disebabkan nama aku selalu berada di situ. Di sebelah nama aku, ada nama pasangan aku. Namanya Kayra. Seorang perempuan daripada kelas 5-2. Aku terdiam. Mata aku tidak berkelip. Mulut aku tidak terbuka. Aku melihat senarai nama itu sekali lagi untuk kepastian. Adakah aku betul-betul dipasangkan dengan dia? Setelah lima kali melihatnya, tidak salah lagi bahawa Kayra ialah orang yang akan menjadi pasangan aku dalam program mentor mentee ini.

"Wah…" Hanya itu yang mampu aku katakan. Rasa terkejut sudah hilang. Rasa teruja pula yang menjelma. Aku benar-benar beruntung dapat dipasangkan bersama dia. Adakah ini takdir? Dalam banyak-banyak orang di tingkatan lima, aku juga yang dapat menjadi pasangannya. Memang ajaib.

Siapa sahaja yang tidak kenal Kayra. Perempuan paling cantik dan paling popular di sekolah ini. Menjadi idaman semua pelajar lelaki mahupun perempuan di sekolah ini dan sudah semestinya orang di luar sana juga suatu hari nanti. Kecantikannya tiada tandingan. Personalitinya pula sudah jauh ke depan. Siapa sahaja yang tidak mahu menjadi pasangannya.

Zup. Satu mata pantas memandang aku. Zup. Satu lagi mata tajam menjeling aku. Zup. Satu lagi mata pula mengalihkan terus badannya ke arah aku. Sudah semestinya situasi ini akan terjadi. Sudah pastilah semua orang akan berasa cemburu terhadap aku terutamanya pelajar lelaki. Aku berasa tidak sedap hati. Satu demi satu mata muncul dalam kawasan pandangan aku. Tidak lama selepas itu, rasanya, semua orang di dalam kelas ini sudah melihat rupa aku yang kacak ini. Kepada mereka yang tidak sedar selama ini aku berada di kelas ini, bagaimana rasanya dapat melihat aku setelah sekian lama?

Aku hanya memandang ke luar melalui tingkap. Perhatian yang aku terima sekarang bukan sahaja membuatkan aku berasa tidak selesa dan malu malah juga menimbulkan rasa ketakutan. Harap-harapnya aku boleh kekal hidup di sekolah ini. Aku menjangkakan bahawa akan ada beberapa orang yang datang kepada aku untuk bercakap mengenai hal ini sebaik sahaja cikgu Zalina keluar daripada kelas ini nanti. Aku khusyuk memikirkan reaksi yang patut aku sediakan dan perkataan yang boleh aku ucapkan nanti.

"Uish… Dapat jadi pasangan Kayra…" Rakan sebelah aku memanjangkan nama Kayra itu sambil menutup mulutnya menggunakan kedua-dua tangannya. Dia, Amir namanya, memandang aku lama sebelum aku mengalihkan padangan ke arahnya.

"Hm." Aku tersenyum kecil. Itu reaksi yang paling tepat kan?

"Uish… Gilalah." Amir kemudian menepuk belakang aku perlahan lalu laju menarik tangannya kembali.

"Hahaha." Hanya itu yang aku balas. Aku tidak mampu mengungkapkan perasaan mahupun mengucapkan pandangan dek rasa teruja penuh menyelaputi seluruh tubuh. Aku sekarang ini sudah terfikir tentang apa yang aku akan buat apabila berjumpa dengannya dan apa yang aku akan lakukan apabila bersamanya. Imaginasi aku tiba-tiba kian memuncak membayangkannya.

"Ada sebarang bantahan atau pertanyaan?" Suara cikgu Zalina kembali menarik perhatian pelajar-pelajar yang sibuk berbual sesama sendiri membincangkan tentang pasangan yang mereka perolehi. Pelbagai rasa setuju dan tidak setuju, rasa tertanya-tanya, idea dan pandangan yang diucapkan dalam perbincangan pendek sebentar tadi.

Seorang perempuan mengangkat tangan lalu bangun. "Senarai nama ni akan tetap tanpa sebarang perubahan daripada semasa ke semasa ke?"

"Ya." Jawab cikgu Zalina pendek. "Lagi?"

"Pasangan ni dipilih ikut keputusan peperiksaan awal tahun yang kitorang semua dapat minggu lepas tu kan?" Perempuan itu menanyakan soalan kedua.

"Ya." Peperiksaan awal tahun di sekolah ini diadakan pada bulan Mac setiap tahun dan diadakan dalam tempoh seminggu sahaja kerana tidak mengikut format penuh. Peperiksaan ini boleh dikatakan sebagai ujian panas badan sahaja sebelum menghadapi peperiksaan-peperiksaan seterusnya yang akan diadakan sepanjang tahun.

"Sampai bila program ni berlangsung?" Tanya orang yang lain pula.

"Seminggu sebelum peperiksaan percubaan SPM bermula."

Peperiksaan percubaan SPM biasanya akan berlangsung pada awal bulan Ogos. Maksudnya, program ini akan berlangsung selama kira-kira empat bulan. Aku tertanya-tanya sama ada empat bulan itu cukup untuk membuahkan hasil yang banyak.

"Program ini akan bermula pada petang ini tepat pada pukul dua setengah petang yang berakhir pada pukul tiga setengah petang dan boleh dilaksanakan di mana-mana dalam kawasan sekolah."

Kelas menjadi bising sebentar dengan suara para pelajar yang seperti mahu membantah akan sesuatu. Mereka bukanlah berbincang mengenai mengapa program itu bermula hari ini tetapi tentang masa program itu berlangsung yang dianggap agak awal kerana waktu persekolahan tamat pada pukul dua petang.

"Cikgu. Adakah ok program ni buat waktu petang? Kitorang semua habis sekolah pukul dua. Lepastu pukul dua setengah dah kena belajar balik. Lepastu lepas habis je program ni pukul tiga setengah, kitorang kena pergi aktiviti kelab pula. Habis aktiviti kelab, setengah jam kemudian, siapa yang main sports, kena pergi training pula. Tak ke macam pack sangat masa kat situ?" Seorang pelajar bernama Harraz mengemukakan pandangannya. Dia terkenal dengan sikapnya yang sentiasa mahu berdebat dengan orang lain. Aku tidak tahulah sama ada dia berjaya atau tidak jika bertikam lidah dengan cikgu Zalina.

"Uruskan masa kamu dengan baik. Apa yang kamu cakapkan tadi itu tidak mustahil untuk dilakukan jika kamu menguruskan masa dengan baik." Hanya itu sahaja jawapan cikgu Zalina. Beliau sedikit pun tidak berasa simpati dengan jadual anak-anak muridnya yang padat.

"Tapi kitorang dah belajar dari pukul 7.30 pagi hingga pukul 2 petang. Tanpa rehat yang cukup, kitorang semua akan penat dan akan sambil lewa je buat program ni."

"Kamu apa? Orang tua? Orang muda seperti kamu inilah yang perlu menghadapi kepenatan. Kamu ingat orang berjaya di luar sana selalu dapat rehat yang cukup? Sambil lewa? Rasanya, itu masalah disiplin kamu sendiri. Tiada kaitan dengan orang yang betul-betul mahu berjaya."

"Nanti keberkesanan program ni akan menurun. Pada akhirnya, takde apa pun yang kitorang akan dapat daripada program ni." Bidas Harraz lagi.

"Jika kamu mahu melangkah ke depan, betulkan diri kamu sendiri. Orang yang berada di jalan yang betul, dia akan melakukan sesuatu dengan jayanya tanpa memberikan sebarang alasan mahupun mengadu tentang sesuatu. Kamu mesti orang yang masih belum diperbetulkan lagi. Betul tak, Harraz?" Cikgu Zalina memandang Harraz tajam. Semua pelajar tidak sanggup memandang mata cikgu Zalina ketika itu.

Harraz terdiam mendengar ejekan itu. Dia faham dengan apa yang cikgu Zalina cuba sampaikan. Semua perkara bergantung kepada diri sendiri. Jika kita seseorang yang rajin, maka program ini mampu kita laksanakannya seperti biasa tetapi jika kita seseorang yang sebaliknya, maka pelbagai alasan dan aduan akan datang ke fikiran dan keluar melalui mulut selalunya.

"Petang sahaja waktu yang sesuai untuk melaksanakan program ini kerana pada waktu malam, kamu bebas mengulangkaji sendiri atau pun melakukan perkara yang lain. Hari sabtu dan ahad ialah waktu lapang kamu semua. Jadi, adakah kamu semua mahu program ini mengganggu waktu lapang kamu semua." Para pelajarnya lantas menggeleng kepala.

Aku bukanlah mahu mengadu atau apa. Cuma, sebenarnya, program ini akan memenatkan semua orang termasuklah aku. Sejujurnya, aku tidaklah berapa kisah mahupun ambil kisah walaupun hati aku sekarang ini laju mengatakan mengapalah program ini perlu diadakan dan habislah waktu lapang aku yang sangat berharga. Nampaknya, waktu lapang aku antara waktu persekolahan dan aktiviti kelab akan terisi dan itu agak menyedihkan. Namun, setidaknya, tidak seperti orang yang bermain sukan, aku mempunyai masa lapang selepas aktiviti kelab. Orang yang tidak menyertai sukan seperti aku ada kelebihan di situ nampaknya.

"Saya mahu tambah sesuatu. Program ini sebenarnya boleh dilaksanakan tanpa mengira waktu tetapi waktu petang itu ialah waktu yang wajib bagi kamu semua. Saya cadangkan waktu petang itu digunakan untuk fokus lebih kepada akademik dan waktu lain, kamu bebas membantu antara satu sama lain dalam aspek apa sekali pun."

Kiranya, pasangan yang telah ditentukan ini bukanlah pasangan ketika waktu petang itu semata-mata tetapi pasangan rasmi dalam apa-apa sekali pun selama empat bulan.

"Kamu semua perlu sedar bahawa kamu semua sudah berada di tingkatan lima. Normal jika jadual harian kamu akan menjadi semakin padat kerana semakin banyak tanggungjawab yang kamu pikul sama ada dari segi akademik, kokurikulum mahupun kepimpinan. Sebelum melangkah masuk ke alam masyarakat dan dunia pekerjaan, tahun inilah tahun di mana persediaan yang terbaik perlu dilaksanakan sebelum menghadapi ombak yang besar di luar dinding sekolah sana. Jika kamu mahu menjadi orang yang berjaya, pengorbanan perlulah dilakukan di fasa persediaan ini agar kamu tidak terguling apabila fasa seterusnya membuka tirainya. Alam masyarakat merupakan alam yang menakutkan tidak kiralah kepada sesiapa pun atau kepada orang yang mempunyai jawatan tertinggi di negara ini sekali pun."

Kata-kata cikgu Zalina membuatkan semua pelajar mengangguk faham dan menyedari tentang perkara yang sepatutnya mereka sedar akannya. Disebabkan pesanan-pesanan berguna yang sering diberikan oleh cikgu Zalina itu, semua pelajar sentiasa menghormatinya. Walaupun beliau sering kelihatan seperti tidak ambil kisah tentang anak-anak muridnya tetapi beliau tetap memberikan peringatan dan nasihat tanda dia ambil berat secara tidak langsung.

Selepas tamat kelas pertama, seperti yang aku jangkakan, ramai rakan sekelas aku yang mengungkapkan rasa cemburu mereka kepada aku dan aku membalasnya dengan senyuman kecil. Ketika waktu rehat tiba, aku tidak rasa seperti mahu pergi ke kafeteria untuk menjamu selera kerana rasanya rakan sekelas Kayra yang kebanyakkannya tidak tahu siapakah Qaz itu sudah tentu akan mencari aku di kafeteria itu. Jadi, perpustakaan menjadi persinggahan aku pada waktu rehat ini.

"Oi, Qaz." Harraz yang turut singgah ke perpustakaan duduk di hadapan aku.

"Harraz. Lama betul kau cari buku." Aku sudah duduk di sini selama tiga minit manakala Harraz menggunakan tiga minit itu untuk mencari buku yang dia tidak jumpa-jumpa.

"Hah… Siapalah yang pergi letak buku ni kat tempat lain. Lepas ambil buku tu, tolonglah pulangkan ke tempatnya balik." Omel Harraz kepada aku walaupun aku bukan orang yang bersalah di sini.

"Buku apa tu?" Harraz lantas menunjukkan muka depan buku itu kepada aku.

"Lies my teacher told me." Sebuah buku karya James W. Loewen. Buku itu ringkasnya menceritakan tentang kritikan pengarang buku itu terhadap buku teks Sejarah pada masa kini yang digunakan oleh para pelajar sekolah menengah di Amerika. Beliau mengkritik bahawa buku teks itu memberi para pelajar maklumat yang salah tentang beberapa orang dan kejadian di masa lalu. "Oh… Hahaha." Aku tergelak kecil selepas membaca tajuknya sekali lagi. "Kau memang nak baca buku ni ke? Atau ada niat yang lain?"

"Maksud kau?" Harraz cuba memproses kata-kata aku lalu matanya terbeliak selepas memahami lawak yang cuba aku sampaikan. "Oh… Hahaha." Harraz tergelak kuat sehingga berjaya menerima jelingan tajam daripada beberapa orang lain di perpustakaan ini.

"Apa yang cikgu Zalina cakapkan tu betullah. Mana ada tipu." Dia menyambung gelaknya dengan perlahan. Takut menerima jelingan tajam lagi. "Aku tahulah yang program tu patut je dilaksanakan."

"Dah tu. Kenapalah kau pergi berdebat dengan dia. Kan dah kena." Aku tergelak kecil membayangkan wajah Harraz ketika diejek oleh cikgu Zalina tadi.

"Korang semua tahu kan aku macam mana. Aku saja jelah nak main-main. Aku tak expect dia serius gila pasal benda tu. Aku ingatkan dia akan cakap macam… "Jangan tanya apa-apa lagi atau pun jangan banyak sangat bagi alasan." Ha… Benda-benda macam bila cikgu malas nak layan anak murid dia."

"Tapi cikgu Zalina tu lain."

"Hah… Itulah tapi lepas ni aku akan buat lagi."

"Huh?" Mata aku terkebil-kebil mendengar Harraz mengatakannya dengan yakin sekali.

"Aku tak nak kalah dengan dia lagi. Berdasarkan apa yang kita nampak, dia mesti suka berdebat. So, apa salahnya berdebat dengan anak murid dia kan. Aku on je."

"Hahaha. Aku ingatkan kau akan cakap yang kau takkan berdebat dengan dia lagi dah."

"Kenapa pulak? Seronok kot buat macam tu."

"Seronok kena ejek?"

"Ala… Kau ingat aku kisah ke pasal ejek-ejek kecil macam tu. Rasanya, dia akan cakap benda yang sama macam yang dia cakap kat aku tadi kat orang lain."

"Hahaha. Aku lupa mental kau ni kuat. Tapi janganlah sampai lebih-lebih sangat. Dia tu cikgu kita."

"Aku nak berdebat je. Bukan kurang ajar. Serius. Aku nak asah lagi skil-skil yang aku ada ni. Kalau lawan aku ialah orang seperti cikgu Zalina tu, aku sangat mempersilakan. Aku menang semua tournament debate hari ni." Harraz memasang wajah serius. Dia akan selalu begini apabila topik debat memasuki ruang perbicangan.

"Hm… Aku tahu."

"Wei. Kau sedar tak? Kau pair dengan Kayra." Harraz pantas mengubah topik.

"Hahaha. Mestilah sedar. Takkanlah tak pula. Sebab tulah aku ada kat perpustakaan ni. Malas aku nak terima perhatian banyak-banyak." Aku harap semua orang lupa bahawa aku berpasangan dengan Kayra hari ini juga. Mungkin balik nanti akan lebih selamat daripada sekarang kerana semua orang akan sibuk memikirkan tentang pasangan mereka masing-masing.

"Hahaha. Aku tahu tu. Untunglah kau dapat pair dengan dia. Hah… Kalau boleh diputarkan masa balik, aku akan masuk tim debat bahasa Melayu."

"Dia dalam tim debat bahasa Melayu eh?"

"Haah."

"Oh…" Tiba-tiba aku terbayang Kayra yang sedang berdebat walaupun aku tidak pernah melihatnya berdebat.

"Hah… Untunglah kau. Aku nak pair dengan dia." Harraz mengesat air mata halimunan di matanya.

Sedih betul dia nampaknya. Adakah semua lelaki di sekolah ini begini? "Over betul kau ni. Sampai macam tu sekali eh kau nak Kayra?"

"Wei. Mestilah. Dia tu dahlah orang paling cantik dalam alam semesta, paling baik dalam dunia sekarang ni. Pandai pula tu. Bakat pula berlambak-lambak. Siapa je yang tak nak dia?"

"Oh… Ye ke?" Hebat betul pujian Harraz kepada Kayra. Jarang aku dengar dia memuji orang lain.

"Hah… Takpelah." Harraz memandang aku dengan pandangan memandang rendah terhadap orang lain. "Tak best lah cakap dengan kau pasal perempuan ni. Kau gay ke?"

"Wei. Soalan apa kau tanya ni? Bila masa pula aku?" Nada suara aku sedikit kuat. Cuba mempertahankan diri daripada tuduhan melulu seperti itu.

"Dah tu. Kau macam tak berminat je nak cakap pasal perempuan."

"Tak. Bukan tu. Aku just malu dan tak nak tunjuk reaction lebih-lebih."

"Oh… Faham. Faham."

Nasib baiklah Harraz sudah faham banyak tentang aku. Kalau tidak, aku kena jelaskan pula tentang itu. Walaupun aku nampak seperti tidak berminat dengan Kayra tetapi sebenarnya dalam hati, aku tidak sabar-sabar untuk duduk di hadapannya dan dalam masa yang sama agak gementar kerana sibuk memikirkan pandangan pertamanya terhadap aku nanti. Aku takut dia akan mempunyai pandangan pertama yang buruk tentang aku nanti. Sebab itulah, aku sedang memikirkan cara yang terbaik untuk memberikan pandangan pertama yang terbaik kepada Kayra.

"Apa-apa pun. Kau pergilah bergembira dengan dia tu."

"Huh? Apa maksudnya tu?" Aku lantas menutup buku. Rasanya, perbincangan kami hari ini tidak akan berakhir dengan aku puas dan tenang membaca.

"Uish. Terus tutup buku eh. Hahaha." Harraz tergelak melihat wajah ingin tahu aku. "Maksudnya, kau pergilah cuba-cuba dia sikit."

"Wei… Apa kau ni." Sebenarnya, aku tidak faham apa yang cuba dimaksudkan. Reaksi aku sahaja yang lebih. "Um… Maksudnya?"

"Aduh… Kau ni. Hopeless romantic betullah. Maksud aku, cubalah buat dia suka kau."

"Bukan kita semua kena buat orang lain suka kita ke?"

"Alamak." Harraz menepuk dahinya. Tidak sangka, rakannya ini terlalu lurus bendul.

"Tak. Maksud aku, lebih daripada bagi dia suka kat kau. Ha… Faham kan?"

"Hahaha. Aku main-main je. Aku faham jelah apa yang kau maksudkan dari awal."

"Aku dah agak dah. Suka betul kau main-main dengan aku eh?" Kami berdua tergelak kecil. "Boleh tak?" Sambung Harraz.

"Boleh apa?"

"Haish…" Harraz tajam memandang aku.

"Ala kau ni. Kenapa pula aku kena buat macam tu?"

"Ala… Try jelah. Kau hensem apa."

"Kau ingat perempuan pandang tu je ke?"

"Kau baik juga."

"Tak cukup tu."

"Jap. Kau memang sengaja nak biar aku puji kau banyak-banyak ke macam mana ni."

"Tak. Apa-apa pun an. Tukar topik boleh tak?"

"Hm… Aku dah cakap dah yang kau ni tak straight." Harraz kemudian membuka muka surat pertama buku yang dari tadi dipegangnya itu.

"Oi. Oi." Aku memberikan jelingan tajam kepada Harraz lalu menyambung pembacaan.

Dalam kepala aku sekarang, pelbagai senario perjumpaan antara aku dan Kayra sudah terbina. Banyak betul senarionya sehingga aku tidak dapat menjangkakan senario mana yang akan terjadi. Aku tiba-tiba tersenyum seorang diri. Nasib baiklah Harraz tidak perasan. Kalau tidak, dia akan menyiasat punca aku tersenyum sehingga dia jumpa jawapannya. Pertama kali dalam hidup, aku menjadi seteruja ini untuk berjumpa dengan seseorang yang tidak pernah aku bercakap dengannya walaupun sekali.

Setelah makan tengah hari, aku kembali ke kelas sementara orang lain sedang sibuk mencari pasangan mereka. Aku tidak mahu mencari Kayra di kelasnya terlalu awal kerana sudah semestinya rakan sekelasnya yang masih berada di dalam kelas akan tajam memerhatikan aku. Tambahan, aku tidak mahu menegurnya terlebih dahulu kerana sifat pemalu aku yang amatlah kuat. Lagipun, aku tidak tahu cara yang terbaik untuk menegurnya terlebih dahulu supaya dia mempunyai pandangan pertama yang baik terhadap aku walaupun satu hari aku memerah otak memikirkan jawapannya.

Memikirkan sikapnya yang ceria dan peramah. Dia pasti akan mencari aku terlebih dahulu. Harap-harapnya itulah yang terjadi. Namun, kalau dia tetap muncul. Aku akan mencari dia di kelas. Kelas 5-2 berada di sebelah sahaja lagipun.

"Qaz. Tak gerak lagi ke?" Tanya seorang rakan sekelas aku yang bernama Irfan. Dia mempunyai tubuh badan yang kecil dan wajah seperti budak-budak.

"Oh. Kejap lagi. Partner kau siapa?"

"Azir. Kelas 5-4. Aku nak pergi cari dialah ni."

"Oh… Ok."

"Qaz. Kau pergilah cari Kayra cepat. Orang lelaki kenalah cari orang perempuan. Dia mesti tengah tunggu kau tu."

"Hahaha. Jap. Aku nak pergilah ni." Aku bangun daripada kerusi dan buat-buat seperti mahu pergi mencarinya.

"Kau rasa kat mana kitorang patut jumpa eh?" Irfan bertanya kepada aku dan dalam masa yang sama bertanya kepada dirinya sendiri.

"Hm… Entah. Aku pun sebenarnya tak fikir lagi."

"Hm. Cepat pergi cari dia." Irfan perlahan menepuk bahu aku lalu berlalu pergi. Aku duduk kembali selepas itu.

Aku mengeluh panjang lalu memandang ke luar. Cuaca hari ini daripada pagi hingga petang memberikan ketenangan yang tidak dapat diungkapkan oleh kata-kata kepada aku. Tidak terlalu redup dan tidak terlalu panas. Langit sedap dipandang. Awan indah sehingga membuatkan berimaginasi tentang rupa bentuknya. Fokus aku terhadap dunia hilang seketika untuk merasakan ketenangan ini.

Bunyi pintu kelas terbuka membuatkan aku terjaga daripada lamunan. Aku sangkakan orang itu ialah Kayra tetapi hanyalah rakan sekelas aku yang lain. Sekarang, ada beberapa pasangan yang membuat keputusan untuk berjumpa di kelas ini. Jadi, kelas ini tidaklah kosong tanpa manusia. Aku melihat jam lalu pantas bangun daripada kerusi. Sudah lima minit aku termenung. Mengapalah kelas Sejarah tidak sekejap lamunan aku?

Aku pergi ke kelas 5-2 lalu menjenguk kelas itu daripada luar untuk mencari Kayra. Aku tidak berani untuk masuk ke kelas ini begitu sahaja. Sehingga aku pasti bahawa Kayra berada di dalam kelas, baru aku akan masuk. Namun, malang sekali. Setelah beberapa kali aku melihat dari depan ke belakang, Kayra tiada di dalam kelas.

"Mana dia?" Tanya aku kepada diri sendiri.

Aku berfikir sebentar tentang kemungkinan keberadaannya sekarang. Aku tidak rasa bahawa dia masih sedang makan tengah hari kerana semua pelajar sekarang sudah mempunyai destinasi mereka sendiri untuk program ini dan tidak mungkin juga dia berada di tempat-tempat tertentu di sekolah ini kerana semua pelajar wajib menghadiri program ini. Dia juga tidak mungkin sedang tunggu di mana-mana tanpa memberitahu aku apa-apa. Kemungkinan yang ada ialah tandas mahupun bilik. Kalau dia di tempat begitu, aku hanya akan menunggunya. Namun, ada satu tempat yang mungkin dia akan pergi sehingga mendapat kebenaran untuk lambat menghadiri program ini.

Aku keluar daripada bangunan kelas dan berjalan menuju ke bangunan bilik guru dan pejabat. Aku menjenguk bilik guru daripada pintu depan sahaja secara diam-diam. Tidak mahu mana-mana guru sedar tentang kehadiran aku di sini kerana aku tidak mahu menjawab soalan mereka iaitu "cari siapa?"

Kayra tiada di bilik guru dan di pejabat juga. Bilik-bilik guru kanan kemungkinan yang tinggal. Bilik-bilik guru penolong kanan dan pengetua sudah semestinya tidak akan disinggah Kayra kerana para pelajar tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam bilik mereka. Ketika aku berharap Kayra ada di bilik guru-guru kanan, dia tiada. Ke mana pula dia pergi sebenarnya ini?

Aku masuk ke dalam lif untuk kembali ke bangunan kelas. Mungkin sahaja Kayra sudah ada di kelas. Ketika aku mahu menekan butang lif untuk pergi ke tingkat bawah, satu buah pemikiran muncul di fikiran aku. Apa kata kalau aku singgah di tingkat atas sekali di mana bilik-bilik guru penolong kanan dan pengetua berada? Walaupun pelajar tidak dibenarkan untuk pergi ke tingkat atas sekali, aku tetap menekan butang lif untuk pergi ke sana. Sekarang, cuma ada dua situasi yang bakal berlaku. Aku tertangkap dan tidak tertangkap. Walaupun gementar menguasai diri, aku tetap memberanikan diri. Tujuan aku buat begini hanyalah kerana idea ini datang secara tiba-tiba. Mustahil Kayra akan ada di tingkat atas.

Aku hanya berjalan di hadapan bilik mereka. Akan menjadi perkara yang agak gila untuk membuka pintu lalu tersenyum memandang mana-mana guru penolong kanan dan pengetua yang sedang sibuk menghadap komputer. Setelah sampai ke bilik pengetua, aku berpatah balik menuju ke lif. Tidak sempat aku menekan butang lif untuk turun ke bawah, jeritan kecil seorang perempuan serta bunyi seperti seseorang ditolak ke dinding dapat aku dengar secara samar-samar. Berdasarkan jeritan kecil tadi, jeritan itu ialah jeritan seorang remaja perempuan. Ada pelajar yang boleh berada di tingkat ini ke? Dengan rasa ingin tahu yang tinggi, aku berjalan kembali di hadapan bilik-bilik guru penolong kanan.

Langkah aku terhenti di hadapan bilik guru penolong kanan akademik iaitu cikgu Kamal kami panggilnya setelah mendengar bunyi nafas yang laju datang daripada seorang remaja perempuan yang sedang berada dalam ketakutan. Aku mendekatkan diri dengan pintu bilik yang tertutup ini dan cuba mendengar apa-apa untuk mengenal pasti kejadian yang sedang berlaku di dalam bilik ini.

"Maaf? Benda paling bodoh dan paling tak nak aku dengar daripada kau sekarang ni. Apa yang maaf kau boleh ubah? Macam mana maaf kau boleh buat apa-apa? Memang cara berfikir kau macam tu je ke atau apa? Kau rasa maaf tu boleh buat anak aku ada balik kat dunia ni?"

Cikgu Kamal mengeluh lalu tergelak jahat. Dia tergelak lama sambil memandang perempuan yang tidak mampu mengatakan apa-apa itu. Nafas perempuan itu menjadi semakin laju. Matanya semakin terbuka luas melihat cikgu Kamal tersenyum seperti seorang pembunuh bersiri dalam televisyen.

"Cikgu. Saya minta maaf bagi pihak ayah saya. Saya minta maaf sangat-sangat." Seluruh tubuh badan perempuan itu mula menggigil ketakutan.

"Huh?" Cikgu Kamal pantas menekan bahu perempuan itu di dinding dengan kuat.

"Ah!" Perempuan itu terjerit kecil. Air matanya mula mengalir sedikit. Wajahnya tertunduk. Takut melihat wajah cikgu Kamal yang sangat menyeramkan.

"Ayah kau. Dengan tanpa belas kasihannya, dia buatkan anak aku menderita. Lepas dah tak sanggup menderita, anak aku bunuh diri dan aku orang pertama yang nampak mayat anak aku. Kau faham tak tu?!" Cikgu Kamal menjerit kepada perempuan itu. Nadanya agak tinggi sehingga boleh didengari di koridor luar bilik ini.

"Hm…" Perempuan yang tidak sanggup lagi menahan ketakutan itu mula menangis dengan derasnya. Air matanya satu per satu jatuh ke atas baju uniform sekolahnya dan ada yang mendarat di lantai.

"Jadi, apa salahnya kalau aku buatkan anak kepada ayah kau tu menderita pula kan? Kalau ikutkan hati, aku memang nak bunuh ayah kau tu terus tapi aku sedar tentang betapa jauhnya jarak antara langit dan bumi. Bunuh kau pula akan membuatkan matlamat aku tercapai tapi sebelum anak aku meninggal, dia menderita dulu. Bukan ke adil kalau kau juga menderita?" Senyuman jahat cikgu Kamal itu sangat menakutkan. Sesiapa sahaja termasuklah orang lelaki sekali pun akan menangis ketakutan melihat senyuman itu.

"Em…" Perempuan itu laju menggeleng. Siapa sahaja yang akan mengangguk setuju setelah mendengar pernyataan itu? Air mata mula membanjiri wajah perempuan itu dan senyuman sinis cikgu Kamal menunjukkan bahawa dia semakin suka akan hal itu.

"Huh? Kenapa?" Cikgu Kamal menekan bahu perempuan itu sekali lagi. Kali ini lebih kuat kerana jeritan perempuan itu semakin kuat dan jelas.

"Hahaha. Aku suka tengok kau menangis macam ni. Barulah terserlah penderitaan kau. Jangan risau. Aku takkan bunuh kau. Setidaknya, sekaranglah. Aku akan biarkan kau keluar daripada bilik ni lepas ni tapi sebelum tu. Bagilah aku hilangkan rasa sakit kat hati aku ni sikit. Aku kena bersabar. Kalau aku hilangkan rasa sakit hati aku ni kat kau banyak-banyak, nanti takde yang tinggal untuk yang seterusnya." Cikgu Kamal menggenggam tangan kanannya erat-erat menjadi penumbuk lalu menariknya ke belakang. Dia membiarkan paras penumbuknya itu sama paras dengan perut perempuan itu.

Aku yang merasakan bahawa bahaya sebenar akan tiba lantas menarik tombol pintu bilik ini dengan kuat dan bergerak pantas masuk ke dalam. Sebelum cikgu Kamal sedar bahawa seseorang telah membuka pintu biliknya, aku sudah berada tepat di belakang belah kanan badannya. Aku pantas menggenggam dengan kuat lengan kanannya yang mempunyai penumbuk yang sudah bersedia untuk dilepaskan ke perut perempuan itu.