Chereads / Game Over, Mr. Panther! / Chapter 1 - PROLOG

Game Over, Mr. Panther!

🇲🇾Sariel_Y
  • --
    chs / week
  • --
    NOT RATINGS
  • 12k
    Views
Synopsis

Chapter 1 - PROLOG

DEBARAN ini sangat mencengkam jiwa lelakiku. Tidak lama lagi, aku akan bertemu semula dengan Hana. Wanita yang meninggalkan aku disebabkan penipuannya. Tidak pernah sekali aku marah dan bencikan dirinya kerana menipu tentang status dirinya kepadaku. Sejujurnya, aku masih mencintainya dan hati ini terus mendesak untuk berjumpa dengannya lagi setelah setahun berlalu. Kata-katanya pada malam itu masih terpahat di hati dan fikiranku. Betapa kecewanya hati ini tatkala dia melangkah pergi dari hidupku.

Walaupun keluarga kami bersatu atas perkahwinan Julaikha dengan Harraz, hakikatnya aku tetap berasa keseorangan tanpa Hana. Dan melihatnya lagi setelah setahun berlalu telah meniupkan harapan untuk memilikinya.

"Encik Shah, Cik Hana nampak berbeza daripada sebelum ni kan?" tanya Khai mesra.

Aku hanya membalas dengan senyuman. Betul kata Khai, Hana memang nampak berbeza daripada tahun lepas. Sekarang keindahannya semakin terserlah dengan 'wajah' baharunya. Kini sisi muslimahnya jelas terpamer pada wajah tenangnya itu. Kali pertama aku berselisih dengannya, aku sudah merasakan aura yang berbeza daripadanya.

"Khai, awak ingat tak semasa kita berselisih dengan Hana tempoh hari? Masa Harraz ajak kita masuk ke pejabatnya. Awak rasa Hana perasan saya tak masa tu?"

Khai menggeleng. "Saya tak pasti tentang tu Encik Shah. Sebab masa tu Cik Hana nampak tergesa-gesa keluar dari pejabat Tengku Harraz."

Begitu rupanya. Jadi sebelum ini Hana langsung tidak perasan kehadiranku di Hospital Puncak Puteri semalam. Mungkin itulah sebabnya dia langsung tidak menegur atau pandang aku sekalipun.

"Encik Shah, encik yakin ke Cik Hana tak akan rasa terbeban dengan kerjanya? Tengku Harraz cakap Cik Hana seorang ahli neurologi. Bukannya doktor yang sesuai untuk uruskan fisioterapi," kata Khai dengan sopan.

"Saya tahu. Tapi awak dengar apa yang Harraz beritahu, kan? Dia sendiri yang akan uruskan patient Hana supaya Hana dapat temankan saya. Lagipun, inilah peluang yang saya tunggu selama ni. Saya nak jumpa Hana lagi. Tak kira apa-apa pun yang berlaku, saya akan buat apa aje untuk paksa dia kekal dengan saya." Rantai yang pernah aku beri padanya aku genggam kuat. Akhirnya, rantai ini akan kembali pada pemiliknya.

Kali ini aku sudah nekad. Sebelum ini aku lepaskan dia kerana tingkahnya menghentikan aku daripada menahannya. Kali ini, aku sendiri yang akan buatkan dia berhenti lari daripadaku.

Kedengaran pintu dibuka. Spontan aku menoleh ke pintu, mengharapkan kedatangan wanita yang aku rindui selama ini. Tatkala anak mataku tertumpu pada gerangan yang masuk bersama Harraz, hatiku berombak kencang. Kegembiraan yang teramat mula menguasai seluruh diriku. Tika ini, aku betul-betul rasa tersentuh. Hana membalas pandanganku dengan senyuman manis. Sejujurnya, aku berasa mahu menangis gembira. Akhirnya, aku dapat berhadapan lagi dengan wanita yang aku rindukan setiap masa.

"Hana!" Akhirnya aku memanggil namanya dengan rasa gembira yang teramat.

Mata wanita itu membulat seketika. Tidak lama kemudian, dia ketawa kecil.

"Wow, this is the first time I heard someone called me by that name. Harraz, abang ipar kau ni memang susah nak dijangka kan?" Hana tersenyum kepadaku pula. "Jadi awaklah abang Julaikha, kan? Gembira berjumpa dengan awak, Shah."

Jantungku terasa disentap dengan sapaan mesra Hana. Bicaranya sangat berlainan daripada sebelum ini. Senyuman dan riaknya seakan mengatakan bahawa inilah kali pertama kami berjumpa. Kenapa Hana langsung tidak terkesan dengan kehadiranku di sini? Bukankah dia sepatutnya terkejut dapat berhadapan denganku lagi?

"Kak Izz, ni Encik Khai merangkap pembantu peribadi Abang Shah." Harraz memperkenalkan Khai kepada Hana pula. Khai juga nampak terkejut dengan perubahan mendadak Hana.

"Hai, Encik Khai. Panggil aje saya Doktor Izz. Mulai sekarang, saya harap kita dapat bantu Shah jalani fisioterapi."

Kenapa Hana? Kenapa kau langsung tidak terkesan dengan pertemuan kita? Apa yang berlaku pada kau sejak malam itu?

"Err, Abang Shah…" Harraz mendekati dan berdiri di sebelahku.

"Harraz, kenapa Hana…"

"Abang Shah, aku faham yang kau keliru dengan situasi ni. Tapi… macam yang kau nampak, Kak Izz langsung tak ingat tentang abang dan apa yang jadi sebelum ni. Aku harap, buat masa ni kau boleh bersabar dan biarkan Izz buat apa yang patut. Jangan risau, dia tak hidap amnesia cuma… Aku akan jelaskan kemudian," beritahu Harraz sambil tersenyum kelat.

Apa maksud Harraz? Apa yang terjadi dalam dua tahun ini? Hana langsung tidak ingat pada aku? Itu mustahil! Tidak mungkin dia boleh lupa begitu saja tentang kenangan kami berdua. Bagaimana semua ini boleh berlaku kepadaku? Aku mahukan Hana semula. Aku mahu Hana yang selalu mengusikku dengan bicara selambanya.

Izz Hana yang berada di hadapanku ini bukanlah orang yang sama.