Hari pertama bulan pertama, tahun 1001 Alam Ulfun Ain - Matahari memancarkan sinarnya yang indah di Negeri Zamrud Mulia. Di pagi hari yang indah itu, penduduk kota berkumpul dihadapan Dewan Pemerintah untuk mendengarkan amanat pertama daripada Raja Alim. Raja Alim sudahpun berdiri di Kubah Suara Di Raja diiringi dengan Aslan dan Myla sebagai penjaganya. Sorakan dan kegembiran tidak henti dilauangkan pada jiwa-jiwa yang bebas dari suatu cengkaman kekejian.
"Sinar!!! Sinar!!! Sinar!!!" Sorakan daripada penduduk kota.
"Assalamualaikum..." Ucap Alim.
Salam daripada Raja Alim mengheningkan suasana.
"Wahai rakyat beta... Di pagi yang indah ini, buat pertama kalinya kita berdiri sebagai rakyat Negeri Zamrud Mulia. Selama 200 tahun penjajahan Tiga Segi Berdarah menyebarkan kekejian di tanah ini, akhirnya kita mampu bernafas dibawah naungan keindahan dan kegembiraan. Kita mengecapi keindahan ini kerana kamu semua telah membuka mata hati, merasakan mana yang keji dan mana yang benar. Merasakan mana yang pahit dan mana yang manis. Akhirnya, kamu memilih sinar." Ucap Raja Alim.
Sorakan kembali menggemakan suaranya di kota itu. Alim mengangkat tangan kanannya sebagai isyarat agar rakyatnya berdiam diri semula.
"Mulai hari ini, tiada lagi Kota Bulan Merah dan bendera Tiga Segi Berdarah. Tiada lagi bulan merah dan sungai berdarah. Tiada lagi kekejaman dan pemujaan. Yang ada hanyalah tahta Zamrud Mulia. Yang ada hanyalah bendera Pohon milik Negeri Zamrud Mulia. Yang adalah hanyalah kedamaian dan ketenangan. Dan mulai detik ini, beta sebagai Raja Negeri Zamrud Mulia menggantikan Jalan Bulan Merah kepada Jalan Zamrud Mulia. Jalan Pejuang Berdarah kepada Jalan Pohon Pejuang. Dewan Pemerintah akan ditukarkan ke Jalan Pohon Pejuang. Dan istana yang beta sedang berdiri ini akan dijadikan Masjid Zamrud Mulia." Sambung Raja Alim.
"Allahuakhbar!!!" Takbir daripada penduduk kota.
"Amanat daripada beta yang terakhir adalah undang-undang di negeri ini. Undang-undang yang akan menjadi benih kepada tumbuhnya pohon yang akan mendamaikan negeri ini. Iaitu undang-undang yang berteraskan akhlak mulia sepenuhnya. Kita akan menyemai benih akhlak didalam diri masing-masing lalu menyemainya pada keturunan kita. Kerana beta sangat yakin dan kamu juga pasti merasakan keyakinan ini. Kedamaian dan ketenangan itu datangnya daripada akhlak yang mulia. Dan kehancuran itu menerpa jika hilangnya akhlak dari diri kita semua. Beta tegaskan sekali lagi. Semailah akhlak di jiwa kita semua." Arah Raja Alim.
Penduduk kota mengukirkan senyuman kegembiraan mendengar amanat daripada raja mereka. Keyakinan rakyat dan rajanya kini bersatu. Akhlak adalah benih yang akan tumbuh menjadi suatu kedamaian dan ketenangan di Negeri itu.
"Hidup Pohon!!! Hidup Pohon!!! Hidup Pohon!!!" Sorak rakyat Negeri Zamrud Mulia.
Suatu permulaan kepada sinar di alam itu. Negeri yang akan menjadi tulang belakang bagi Hiyar Ayil. Negeri pertama yang memberikan sokongan sepenuhnya pada perjuangan Hiyar Ayil.
*****
Suatu suasana di gerbang kota yang berada di Jalan Bulan Gelap. Sufi dan Laviant mengiringi Kenji yang akan meninggalkan Hiyar Ayil demi mencipta keindahan miliknya sendiri. Atas permintaan Kenji sendiri juga, dia hanya ingin berjumpa dengan Sufi dan Laviant sebelum meninggalkan negeri itu.
"Betul... Kau ingin tinggalkan Hiyar Ayil?" Tanya Laviant.
Kenji menundukkan wajahnya bersama senyuman kecil.
"Tempat aku bukan di sini... Meski kebahagiaan aku ada di sini. Aku mahu bergabung dengan kamu semua. Mengukir kenangan untuk memperjuangkan sinar. Tapi mungkin...Ini sudah arusnya takdir." Jawab Kenji.
Laviant memandang wajah Sufi dikala membaca fikiran Kenji yang berlangsung pada masa itu.
"Sufi?" Seru Laviant.
Sufi hanya mendiamkan diri meskipun dia mengetahui apa yang Kenji cuba sampaikan.
"Sufi..." Panggil Kenji pula.
Keheningan menerpa suasana diantara mereka bertiga. memberikan ruang sebelum bermulanya suatu luahan yang mengusik jiwa.
"Aku tahu... Nur mencintai kau. Meski kau memberikan ruang dan peluang kepada aku untuk berusaha mendapatkan cinta Nur, tapi Nur tetap mencintai kau Sufi. Rasa itu tidak akan mampu dipaksa. Pada jiwa gadis cantik itu, sudah terpahat nama kau sebagai pemilik jiwanya. Aku bukannya mengalah untuk memperjuangkan rasa di dalam jiwa ini. Tapi kebahagiaan Nur adalah mencintai kau. Dan kebahagiaan Nur adalah kebahagiaan aku juga. Aku tidak ingin memusnahkan kebahagiaan gadis itu sebagai orang yang ketiga. Ada kalanya, salah seorang perlu mengundurkan diri demi kebahagiaan orang lain. Sepertimana yang kau kata, kalau ada jodoh tidak kan ke mana." Luah Kenji.
"Ken... Jangan berfikir singkat. Jangan musnahkan kebahagiaan kau hanya kerana cinta yang tidak berbalas. Masih banyak keindahan didunia ini selain daripada mencintai seorang gadis Ken." Nasihat Laviant.
"Kau tidak faham Laviant. Kau tidak wujud didalam watak ini. Aku yang merasakannya kerana aku yang memegang watak ini. Arus takdir mengatakan yang aku perlu berkorban. Aku pasrah Laviant. Aku pasrah kepada hakikatnya api dan air yang tidak akan mampu bersatu." Balas Kenji bersama tangisan yang mula gugur.
Sufi menghela nafas yang panjang sambil menundukkan wajahnya.
"Ken... Maafkan aku... Jika aku memusnahkan kebahagiaan kau. Aku tidak mampu berbuat apa-apa tentang segala permainan rasa ini. Tapi aku memohon kepada kau sedalam jiwa ini. Jangan pernah membenci Nur dan Hiyar Ayil meski taruhannya kau perlu membenci aku. Aku merayu, jangan pernah kaitkan hubungan cinta dan persahabatan. Ianya adalah dua jalan yang berbeza." Pinta Sufi.
Kenji memaksa bibirnya untuk tersenyum dikala jiwa merasakan kedukaan.
"Jangan risaulah Sufi. Hiyar Ayil tetap keluarga aku. Kau tetap abang aku Sufi. Aku tidak akan memusnahkan hubungan kekeluargaan kita hanya kerana setitik rasa yang tidak berbalas. Cuma...Aku juga perlukan masa untuk merawat luka ini. Kerana itulah aku ingin pergi membawa diri. Luka sedalam ini, hanya masa yang mampu merawatnya. Aku akan kembali semula ke Tanah Sinaran Terbit. Mencari tahu keluarga aku yang masih tersisa di sana. Sekiranya Hiyar Ayil memerlukan Si Api Abadi, carilah aku di tanah itu ya." Balas Kenji.
Kenji bergerak memeluk Sufi sebagai tanda perpisahan mereka berdua.
"Sufi... Jagalah Nur. Jangan hancurkan jiwanya. Aku juga ingin berterima kasih kerana telah membebaskan aku daripada segala belenggu kekejian. Aku tidak mampu membalas pengorbanan kau Sufi. Aku hanya mampu berkorban demi suatu ikatan yang terjalin lebih awal. Maafkan aku ya. Aku pergi dulu. Abang." Pinta Kenji.
Kenji melepaskan pelukannya daripada Sufi. Bersama langkah yang terukir dengan kedukaan, Kenji menghadiahkan senyuman kepada Sufi dan Laviant sebelum pergi meninggalkan negeri itu.
"Cinta yang merumitkan. Menyusahkan." Keluh Laviant.
Sufi membalas keluhan itu dengan suatu senyuman. Dia sendiri tidak memahami tentang permainan rasa ini. Dia hanya mampu mengikuti arusnya takdir kerana dia sungguh percaya, dihujung arus ada jawapan.
*****
Suatu suasana di Kampung HitamPutih iaitu markas terbesar Hiyar Ayil pada keesokan harinya - Anggota-anggota Hiyar Ayil mula membangunkan kampung itu menjadi sebuah kota yang diberi nama Kota HitamPutih. Luft ditugaskan Sufi melatih seratus banduan yang dia selamatkan untuk menjadi Pejuang Hiyar dan Aryan akan menjadi ketua bagi Mu'un-Mu'un yang berjuang bersama mereka diatas nama Pejuang Serigala Hiyar. Seramai 100 orang penduduk kampung Laila dan Sakin menawarkan diri mereka untuk menjadi anggota Hiyar Ayil. Mereka dipimpin oleh Radyah dalam suatu kumpulan yang diberi nama Syifa' Hiyar. Setahun berjuang, akhirnya Hiyar Ayil berjaya menjadi sebuah pasukan yang besar. Pada ketika itu, Sufi dan Abang Rahman berdiri di gerbang kampung menghayati keindahan bagi kejayaan awal mereka.
"Aku tidak sangka Hiyar Ayil mampu berkembang sejauh ini." Puji Abang Rahman.
Sufi mengukir senyuman kegembiraan dikala memori mula mengimbas kembali ingatan tentang perjuangan Hiyar Ayil darilah awalnya hingga mampu berdiri menjadi sebuah kumpulan yang besar.
"Saya pun tidak menyangka Abang Rahman. Semuanya bagai berputar sekelip mata." Sokong Sufi.
"Mmm... Penawar. Sepertimana ramalan Si Pemberi Pesan. Ini semua adalah permulaan bagi perjuangan yang seterusnya." Sambung Abang Rahman.
"Pap!!!Pap!!!Pap!!!" Seseorang menepuk tangan mengejutkan Sufi dan Abang Rahman secara tiba-tiba.
Sufi dan Abang Rahman menoleh ke arah insan tersebut dengan pantas. Terlihat dua orang pemuda berwajah tampan sedang berdiri berhadapan dengan mereka berdua. Seorang daripada mereka berwajah sangat ceria bersama senyuman yang sangat manis. Kedua matanya seakan bercelak, rambutnya hitam gelap paras telinga disisir kemas, bibirnya kemerah-merahan dan bola matanya berwarna coklat gelap. Tingginya hampir serupa seperti Sufi bersama bentuk tubuh yang kecil tetapi sasa. Seorang lagi berwajah tenang seperti Sufi. Berambut ikal panjang di biar lepas, bibirnya juga kemerah-merahan dan bola matanya juga berwarna coklat gelap. Ketinggiannya pula sama seperti Rai bersama tubuhnya yang besar dan sasa. Pemuda itu memakai topi koboi berwarna coklat menutup separuh daripada pandangannya. Dua pemuda tampan yang kelihatan sangat misteri pada mata-mata yang memandang.
"Siapa?" Soal Abang Rahman dengan nada yang sangat tegang.
Sufi mula mengeluarkan auranya yang berubah salju dengan sangat banyak. Wajah pemuda tenang itu juga berubah cemas secara tiba-tiba.
"Abang Rahman. Panggil Rai dan Panjiey ke sini bersama dengan pejuang yang lain. Cepat Abang Rahman!" Arah Sufi.
Abang Rahman bergerak pantas tanpa sebarang balasan menuruti arahan Sufi. Suasana berubah tegang secara tiba-tiba. Kehadiran yang tidak diundang dan juga tidak disedari membuatkan Sufi bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang tidak diingini.
"Siapa kamu berdua? Bagaimana aku tidak mampu merasakan unsur kamu berdua?" Soal Sufi.
Pemuda berwajah ceria itu mengeluarkan sebatang rokok daripada poket bajunya. Setelah dia meletakkan rokok itu pada bibirnya yang merah itu, dia menggunakan jari telunjuk pada tangan kanannya untuk membakar rokok tersebut.
"Nyala." Bicara pemuda ceria itu membakar rokok menggunakan api yang terbit dari jari telunjuknya.
"Unsur api." Balas Sufi.
Sufi cuba menggunakan kelebihan Tunggal Hantu Salju untuk merasakan unsur pemuda ceria itu.
"Sin... Dia cuba rasakan unsur kau." Ucap pemuda yang bertopi koboi tersebut.
Kejutan hadir pada jiwa Sufi dikala pemuda bertopi koboi itu membuka bicara. Sepertinya, pemuda itu juga mampu membaca fikiran seseorang.
"Yo... Santai. Aku bakar rokok. Bukan mahu bertarung dengan kau. Santai." Pujuk pemuda ceria itu.
"Unsur kau... Tiada." Balas Sufi bersama kejutan yang tidak hilang daripada jiwanya.
"Bum!!!" Rai tiba bersama dengan Panjiey berdiri dihadapan Sufi.
Rai dan Panjiey mengeluarkan aura mereka berdua dengan sangat banyaknya hingga menghiasi suasana itu dengan petir dan angin.
"Sufi... Siapa ancaman ini. Bunuh?" Tanya Rai.
"Seyna... Apa gelaran yang petir ini dan apa gelaran yang angin ini?" Tanya Pemuda ceria itu lagi.
"Raja Petir dan Sang Taufan." Balas Pemuda bertopi koboi tersebut.
"Zet!!!" Rai hilang bersama petirnya menuju ke hadapan pemuda ceria itu.
Kini, Rai dan pemuda ceria itu berpandangan mata. Wajah Rai sangat tegang namun dibalas oleh pemuda itu hanya dengan suatu senyuman yang manis.
"Manis senyuman kau. Kalau aku perempuan, aku tewas. Tapi aku yang sebaliknya. Bagi tahu apa tujuan kamu sebelum aku bunuh kamu berdua." Ugut Rai.
"Rai... Tahan." Pujuk Sufi.
"Dia mahu bunuh aku Seyna? Tanya pemuda ceria itu lagi.
"Fuh~" Panjiey hilang bersama anginnya menuju ke hadapan pemuda bertopi koboi tersebut.
Tangan kanan pemuda itu terarah ke leher Panjiey bersama dengan jari-jemari yang tersusun rapi dengan sangat pantas hingga memaksa Panjiey menghentikan pergerakannya.
"Aku sudah lihat apa yang kau akan buat dan Raja Petir itu tidak akan melakukan sebarang tindakan kerana terlalu turut akan arahan ketuanya." Ugut Pemuda bertopi koboi itu pula.
Pemuda ceria itu mula mengeluarkan aura dari tubuhnya lalu berubah menjadi getaran petir yang menakutkan lebih daripada petir milik Rai.
"Zet!!!" Rai berundur semula ke sebelah Sufi terkesan dengan kekuatan aura pemuda ceria itu.
"Fuh~" Panjiey turut berundur menggunakan anginnya.
"Aku kata santai. Jangan cabar." Ugut pemuda ceria itu.
Sufi menarik semula auranya untuk menenangkan keadaan diantara mereka semua. Rai dan Panjiey juga mengikuti tingkah Sufi. Sepertinya, jiwa mereka mula merasakan ketakutan apabila melihat kekuatan kedua pemuda misteri itu.
"Api... Dan Petir..." Ucap Sufi.
"Sufi... Siapa mereka berdua. Mengapa pemuda ceria itu mampu menggunakan unsur petir. Adakah dia berasal daripada Kaum aku?" Tanya Rai.
"Sufi... Naluri aku kurang senang melihat tingkah kedua pemuda ini. Mereka ini bukan ancaman yang biasa." Terang Panjiey.
"Tenang Rai. Panjiey." Pujuk Sufi.
Keheningan menerpa suasana untuk seketika. Memberi ruang pada mereka semua menenangkan jiwa yang sedang bergelora dengan pelbagai rasa. Ketika itu juga, rakan-rakan Sufi yang lain tiba ke tempat itu.
"Sufi. Mana ancaman itu?" Tanya Laviant.
Sufi mengarakan jari telunjuknya ke arah kedua pemuda misteri tersebut.
"Cuba baca fikiran yang bertopi koboi itu Laviant." Arah Sufi.
Kedua pemuda itu hanya mendiamkan diri bersama senyuman yang tidak lekang daripada bibir mereka berdua. Ketika Laviant cuba membaca apa yang difikirkan oleh pemuda bertopi koboi itu, riak wajahnya berubah cemas. Dia cuba pula membaca fikiran pemuda ceria itu, kecemasan semakin dalam menerpa jiwanya.
"Sufi... Sekiranya mereka berdua ini adalah ancaman. Ada kemungkinan kita semua akan dihancurkan." Balas Laviant bersama wajahnya yang tidak henti mengalirkan keringat.
"Laviant. Cuba terangkan. Aku juga merasakan ada sesuatu perkara yang tidak menyenangkan ketika ini." Pinta Luft.
"Laviant..." Seru Rai lagi.
Pemuda ceria itu menarik semula auranya lalu duduk bersila sambil menghembus rokoknya yang semakin padam.
"Nama aku Sinsin dan yang satu ini adalah sahabat aku. Seyna. Kami berdua bukanlah musuh. Kecuali kamu semua menginginkan perang." Terang Sinsin bersama senyuman sinis.
Sufi mengikuti tingka Sinsin sebagai tanda damai. Rakan-rakannya yang lain turut mengikuti tingkah itu sebagai tanda mereka mengikuti keputusan Sufi. Damai.
"Apa tujuan kamu berdua datang ke sini?" Tanya Abang Rahman.
Seyna mendekati Laviant lalu duduk bersila di sebelah pemuda itu.
"Sepertinya, kau mampu membaca fikiran aku. Cuba kau terangkan kepada rakan-rakan kau apa tujuan kami datang ke sini." Arah Seyna dengan nada yang sangat tenang lagi menenangkan.
"Mereka..." Terang Laviant.
Riak wajah Laviant kembali tenang. Dia membalas pandangan Seyna bersama suatu senyuman.
"Mahkota Hitam. Tujuan mereka adalah mempelawa Hiyar Ayil untuk berjuang menentang Tiga Tanduk Hitam yang sedang menyebarkan kegelapan di Negeri Padi Emas." Terang Laviant.
Anggota Hiyar Ayil kembali tenang mendengar penjelasan itu termasuk Sufi.
"Kami sudah mendengar kejayaan kamu semua memusnahkan Tiga Segi Berdarah di Negeri ini daripada Kenji. Itu bermaksud, tugas Penawar yang seterusnya adalah memusnahkan Tiga Tanduk Hitam." Terang Sinsin.
"Apa maksud Mahkota Hitam?" Tanya Luft.
"Seperti Hiyar Ayil. Kami juga adalah suatu kumpulan yang memperjuangkan Sinar." Jawab Seyna.
"Maksudnya... Kamu ada anggota yang lain?" Tanya Abang Rahman.
"Hanya kami berdua. Mahkota Hitam hanya ada kami berdua." Jawab Seyna lagi.
"Bagaimana kamu berjuang jika hanya kamu berdua yang menentang Tiga Tanduk Hitam?" Soal Panjiey.
Sinsin mengukir gelak yang kuat apabila mendengar persoalan daripada Panjiey.
"Kami tidak perlu anggota yang ramai jika ianya sekadar ingin menunjukkan yang kami kuat. Perkara itu akan menjadi beban. Cukup hanya kami berdua, satu kota di Negeri Padi Emas sudahpun ditawan." Balas Sinsin.
"Kuatnya." Puji Daem.
"Ada tiga kota yang bernaung di bawah Negeri Padi Emas. Kota Bukit Emas, Kota Burung Layangan dan Kota Istana Emas. Kami berjaya menakluk Kota Bukit Emas. Itulah markas terbesar Mahkota Hitam." Terang Sinsin lagi.
"Sepertimana kata Lufis... Cari kumpulan yang sama seperti Hiyar Ayil dan kumpulan tersebut adalah Mahkota Hitam. Tapi, apa kelebihan kamu berdua sehingga berjaya menawan satu kota?" Tanya Rai.
Sinsin dan Seyna mengukir gelak untuk yang ke sekian kalinya.
"Ini padahnya jika terlalu kuat." Sindir Daem.
"Sufi... Laviant..." Seru Abang Rahman.
Sufi menyilang jarinya dikala akalnya mula ligat berfikir. Laviant pula mengetuk jari-jemarinya cuba mencari tahu siapa sebenarnya kedua pemuda misteri itu.
"Aku tidak dapat membaca unsur mereka berdua. Jiwa Sinsin dipenuhi dengan gelap gelita. Jiwa Seyna pula dipenuhi dengan cahaya berwarna putih yang tidak menggambarkan sebarang bentuk. Kedua jiwa mereka tersangat rahsia." Keluh Sufi.
Dikala kebenaran terungkap, keluhan juga terukir pada rakan-rakan Sufi yang lain.
"Aku tidak tahu apa kelebihan kamu berdua. Tapi Seyna, dia mampu meneka masa yang akan datang." Terang Laviant.
"Ramalan?" Soal Luft.
"Bukanlah. Aku mampu melihat apa yang akan berlaku lima saat dimasa hadapan." Nafi Seyna.
"Itu sebabnya kau mampu meneka di mana aku akan muncul." Sokong Panjiey.
Sinsin berdiri daripada duduknya sambil memandang wajah Sufi dan anggota Hiyar Ayil yang lain bersama suatu senyuman yang sangat manis.
"Sekiranya kamu semua inginkan jawapan tentang aku dan Seyna. Jawapan bagaimana kami mampu menawan Kota Bukit Emas daripada Tiga Tanduk Hitam dalam masa dua hari dan jawapan mengapa kami mempelawa Hiyar Ayil untuk berjuang di Negeri Padi Emas, datanglah ke Kota Bukit Emas. Ianya sebagai tanda kamu menerima pelawaan kami. Kami sudahpun memacakkan bandera Mahkota Hitam di setiap jalan menuju ke Kota Bukit Emas agar kamu semua tidak tersesat." Pelawa Sinsin.
Seyna menepuk halus bahu Laviant sambil berdiri daripada duduknya.
"Saudara... Kami berdua bukanlah Wujud ataupun Tunggal. Kami berdua juga tidak berasal daripada mana-mana kaum. Jika kamu semua inginkan penjelasan yang lebih lanjut, datanglah ke markas kami. Kami sudahpun membersihkan musuh-musuh yang menghalang jalan untuk ke sana. Harap Hiyar Ayil menerima pelawaan ini." Terang Seyna sambil menundukkan wajahnya.
Seyna dan Sinsin mula mengorak langkah meninggalkan anggota Hiyar Ayil bersama persoalan tentang kewujudan mereka.
"Sinsin... Kau berasal daripada Kaum Baraq?" Tanya Rai.
"Ataupun Kaum Nar?" Tanya Sufi.
Sinsin menghentikan langkah kakinya. Dia menghulur tangan kanannya lalu mengeluarkan aura yang berwarna merah gelap. Secara perlahan-lahan, aura merah gelap itu berubah menjadi cairan lava yang bertitisan ke permukaan alam.
"Ataupun... Kaum Ham?" Soal Laviant.
"Bagaimana dia mampu menggunakan dua unsur?" Soal Panjiey.
"Seperti apa yang Seyna jelaskan. Kami berdua tidak berasal daripada mana-mana Kaum. Entah ianya api, petir ataupun lava. Aku tetap aku." Jawab Sinsin.
Tanpa menghiraukan balasan daripada mereka, Sinsin dan Seyna bergerak pergi tanpa memeberikan sebarang jawapan yang jelas.
"Sufi... Bicara hati kau ada mengatakan sesuatu?" Tanya Abang Rahman.
"Bagaimana Sinsin mampu menggunakan petir sedangkan dia bukanlah berasal daripada Kaum Baraq?" Soal Rai lagi.
Sufi mengikat pandangannya terhadap Sinsin sehinggalah bayangan kedua pemuda misteri itu hilang daripada pandangan mata.
"Bicara hati aku langsung tidak berfungsi. Bahkan kelebihan Tunggal Hantu Salju." Jawab Sufi.
"Siapa sebenarnya mereka berdua. Dalam masa dua hari mereka mampu menawan satu kota sedangkan kita mengambil masa selama setahun untuk merampas Kota Bulan Merah." Keluh Luft.
"Aku sendiri tidak tahu. Api, petir dan lava. Pemuda itu mampu menggunakan ketiga-tiga unsur. Sepertinya, ada lagi unsur yang dia mampu gunakan." Balas Sufi.
Keluhan panjang mula kedengaran pada bibir-bibir mereka. Sepertinya, kedua pemuda itu mencipta rahsia-rahsia yang baru di alam itu.
"Apa keputusan kau Sufi?" Tanya Abang Rahman.
"Kita akan menerima tawaran mereka untuk berjuang di Negeri Padi Emas. Dalam masa dua hari kita akan berangkat ke sana. Luft... Selama dua hari ini, latih Pejuang Hiyar sehabis mungkin. Rai... Minta Sofea pergi ke Kota Zamrud Mulia untuk sampaikan pesan kepada Alim. Katakan pada dia agar pulihkan terlebih dahulu Negeri Zamrud Mulia. Untuk perjuangan kali ini, kita hanya menggunakan Pejuang Hiyar, Serigala Hiyar dan Syifa' Hiyar. Kita hanya akan meminta bantuan daripada Alim sekiranya keadaan mendesak." Arah Sufi.
Arahan sudahpun diberikan dan perjuangan yang seterusnya akan berlangsung di Negeri Padi Emas. Sufi sendiri tidak mengetahui siapa sebenarnya Sinsin dan Seyna. Tapi dia pasti, kedua pemuda itu bukanlah insan biasa yang boleh dibuat gurauan.
*****
Keeseokan harinya di Kampung Hitam Putih - Di pagi hari yang indah itu, Mira datang ke rumah Sufi yang terletak di tepi laut.
"Abang Sufi!" Teriak Mira.
Mira menaiki rumah Sufi sambil menghentak-hentak kedua kakinya. Setibanya dia dihadapan pintu, kedua matanya melihat jelas Sufi menjalankan hobi hariannya di ruang tamu. Lena terindah.
"Abang Sufi!!!" Teriak Mira lagi.
Suara Mira memenuhi ruangan memaksa Sufi untuk membuka kedua matanya.
"Mmm... Mira..." Sahut Sufi.
Mira bergerak mendekati abang kesayangannya itu.
"Pap!!!" Mira mengejutkan Sufi dengan suatu tamparan manja.
Akhirnya, pemuda tenang itu terjaga sepenuhnya daripada buaian lena.
"Abang... Mira ada benda penting kena bagi tahu abang." Terang Mira.
"Apa Mira..." Jawab Sufi sambil mengusap wajahnya.
"Ianya tentang ingatan ayah yang terakhir. Ingatan itu berbentuk seperti sebuah pesan untuk Abang Sufi." Balas Mira.
"Pesan?" Soal Sufi lagi.
Mira menarik nafas lalu dihembus secara perlahan.
"Ingatan Si Majnun yang terakhir adalah pesan buat Hantu Salju. Ingatan itu menggambarkan, ayah memberitahu sesuatu kepada Mira sebelum dia menggunakan Rahsia: Rantaian Jiwa." Jawab Mira.
"Teruskan Mira..." Pinta Sufi.
"Ayah pesan, suatu hari nanti akan ada dua insan yang mampu memusnahkan Hiyar Ayil. Kekuatan mereka berdua tidak serupa dan tidak akan pernah serupa di alam ini. Mereka tidak berkaum, bukan Wujud ataupun Tunggal. Mereka juga tidak berasal daripada alam ini. Salju, Raja Petir dan Sang Taufan tidak akan mampu mengalahkan mereka berdua. Insan Penawar perlu mencari kekuatan yang sangat besar untuk memusnahkan kedua insan. Kata ayah lagi, ini adalah Pesan dari Si Pemberi Pesan yang tidak tertulis pada mana-mana kitab. Tidak diketahui oleh mana-mana orang kecuali Laila dan Lily." Terang Mira.
Dikala pesan itu selesai disampaikan, akal Sufi membayangkan wajah Sinsin dan Seyna. Dia pasti dan sangat pasti, kedua insan yang dimaksudkan oleh Si Majnun itu adalah mereka berdua.
"Keseimbangan alam... Mahkota Hitam adalah ancaman. Bukan kawan tapi lawan." Balas Sufi bersama riak wajah yang sangat terkejut.
"Abang... Apa maksud abang Mahkota Hitam?" Soal Mira.
Sufi berdiri daripada duduknya bersama tingkah yang tidak keruan.
"Mira... Pergi ke tempat ibu ya. Abang ada perkara yang perlu dibincangkan dengan Laviant." Arah Sufi.
Sufi meninggalkan Mira tanpa menghiraukan sebarang jawapan daripada budak comel itu. Setibanya dia di rumah Laviant dan Luft, kedua rakannya itu sedang berbincang di ruang tamu dihiasi suasana yang tegang.
"Ketua..." Panggil Luft.
Sufi bergerak mendekati kedudukan mereka berdua.
"Laviant... Kau pasti sudah membaca keseluruhan fikiran Sinsin dan Seyna. Kau pasti tahu ada perkara yang mereka cuba rancangkan." Terang Sufi.
"Apa maksud kau... Ataupun kau sudah tahu?" Soal Laviant semula.
"Ketua... Sinsin dan Seyna itu kemungkinan rakan kita. Tapi juga kemungkinan musuh kita." Terang Luft.
"Mira menyampaikan pesan Si Majnun kepada aku tadi. Ianya merupakan ingatan terakhir yang terbit pada akalnya. Si Majnun katakan, akan ada dua insan yang mampu memusnahkan Hiyar Ayil. Mereka berdua tidak berkaum, bukan Wujud ataupun Tunggal. Kelebihan mereka tidak akan penah sama di alam ini dan mereka berdua bukanlah berasal daripada alam ini." Terang Sufi.
"Pesan yang terakhir. Kedua insan luar biasa. Sudah pasti insan itu adalah Sinsin dan Seyna. Laviant, seperti apa yang kau katakan." Sokong Luft.
"Laviant..." Seru Sufi.
"TakTak!!!TakTak!!!" Laviant mula mengetuk lantai menggunakan jari-jarinya.
"Sewaktu Seyna mengarahkan aku untuk membaca fikirannya, dia meminta aku untuk menyampaikan suatu pesan kepada insan Penawar. Dia kata, Mahkota Hitam adalah kumpulan yang menyeimbangkan Hiyar Ayil. Takdir mereka adalah menghalang Hiyar Ayil daripada menentang kegelapan di alam ini. Tapi..." Terang Laviant.
"Tapi apa ?" Soal Sufi.
"Mereka menetang hakikat Mahkota Hitam. Mereka berdua mengubah takdir itu menjadi yang sebaliknya." Sambung Luft.
Sufi mengeluh panjang bersama akalnya yang mula bercelaru.
"Mereka tidak akan menentang Hiyar Ayil. Mereka akan membantu kita." Sambung Laviant lagi.
"Bagaimana... Ish.. .Akal aku serabut." Keluh Sufi.
"Aku pun kurang yakin dengan apa Seyna sampaikan. Sebab itu aku menyimpan maklumat ini daripada pengetahuan anggota yang lain. Aku risau, kita akan membuat suatu keputusan yang salah." Terang Laviant.
"Merek berdua bukan insan yang boleh dibuat main ketua. Aku yang berjiwa pembunuh ini juga merasakan suatu ketakutan yang mendalam apabila berhadapan dengan mereka." Keluh Luft.
"Keputusan ada ditangan kau Sufi. Satu keputusan yang salah, akan memusnahkan kita semua." Terang Laviant.
Sufi menggeleng kepalanya bersama akal dan jiwa yang terus bercelaru. Dia sendiri tidak mampu memberikan sebarang keputusan pada waktu itu. Kecelaruan pada mereka bertiga memaksa suasana untuk hening seketika.
"Aku... Aku rasa... Kita kena mempercayai apa yang mereka katakan." Balas Sufi.
Laviant dan Luft berpandangan muka.
"Betul Sufi?" Tanya Laviant.
"Jika mereka berdua memusnahkan kita bagaimana?" Tanya Luft pula.
"Mereka sudah pasti melakukan perkara itu lebih awal. Penggunaan unsur Sinsin bukanlah seperti manusia biasa. Dia menggunakan tiga unsur tanpa menunjukkan sebarang kelelahan. Aku sendiri pasti lelah menggunakan dua unsur sekaligus kerana bentuk aura yang berbeza. Jika mereka berdua ingin memusnahkan kita, mereka sudahpun melakukan perkara itu semalam." Jawab Sufi.
"Maksudnya, kehadiran mereka berdua itu adalah bukti yang mereka ingin membantu Hiyar Ayil. Bukan untuk bermusuhan?" Soal Laviant.
Sufi mengangguk membenarkan pertanyaan Laviant.
"Huh... Aku sendiri kurang yakin dengan apa yang kau katakan ketua. Tapi aku pasti, keputusan yang kau buat adalah keputusan yang mempunyai buktinya." Balas Luft.
"Kita tiada pilihan, dimusnahkan ataupun bersahabat dengan mereka." Terang Sufi.
Luft dan Laviant hanya mampu mengangguk membenarkan arahan ketua mereka meski keraguan masih bergelora pada jiwa masing-masing. Sepertimana arahan Sufi, Hiyar Ayil akan bersatu dengan ancaman mereka sendiri. Mahkota Hitam yang dianggotai oleh dua orang pemuda tampan yang sangat misteri. Dua orang pemuda yang menambah lagi Rahsia Di Balik Rahsia.