"AWAK tak kisah saya join awak makan dekat pantri ni, kan?" tanya Shafiz, teragak-agak. Bukusan makanan di tangannya diletak di atas meja. Di dalam hatinya dia terus berharap yang Shadrina tidak mengusirnya atau melarikan diri. Dia mahu mengenali wanita itu dengan lebih dekat lagi!
Sungguh Shadrina terasa janggal ketika ini. Sebelum ini ketuanya itu tidak pernah berbual mesra atau duduk semeja dengannya. Dia bimbang ada yang melihat. Pasti akan menimbulkan syak was sangka.
"Saya rasa ofis ni Encik Shafiz punya. Jadi, Encik Shafiz berhak nak makan di mana-mana pun," jawab Shadrina, teragak-agak. Dia dalam dilema. Apakah dia perlu terus di situ atau meminta diri sedangkan bekalnya di atas meja masih belum dijamah lagi?
"Awak jangan risau, saya tak akan tutup pintu pantri ni. Lagipun, Masdiana ada dalam ofis dia. Dia tak leluar lunch hari ni, ganti puasa katanya," maklum Shafiz yang perasan wajah risau Shadrina.
Walaupun jawapan dari ketuanya itu sedikit melegakan, tapi dia tetap terasa janggal untuk berhadapan dengan lelaki itu. Lagipun, dia sedar diri, dia hanya pembantu biasa sahaja di pejabat ini. Apakah dia layak duduk semeja dengan ketuanya itu?
"Boleh kan, saya duduk sekali? Sebab, café kat bawah tu penuh dah dengan pekerja-pekerja dari ofis sebelah. Tak ada tempat nak duduk. Sebab tu saya bungkus makanan ni dan makan dekat sini. Nak makan di pejabat, bimbang berbau pula nanti," jelas Shafiz walaupun tidak ditanya.
"Emmm… jemputlah." Teagak-agak Shadrina membalas.
Shafiz tersenyum gembira lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi kedua yang berhadapan dengan Shadrina.
Shadrina semakin janggal. Bukusan makananya mula dibuka. Sekilas dia memandang makanan yang dibeli Shafiz. Ada yang kurang. Lekas dia bangkit berdiri lalu melangkah ke sinki. Sebiji lagi cawan seramik dicapai lalu diisi dengan air masak dari cerek elektrik.
"Ini airnya bos," kata Shadrina sambil meletak cawan seramik di tangannya di hadapan Shafiz.
Shafiz mengucapkan terima kasih. Kembang hatinya bila mendapat layanan istimewa dari Shadrina. Mungkin di mata orang lain ia satu layanan biasa. Tapi baginya, layanan Shadrina itu cukup istimewa sekali.
"Terima kasih Rin," ucap Shafiz lalu mencapai sudu plastik yang ada di dalam plastik yang sama.
"Tak apa, biar saya baca doa," pintas Shafiz bila melihat Shadrina mula menadah tangan.
Shadrina hanya mengangguk sambil menundukkan wajah. Tangan terus di tanah mengaminkan doa makan yang dibaca Shafiz. Tidak sampai lima belas saat, doa selesai dibaca.
Mereka mula manjamah makanan masing-masing.
"Kuih Sri Muka, kan?" tanya Shafiz sekadar berbasa-basi.
"Ya Encik Shafiz," jawab Shadrina.
"Kuih kegemaran saya ni."
"Oh ya ke? Kalau Encik Shafiz sudi, jemputlah jamah sekali," balas Shadrina lalu menyua bekas kecil berisi kuih Sri Muka di tangannya kepada Shafiz.
"Boleh ke ni?" tanya Shafiz sekadar ingin memastikan.
"Saya dah pelawa, kan?"
Shafiz hanya tersengih lalu mengambil sepotong kuih Sri Muka di dalam bekas itu. Dengan lafaz bismillah dia mengigit sedikit kuih itu. Sedap! Rasa lemak santan pada pulut dan manis pada lapisan hijaunya cukup enak. Digambungkan kedua rasa itu menerbitkan satu rasa yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
"Sedapnya," puji Shafiz, jujur.
"Awak buat atau beli?"
Malu Shadrina bila dipuji sedemikian.
"Saya buat sendiri."
"Pandai awak buat kuih ya?"
Shadrina tersenyum sambil mengunyah makanan di dalam mulutnya perlahan-lahan.
"Sebenarnya, sebelum saya berkerja di sini saya menjual kuih muih dan nasi lemak kat kampung. Syukuralhamdulillah, hasil tunjuk ajar dari mak saya, saya pandai buat beberapa jenis kuih tradisional Melayu," jujur Shadrina menjawab.
"Jadi, sebelum ni awak jual kuih? Di kampung?" Shafiz mula berminat ingin tahu lebih lanjut tentang gadis di hadapannya itu.
Shadrina angguk dan mula bercerita.
"Selepas arwah abah meninggal dunia ketika saya berusia 12 tahun, mak jadikan pernigaan jual kuih muih di depan kampung sebagai sumber rezeki kami dua beranak. Saya anak tunggal. Selepas tamat tingkatan enam, saya pula ambil alih perniagaan tu."
Shafiz angguk. Serba salah pula dia kerana telah menguak kisah lalu Shadrina yang terselit kisah duka.
"Jadi sekarang, awak dah tak menjual kuih lagi?"
"Masih. Cuma saya buat part time. Malam nanti saya sediakan bahan mentah. Awal pagi esoknya saya siapkan kuih dan nasi lemak. Sebelum pergi kerja saya letak kuih-muih dan nasi lemak saya dekat warung Mak Jemah kat depan kampung. Balik nanti, saya ambil duit jualannya dan beli bahan mentah untuk jualan esok."
Shadrina bercerita tanpa ada rasa curiga sama ada lelaki di hadapannya itu jujur atau tidak. Apa yang pasti dia ikhlas bercerita dan bukan mahu meraih simpati.
Semakin serba salah Shafiz dibuatnya bila melihat ada nada sedih di sebalik penceritaan Shadrina tadi. Serta merta kunyahannya menjadi perlahan.
"Emmm…. Maafkan saya Rin, andai pertanyaan saya tadi buat awak kembali teringat kisah lalu." Pohon Shafiz, serba salah.
Dari cerita Shadrina tadi tahulah dia yang Shadrina bukan berasal dari keluarga senang. Semakin memberontak jiwanya ingin mengetahui latar belakang hidup gadis itu. Bila wajah sedih mula terukir di wajah Shadrina, hatinya mula rasa ingin menjadi sumber kekuatan dan pelindung pada wanita itu.
"Tak apa."
Shadrina mengukir senyum dalam payah.
"Apa-apa pun, kuih Sri Muka awak ni memang sedap. Memandangkan awak jual kuih, boleh tak saya nak beli kuih dari awak?" Shafiz cuba menukar topik dan suasana.
Berkerut dahi Shadrina memandang Shafiz. Dia mula rasa selesa berbual dengan ketuanya itu yang ternyata mesra dan peramah.
"Encik Shafiz nak beli kuih apa?"
"Awak jual kuih apa?"
"Karipap sardin, bingka ubi, lepat pisang, donat gula, Sri Muka, apam dan nasi lemak," lancar Shadrina menjawab.
"Okey," Shafiz diam sejenak. Berfikir seketika. "Kalau macam tu, esok saya nak awak bawakan saya karipap sardin dua ringgit, kuih Sri Muka dua ringgit dan nasi lemak dua bungkus. Boleh?"
Shadrina tersenyum. "Boleh Encik Shafiz."
"Lepas tu kita boleh lunch sama-sama macam ni hari-hari, kan?"
Disebabkan terlalu teruja, Shafiz tidak sedar telah meluahkan niat sebenarnya. Makanannya mula dijamah. Akhirnya, dia dapat juga mendekati wanita bernama Shadrina itu.
Kata-kata Shafiz itu membuatkan Shadrina terasa janggal. Namun dia mengabaikan perasaan itu bila melihat ketuanya itu berselera sekali menjamah makananya. Mungkin dia bergurau aje kut? Desis hatinya, tidak mahu mengharap apa-apa. Dia sedar diri.
Mereka terus menjamah makanan masing-masing sambil berborak kosong. Mula-mula sahaja masing-masing nampak janggal. Tapi bila masing-masing sudah bercerita, seperti kenalan rapat. Tanpa mereka sedari, terdetik rasa sesuatu di hati masing-masing ketika ini.
# # # #
TERKEJUT Zenia bila melihat dua lelaki yang tidak dikenali muncul di pejabat mereka. Dari gaya pakaian dua lelaki itu seolah pekerja dari bangunan sebelah. Apa dua lelaki ni buat dekat sini? Hatinya tertanya sambil matanya terus mengekori langkah dua lelaki tadi ke bilik belakang.
Langkahnya tidak terus disusun menuju ke pejabatnya, sebaliknya dipesong menuju ke pejabat Shafiz. Sampai sahaja, pintu diketuk.
Shafiz yang sedang menyemak rekaan bangunan untuk projek terbaru Shaf Engineering Sdn. Bhd. melalui perisian AutoCAD mengangkat wajah memandang ke arah pintu pejabatnya.
"Nia, ada apa?" tanya Shafiz.
"Awak busy ke?"
"Tak busy sangat. Kenapa?"
"Saya cuma nak tanya pasal dua lelaki yang masuk ke bilik belakang tadi. Mereka tu, pekerja dari bangunan sebelah, kan? Awak ada nak buat renovate ofis ke?"
Shafiz kembali memandang skrin komputer ribanya lalu mengangguk.
Zenia berkerut dahi lalu melangkah masuk.
"Awak nak renovate apa lagi? Bulan lepas kita baru ubah suai pantri kita tu, kan?" Hairan Zenia dengan jawapan bukan lisan dari Shafiz tadi. Dia melabuhkan punggungnya di atas salah satu kerusi empuk yang ada di hadapan meja Shafiz.
"Awak tak ada suruh saya buka akaun baru untuk renovate ofis pun?"
"Ya, saya tahu."
"Kalau dah tahu, kenapa tak cakap pada saya? Sebut harga pun tak keluar lagi, dia orang dah mula buat kerja. Awak tak risau kena tipu? Sepatutnya awak kena bagi tahu saya. Pening saya nanti nak seimbangkan akaun renovate tu," Zenia risau. Selain risau, dia juga terkilan kerana Shafiz seolah cuba mengabaikannya.
Shafiz mula rimas. Wajah Zenia yang kelihatan seolah tidak puas hati itu dipandang.
"Awak nampak tak mereka berdua tu pergi ke mana?"
Zenia mengulum bibir. Hairan dengan pertanyaan Shafiz itu.
"Ke bilik belakang."
"Okey, bilik belakang tu bilik apa?"
"Err…" Zenia berfikir seketika. "Bilik solat dan kadang-kadang macam bilik stor juga," teragak-agak Zenia menjawab.
"Itulah jawapan yang awak cari. Saya nak renovate bilik solat tu. Saya upah dua lelaki tu untuk ubah dekorasi bilik tu dan cat baru. Mana kotak-kotak tak pakai tu akan dibuang. Mana dokumen lama tu akan dipindahkan ke stor yang sebenar. Tentang kos renovate tu semua awak tak perlu risau. Saya akan tanggung semuanya guna duit saya sendiri. So, awak tak perlu nak sentuh akaun renovate syarikat," panjang lebar Shafiz menjawab lalu kembali memandang skrin komputer ribanya.
Zenia terdiam. Berlapis kerutan di dahinya memandang Shafiz dek rasa hairan yang semakin menebal.
"Awak nak renovate bilik solat tu? Kenapa tiba-tiba? Kenapa tak renovate sejak dulu lagi?"
Shafiz mengeluh halus. Dia menyangkakan jawapannya tadi sudah cukup jelas. Tapi, masih ada yang Zenia persoalkan.
"Sebab, bilik solat tu dah ada yang selalu guna. Sebelum ni, jarang ada yang gunakan bilik solat tu. Saya sendiri solat dekat luar. Lepas waktu lunch saya akan singgah di mana-mana masjid atau surau. Kasihan pula saya tengok Rin tu solat dekat bilik tu dalam keadaan sempit. Lagipun, menyediakan kemudahan bilik solat untuk pekerja saya yang beragama Islam ada salah satu kewajiban dan tanggungjawab saya, kan?"
Zenia tersegih sinis. Ternyata, benar terbakkannya.
"Jadi, awak buat semua ni untuk perempuan kampung tu?" Zenia mempersoalkan.
"Awak tak dengar apa yang saya katakan tadi? Saya buat semua ini atas dasar kewajiban dan tanggungjawab saya sebagai majikan untuk sediakan kemudahan untuk pekerja-pekerja saya."
"Ya lah, tapi kenapa baru sekarang?"
"Sebab sebelum ni bilik tu jarang digunakan. Awak pun saya tengok macam tak pernah solat dekat bilik tu. Yang lain pun saya jarang nampak solat kat sana. Tapi bila setiap hari saya nampak Rin selalu gunakan bilik solat tu, baru saya sedar yang selama ni saya tak pernah nak ambil peduli pasal bilik tu sebab saya selalu solat di masjid atau surau berdekatan. Awak nak, kalau pihak OSHA (Occupational Safety & Health Academy) datang buat pemantauan kemudian kita kena tindakkan undang-undang sebab tak menyediakan kemudahan untuk pekerja di Shaf Engineering?"
Sekali Shafiz sudah membebel. Terus buat Zenia tersentap kerana ada sindiran tajam di sebalik kata-kata Shafiz itu. Namun, jauh di sudut hatinya dia tetap menganggap semua ini disebabkan Shadrina.
"Cakap ajelah yang awak buat semua ni untuk perempuan kampung tu," Zenia masih mahu menangkan tebakkannya.
Shafiz malas mahu memanjangkan isu itu.
"Kalau tak ada apa-apa yang penting nak bagi tahu lagi, awak boleh keluar," tanpa ada perasaan serba salah, Shafiz menuturkan kata-kata itu dengan baik. Dia mahu fokus pada kerjanya ketika ini. Dia bimbang jika dia meneruskan isu ini bisa mengundang pergaduhan dan tragedi masam muka di antara mereka.
Zenia merenung Shafiz sinis sambil mengecilkan kelopak matanya. Sakit hatinya bila dia dihalau dengan ayat-ayat sopan sebegitu. Semakin tebal rasa bencinya pada Shadrina. Sebelum ini mereka tidak pernah bertegang urat seperti ini. Tapi, sejak Shadrina berkerja di pejabat ini, dia dan Shafiz semakin kerap berselisih faham. Panas!
Hakikatnya bukan kerana Shafiz, tetapi kerana dirinya sendiri yang terlalu cemburu dan sakit hati. Dia tidak boleh terima kenyataan yang dia hanya dianggap sebagai kawan biasa di dalam hidup Shafiz.
Dengan rasa sakit hati, Zenia bangkit berdiri bila Shafiz nekad menyuruhnya keluar tanpa pujukan atau permohonan maaf. Dia melangkah keluar dari pejabat itu menuju ke pejabatnya dengan deru nafas yang berombak kencang di dada. Sampai sahaja di pejabatnya, dia terus merebahkan tubuhnya di atas sofa yang ada.
"Ni semua pasal perempuan kampung tak guna tu!" Bentaknya, perlahan. Tiba-tiba, dia kembali memikirkan tentang rancangan emaknya tengah hari tadi. Nampaknya, dia perlu bersetuju dengan rancangan emaknya itu. Cara itu sahaja yang dia rasa berkesan ketika ini. Dia nekad!