WALAUPUN berat hati, aku tetap cuba mengambil gelas besar yang penuh dengan minuman pepsi itu. Kali ini aku harus berjaya dalam cabaran. Walaupun minuman berkarbonat yang paling aku benci, aku tiada pilihan lain. Untuk menyelamatkan duit gajiku daripada Dira, aku perlu melaksanakan cabaran ini.
Aku menghela nafas perlahan. Air yang berbuih kecil ini aku tenung lama. Sejak remaja lagi, aku sudah menganggap minuman berkarbonat sebagai 'racun'. Minuman itu terlalu bergas dan boleh membuat tekakku sakit. Dira memang sengaja mengujiku. Dia tahu minuman ini adalah kelemahanku. Tapi kalau aku gagal dalam cabaran kali ini, pasti duit gajiku melayang semata-mata untuk belanja dia makan. Hisy…
"Belum cuba lagi kau dah mengalah ke?"
Aku merenung tajam sahabat baikku. "Kau pun tahu benda ni tak elok untuk kesihatan. Kau nak bunuh aku ke apa?"
Dira ketawa. Semakin jengkel aku dibuatnya.
"Relakslah. Air tu bukannya racun pun. Apa salahnya kau minum, kan? Bukannya selalu kau minum air gas. Lagipun, kita datang sini nak enjoy. Bukannya aku suruh kau teguk arak pun. Setakat minum air pepsi dengan sekali percubaan. Takkan mati punya!" kata Dira lagi.
Aku hanya mampu menahan geram. Mahu atau tidak, aku terpaksa lakukannya. Gelas yang aku pegang sejak tadi aku rapatkan ke mulut. Aku menutup mata sebelum meneguk keseluruhan air gas itu. Sebaik sahaja habis, aku menghentak gelas di atas meja. Urgh! Boleh sakit tekakku dibuatnya.
"Kau memang nak bunuh aku, kan? Kalau aku dapat tonsillitis macam mana?!"
"Jauh sangat kau fikir tu. Lagipun kalau kau sakit sebab minum air gas, aku rasa Doktor Izz boleh rawat diri sendiri."
Aku mengetap gigi. Geram! Ada saja jawapan Dira yang membuatkan aku hilang kata-kata untuk dibalas.
"Okey, jangan buang masa dah. Kita sambung osom."
Aku merengus. Aku tahu Dira memang sengaja mahu mengenakan aku. Kali ini, kalau aku kalah lagi pasti lebih tidak masuk akal cabarannya. Tapi sudah semestinya aku takkan biarkan perkara itu terjadi. Aku akan pastikan Dira sendiri yang menelan cabaran sendiri.
"Sedia, osom!"
Kami sama-sama membuat 'air'. Sekali lagi!
"Osom!"
Ya! Kali ini aku menang. Batu kalahkan gunting. Tapi ini masih belum berakhir. Aku perlu memenangi pusingan kedua untuk mencabarnya. Jari telunjuk aku halakan ke arah Dira. Sahabatku itu sudah fokus merenung jari telunjukku.
"Okey, pandang… sana!"
Aku halakan jariku ke kanan. Dira menoleh ke arah kanan juga. Akhirnya! Aku sudah menang dan boleh mencabarnya. Cepat-cepat aku keluarkan lipstik dan maskara dari dalam beg tanganku.
"Kau nak buat apa pula? Benda apa kau nak cabar aku ni?"
Aku senyum jahat. Penutup lipstik aku buka lalu menconteng bibirnya.
"Izz, seriuslah! Tak ada benda lain ke?"
Aku ketawa. Sudah lama aku mahu lakukan ini jadi aku tidak mahu berhenti. Wajah cerah sahabat baikku aku conteng dengan maskara. Walaupun Dira tidak sukakannya, aku tidak peduli. Dicabar untuk minum air berkarbonat sudah cukup melampau bagiku. Sekarang, aku mahu membalasnya. Aku tahu Dira sangat menjaga wajahnya. Pantang ada jerawat kecil dia sudah menjerit.
"Siap! Sekarang dengan rupa badut tambah brutal ni, aku cabar kau pergi kaunter dan bayar makanan kita," cabarku dengan lagak angkuh.
Dira sudah terlopong. Cepat-cepat dia mencapai telefon dan melihat dirinya di skrin. Dia sudah menutup muka. Aku perasan dia menelan liur. Terutama sekali juruwang restoran ini seorang lelaki. Lagilah dia malu untuk menyahut cabaran.
"Kau ni dah lebih, Izz. Sampai hati kau buat aku macam ni? Aku sanggup bayar denda lah daripada buat benda ni."
"Are you serious? Kau berani pertaruhkan duit gaji kau? Untuk denda, kau kena belanja aku makan lobster untuk dua bulan. Macam kau cabar aku tadi, kau kena habiskan kesemuanya untuk aku. Sanggup ke?"
Laju Dira menggeleng. Rambutnya diramas kasar. Tidak lama kemudian, dia merenungku tajam sebelum berdiri. Geli hati aku melihat keadaannya yang serupa badut. Tapi, apa yang boleh aku lakukan? Dia yang mulakan cabaran maut terhadapku, sekarang dia mesti menanggungnya.
"Lepas bayar aku boleh basuh, kan?" tanya Dira. Riaknya seperti geli dengan wajah barunya.
Aku mengangguk bersama senyuman. Pasti sekarang dia sudah sakit hati denganku. Dira mengeluh kasar. Langkahnya diatur ke kaunter pembayaran. Aku hanya memerhati gelagatnya. Terburai tawaku apabila reaksi juruwang itu berubah. Seolah-olah disampuk hantu. Matanya yang membulat tidak lari dari memandang sahabatku itu.
Dira berpaling ke belakang sebaik sahaja pembayaran selesai. Dengan wajahnya yang menyeramkan, dia berjalan pantas ke arahku. Ah, sudah! Badut itu sudah mula mahu mengamuk. Cepat-cepat aku mengangkat kaki untuk keluar dari restoran. Aku berjalan pantas ke kereta Mercedes Benz milikku. Beberapa minit kemudian, Dira menghampiriku dengan renungan tajamnya. Mukanya sudah bersih dari mekap tadi. Sebaik sahaja kunci pintu terbuka, kami berdua masuk ke dalam kereta.
Dira tidak bersuara. Dia hanya memeluk tubuh tanda merajuk. Tingkahnya membuatkan aku tersenyum. Walaupun kadangkala Dira menyakitkan hati, tapi dia juga wanita yang comel. Entah kenapa sehingga sekarang dia masih belum berpunya. Aku menghidupkan enjin lalu memandu keluar dari perkarangan restoran.
"Dira, aku rasa cashier tadi dah jatuh cinta dekat kau lah. Masa kau bayar tadi, bukan main syok dia tenung kau. Macam bidadari jatuh dari langit!"
"Bidadari apanya! Ni kali terakhir kau buat aku macam ni, eh? Penat-penat aku jaga muka, tahu tak?"
Aku ketawa. Bibir sahabatku sudah muncung tanda protes.
"Lah, aku cuma nak tolong kau aje. Mana tahu, jodoh kau dekat situ ke? Kita mana tahu sama ada jodoh kita dah nak dekat ke tak. Apa salahnya kita ikhtiar, kan?" usikku lagi.
"Ikhtiar apanya? Kau tak payah nak mengenenkan aku dengan orang sembarangan. Lagipun, Allah dah tetapkan jodoh kita dengan siapa. Tunggu masa ajelah. Mana tahu, lepas kau kahwin giliran aku pula. Bila kau kahwin nanti, kau campak aje bunga tu kat aku. Macam orang putih selalu buat tu." Dira membalas.
"Kau ni banyak tengok drama lah. Mengarut aje semua tu."
Aku mengerling ke arah Dira sebelum kembali memandang ke hadapan. Dira membuat muka selambanya.
"Mana tahu? Orang cakap kalau kita dapat bunga tu, maksudnya tak lama lagi kita akan berkahwin. Jodoh kita dah dekat! Macam yang kau cakap tadi lah, kita ikhtiar," balas Dira lagi.
"Yalah, tapi cuba kau fikir. Kalau kita dapat bunga yang pengantin lambung, tu maknanya jodoh kita dah dekat. Huh! What a nonsensical fact is that? Macam tak logik aje," bidasku.
"Kau ni, kalau aku cuba sekalipun memang aku takkan menang kan? Asyik dengan fikiran negatif kau aje. Cubalah fikir positif sikit. Aku tahulah hati kau tu keras macam batu tapi cubalah lembutkan sikit hati kau untuk fikir positif. Aku rasa aku kena cari seorang lelaki untuk date dengan kau. Mana tahu, lambat laun hati kau tu lembut juga."
Aku senyum sinis. "Kau pun tahu aku tak pernah kekal dengan mana-mana lelaki, sampai aku betul-betul tertarik dengan seseorang. Kau cari untuk diri sendiri ajelah."
Dira meraup muka. Kali kedua aku mengerlingnya, dia menggigit bibir.
"Aku tak perlu cari dah. Aku ada orang yang aku suka. Tapi kau ni, aku rasa kau ada masalah lah, Izz. Kau ni macam patung, tahu? Tak ada perasaan. Kadang-kadang aku takut juga kalau kau homoseksual ke apa?"
"Aku bukan lesbian lah! Tenanglah, aku takkan rogol kau pun. Aku masih ingat agama aku. Kau ni, janganlah cakap benda bukan-bukan. Geli, tahu tak?" bidasku.
Dira ketawa kuat. Seronok sangat mengusikku begitu. Bahuku juga yang menjadi mangsa tamparan kelakarnya. Lagi!
"Aduh! Kau ni boleh tak jangan pukul aku? Dah banyak kali kau buat. Bahu aku pun dah banyak kali menderita sebab kau," marahku. Ini bukan kali pertama dia lakukan begini.
Sudahlah, aku sedang memandu. Walaupun aku seorang doktor, aku tidak boleh rawat diri sendiri kalau kemalangan nanti.
"Oh ya, ayahanda kau tak marah ke kalau kau makan kat restoran macam tadi? Yalah, kau kan tak boleh bergaul dengan commoner kan? What will happen if your ayahanda knows about this?" tanya Dira selepas tawanya reda.
"Ayahanda aku takkan tahu. Dia takkan lalu pun kat tempat macam ni. Lagipun aku dah tak tinggal dengan ayahanda aku, kan? So, I'm completely safe!" balasku dengan tenang.
Aku tahu apa yang akan terjadi jika ayahanda dapat tahu bahawa aku selalu berkunjung ke tempat di mana ramai 'commoner' berkunjung. Pasti aku akan 'dikuarantin' oleh ayahanda nanti. Keluargaku memang mementingkan adab dan status. Jadi, sebagai anak perempuan dalam keluarga pasti ayahanda akan memerhatiku walaupun aku sudah berpindah rumah.
Kata ayahanda, seorang cik muda sepertiku tidak seharusnya bergaul dengan orang biasa kerana itu akan mencemarkan status keluarga kami. Jadi, aku terpaksa menjadi orang yang ayahanda dan bonda mahukan setiap kali menjadi Tengku Izz Hana. Kadangkala, aku tidak rasa seperti diri sendiri setiap kali menuruti peraturan keluarga itu.
AKU menekan kod kata laluan. Sebaik saja lampu kecil pada tombol bertukar hijau, aku membuka pintu. Cerah! Selalunya kalau aku balik waktu malam begini, rumahku gelap-gelita. Sekarang lampu sudah terpasang. Udara terasa sejuk menandakan penyaman udara juga terpasang.
Urgh! Aku tahu ini pasti kerja Harraz. Sudah banyak kali aku menukar kata laluan, tapi dia tetap dapat masuk. Apa yang menarik tentang rumahku pun aku tidak tahu.
"Bila Kak Izz nak balik, abang?"
Itu suara wanita! Sekejap, Julaikha pun ada di sini. Kenapa pula Julaikha datang ke rumahku?
"Kau orang buat apa kat dalam rumah aku ni?" soalku terus.
Julaikha dan Harraz menoleh ke arahku. Julaikha tersenyum manis seperti biasa. Dia sudah berjalan ke arahku dan mencapai tanganku.
"Assalamualaikum, kak. Maaf, Ju datang sini tak beritahu akak," ujar Julaikha.
"Waalaikumussalam. Tak apa, akak tak kisah sangat. Ni kenapa Ju datang malam-malam ni? Jangan kata kau orang nak dating kat rumah akak pula," kataku seraya duduk di sofa.
Laju Julaikha menggeleng. Bagiku, tingkahnya comel memandangkan aku teringin memiliki seorang adik perempuan. Bulan lepas genap Julaikha berumur 23 tahun. Tiga tahun lebih muda daripadaku dan Harraz. Memiliki adik kembar lelaki seperti Harraz semestinya menyakitkan hati.
Julaikha memegang tanganku. "Sebenarnya, Ju dan Abang Harraz nak minta tolong dengan akak."
"WHAT? Biar betul, kenapa akak kena buat semua tu? Suka hati dialah nak buat terapi tu ke tak," aku merengus.
Tidak sangka, selama ini Julaikha ada seorang abang yang sangat menyusahkan. Kata Julaikha, ibu bapanya melarang mereka berkahwin selagi abangnya tidak bersetuju untuk menjalani rawatan fisioterapi. Itu tidak adil.
"Tolonglah, Izz. Kami cuma boleh harapkan kau aje," pujuk Harraz pula.
Aku menggeleng sambil memeluk tubuh. "Foot drop boleh sembuh dengan sendiri. Kalau aku tak bantu pun, lambat-laun dia tetap boleh berjalan."
"Tapi ni kes serius, Izz. Dah dua tahun lepas dia accident, tapi sampai sekarang dia masih tak boleh berjalan," ujar Harraz bersungguh-sungguh.
Aku mengeluh kasar. Wajah Julaikha yang keresahan aku pandang.
"Kenapa akak pula yang kena pujuk dia? Ju kan adik dia, mestilah dia tak nak dengar cakap orang lain."
"Ju dah cuba, kak. Tapi Abang Shah tu keras kepala. Sejak dia accident dulu, perangai dia dah berubah. Dia tak nak buat terapi tu walaupun doktor cakap dia masih ada peluang. Dia tak nak berusaha langsung. Abah dan ibu pun puas pujuk dia. Tapi tetap juga dia berdegil," balas Julaikha keresahan.
"Sebab tulah aku nak minta tolong kau, Izz. Kami dah rancang untuk berkahwin tapi uncle tetapkan syarat. Abang Shah kena setuju untuk buat terapi tu. Barulah kami boleh mula buat perancangan." Harraz menambah lagi.
Aku mengeluh kasar. Aku bangun dari sofa seraya berjalan ke dinding kaca. Pemandangan malam di Kuala Lumpur tidak dapat memberikan aku idea. Kenapa pula aku harus terlibat dalam hal ini? Mereka yang mahu berkahwin, aku juga yang menjadi mangsa.
"Kenapa kau orang pilih aku? Aku bukannya pernah jumpa dia pun."
"Sebab kau kan pandai dalam bab ni. Lagipun kau sukakan benda yang mencabar, kan? Inilah masanya. Aku cabar kau pujuk Abang Shah. Selama ni kau dah banyak kali pikat lelaki lain, kan? Apa salahnya kau guna kemahiran menggoda kau tu untuk pujuk dia?"
Aku senyum sinis. Cara Harraz bercakap seperti mahu memerliku.
"Goda? Aku tak pernah goda sesiapa. Dan kalau kau dah cabar aku, kau tahu apa yang aku nak kan?" soalku tidak berselindung.
Harraz merenung tajam ke arahku sebelum mengeluh perlahan.
"Kau ni, nak tolong adik sendiri pun kena ada balasan ke? Okey, aku bagi kau lima ribu ringgit untuk kau pujuk Abang Shah tu."
Aku ketawa. Lima ribu saja? Bukankah cabaran kali ini lebih epik daripada biasa. Tambahan pula, aku dapat rasakan cabaran ini ibarat masuk ke kandang harimau. Lagilah mencabar!
"Tadi Ju cakap yang Shah tu keras kepala, degil dan juga baran, kan? Ehem! Entah kenapa, aku rasa lima ribu ringgit tu macam sikit sangatlah."
"Okey, sepuluh ribu ringgit! Puas kau sekarang? Nak tolong kembar sendiri pun berkira. Macam tak ikhlas aje," rungut Harraz.
Aku ketawa lagi. "Bukannya tak ikhlas tapi aku nak guna duit tu sebagai backup. Mana tahu nanti aku masuk hospital sebagai pesakit pula. Kau nak bayar ke kos perubatan?"
"Alasan! Ayahanda kan pengarah hospital, tak ada masalah pun dengan kos bagai."
Aku tersengih. Ya, memang ayahanda adalah pengarah hospital tapi aku tidak mahu gunakan duit ayahanda untuk kepentinganku. Aku sudah dewasa jadi aku patut berdikari.
"Apa-apa ajelah. Memandangkan cabaran kali ni special, aku akan panggil benda ni sebagai misi." Aku menoleh ke arah Julaikha. "Ju, bagi akak semua maklumat tentang abang Ju tu. Tempat dia bekerja, sifat dan benda yang dia tak suka."
"Bila kau nak mula?" soal Harraz ingin tahu.
"As soon as possible. Esok kau beritahu ayahanda yang aku ada hal mustahak untuk beberapa bulan ni. Aku akan balik semula lepas dah selesaikan misi tu. Remember, this is a secret between us. Kalau kita jumpa, buat-buat tak kenal aje. Shah tak kenal aku. Jadi jangan beritahu dia apa-apa pasal aku. Faham?"
Julaikha dan Harraz mengangguk memahami. Mereka sama-sama meraup muka, menghela nafas lega.
"Thanks, kak. Esok Ju bagi info tentang abang. Terima kasih sangat-sangat, Kak Izz!" ucap Julaikha bersungguh-sungguh.
Aku senyum bangga. Sepuluh ribu akan menjadi milikku kalau aku berjaya pujuk abang Julaikha. Misi ini pasti lebih epik daripada sebelum ini. Cabaran inilah yang aku nantikan selama ini.