"MACAM manalah aku boleh syok sangat tidur pagi tadi?" bebelnya sendirian sambil mengawal stereng kereta. Itulah bahana tidur selepas solat Subuh. Pasti akan terlejak tidur andai tidak dikejutkan. Mujur emaknya ada. Jika tidak, masuk lewatlah dia ke ofis hari ini.
"Sesak pulak jalan ni." Rungutnya bila kenderaan di hadapan bergerak perlahan. Inilah hal yang paling dia tidak gemar jika terlewat ke pejabat. Di waktu-waktu begini pasti jalan yang dia akan lalui ke pejabat akan sesak!
Pagi ini dia ada sesi temuduga untuk jawatan pembantu kedua di syarikatnya. Dia berharap dia tidak terlalu lewat sampai ke pejabat.
Telefon pintarnya di dalam poket seluar tiba-tiba berbunyi. Terkial-kial dia mengeluarkan gadjey canggih itu dari dalam poket seluarnya. Nama Zenia tertera di skrin.
"Assalamualaikum Nia," sapanya selepas talian bersambung.
"Waalaikumussalam. Shaf, awak dekat mana? Awak sakit ke?" Dua soalan sekali gus Zenia tanyakan di hujung talian.
"Saya dalam kereta ni. Jalan sesak. Saya ada hal sikit sekejap tadi," pohon dan bohong Shafiz.
"Awak lupa ke, yang hari ni kita ada sesi temuduga untuk jawatan pembantu kedua awak tu?" Zenia mengingatkan.
"Sorry Zenia, saya tak lupa. Saya ingat. Saya minta maaf sangat. Saya dah on the way ke pejabat ni. Mungkin dalam masa lima belas minit lagi saya sampai kut?"
"What?" Zenia terkejut. "Temuduga dah nak mula lima minit lagi, Shaf. Dia orang yang nak ditemuduga pun dah ramai yang datang. Awak bergurau ke apa ni?"
"Saya tahu. Saya akan cuba sampai cepat. Macam ni, awak uruskan dulu, nanti saya sampai saya terus follow up. Tak perlu lewatkan sesi temuduga tu, okey?"
Diam dari sebelah sana.
"Okey, jumpa nanti." Akur Zenia selepas beberapa saat berdiam lalu memutuskan talian.
Stereng dipusing memasuki simpang ke kanan sebelum sampai ke pejabatnya. Shafiz mencebik bibir bila melihat talian sudah terputus sejak lima saat yang lalu. Dia marah aku, ke? Detik hatinya. Dek terlalu lama dia memandang skrin telefon, keretanya telah beralih arah menuju ke bahu jalan tanpa disedari.
"Ya Allah!"
Kelam kabut Shafiz membetulkan arah keretanya. Dia dapat rasa tayar depan sebelah kiri keretanya telah melanggar lopak air dan airnya terpercik ke bahu jalan.
"Astaghfirlahalazim."
Shafiz beristifar panjang sambil mengusap dada. Mujurlah dia sempat membetulkan arah kenderaannya tadi. Jika tidak, entah apa nasibnya. Kenderaannya mula bergerak perlahan menuju ke bahu jalan. Dia memandang cermin pandang belakang. Matanya terpandang seorang wanita yang sudah kebasahan dek terkena percikan air dari lopak tadi.
Dia memberhentikan keretanya lalu melangkah keluar menuju ke arah wanita itu yang kelihatan sedang mengelap wajahnya yang basah dengan lengan bajunya.
"Assalamulaikum cik, saya minta maaf sangat-sangat sebab buat cik basah macam ni." Pohon Shafiz bersungguh.
Wanita itu memandangnya dengan pandangan sinis. Salam Shafiz dijawab sekadar di dalam hati.
"Tak apalah encik, memang dah nasib saya nak kena simbah air lopak pagi-pagi macam ni," balas wanita itu dengan nada menyindir sambil memerah pakaiannya yang sudah basah separuh.
Shafiz semakin dihambat rasa serba-salah. Sapu tangan di dalam poket kemejanya dikeluarkan lalu dihulur kepada wanita itu. Dia cuba memandang wajah wanita itu dengan jelas tetapi tidak berjaya kerana wanita itu terus berpaling dari memandang wajahnya.
"Ambil ni, lap muka awak yang basah tu." Ikhlas Shafiz memberi pertolongan kecil itu. Apa yang pasti, rasa serba salahnya lebih tinggi dari segalanya.
"Terima kasih," ucap wanita itu lalu menyambut sapu tangan yang dihulur Shafiz. Dilap wajahnya yang basah.
"Maafkan saya encik, saya dah lewat. Saya minta diri dulu," pinta wanita itu lalu melangkah laju menuju ke arah barat.
"Tapi…" Belum sempat Shafiz menghabiskan kata-katanya, wanita itu sudah melangkah jauh. Dia mengeluh berat.
# # # #
DENGAN debaran di dada, Shadrina menolak pintu kaca gelap berbingkai aluminum di hadapannya ke dalam. Kelihatan ada dua orang wanita sedang duduk di ruang menunggu. Semua mata-mata yang ada di pejabat itu memandangnya dari atas ke bawah berulang kali ketika ini. Hilang terus keyakinan dirinya. Dia tahu keadannya ketika ini agak memalukan. Tapi, dia perlu teruskan niatnya. Niatnya hanya ingin mencari pekerjaan yang lebih baik.
"Selamat pagi cik. Cik ni datang nak temuduga jawatan pembantu tu, ke?" Tanya penyambut tetamu yang duduk di meja bertentangan dengan pintu masuk. Mesra sapaannya dan manis senyumannya.
"Ya saya. Maaflah, saya terlambat. Masih boleh lagi ke, untuk temuduga tu?" tanya Shadrina, risau.
"Masih boleh, cik. Temuduga ni bermula dari pukul sepuluh pagi sehingga dua belas tengah hari. Hari ni dan esok sahaja," jawab wanita itu sambil mencapai sekeping borang di hadapannya. "Cik duduk dulu, dan isi borang ni, okey?" arahnya sambil meletakkan borang itu bersama sebatang pen di hadapan Shadrina.
Shadrina teragak-agak untuk duduk dengan keadaannya ketika ini. Dia bimbang, pakaiannya bakal mengotorkan kerusi di sisinya itu.
"Duduk aje cik. Jangan malu-malu," jemput wanita itu lagi.
Shadrina memandang sekelilingnya. Bimbang dia terus menjadi perhatian.
"Saya takut kerusi ni basah," teragak-agak Shadrina memberitahu apa yang menjadi kebimbangannya.
"Ala cik, tak apa. Basah aje, bukan apa pun, kan? Keringlah kerusi tu nanti. Cuma saya nak tanya, kat luar sana hujan ke sampaikan cik basah macam ni?" tanya wanita itu.
Shadrina tersenyum kelat melihat keramahan dan kemesraan penyambut tetamu di hadapannya. Perlahan-lahan dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi di sisinya.
"Tak hujan. Cuma, masa dalam perjalanan ke sini tadi, ada insiden tak diingini berlaku." Jujur Shadrina menjawab sambil mengisi butir peribadinya pada borang tadi.
"Ooo… ni mesti kes kereta langgar lopak air, lepas tu awak terkena percikkan air tu, kan? Telenovela sangat," tebak wanita itu, tepat sekali.
Shadrina sekadar tersenyum memandang wanita di hadapannya itu.
Perbualan terus tergendala saat Shadrina fokus mengisi maklumat peribadinya seperti yang dipinta dalam borang.
"Okey, dah siap," ujar Shadrina lalu menghulur borang di tangannya kepada wanita di hadapannya itu. Sekeping gambar berukuran passport turut disertakan bersama borang itu seperti yang dipinta.
"Okey, cik duduk dulu di sana, nanti kami akan panggil ke bilik mesyuarat untuk ditemuduga." Maklum wanita itu sambil menyapu gam pada gambar Shadrina lalu ditampal pada ruang yang berkenaan.
Dengan rasa malu dan rendah diri, Shadrina melangkah menuju ke ruang menunggu, dua lagi wanita yang ada kelihatan bergaya sedang melihat keadaannya. Dia melabuhkan punggung di atas kerusi kosong yang berhampiran dengan salah seorang dari mereka. Semasa dia mula duduk, dia perasan wanita yang duduk di sebelahnya menjauhinya. Dia tidak berkecil hati. Dia sedar dengan keadaannya ketika ini.
Sejam kemudian, tibalah giliran dia untuk ditemuduga. Semakin tidak menentu detak jantungnya ketika ini.
"Siti Shadrina binti Sulaiman."
Nama penuh Shadrina dilaung.
"Saya cik," jawab Shadrina sambil mengukir senyum.
"Masuk," suruh si penyambut tetamu tadi dengan senyum mekar di bibir.
Shadrina melangkah masuk ke dalam bilik mesyuarat itu dengan debar yang menggunung.
"Good luck," ucap wanita tadi sambil mengenyit mata ke arah Shadrina dari mejanya.
Shadrina hanya mengukir senyum lalu menolak pintu bilik mesyuarat itu ke dalam. Ada seorang lelaki berkemeja biru cair dan seorang perempuan cantik lagi jelita sedang asyik berbual berdua. Teragak-sagak dia melangkah masuk ke dalam ruang itu lalu berdiri di hadapan mereka berdua.
"Assalamualaikum dan selamat pagi encik, cik," ucap Shadrina, penuh hormat.
Terkaku lelaki dan wanita itu memandang keadaan calon pembantu kedua mereka ketika ini.
Shadrina turut tergamam melihat riaksi dua manusia di hadapannya itu. Apakah aku akan dihalau disebabkan keadaan aku sekarang? Hatinya tertanya sendiri dalam cemas.