Chapter 37 - 37. Penghinaan

"Hei..hei, awak jangan datang terlalu dekat, saya sekarang tidak menggunakan sebarang pakaian", ucap He Yan khuatir sambil memperlihatkan wajahnya dari sebalik batu kearah Xiao Jue.

Sebaik sahaja berkata demikian, langkah kaki komander muda itu serta merta terhenti membuatkan He Yan dapat menarik nafas lega.

"Kamu siapa dan apa awak buat disini?", soal Xiao Jue dengan dingin.

"Saya ialah salah seorang anggota tentera rekrut baru dan saya berada disini kerana sedang mandi", balas He Yan pula.

"Jika kamu anggota tentera yang baru, mengapa pula awak mandi pada waktu yang lewat seperti ini?", balas Xiao Jue lagi dalam nada yang tidak percaya.

"Tadi terlalu ramai orang yang mandi disini dan saya mengambil keputusan untuk berehat terlebih dahulu. Lagi pula, saya bukannya seorang anggota tentera yang berpangkat tinggi dan mempunyai bilik serta tub mandi sendiri. Jika diberi pilihan, saya juga tidak mahu mandi di sungai pada waktu begini, airnya sangat sejuk!!!"

Sebenarnya He Yan sengaja menyatakan perkara tersebut bertujuan untuk menyindir Xiao Jue memandangkan taraf kehidupan mereka berdua sangat jauh berbeza.

"Saya sudah menyatakan identiti diri saya, awak pula siapa?", soal He Yan.

Namun Xiao Jue langsung tidak mengendahkan soalan He Yan itu sebaliknya bertanya tujuan He Yan menyertai tentera kerana hidup sebagai seorang anggota tentera bukannya mudah.

Walau merasa cuak namun He Yan hanya mampu bersabar dan tidak boleh menunjukkan sebarang rasa jengkel, "saya menyertai tentera kerana ingin mencapai satu matlamat".

"Matlamat??"

"Saya ingin menunjukkan taat setia kepada kerajaan, dinaikkan pangkat kemudian menjadi kaya. Setelah itu, kembali ke kampung halaman, berkhawin dengan gadis yang paling cantik lalu mempunyai ramai anak dan cucu. Bukankah kehidupan seperti itu adalah kehidupan yang diimpikan oleh semua lelaki di dunia ini?"

He Yan sengaja berkata seperti itu kerana dia tahu, dengan sikap dingin yang selalu Xiao Jue tunjukkan, tentu dia tidak bersetuju terhadap keinginan polos tersebut.

Tepat seperti jangkaan He Yan, sebaik sahaja Xiao Jue mendengar jawapannya, dia segera ingin berlalu dari situ dan tidak mahu lagi memanjangkan perbualan mereka.

Namun sebelum Xiao Jue berlalu, He Yan sempat meminta tolong kepadanya untuk menghulurkan pakaiannya yang terletak di batu berhampiran tetapi komander muda itu sekali lagi mengabaikan He Yan.

Sebaik sahaja memastikan Xiao Jue benar benar telah beredar, barulah He Yan keluar dari sungai lalu mendapatkan pakaiannya.

Pemuda itu merupakan rakan sekelasnya tetapi bukanlah teman yang rapat malah telah lama mereka berdua tidak berhubungan diantara satu sama lain walaupun keduanya merupakan general utama kerajaan.

Dahulu Xiao Jue merupakan seorang pemuda yang sukar didekati tetapi tidaklah sedingin seperti hari ini. Entah apa yang telah mengubahnya?

Sambil berjalan pulang ke khemah, He Yan mengingati kembali kehidupannya di masa lalu. Dia menyertai pasukan tentera setelah bertengkar dengan keluarganya lalu dia langsung tidak mengambil tahu akan perkara yang berlaku di ibu kota.

Apa yang diketahuinya, ayah Xiao Jue juga merupakan seorang general yang terkenal iaitu General Xiao Zhong Wu. Seorang general utama yang dijuluki sebagai Perisai Besi kerajaan Wei namun ketika tercetusnya pertempuran Mingshui diantara kerajaan mereka dengan pasukan tentera barbarian dari selatan, General Xiao telah diserang hendap oleh pihak musuh mengakibatkan beliau terkorban ditangan ketua tentera pihak lawan.

Apabila General Xiao meninggal dunia, Xiao Jue telah diarahkan oleh Raja untuk mengambil alih tugas ayahnya sebagai ketua pasukan tentera. Dalam usia enam belas tahun, dia berjaya mengalahkan pasukan barbarian dari selatan itu malah telah memenggal kepala ketua tentera musuh yang membunuh ayahnya sebelum ini.

Mungkin pengalaman itulah yang telah mendewasakan Xiao Jue. Sampai sahaja di dalam khemah, tanpa membuang masa He Yan segera tidur untuk merehatkan dirinya menghadapi cabaran baru pada hari esok.