Chereads / Menara D'Estelle / Chapter 66 - BAB 49

Chapter 66 - BAB 49

Azrien dan Max melangkah keluar dari perut kereta. Mereka masuk ke bangunan pentadbiran dan maklumkan sebab kedatangan mereka. Max duduk menunggu di lobi.

"Boleh saya tahu Komander ditempatkan di wad mana?"

"Di Unit Rawatan Rapi. Boleh saya tahu apa hubungan Tuan dengan Komander?", katanya sambil melihat skrin komputer.

"Komander adalah bapa saudara saya", dia melihat Azrien. Dia tak tahu Komander ada hubungan dengan orang sepertinya. Azrien beritahu dia nak melawat. Dia dapat tahu dari Pemangku Komander yang maklumkan kepadanya.

"Kamu nak jumpa Komander dulu ke?", tanya Max bila Azrien mengambil duduk.

"Nanti. Selepas dapat semua yang aku perlukan", dia melihat ke luar tingkap.

"Tuan ada seseorang datang untuk bertanya mengenai serangan semalam", kata suara di interkom.

"Siapa mereka?"

"Mereka dari Unit Helios", dia ada maklumkan keadaan Komander kepada Azrien yang merupakan saudara terdekat yang dia dapat capai. Tapi dia hairan kenapa mereka nak tahu mengenai serangan itu. Biasanya mereka sibuk uruskan misi khas. Ataupun ini ada kaitan dengan misi mereka.

"Bawa mereka masuk dan panggilkan mereka", dia memberi beberapa nama.

Selepas 15 minit, Azrien dan Max masuk ke bilik perbincangan. Ada beberapa orang lain turut berada di situ.

"Selamat datang Kapten Azrien", katanya sambil berjabat tangan.

"Disebabkan Komander tiada buat masa ini, saya akan ambil alih tugas Komander untuk sementara waktu sebagai Pemangku Komander", mereka mengambil duduk. Jadi dia ini Azrien Rubellite, Kapten Helios. Dia melihat rambut blonde keemasannya, simbolik Kerabat Goldstein.

"Saya nak kamu semua simpan perkara ini di sini saja. Kami ditugaskan untuk mencari sebuah organisasi. Saya perlukan kerjasama kamu semua", katanya dengan wajah serius.

"Baiklah. Ini laporan lengkap yang kami sudah sediakan", katanya sambil memberi fail.

Azrien membaca dengan teliti. Max turut melihat dari tepi. Selepas seketika baru dia membuka mulut.

"Siapa yang laporkan dulu?"

"Saya", kata Aiden. Dia rasa gugup melihat wajah serius Azrien. Ini kali pertama dia bertemu dengan kesatria dari Unit Elit.

"Kamu yang jumpa bom?"

"Ya"

"Macam mana rupa bom itu?"

Aiden minta kertas dan pen lalu mula melukis. Kertas diserahkan kepada Azrien. Rupa bom ini nampak lain. Mereka buat ni?

"Macam mana kamu jumpa?", kata Azrien sambil mengangkat muka. Aiden menjelaskan cara yang dia gunakan untuk mencari.

'Macam mana mereka buat bom yang tak dapat dikesan dengan genshi?', kali ini mereka pilih untuk gunakan bom. Tak seperti serangan sebelum ini.

"Selain itu, kami ada jumpa sesuatu. Dia akan datang sekejap lagi untuk jelaskan", tak lama kemudian Mary masuk bersama fail di tangan. Kelam kabut dia sediakan semua ini sebab tak sangka Kapten Azrien datang ke sini. Dia menyerahkan fail kepada Pemangku Komander di mana dia akan edarkan salinan fail kepada setiap orang.

"Kami siasat kawasan hutan yang mereka gunakan untuk menyelinap masuk. Ia dikelilingi kabus tebal dan saya tak dapat guna formasi carian di situ. Selepas kajian mendalam saya... saya rasa mereka datang ke sini melalui teleportasi", jelas Mary. Pada mulanya dia fikir ini mustahil tapi ini sahaja jawapan yang dia dapat setelah bersengkang mata semalaman.

"Teleportasi?", Azrien teringat mekanisme itu. Ada kaitan ke?

"Ya. Saya ada kesan elemen genshi yang berlainan. Mengikut kajian ia adalah elemen ruang dan masa", Azrien mendengar sambil membaca kandungan fail.

Mary menunggu kalau Azrien mahu kata apa-apa sebab teleportasi adalah teknologi masa silam yang sudah hilang selama ribuan tahun. Tak ada sesiapa tahu kenapa ia hilang tiba-tiba. Tapi itulah satu-satunya jawapan yang ada.

"Teleportasi...", gumam Azrien.

"Baiklah. Terima kasih atas kerjasama kamu semua. Kalau ada apa-apa saya akan hubungi lagi", katanya sambil berdiri. Fail disimpan.

Mereka semua menunduk hormat dan melepaskan nafas lega. Kehadiran kesatria dari Unit Elit buatkan suasana rasa tegang.

'Mesti kes ini sangat serius sehingga Unit Elit masuk campur', fikir Pemangku Komander. Dia minta mereka bersurai.

Azrien dan Max pergi ke Unit Rawatan yang terletak di bangunan berasingan. Dia mengikut jururawat yang membawa mereka ke Unit Rawatan Rapi. Pintu ditolak. Nolan dan beberapa orang di dalam menoleh. Nolan terkejut melihat Azrien, dia minta mereka semua keluar kecuali Cain.

"Azrien. Lama tak jumpa kamu", Azrien melihat keadaan Nolan. Ada balutan di lengannya. Dia tak cedera teruk tapi terlantar begini disebabkan racun itu.

"Macam mana keadaan Komander?"

"Biasa saja. Cuma susah sikit kalau nak buat apa-apa. Buat masa ni Doktor cuma mampu perlahankan simptom saja", kening Azrien berkerut.

"Komander. Saya ada jumpa penawar", celah Cain.

"Penawar? Dari mana Tuan tahu?", dia merenung tajam. Doktor ada beritahu mengenai racun itu jadi dia tahu tiada penawar.

"Saya ada cara tersendiri. Untuk pengetahuan Kapten, sesiapa yang kena racun itu akan terseksa untuk jangka masa yang lama dan akhirnya mati. Memang betul ia tak ada penawar tapi itu sebelum. Saya tak pasti ini akan berkesan tapi penawar ini dikenali sebagai ubat yang menyembuhkan segala penyakit"

"Ia adalah sejenis bunga purba yang sangat sukar ditemui, Blue Sphere Rose. Saya rasa lebih baik Kapten cuba dahulu daripada tak buat apa-apa", dia menghulurkan salinan kertas yang tertera maklumat mengenai bunga itu. Azrien mengambil lalu melihat gambar yang disertakan.

"Tuan cakap ia sukar ditemui. Macam mana pula saya nak cari?", dia rasa sangsi bagaimana Cain tahu.

"Jangan risau. Bunga ini diiktiraf oleh Badan Kajian dan Penyelidikan Tumbuhan. Jadi Kapten boleh hubungi mereka untuk pembelian. Harganya sangat lumayan jadi cuma individu macam Kapten sahaja yang dapat beli", jelas Cain. Dia faham kenapa Kapten Azrien rasa sangsi.

"Tuan cakap sebelum ini tiada penawar. Apa maksud Tuan?", dia perlu tahu serba sedikit mengenai bunga ini.

"Setahu saya bunga ini muncul tiba-tiba dalam pasaran sejak tahun lepas. Jadi saya tak tahu sangat. Ia sukar ditemui sebab bunga ini hanya tumbuh di kawasan dengan cuaca yang ekstrem dan sukar dijaga. Saya tak tahu bagaimana atau siapa pembekalnya. Tambahan pula penjualan bunga ini diketatkan. Mereka cuma jual dalam kuantiti tertentu"

"Terima kasih", kata Azrien.

"Ini yang terbaik saya dapat lakukan. Selebihnya adalah giliran Kapten", senyum Cain. Dia meninggalkan mereka berdua.

"Azrien", panggil Nolan.

"Saya akan dapatkan bunga itu. Komander tunggu saja", kertas di tangan digenggam. Nolan menyentuh pipi dia. Azrien tersentak lalu mengangkat muka.

"Kalau bunga itu dapat sembuhkan ini alangkah bagusnya. Tapi kamu tak dapatkan pun tak apa", dia mengusap lembut.

"Tolong jangan cakap macam tu", dia mencapai lengan Nolan. Dia tak nak kehilangan orang yang dia sayang.

"Kalau Tuhan benarkan aku bernafas lagi aku akan hidup", matanya bersinar dengan keyakinan.

Semasa dalam perjalanan pulang, Azrien mendiamkan diri sahaja. Max melihat dari ekor mata. Keadaan tegang ini buat dia rasa tak selesa. Azrien keluar dahulu dan berdiri di tepi kereta.

"Max. Hubungi BKPT dan tanya fasal bunga tu. Kalau ada terus beli. Nanti hantar bil ke rumah aku"

"Okay", dia perlu bagi ruang untuk Azrien buat masa ni.

Azrien pergi ke bilik perbincangan untuk sambung analisis maklumat yang dia baru dapat. Dante menggosok kepalanya di kaki Azrien. Dia melihat ke bawah.

"Kenapa ni?", Dante merenung. Ia dapat rasa Tuannya sedih. Azrien menepuk lembut kepalanya lalu sambung menulis. Dante pergi ke tepi meja dan duduk di situ menemani Tuannya.

Dia melihat lokasi setiap tempat serangan. Hmm... Teleportasi. Itu mungkin jawapan yang dia cari. Mary juga cakap yang ia tinggalkan kesan genshi. Azrien pergi ke bangunan mage dan minta mereka bawanya melihat mekanisme. Dia melihat dua lapisan formasi dalam kristal genshi. Azrien menoleh ke mage di sebelahnya.

"Kamu sudah analisa formasi ni?"

"Sudah Kapten. Tapi kami tak tahu formasi yang hantar Kapten ke situ sebab formasi ini tak wujud dalam pangkalan data", jelasnya sambil menyerahkan fail. Azrien membaca sekejap.

"Aku nak seseorang pergi ke sana untuk periksa kalau ada jejak genshi di situ"

"Baik Kapten", dia tahan diri dari mengeluh. Jauh juga kalau nak pergi tapi arahan tetap arahan.

Azrien masuk ke bilik selepas siapkan semua kerja. Dia melonggarkan ikatan tali leher sambil menuju ke Dante yang berehat di tepi katilnya. Dia mengusap pipinya dengan kedua-dua belah tangan. Dante menderam rendah. Azrien tersenyum.

Max menghubungi pihak Badan Kajian dan Penyelidikan Tumbuhan untuk bertanya mengenai Blue Sphere Rose. Max terus menempah bila dia kata hanya tinggal sebuah dan minta mereka hantar bil ke Kerabat Goldstein. Max pergi ke bilik Azrien dan memberitahu dia sudah membuat tempahan.

"Okay. Terima kasih"

"Nah", Max menghulur kotak. Azrien menyambut dengan rasa hairan. Dia membuka dan melihat sebiji kek coklat.

"Bila pula kau beli ni?"

"Aku minta mereka hantar ke sini", dia tahu Azrien suka makan kek itu.

"Kau tak ada kerja nak buat ke", dia letak kek di meja tepi katil.

"Aku dah suruh pasukan mage pergi periksa kalau ada kesan genshi di tempat kita jumpa mekanisme"

"Tak terlambat dah ke?", sudah beberapa minggu berlalu. Takkanlah masih ada kesan genshi.

"Lebih baik kita periksa daripada langsung tak buat apa-apa"

"Kau percaya ke apa yang Mary cakap tu?", setahu dia teleportasi adalah teknologi purba yang sudah lama hilang. Lagipun semua orang fikir ia sekadar mitos sahaja.

"Kau tahu tak mana saja tempat mereka serang?", tanya Azrien sambil bersilang tangan.

"Ada empat lokasi kan?"

"Setiap lokasi tu jauh antara satu sama lain. Lagipun aku ada bukti yang mereka gunakan teleportasi. Mekanisme tu"

"Ohh...", dia terlupa mengenai mekanisme itu. Jadi kalau kita menemui ada kesan genshi dari penggunaan teleportasi di setiap lokasi, ia akan kukuhkan teori Mary.

"Selepas kita dapat kesan genshi. Aku nak minta bantuan Strata untuk kesan dengan lebih teliti", jangan haraplah dia nak biarkan Unit lain tak ambil bahagian dalam misi ini.

"Kau nak panggil 'dia' ke?", Max tahu Azrien tak berapa suka dia.

"Aku perlukan kemahiran mereka. Itu saja"

"Okay. Aku pergi dulu", dia melangkah ke pintu.

Azrien mengusap kepala Dante. Dah lama dia tak berjumpa dengan anggota Unit Elit lain.

⚜️⚜️⚜️

"Kerja yang bagus Kapten", kata Redrick.

"Terima kasih Tuan", kenapa Tuan tiba-tiba cakap macam tu? Dia menunggu dengan perasaan berdebar.

"Tapi... Aku dapat tahu mereka jumpa salah satu bom", Redrick merenung tajam.

"M-Maafkan saya Tuan", dia terus menundukkan kepala. Dadanya berdegup kencang.

"Hmmm... Tak apa. Kita berjaya musnahkan salah satu bangunan mereka. Aku harap ini kesalahan terakhir kau buat", katanya dengan dingin. Dia perlu segera laporkan kepada Tuan selepas ini.

"Saya faham. Terima kasih Tuan. Saya pergi dulu", dia menabik hormat sebelum melangkah pergi. Bila pintu tertutup di belakangnya barulah dia dapat melepaskan nafas lega. Ingatkan Tuan akan hukum dia tadi. Dia tak boleh biarkan orang bawahannya dihukum disebabkan kecuaian dirinya.

'Tapi... Kenapa Tuan tak cakap apa-apa mengenai anggota mereka yang ditangkap?', mungkin sebab Tuan tahu mereka tak akan beri apa-apa maklumat kepada mereka.

⚜️⚜️⚜️

Kapten Pasukan 2 dan Cain masuk ke dalam bilik soal siasat. Si assassin yang duduk dengan tangan digari merenung mereka berdua dengan tajam. Dia tidak lagi memakai pelitup muka. Mereka berdua mengambil duduk menghadap dia.

"Boleh kamu beritahu siapa mereka?", tanya Kapten dahulu dengan tenang.

"...", dia tak membalas tapi sebaliknya merenung mereka saja.

"Saya tahu kamu tak nak jawap apa-apa tapi benda ni tak akan selesai kalau terus macam ni", Kapten mengeluh perlahan.

"Kau tanyalah banyak mana pun aku tak akan jawap sebab aku tak tahu apa-apa mengenai mereka", kening Kapten berkerut dengan rasa hairan mendengar kata-kata si assassin. Apa maksud dia tu?

"Haih...", Cain mengeluh. Dia dah dapat agak yang dia akan kata begitu.

"Seperti yang Tuan tahu. Kami terima apa jua misi dan tak akan tanya identiti klien kami mahupun motif mereka. Sebab ia tak penting bagi kami", katanya sambil menoleh ke Cain.

"Tak apa Kapten. Kita tak akan dapat apa-apa dari dia", kata Cain.

Kapten menyuruh kesatria di luar untuk menghantar si assassin ke sel tahanan dan membawa suspek seterusnya ke sini. Si kesatria menuju ke sel. Hairan dia melihat suspek itu bersandar di dinding dan tak bergerak-gerak. Dia membuka pintu dan mendekati. Terkejut dia bila melihat lelaki itu sudah tak bernyawa.

Dia periksa anggota badannya kalau ada sebarang kecederaan tapi tak menemui apa-apa. Dia terus laporkan kepada Kapten.

"Apa?! Dia dah mati?!", dia terus menyuruh kesatria menghantar dia ke bilik pembedahan untuk melakukan post mortem. Organisasi apakah ini sampai anggotanya sanggup bunuh diri supaya mereka tak dapat apa-apa maklumat mengenai mereka.

"Kapten. Saya perlu jelaskan sesuatu mengenai Puak Kucing Kelabu memandangkan Kapten tak tahu sangat mengenai mereka", Cain memulakan bicara.

"Puak mereka dikenali dengan kemahiran membunuh dan teknik persembunyian. Mereka terima apa jua misi berkaitan pembunuhan tanpa ambil tahu identiti ataupun motif klien mereka. Ini adalah prinsip Puak Kucing Kelabu. Selain itu, mereka juga gunakan pelbagai jenis racun. Sama seperti keadaan Komander sekarang. Racun yang mereka gunakan kali ini sangat sukar dikesan"

"Jadi betullah kita tak akan dapat apa-apa maklumat mengenai organisasi itu", Kapten mengeluh perlahan. Dia perlu hantar laporan ini kepada Kapten Azrien nanti.

"Ya. Saya akan beri maklumat penuh mengenai mereka kepada Kapten nanti. Kapten perlu hantar laporan kepada Kapten Azrien nanti kan?"

"Ya. Nampaknya soal siasat ni tak membuahkan hasil"

"Tak juga. Kita dapat tahu mereka bersekongkol dengan Puak Kucing Kelabu dan mengenai bom anti genshi itu", Cain menepuk bahu Kapten.

"Hmm. Betul apa yang Tuan cakap tu"

"Baiklah saya pergi dulu", kata Cain lalu bangun dan menuju ke pintu.

Dia melalui laluan ke bangunan mage dan melihat ceracak kristal gergasi di situ. Mereka sedang mengalih barang-barang yang dapat diselamatkan. Bangunan baru akan dibina. Dia tak pernah terfikir mereka akan gunakan bom untuk serangan kali ini. Tapi ia bukan bom biasa tetapi bom anti genshi. Dia tak tahu pula bom sebegitu boleh dihasilkan. Anti genshi... Cain teringat peristiwa buruk itu.

⚜️⚜️⚜️

Rain membaca laporan yang dihantar pada tablet sambil bersandar di beranda biliknya. Angin sejuk bertiup lembut. Musim sejuk akan tiba tak lama lagi. Dia balik lebih awal kali ini untuk menyambut festival dan bertemu dengan Adam. Dia letak tepi tablet dan melihat taman. Si kucing sedang mengutip daun-daun musim luruh di bawah pokok.

Lucillez ketuk pintu lalu masuk. Adam yang sedang melihat telefon menoleh.

"Tuan muda. Guru pedang Tuan muda ada hantar ini tadi", dia menyerahkan kertas.

'Ini mesti fasal ujian yang Cikgu cakap', Adam membaca kandungan ujian. Dia diminta untuk memburu raksasa Kelas E dan hantar keputusan dalam 5 hari. Turut disertakan jenis raksasa yang dia akan buru iaitu seekor musang. Memandangkan tak ada apa nak dibuat lebih baik dia uruskan ini esok.

Ini kali pertama dia memburu raksasa seorang diri. Dia pergi memberitahu Vyrut.

"Okay. Hati-hati esok", pesan Vyrut. Kalau boleh dia nak ikut tapi masih ada banyak lagi kerja yang belum siap untuk sambutan festival.

"Erm. Saya pergi dengan Lucillez esok"

Si arnab yang bertompok hitam putih bulunya melihat Adam dari belakang kerusi Vyrut.

"Bila dia masuk?", Adam menunjuk si arnab. Kebanyakan kanak-kanak demi-human yang datang ke sini selalu manja dengan Vyrut.

"Entahlah", dia tak sedar pun ada orang masuk. Dia menoleh ke belakang. Si arnab menarik lengan bajunya.

"Aireen. Saya dengar Adam ikut Tuan Vyrka ke pangkalan", kata Rain.

"Ya. Adam di sana untuk seminggu saja", Aireen melayan si kucing yang mahu bermain dengannya.

"Uhh... Saya ada sesuatu untuk kamu", dah lama dia beli hadiah ni. Dia beli awal sebab tak tahu bila Rain akan pulang. Rain selalu beri sesuatu setiap kali dia pulang.

"Thanks. Ini pula untuk kamu", kata Rain sambil tersenyum. Aireen tak pernah beri apa-apa untuknya sebelum ini. Dia membelek-belek kotak.

"Mew?", si kucing cuba menyentuh kotak hadiah. Aireen mengusap rambutnya.

"Terima kasih", mungkin sebab dah lama tak jumpa jadi dia rasa kekok sedikit.

"Kamu nak ikut saya pergi jalan?", dia nak beli beberapa barang yang diminta oleh rakan sepasukannya.

"Boleh saja", biasanya dia rehat di rumah saja sepanjang waktu cuti. Lebih baik dia pergi jalan memandangkan waktu cuti akan habis tak lama lagi.

Selepas sarapan Adam terus menuju ke hutan di sebelah barat dari bandar bersama Lucillez. Pemandu memberhentikan kereta di tepi jalan. Adam minta Lucillez menunggu di sini sahaja.

"Baiklah. Kalau perlukan bantuan panggil saya", pesan Lucillez. Dia melihat Adam berjalan masuk ke hutan.

Adam tak nak selalu ditemani setiap kali nak pergi memburu. Dia nak ambil peluang ini untuk beranikan diri. Cuaca di dalam hutan lebih sejuk berbanding tempat lain disebabkan kelembapan tanah. Sesekali ada haiwan melintas seperti arnab liar ataupun bunyi kicauan burung. Ia tak peduli dengan kehadiran Adam di situ.

Adam berjalan sambil matanya meliar ke sekeliling. Mencari di mana si musang. Susah juga kalau nak cari musang itu saja dalam hutan yang luas ni. Sudah hampir setengah jam dia berjalan tapi masih tak nampak satu bayang pun.

Dia meneruskan langkah. Tiba-tiba ada sesuatu berlari dengan pantas di hadapan. Adam mengikut ke mana ia pergi. Dia menyorok di belakang sebatang pokok lalu melihat. Itu adalah musang yang dia cari. Ia sedang memburu seekor arnab putih.

Adam mengambil peluang itu untuk sedia menyerang sementara musang itu sibuk menyerang arnab. Si musang menerkam arnab lalu digigit leher sehingga ia terkulai. Adam terus menyerang dengan bola api. Ia mengelak serangan mengejut Adam. Arnab di mulutnya terlepas lalu ia menyeringai ke Adam.

Si musang membuka mulut, api menyembur keluar ke arah Adam. Dia mengelak ke tepi. Musang itu berlari ke dia lalu mencakar dengan kukunya yang runcing. Lengan bajunya koyak. Darah menitis keluar. Adam mendesis sakit.

Dia mengeluarkan pedang lalu meliputi pedang dengan api. Adam melibas pedang. Bilah api menuju dengan pantas ke musang. Adam melibas beberapa kali. Tetapi ia mengelak dengan lincah setiap serangan. Kemudian ia menyemburkan api lagi tetapi kali ini api itu lebih besar. Sekejap sahaja ia sampai ke Adam.

Adam terus menggunakan pelindung api dalam keadaan panik. Api di pedangnya terpadam sebab dia tak dapat gunakan teknik itu dalam masa yang lama. Macam mana nak tangkap ni? Ligat otaknya berfikir, memikirkan apa yang perlu dilakukan. Aha! Rasanya boleh guna itu. Adam tahu dia belum mahir formasi genshi yang lebih tinggi jadi dia nak gunakan formasi genshi yang dia sudah mahir.

Adam menyediakan formasi di tapak tangan. Setelah api padam, Adam terus mengikat sebelah kaki musang dengan tali api. Musang itu cuba melepaskan diri dengan mencakar tali api. Dari yang Adam tahu musang itu kalis api jadi apa-apa serangan dari genshi api tak akan meninggalkan apa-apa kesan. Adam menyambar sebelah kaki belakang pula.

Dia terus menyediakan bebola api lalu ia terbang ke muka si musang yang meronta cuba melepaskan diri. Bila melihat bebola api, ia membuka mulut untuk menyemburkan api. Adam ambil peluang itu lalu berlari dengan pantas ke tepi badan musang lalu mencucuk lehernya. Si musang itu hanya terkaku begitu sahaja dengan mulutnya masih ternganga. Matanya melihat Adam.

Adam memegang pedang dengan kedua-dua belah tangan lalu menekan pedang sehingga kepalanya terpisah dari badan. Badannya jatuh ke tanah. Adam tercungap-cungap mengambil nafas. Dia rasa takut bila melihat darah yang mengalir dari leher. Adam menggelengkan kepala lalu menarik nafas dan dihembus perlahan untuk menenangkan diri.

Dia melutut di tepi badan lalu disentuh untuk tahu lokasi teras. Dia potong sedikit di bawah tulang rusuk. Tangan dimasukkan dan dia dapat rasa ada bebola kecil yang keras lalu diambil keluar. Adam melihat lebih dekat teras itu. Ini raksasa pertama yang dia bunuh dengan usaha sendiri. Dia tersenyum.

Dia mengambil botol air dari dalam formasi penyimpanan lalu mencuci darah di tangan. Badan dan kepala musang disimpan di dalam formasi. Adam melangkah dengan perlahan ke luar hutan. Lucillez yang berdiri di bawah pokok menuju ke Adam bila melihatnya. Dia terlihat luka di lengannya.

"Tuan muda okay ke? Mari sini. Saya rawat tu dulu", Lucillez menarik lengan Adam dan menyuruh dia duduk di akar pokok sementara dia mengambil peti pertolongan cemas.

Dia lupa lengannya luka. Sekarang baru dia rasa lukanya berdenyut. Lucillez koyak lengan baju sehingga ke bahagian siku lalu mencuci luka dan dibalut. Dia memeriksa badan Adam kalau ada luka lain. Setelah pasti tiada dia menyimpan peti ke dalam bonet kereta.

"Macam mana tadi?", hairan juga dia rasa bila melihat Adam nampak tenang saja.

"Saya dapat tangkap", Adam tersenyum nipis. Dia masih rasa gemuruh bila teringat yang dia memotong kepala musang itu tadi.

"Baguslah. Tuan muda nak proses musang tu kan? Kita pergi ke Bangunan Tenshiz", saran Lucillez. Adam ada beritahu dia perlukan bulu atau mana-mana bahagian musang itu sebagai bukti dia berjaya selesaikan tugas. Ia akan diberi kepada guru pedangnya.

"Erm. Okay", Adam mengangguk saja. Mereka masuk ke dalam kereta. Lucillez memberitahu pemandu untuk pergi ke Bangunan Tenshiz.

"Mereka ada bahagian penyembelihan raksasa. Jadi senang untuk sesiapa yang memerlukan ia untuk menyelesaikan misi", jelas Lucillez.

"Ohh. Saya tak tahu pun mereka ada sediakan itu", dia tak perasan juga semasa kali pertama pergi ke situ sebelum ini.

Apabila sampai mereka berdua masuk ke dalam bangunan. Lucillez membawa Adam ke pintu yang tertera Bahagian Penyembelihan Raksasa di sebelah kanan dari lobi.

"Tuan muda masuklah. Saya tunggu di sini"

Adam mengetuk pintu lalu memulas tombol. Dia melihat ke dalam. Ada banyak badan raksasa diletak atas meja di sudut bilik. Seorang tukang sembelih menoleh bila perasan ada seseorang masuk.

"Ya? Kamu nak apa?", mereka sedang sibuk sebab banyak yang perlu dipotong.

"Ahh. Saya ada musang yang perlu dipotong. Saya cuma nak bahagian bulu, taring dan kuku saja", Adam mengeluarkan badan dan kepala musang. Diletak atas meja besi yang kosong.

"Okay. Kamu nak jual saja ke daging ni?", dia melihat kesan potongan di leher. Dia yang bunuh musang ni ke?

"Ya", dia tak perlukan bahagian daging.

"Okay. Kamu boleh tunggu dalam 20 minit", tak lama pun dia nak potong ni. Adam terus berlalu keluar. Dia pergi ke Lucillez yang duduk menunggu.

"Adam", kata si kerani sambil menekan loceng di kaunter. Adam terus bangun dan menuju ke kaunter. Dia memberi kantung kecil yang mengandungi bahagian yang Adam minta dan juga duit kertas.

"Ini untuk bahagian daging yang berjumlah 250. Bayaran untuk service adalah 50", jelas si kerani. Adam menyerahkan wang.

"Terima kasih. Sila datang lagi", katanya dengan senyuman. Adam membalas dengan senyuman. Boleh dapat duit kalau jual bahagian badan raksasa huh.

Adam terus pergi mandi sebaik sahaja pulang ke kediaman. Baju yang koyak dibuang sahaja. Selesai mandi dia terbaring di sofa. Penatnya. Dia mendengar bunyi ketukan lalu bangun duduk.

"Masuk", Victor yang tahu kepulangan Adam membawa pinggan tingkat yang penuh dengan sandwich dan manisan. Dia tahu Adam mesti rasa lapar.

"Terima kasih. Macam tahu je saya tengah lapar", senyum Adam. Victor menuang air sirap ais ke dalam gelas.

"Tuan muda rehatlah dulu. Masih ada masa sebelum makan tengah hari", sekarang sudah pukul 10:25.

Si kucing yang tahu Adam baru pulang menuju ke biliknya. Dia menghidu bau manis dari bilik Adam lalu dia menjenguk dari pintu.

"Mew~", si kucing menuju ke sebelah Adam lalu melihat kek cawan di piring tingkat.

"Kamu nak juga? Ambillah", si kucing tersenyum lalu terus mencapai kek cawan dan duduk makan di sebelah Adam.

"Tuan muda okay?", tanya Victor bila perasan ada balutan di lengan Adam.

"Ya. Lucillez yang rawat tadi", Adam menunjuk lengannya. Victor melihat dengan lebih dekat.

"Saya pergi panggil Doktor untuk tengokkan lengan Tuan muda", kata Victor. Lebih baik luka itu diperiksa.

"Ohh. Okay", Victor berlalu pergi. Lebih baik dia tak maklumkan kepada Tuan Vyrut. Nanti ada yang terlebih risau pula.

"Mew....", si kucing melihat luka Adam. Telinga kucingnya kuyu.

"Janganlah risau. Nanti ada Doktor tengokkan", Adam mengusap kepala si kucing.

Dia rasa lega setelah menyelesaikan tugas yang diberi guru pedangnya. Selepas ini bolehlah dia relaks sedikit.