Chapter 5 - Tamu

Pandangan mereka bertembung. Dia terpegun macam kena bius macam ada satu suis di hidupkan secara tak sengaja. Sambil menahan getar hati, sebaris senyuman diberikan kepada lelaki yang menghulurkan wang bernilai RM2.00 kepadanya. Bungkusan yang berisi dua sikat pisang pun bertukar tangan. Hensemnya.. bisik hati kecil si gadis.

"Terima kasih.." ucapnya sambil cuba mengawal debar di dada yang tiba-tiba saja membuatnya hampir sesak nafas. Bila lelaki itu beredar, matanya masih tidak mahu beredar dari batang tubuh lelaki itu. Hanya itu yang termampu lihat dari jauh. Mana ada keberaniannya untuk berkenalan atau sebagainya. Malulah!

Tamu Kuala Penyu setiap hari selasa. Dia akan menolong si ayah berjualan. Pisang dan beberapa sayuran kampung hasil tanaman ayahnya sendiri. Hari itu, sehingga ke petang muka dan senyuman lelaki tadi berlegar-legar di ruang ingatan.

"Bah.. Nong, apa lagi termenung tu.. kemaslah semua.." Si ayah mengembalikannya ke alam nyata. Khayalan indahnya tentang lelaki itu lenyap serta merta. Dengan sedikit rungutan kecil dia mengemas bakul-bakul serta plastik jualan seperti yang diarahkan oleh ayahnya. Dalam perjalanan pulang dia senyap saja. Biasanya dia dengan gembiranya bercerita dengan si ayah tentang pelangan-pelangan mereka. Tentang borak-borak kosong Hajah Limah ataupun tentang anak Aunty Aline yang becok mulutnya itu. Tapi kali ini dia lebih suka mendiamkan diri sambil berkhayal. Dia hanya memandang keluar tingkap van usang ayahnya. Matanya meliar melihat pepohon hijau di sepanjang jalan menuju ke kampungnya-Biajit. Sesekali beberapa ekor anak babi kelihatan terkedik-kedik di tepi jalan mengekori ibu mereka yang hampir saja sebesar kerbau. Sekali pandang ia memang kelihatan seperti kerbau. Hitam dan berlumpur, cuma bezanya ia agak pendek. Tak hairanlah ia di gelar 'kerbau pendek' oleh orang-orang di situ. Pemandangan seperti itu amat biasa bagi Nong sebab Kuala Penyu adalah penempatan sebahagian suku kaum dusun Tatana. Suku kaum dusun Tatana di situ memelihara babi sepertimana ayahnya memelihara ayam dan itik. Walaupun haiwan itu haram disentuh, tetapi Nong suka melihat anak-anak babi itu yang berbadan kecil serta kelihatan comel terkedik-kedik membontoti ibu mereka. Bagi Nong walaupun babi adalah makhluk yang diharamkan untuk disentuh oleh agamanya tetapi haiwan itu tetap adalah makluk tuhan yang comel lebih-lebih lagi yang masih kecil. Dia tidak memandang hina haiwan itu sepertimana sebilangan kawan-kawannya. Pasti ada sebabnya DIA menciptakan makluk itu di muka bumi ini. Itu yang Nong yakin dan pasti.

"Bila sekolah kamu start Nong?" Pertanyaan ayah sekali lagi menganggu keasyikan Nong yang tengelam dalam dunianya sendiri. Dia tahu hala tuju pertanyaan ayahnya. Sekolah yang dimaksudnya ayahnya itu adalah kolejnya di ibukota- Sembulan, Kota Kinabalu. Sudah hampir sebulan lebih cuti semesta berlalu dengan rutin yang bosan di kampung. Nong sebenarnya sangat rindu pada kehidupan pelajar kolej serta kawan-kawan di Kota Kinabalu atau lebih dikenali sebagai KK. Tapi permintaannya untuk buat kerja sambilan di Ibukota, ditentang ayahnya. Akhirnya dia hanya kerja 'part time' sebagai pembantu ayahnya berjualan di Tamu Kuala Penyu saja.

" Hujung bulan ni.." Sahut Nong. Tinggal beberapa hari saja lagi. Dia sebenarnya gembira kerana tidak lama lagi dia kembali ke Kolej. Dia boleh meninggalkan kampungnya yang membosankan itu. Dia merindui kemeriahan kota. Namun bila teringat lelaki yang ditemuinya di Tamu tadi, dia merasa sedikit kesal. Mungkinkah masih berpeluang bertemu lelaki itu lagi. Sepasang mata yang menawan lelaki itu terasa begitu melekat dalam hatinya. Seolah-olahnya dia sudah menantikan lelaki itu sepanjang hidupnya. Ah! itukah namanya cinta pandang pertama. Begitu mudah sekeping hatinya digoncang oleh sebaris senyuman, milik lelaki yang tidak dikenalinya. Nong merasa binggung tetapi tidak berdaya menghalang lelaki itu terus menjadi 'tamu' dalam kotak ingatannya.

*****

Nong merenung jam di dinding. Sudah menunjukkan pukul 9 malam. Dia lihat ibu tirinya yang berbangsa bisaya, sedang mengulung kirai. Kirai adalah daun pucuk nipah yang sudah di keringkan dan dipotong-potong lebih kurang sejengkal panjangnya lalu dijadikan sigup(rokok). Dengan gulungan kirai itu, tembakau diisi menjadi rokok tradisional. Ibu tirinya sibuk menyusun kirai-kirai yang akan dibawanya ke tamu untuk dijual. Ia merupakan pendapatan tambahan baginya. Nong kadangkala ikut juga ke hutan paya bakau yang jauhnya lebih kurang 2 kilometer dari rumah mereka, membantu ibu tirinya mengambil pucuk nipah. Sambil mengambil pucuk nipah, adakalanya mereka memperolehi buah nipah yang sedang-sedang muda. Nong merasa seronok bila dapat menikmati buah nipah muda atau panggilan orang putihnya sea coconut. Rasanya enak dan manis. Lebih kurang macam kelapa muda tetapi ada sedikit beza rasa. Bagi Nong isi buah nipah muda lebih sedap berbanding isi kelapa muda.

" Cie.. bila maci mau ambil pucuk nipah lagi?" Tanya Nong ingin tahu. Ibu tirinya yang dipanggilnya 'maci' itu mendongak ke arahnya sebaik saja mendengar Nong bertanya. Di bibirnya ada segulung kirai yang tidak berisi tembakau. Ibu tirinya tidak merokok, daun kirai di bibirnya itu hanya bertujuan menghalau nyamuk.

" Napa? Kau mau ikut? Kali.. bisuk sambat aku pigi mencari daun nipah.. kan ikut kau?" Tanya ibu tirinya kembali. Nong mengangguk.

" E.. bulih jua. bah! Nanti bisuk aku ikut mencari pucuk nipah.."

" Bah.. bisuk pagi lebih kurang jam 6.30 pagi kita ke 'tunjang'. Nda bulih akhir.. karang panas cepat penat. Lagipun dalam jam 10 ada mama si Obot datang mengambil sarai.." Ibu tirinya menunjuk ke arah bakul penuh berisi serai yang sudah disusun kemas dan diikat serumpun-serumpu, lebih kurang 15 batang untuk seikat serai itu. Nong mengangguk faham. Dia tahu, Mama si Obot yang dimaksudkan adalah pemborong serai itu. Mama si Obot membeli serai itu lebih kurang 50 sen seikat, kemudian akan menjualnya ke pasar-pasar pula- di Kuala penyu. Memang sudah jadi kebiasaan masyarakat di situ suka memanggil nama anak-anak berbanding nama empunya diri. Hanya panggilan ganti nama seperti mama si polan atau bapa si polan. Nong tidak tahu siapakah nama sebenar makcik yang di panggil Mama si Obot itu, yang dia tahu, Si Obot itu adalah anak kepada makcik yang akan datang membeli serai ibu tirinya besok.

Esoknya awal pagi lagi Nong sudah bersiap. Dia sengaja memakai baju panjang yang sangat panjang, baju itu adalah baju 'basahan' untuk ke kebun, dia tersenyum sendiri melihat pantulan dirinya di cermin, sekali pandang dia seperti melihat orang-orangan yang dibuat ayahnya untuk tujuan menghalau pipit di padi huma mereka. Dia kemudiannya mengambil kasut getah ala-ala kasut getah Phua Chu Kang. Bezanya kasut getah Phua Chu Kang berwarna kuning tapi kasut getah Nong berwarna hitam. Selepas sarapan pisang goreng yang digoreng oleh ibu tirinya, mereka berdua pun turun dari rumah. Ayahnya sudah di bawah mengasah parang hendak ke kebun. Sarung parang diikat ke pinggannya, dan parang sedang-sedang panjang itu segera disisip ke dalam sarung parang. Sambil bertopi lebar ala-ala si topi jerami dalam komik kegemarannya One Piece, Nong mengekori ibu tirinya berjalan kaki menuju ke paya bakau, tempat kebiasaan mereka mencari pucuk nipah. Paya Bakau itu bukan saja tempat mereka mencari nipah, malahan adakalanya mereka akan 'melokan' di situ. Istilah 'melokan' sebenarnya adalah aktiviti mencari dan mengutip 'lokan', sejenis kerang yang habitatnya di paya bakau. Nong ingat yang dia sangat seronok melokan bersama kakaknya ketika mereka budak-budak. Dalam hatinya teringin juga ingin 'melokan' kalau ada kesempatan nanti.

Sampai saja di paya bakau itu atau lebih di kenali sebagai'tunjang' oleh masyarakat di situ, Nong cepat-cepat menajamkan matanya melihat celah-celah pokok nipah kalau-kalau ada buah nipah yang sedang ranum untuk dimakan isinya. Ibu tirinya sudah pun mula membersihkan sekeliling pokok nipah dan mencantas pucuk yang paling muda untuk dibuat daun kirai.

"Nah.." Ibu tirinya menghulurkan sebatang pucuk nipah ke arahnya. Dia menyambut pucuk nipah itu dan mengangkutnya ke tempat yang tidak berair. Tempat yang lebih lapang dan selesa.

" Ada lagi..?" tanya Nong sebaik saja datang semula ke tempat ibu tirinya.

" Ada.. kejap ah!" beberapa batang pucuk nipah bertukar tangan. Terhuyung hayang Nong mengangkut pucuk-pucuk nipah itu ke tempat tadi. Lumpur paya bakau membuatkan langkah kakinya kurang stabil. Sambil tangan berkerja sambil itu ibu tirinya berbual-bual dengannya. Macam-macam mereka bualkan. Tapi semuanya perbualan kosong. Satu jam kemudian mereka berehat. Mereka sudah dapat agak banyak pucuk nipah. Ibu tirinya juga telah mencantas setangkai buah nipah yang kelihatannya sedang ranum untuk dinikmati.

" Wah.. aku suka makan ni.. manis isinya.." Nong menghayun parangnya sekuat hati untuk membelah buah nipah itu.

" erm.. sedang-sedang muda lagi isinya.." Sahut ibu tirinya mengambil bahagiannya yang di hulurkan oleh Nong. Mereka berbual-bual kosong lagi sambil menikmati buah nipah yang enak itu.

" Aku ada terpijak lokan tadi masa mengangkat pucuk nipah.. macam banyak ja lokan di sini.. barangkali jarang orang datang .. nanti sebelum balik aku mau melokan sedikit.. siput sedut pun banyak." Kata Nong kepada Ibu tirinya. Dia sudah memerhatika, 'lokan' dan siput sedut begitu banyak di situ. Mau-mau penuh 'tekiding' kalau dia mengutipnya.

" ya.. jarang bah sudah kami melokan.. ada setahun sudah kali nda pernah melokan..sebab tu banyak .. tak heran.. tapi ada ku lihat tadi jejak kaki babi.. banyak lagi tu.. babi tu pandai mengulau lokan jua tu.. tajam giginya membuka kulit lokan." beritahu ibu tirinya. Nong sedia maklum. Paya bakau di situ masih terdapat banyak babi hutan berkeliaran. Nong tak pernah terserempak dengan babi-babi hutan itu tetapi selalu ternampak bekas tapak kaki mereka.

"Ah.. bahaya juga tu.. orang cakap babi hutan ni jahat.. kalau terjumpa orang, pandai mengejar" sahut Nong lagi.

" Alah.. biasanya yang jahat tu kalau yang beranak kecil.. atu jahat tu.. pandai membubut.. tapi kalau yang lain-lain tu inda jua bah.. jangan saja terjumpa yang indung babi baru beranak.." Jelas ibu tirinya sambil mula bangkit dari tempat duduknya.

" Bah.. Aku ke sebelah sana lagi.. kau angkut la sedikit-sedikit pucuk nipah ni ke darat.." Suruh ibu tirinya. Nong akur. Ibu tirinya berlalu. Setelah mengangkut habis nipah yang dimaksudkan , Nong mula melangkah ke paya bakau semula. Di belakangnya sudah disandangnya tekiding, buat mengumpul lokan yang akan dikutipnya. Bukan main seronok lagi Nong bila dapat mengutip banyak lokan, sedar tak sedar dia telah tersasar jauh.

"Eh.. mana jalan aku lalu tadi ah?" bisiknya agak resah. Puas dia berpusing-pusing tapi rasanya dia semakin jauh entah ke mana.

" Hui!!" Nong terdengar jeritan 'hui' samar-samar di kejauhan. Mungkin ibu tirinya sudah memanggilnya. Dia sedar dia sudah agak lama. Tekiding pun sudah hampir penuh berisi lokan.

"Hui!!" balas Nong.

" Hui!!" balas suara itu lagi. Cepat-cepat Nong mengikut arah bunyi 'hui' itu. Mereka terus balas membalas. Dan Nong terus mengejar bunyi 'hui' itu. Tetapi agak pelik, semakin dikejar semakin jauh pula bunyinya. Bunyi itu juga selalu berubah-rubah arah. Nong berhenti. Bulu romanya mula meremang. Dia teringat sesuatu. Ayahnya sungguh marah pada mereka jika mereka berada di dalam hutan, dan apabila ayahnya memanggil, mereka menyahut 'hui' sahaja. Kata ayahnya itu bunyi hantu hutan menyahut. Bila teringat akan kata-kata ayahnya itu Nong terasa kakinya mengigil. Dia sedikit panik. Dia terdengar sekali lagi bunyi 'Hui' itu di kejauhan. Bulu romanya semakin menegak. Dengan pantas dia melangkah tak tentu arah, Lokan yang disandangnya segera ditumpahkannya ke dalam lumpur semula. Lokan-lokan itu hanya melambatkan pergerakannya. Nong sekali lagi teringat. Kata neneknya, 'Benda-benda' tu kalau bunyinya dekat. Maka sebenarnya 'ia' jauh. Tetapi kalau 'ia' kedengaran jauh maka sebenarnya 'benda' itu sangat dekat!!

"Sial.." Bisik Nong. Dia sedar yang dia sudah disesatkan oleh penunggu hutan atau pun hantu hutan. Nong teringat akan cerita-cerita arwah neneknya. Penunggu hutan ni sangat suka menyesatkan manusia. Ia akan umpan manusia itu dengan apa-apa saja. Cerita neneknya lagi, dulu nenek dan atuk pergi ke hutan mengutip cendawan. Cendawan tu bernama 'kulat tahun' dan sangat enak digulai. 'Kulat tahun' itu tumbuh dengan banyaknya. Mereka sangat gembira dan mengutip tak henti-henti hingga masuk jauh ke dalam hutan. Mereka tidak sedar yang sebenarnya penunggu hutan, telah mengumpan mereka masuk jauh ke dalam hutan dengan mengunakan cendawan-cendawan itu. Akhirnya nenek perasan yang mereka asyik berpusing-pusing di tempat yang sama tapi cendawan-cendawan itu seakan-akan tak ada habisnya. Sungguh pelik lagi walaupun mereka sudah mengutip banyak cendawan, tapi 'tekiding' (bakul sandang) mereka tidak juga penuh-penuh. Sentiasa ada ruang untuk mengisi cendawan. Penunggu hutan suka mengunakan ketamakan manusia untuk mengumpan mereka. Nenek sedar yang mereka telah termakan umpan penunggu hutan. Nenek dan atuk segera berhenti mengutip cendawan dan membuang semua cendawan yang dikutip. Kononnya membuang semua yang dikutip merupakan cara untuk keluar dari perangkap penunggu hutan. Penunggu hutan itu mereka gelar sebagai 'kalindahau'. Ia malah boleh menyerupai dan menyamar orang-orang yang kita kenal. Jadi tak hairanlah kalau kita pernah terdengar akan kisah orang hilang di dalam hutan berhari-hari dan sudah dicari bersungguh-sungguh tapi akhirnya dijumpai di tempat yang sudah ratusan kali telah diperiksa. Mungkin saja itu angkara penunggu hutan.

" Kenapa aku belum jumpa jalan keluar ni.." Kata Nong pada dirinya sendiri. Dia sudah membuang semua lokan yang dikutipnya tadi. Tapi hutan paya bakau yang tebal itu seakan tidak ada penghujungnya. Nong segera menterbalikkan baju yang dipakainya. Itu salah satu petua yang pernah didengarnya. Sambil mencari pokok-pokok yang kecil untuk dicabut Nong terus membaca Alfatihah dan apa-apa saja surah yang diingatinya. Sebatang demi sebatang pokok kecil yang dijumpai, dicabut dan ditanam semula dalam keadaan songsang. Akar di atas dan pucuk di bawah. Kononnya 'Kalindahau' akan sibuk memerhatikan pokok yang pelik itu hingga terlupa menutup pintu keluar. Maka berpeluanglah manusia yang terperangkap itu terlepas dan menjumpai jalan pulang.

"Nong..! Nong..!" tiba-tiba dia terdengar jeritan samar-samar dari kejauhan. Dia merasa lega. Nong tahu itu bukannya suara penunggu hutan. Tetapi itu suara ayahnya. Pasti ibu tirinya sudah mencarinya tetapi dia tidak dijumpai. Hingga akhirnya ibu tirinya memanggil ayah untuk mencarinya, teori Nong dalam hati. Nong segera menyahut dengan menjerit kuat.

" Ya.. aku sini.. Sini..!" Pekiknya sekuat hati dengan nada sungguh gembira. Dia berlari-lari anak dan tergopoh gapah mengejar arah suara ayahnya itu. Tidak semena-mena ketika dia menoleh di belakang dia ternampak kelibat ibu tirinya. Sedang melambai-lambai ke arahnya. Nong segera berhenti. Ibu tirinya sedang melambai-lambai lebih kurang 50 meter di belakangnya. Tempat yang sudah di tinggalkannya tadi.

" Maci.. Cie.. mana bapa?" Jerit Nong ke arah ibu tirinya. Ibu tirinya tidak menjawab tetapi menberi isyarat untuk mengekorinya. Nong segera mengekori kelibat ibu tirinya yang kelihatan tengelam timbul di sebalik pokok-pokok bakau di situ.

" Maci.. tunggu.." Seru Nong. Ibu tirinya berhenti seketika, melambainya dan memberi isyarat untuk cepat terus mengekorinya. Melihat kelibat ibu tirinya hampir hilang Nong buru-buru berlari dan berteriak.

" Tunggu… tunggu.. Jangan laju sangat" Pekiknya. Nong tersandung dan dia terjatuh ke dalam lumpur paya bakau.

" Ah.." Kakinya luka. Dia cepat-cepat bangkit. Dari jauh kelibat ibu tirinya semakin samar-samar.

" Lajunya maci ni eh.. kenapa dia tunggu aku ah?" keluhnya agak geram. Tiba-tiba Nong teringat semula cerita neneknya. 'Kalindahau' pandai menyerupai orang yang kita kenali. Biasanya bila 'Kalindahau' menyamar dia kurang bercakap untuk mengelakkan samarannya terbongkar. Nong berhenti mengejar ibu tirinya yang kelihatan masih melambai-lambai dan dengan isyarat supaya terus mengekorinya. Nong berhenti dan kembali membaca alfatihah. Kali ini dia membacanya kuat-kuat dan terus berpaling menuju ke arah suara ayahnya yang di dengarnya tadi. Sambil-sambil itu Nong menajamkan pendengarannya untuk mendengar jeritan atau panggilan dari ayahnya. Dia tidak mahu mengejar kelibat ibu tirinya lagi. Lagipun dia menyedari 'ibu tirinya' itu tidak mahu bercakap. Hanya asyik melambai dari jauh. Seperti menjaga jarak dan tidak mahu terlalu dekat dengannya. Nong terus melangkah ke arah sumber suara ayahnya yang didengarnya tadi. Akhirnya sayup-sayup Nong kembali terdengar beberapa suara memanggilnya. Nong segera membalas panggilan itu dan akhirnya suara mereka kedengaran semakin jelas. Hinggalah dia melihat ayah dan ibu tirinya serta Tua Moin pakciknya.

" Kenapa kau merayau di tunjang ni kan..?" Marah ayahnya. Nong tidak menjawab. Hanya menangis teresak-esak. Dia gembira kerana berjaya ditemui. Melihat Nong nangis, Ibu tirinya segera memeluknya, memujuk.

" Janganlah dimarahi anak atu.. syukurlah sudah jumpa.." Tegur Pakcik Moin kepada ayahnya. Ayahnya hanya mendengus kecil.

" Bah.. mari tah mulih.. sudah tah tu.." Kata ayahnya. Mereka beredar pulang. Ayahnya menepuk bahunya memujuk. Dalam perjalanan pulang Nong menceritakan pengalamannya ketika sesat di hutan paya bakau itu.

" Baik jua kau ingat petua-petua tu.. atu tah… kalau masuk hutan baca bismilah.. bagi salam. Kalau sudah dapat banyak.. jangan tamak. Kalau tamak tulah jadinya.. sesat.. nah sekarang sebiji lokan pun nda dapat.. batis luka saja ko dapat.. lagipun kalau kan melokan mana boleh sorang-sorang.. bahaya .." Kata ayahnya 'membasuh' telinganya.

" Ah.. mula-mula aku mau melokan tempat yang dakat-dakat ja bah tu.. nda jauh dari maci" Kata Nong membela diri.

" Mula-mula tu andang tah nda jauh kan.. tapi makin banyak dapat, sebab tu kau tersasar jauh.. bah! Jadikan pengajaran tah ni.. nasib jumpa, kalau kau ikut kalindahau yang menyerupai maci mu tu tadi.. belum tahu lagi kau boleh balik.. ada tau orang hilang di hutan langsung tidak kejumpaan sampai sekarang.." Kata ayahnya lagi. Nong hanya mengangguk dan akur dengan nasihat ayahnya.

Malam itu sekitar jam 9 malam Nong masuk tidur. Cuaca malam itu tenang saja. Malah bulan hampir mengambang penuh. Namun ketika menjelang jam 11 malam Nong terjaga. Dia terdengar sayup-sayup bunyi lolongan anjing tak henti-henti tidak jauh dari rumahnya. Anjing-anjing itu melolong dan sesekali kedengaran seperti menangis. Berdiri bulu roma Nong mendengarnya. Nong cuba tidak mahu mendengar bunyi lolongan anjing itu tetapi telinganya tertangkap bunyi kayu karan di hutan yang lebih kurang 100 meter dari rumahnya, seperti patah rempih seakan-akan dirempuh sesuatu. Nong menajamkan pendengarannya. Bunyi kayu kayan itu patah rempih agak kuat juga seakan-akan bunyi itu mendekati rumahnya. Dadanya berdebar-debar mendengar bunyi itu. Dia teringat cerita ayahnya semasa dia kecil. Sebelum ayahnya membuka tanah di situ dulu. Tempat itu adalah hutan belantara dan terkenal dengan kewujudan segenis makhluk yang bernama Jin Berantai. Kononnya ia berwarna hitam dan bertubuh tinggi. Bila ia berjalan, ia akan merempuh pokok-pokok hutan sambil mengheret rantainya. Dari jauh lagi boleh didengar bunyi kayu kayan yang dipijaknya dan bunyi rantai yang diheretnya. Nong mengigil ketakutan bila terdengar bunyi rempuhan kayu itu semakin dekat dan tiba-tiba berhenti bunyinya tidak jauh dari biliknya. Senyap. Anjing juga berhenti melolong. Namun beberapa detik kemudian rumahnya seperti digegar sesuatu. Lantai rumah kelihatan bergegar, dinding juga sama. Dan tiba-tiba kedengaran bunyi petir dan angin bertiup dengan sangat kencang. Ketenangan malam tadi telah berrubah sekelip mata, bagaikan adanya taufan.

" Dong..!!" tiba-tiba terdengar bunyi sesuatu terjun ke atap rumahnya. Kuat! Benar-benar di atas biliknya. Nong mengigil ketakutan. Sepanjang hidupnya tidak pernah kejadian seperti itu terjadi. Entah kenapa mimpi ngeri siang tadi seperti belum habis lagi. Nong segera keluar dari biliknya dan mengetuk pintu bilik ayahnya kuat-kuat.

" Bapa dengar kah..?" Kata Nong sebaik saja ayahnya membuka pintu.

" Kenapa? Dengar apa? " Tanya ayahnya dengan wajah mengantuk.

" Bapa dengar bunyi atas atap tu...?" Tanya Nong lagi. Sambil menunjuk ke arah atap rumah mereka. Ayahnya berkerut kening. Cuma bunyi hujan, petir dan angin kencang.

" Bunyi macam ada barang jatuh ngam-ngam atas bilik ku.." Kata Nong lagi.

" Dahan kayu kali tu.." Kata ayahnya. Tapi ketika itu juga atap mereka berbunyi lagi seperti dipijak orang. Bunyi itu semakin kuat seperti ada orang berjalan di atas atap zink itu.

" Nah tu.." Kata Nong sambil merenung siling. Rumah mereka seperti digoncang orang lagi. Kedengaran bunyi pingan dan gelas kaca berlaga sesama sendiri di dapur akibat goyangan itu. Suara anjing kembali bersahut-sahutan dengan lolongan yang kadang kedengaran jauh dan kadang kedengaran dekat.

" Apakah jadahnya tu.." Kata ayah. Ibu tirinya turut bangun dan berdiri di muka pintu.

" Pa bunyi tu..?" Kata ibu tirinya pula.

" Ada tetamu, kita malam ni.." Kata ayahnya sambil membetulkan kain pelikatnya. Bunyi langkah-langkah kaki di atas atap terus bergema. Kemudian disusuli bunyi cakaran di dinding, tingkap dan pintu rumah. Bunyi seperti kucing mencakar dinding dengan kuku-kuku yang tajam. Nong lihat mulut ayahnya mula terkumat kamit.

" Ambil kemenyan.. mari kita masuk ke bilik sembahyang.." suruh ayahnya. Ibu tirinya cepat-cepat mengambil mangkuk kemenyan dan mereka bertiga pergi ke bilik yang dimaksudkan.

" Apa tujuan 'tamu' tu datang malam-malam ni..? mangkali ada yang ikut kau tadi tengahhari tu Nong.." Kata Ayahnya. Dia bersila. Lampu minyak tanah diletak dekat dengan kemenyan.

" Bismilah hirrahman nirwahhim.." Ayahnya terus membaca-baca sesuatu. Sebaik saja ayahnya membaca, cakaran di dinding dan hentakan kaki di atas atap mereka bertambah kuat. Malah pintu utama seakan-akan dirempuh orang. Bergegar bunyinya seakan-akan hampir tercabut. Ada bunyi deraman kedengaran sepertinya bunyi binatang buas menderam di sekeliling rumah mereka. Ayahnya terus terkumat kamit membaca tanpa memperdulikan bunyi-bunyi itu.

" Tamu kita ni memang keras kepala. Nampaknya ada yang ia mahu.." Keluh ayahnya ketika berhenti sebentar. Mereka berpandangan.

" Nong.. Lai.. baca kamu alfatihah banyak-banyak sambil aku baca yang lain.." Suruh ayahnya kepada Nong dan ibu tirinya. Mereka akur. Cepat-cepat membaca seperti yang disuruh. Bunyi pintu rumah mereka masih kedengaran seperti dirempuh orang. Berdentam dentum bunyinya. Nong merasa sungguh resah. Peristiwa seperti ini tidak pernah terlintas dihatinya akan pernah berlaku. Rumahnya memang dikelilingi oleh hutan dan kebun tetapi dia sentiasa merasa selamat berada di persekitaran itu. Tidak menduga ada benda –benda ghaib yang akan datang menganggu ketenteraman mereka.

" Nong.. bapa tanya ni.. ada kau ambil apa-apakah di tunjang tadi.. tetamu ni berkeras tak mahu balik. cakap sama bapa.. kau ada ambil apa-apa barang di tunjang tadi.." Tanya ayahnya. Muka Nong berubah pucat mendengar pertanyaan ayahnya. Baru dia teringat. Dia terjumpa sebiji batu berwarna putih berkilat-kilat berbentuk aneh. Apabila terkena cahaya matahari batu itu akan berubah warna seperti biru laut. Sungguh cantik. Sebab itulah Nong mengambil dan menyimpannya di dalam poket seluarnya.

" Ah.. ada. Aku terjumpa batu putih berkilat tadi.. ada di poket seluar yang belum cuci tu.. ada sana di dapur.." Beritahu Nong pada ayahnya.

" Astagafirullah.. patutlah! Bah pergi kau ambil.." Suruh ayahnya.

" a.. aku nda berani ke dapur sorang.." Kata Nong enggan pergi sendiri. Mahu tak mahu ibu tirinya menemani Nong mengambil batu itu. Seluar itu ada di bakul kain kotor yang belum bercuci. Bunyi lolongan anjing terus bergema, semua bunyi-bunyian lain masih terus menghambat seluruh rumah mereka. Di atap, dinding, tingkap dan pintu. Dari semua arah! Pokok-pokok berdekatan rumah mereka juga seolah-olah di tumbangkan orang bunyinya.

" Nah.." batu itu bertukar tangan. Ayahnya sekali lagi terkumat-kamit. Tiba-tiba semuanya kedengaran senyap. Sungguh senyap. Hinggakan sebatang jarum jatuh pun pasti akan kedengaran. Tiba-tiba ayahnya bangun menuju ke pintu utama. Perlahan-lahan pintu dikuak. Nong dan ibutirinya mengekori dari belakang. Gelap gelita. Tidak kelihatan apa-apa di luar sana. Tidak ada sebiji bintang apatah lagi bulan. Ayahnya mendekatkan gengaman tangannya yang berisi batu putih itu ke bibirnya sambil mulutnya terus terkumat kamit.

" Nah.. mulih tah.. mulih ke asalmu.. jaan tah lagi di sini.. bukan tempatmu.." Kata ayahnya lalu melemparkan batu itu sekuat hati ke luar rumah. Dan sebaik saja batu itu terbang pergi Nong melihat ribuan kelawar terbang ke arah hutan dan samar-samar dalam cahaya bulan kelihatan kayu kayan di hutan bergoyang-goyang seperti diredah sesuatu yang tidak kelihatan.

" Eh.. tadi nda nampak apa-apa, gelap gelita.. sekarang ada cahaya bulan.." Kata Nong merasa sangat pelik. Pemandangan di depannya bagaikan magik. Berubah serta merta.

" Yang kau nampak gelap tu tadi sebab 'benda' tu berdiri depan rumah kita, tepat-tepat depan pintu.. lain kali jangan sembarangan ambil batu-batuan atau apa-apa saja dalam hutan. Kalau jumpa benda yang pelik atau lawa macam atu.. bagi salam dulu.. lepas tu minta baik-baik, minta izin.. kalau dia izin.. dia nda ikut balik.. kalau dia tidak izin.. benda tu hilang dengan sendirinya dalam perjalanan.. tapi kalau langsung tidak minta izin.. maksudnya macam memanggil tetamu datang ke rumah!" Kata ayahnya dengan nada keras dihujung bicara, dia menutup pintu utama. Nong hanya mampu meminta maaf. Dia kesal dengan apa yang telah terjadi. Esoknya bila bangun pagi. Kelihatan semuanya sediakala. Tanah di halaman rumah langsung tidak basah sedangkan bunyi petir, hujan dan angin semalam seakan-akan taufan melanda. Nong akur.. itu tentunya angkara 'benda' yang menjadi tamu mereka malam tadi. Nong cepat-cepat mengemas barang-barangnya. Dia ingin kembali ke KK beberapa hari lebih awal. Alasannya dia mahu mencari buku untuk persediaan semesta yang akan bermula tak lama lagi. Walaupun sebenarnya dia merasa serik kerana peristiwa dikunjungi tetamu tidak sengaja diundangnya.

****

Dia melihat jam tangannya, sudah jam 11 pagi. Baru saja kelas pertama selesai. Perut pun sudah berkeroncong lapar, kawannya Ida masih terperap di tandas belum keluar-keluar. Katanya buang air kecil tetapi agak lama juga. Nong menunggu dengan resah. Tiba-tiba angin bertiup agak kencang dan beberapa kertas nota terbang ke arahnya. Dia segera menangkap sebahagian darinya dan mengembalikan kepada empunya nota.

"Terima kasih…. Eh? Kamu.. bukan..?" Kata lelaki empunya nota kepadanya. Nong terpegun. Ini mimpi? Muka hensem tu memang selalu berlegar di kepalanya. Tidak sangka berjodah lagi terjumpa di sini.

" Er.. kamu sumandak yang jual pisang di tamu Kuala Penyu tu kan? Student sini juga?" Tanyanya lagi. Tambah lagi Nong terkejut. Dia ingat! Mesti sangat ketara dia memerhatikan lelaki tu tempoh hari – terus muka Nong jadi merah. Malu!

" Ah.. ya..ya..!" Sahut Nong sedikit tergagap. Gugup. Lelaki itu senyum lagi. Aduh.. bikin cair.

" Anyway.. saya Andy. Kamu? Nampaknya kita berjodoh.. sebab tu kita berjumpa lagi di sini." Katanya tanpa segan silu. Ternyata pertemuan mereka di tamu itu dulu hanyalah satu titik permulaan. Nong tersenyum lebar, hatinya berbunga-bunga. Inilah namanya yang bulat datang bergolek yang pipih terbang melayang.

" Nama saya Aimee.. tapi nama panggilan Nong seja"

New chapter la! Tidak fikir panjang Nong terima ajakan Andy ke kantin, sampai terlupa kawannya Ida yang tak keluar-keluar dari dalam jamban!

Sekian!