Chereads / Menara D'Estelle / Chapter 60 - BAB 44

Chapter 60 - BAB 44

Setiap hari Chris akan bangun sebelum dinihari untuk berlatih, selepas bersarapan dia akan terus ke pejabat. Sejak dapat tahu ada gunting dalam lipatan, ahli pasukan Zhartyn tak seperti dulu.

Si musang menolak daun pintu. Dia melihat Chris yang masih tak menyedari kehadirannya lalu pergi ke meja. Chris mendongak bila melihat sepasang telinga merah di depan mejanya.

"Kenapa datang sini?", si musang cuba melihat Chris tapi tak sampai. Dia pergi ke sisinya. Chris letak dia di atas pahanya.

"Mana abang kamu? Dia sibuk ke?", si musang mengangguk. Chris membelai lembut rambutnya. Dia sambung melakukan tugas. Si musang melihat apa yang dibuat Chris. Selepas dalam setengah jam, Erun masuk untuk mengambil sesuatu.

"Selamat pagi Komander", katanya bila melihat Chris. Dia pergi ke rak buku dan mengambil apa yang dicari. Apa yang dia tengok tadi? Dia menoleh ke Chris. Ahh. Musang tu ya. Erun pergi ke biliknya.

Zhartyn dan Rai masuk kemudian. Chris minta mereka duduk dahulu. Dia turunkan si musang.

"Ada sesuatu kamu nak bincang dengan saya?", Chris mendekati mereka. Si musang mengikut di belakangnya. Rai melihat si musang yang menjenguk dari belakang Chris.

"Duduk sini", kata Chris. Si musang duduk di sebelahnya.

"Macam mana dengan dia?"

"Saya dah selesaikan", dia sudah dihantar ke persatuan dengan selamat.

"Saya nak tahu berapa lama kamu di sini?", tanya Chris.

"Sehingga keadaan dah stabil", buat masa ini mereka akan teruskan seperti biasa.

"Baiklah. Kenapa Rai?", dari tadi dia melihat si musang.

"Rai suka tengok dia", balas Zhartyn.

"Kamu ada cakap mereka susah nak lihat kan", si musang sedang menconteng pada papan putih kecil.

"Ya. Bukan itu saja. Apa jua bentuk komunikasi tak akan capai mereka"

"Maksud kamu?", Chris menoleh.

"Tak ada sesiapa yang pernah dapat berkomunikasi dengan mereka"

"Langsung tak ada?", misteri betul. Kenapa mereka buat begitu?

"Komander cakap kampung mereka diserang kan? Mesti ada sesuatu berlaku yang menyebabkan mereka keluar dari wilayah mereka. Sebab setahu saya mereka tak dibenarkan keluar", dia melihat si musang yang sedang melukis.

"Macam tu ke?", sampai kini dia masih tak tahu dalang yang menyerang kampung mereka atau tujuan mereka.

"Patutlah saya tak dapat balasan dari mereka. Saya nak hantar ke tempat asal mereka. Kamu nak terima mereka berdua?", tanya Chris.

"Tak. Saya tak boleh terima mereka", Zhartyn berterus terang. Dia tak tahu apa mereka akan lakukan kalau dapat tahu mereka ada di wilayahnya. Lebih selamat lagi mereka tinggal di sini.

Chris tak kata apa-apa. Dia melihat si musang. Kalau mereka sukar ditemui mesti akan timbulkan isu kalau mereka tiba-tiba bersama dia.

Mereka berbincang mengenai beberapa perkara penting. Masa berlalu dengan cepat bila mereka sudah selesai. Si musang yang sudah bosan melihat Zhartyn dan Rai, dia tak pernah tengok orang lain yang sepertinya. Tapi mereka berdua nampak lain.

"Komander Nolan ada beritahu saya yang dia gunakan khidmat Puak Serigala Hitam di markas mereka", kata Chris sambil menuang air panas ke dalam teko.

"Mereka tak terima pasukan bantuan?", pelik kalau tak ada.

"Komander Nolan cakap dia tolak pasukan bantuan"

"Saya faham sebab Komander Nolan buat begitu"

"Kebolehan mereka?"

"Ya", mereka saling berpandangan. Chris menunggu jawapan Zhartyn.

"Komander tahu apa kebolehan Puak Serigala Hitam?"

"Mestilah... Saya tak tahu", senyum Chris.

'Aku lupa pula yang mereka biasanya tak tahu fasal ni'

"Saya cuma tahu kebolehan mereka yang di sini sahaja. Lain dari itu saya tak tahu"

"Hmm. Puak Serigala Hitam imun dengan genshi"

"Imun?", dia tak pernah dengar kebolehan itu. Setiap puak demi-human ada kebolehan berbeza tapi tak sangka pula wujud kebolehan sebegitu.

"Kebolehan mereka sesuai dengan kes ini. Kapten pernah tengok?", Chris tertanya-tanya bagaimana rupa serangan mereka.

"Saya tak pernah tengok. Mereka tak benarkan orang luar masuk ke perkampungan mereka walaupun dia ahli Kerabat sekalipun", status Puak Serigala Hitam sama dengan Puak Serigala Biru.

"Mereka pernah diserang sebelum ini?", mereka tak akan buat begitu tanpa sebab.

"Ia lebih teruk dari itu"

Chris letak beberapa biji kiub gula sebelum menuang ke dalam cawan untuk Zhartyn dan Rai.

"Mereka pernah ditangkap oleh individu yang mahu kaji kebolehan mereka. Sejak itu orang luar sukar nak masuk ke situ. Mereka masih berhubung dengan kami cuma kalau apa-apa melibatkan orang mereka ia menjadi isu sensitif", Zhartyn menghirup air teh. Rai hanya mendengar tanpa mencelah.

"Patutlah. Saya rasa mungkin Penghulu mereka yang tawarkan diri. Kalau mereka diserang, perlindungan dan rawatan adalah keutamaan. Tapi mesti ada sebab lain mereka sertai Komander Nolan", si musang pergi ke kabinet dan mengambil sebalang buah kering.

'Kenapa aku tak terfikir. Walaupun mereka tak mahu ada kaitan dengan orang yang mahu gunakan kebolehan mereka, mesti ada sesuatu terjadi macam yang Komander katakan', getus hati Zhartyn. Dia melihat Chris yang sedang melayan si musang.

"Rai. Kamu nak jaga dia sekejap?", tanya Chris.

"Boleh ke?", Rai melihat si musang yang menyumbat buah kering ke dalam mulut.

"Mestilah boleh. Nanti kamu ikut Rai. Okay?", si musang melihat Rai lalu mengangguk.

"Mari sini", kata Zhartyn. Si musang dapat rasa aura pemangsa darinya. Zhartyn terus memadam aura itu bila menyedari si musang tak berganjak. Si musang kehairanan bila aura tadi hilang.

'Kapten nak pegang dia ke?', Rai ingat dia tak suka budak-budak.

Zhartyn mendukung si musang dan berlalu pergi. Chris melihat si musang yang nampak tenang. Si musang melihat telinga Zhartyn yang lain darinya. Tangannya cuba mahu menyentuh.

"Tak boleh", si musang melihat muka Zhartyn. Memandangkan dia tak dapat pegang telinganya dia sentuh rambutnya pula.

Zhartyn tertawa kecil. Dia mengusap rambut merah si musang. Rai yang mengikut di belakang tersenyum saja.

⚜️⚜️⚜️

Adam membawa beberapa buah buku dan pergi ke pejabat Vyrut di tingkat atas. Pintu diketuk.

"Masuk", Vyrut mengangkat muka.

"Kamu datang ni mesti ada nak tanya", Vyrut tersenyum bila melihat buku di tangan Adam.

"Abang sibuk ke?", dia selalu tengok Vyrut buat kerja tapi dia tahu tahu apa.

"Tak juga", tugasan kali ini akan ambil masa.

Adam letak buku di meja lalu mendekati Vyrut. Ada beberapa fail dan kertas di sekitar meja. Dia melihat kandungan fail. Hmm... Kapal?

"Ini jumlah kapal yang berlabuh sepanjang bulan lepas", kata Vyrut.

"Ohh... Abang buat tugasan macam ni ke selama ni?", nampak susah.

"Ya. Ia bukan tugas tapi lebih kepada assessment sebelum diberi tugasan rasmi. Ia dijalankan selama setahun. Kamu pun ada juga. Lepas dah habis belajar nanti", jelas Vyrut.

"Ohh. Saya pun ada juga"

"Erm. Tapi tugas kamu lain dari kami"

Ada benda bunyi terjatuh dari langsir belakang Vyrut. Dia memusing kerusi roda dan menyelak langsir. Si kucing kumpulkan semula blok kayu yang jatuh. Dia cuba susun semula.

"Dia datang sini nak main kadang-kadang", si kucing suka duduk di beranda sebab dia boleh tengok orang di bawah.

"Apa yang kamu nak tanya tu?", Vyrut pergi ke sofa.

"Sejarah?", dia melihat buku teks dan buku rujukan yang dibawa Adam.

"Saya nak tahu fasal ni", Adam menyelak buku surat dan tunjuk pada tajuk.

"Pembentukan Empayar...", Vyrut mengambil duduk sambil mengimbas semula memori di kotak minda.

"Bahagian paling sukar semasa pembentukan Empayar adalah wilayah demi-human. Masa tu Maharaja ingin wujudkan penyatuan antara pelbagai spesies. Demi-human adalah antara yang menentang keras"

"Jalan penyelesaian yang diambil Tuanku adalah memberikan mereka wilayah dan membenarkan mereka wartakan undang-undang tersendiri. Mereka ada badan perundangan khas untuk demi-human sahaja. Puak yang memerintah adalah Puak Blue Panther"

"Kamu tahu kan setiap negeri ada Kerabat berbeza. Sebab sebelum Andelf wujud setiap negeri ini adalah sebuah kerajaan"

"Bagi pihak Elf pula, wilayah mereka terletak bersebelahan Kerabat N.Zaikha di bahagian utara. Mereka tak ada masalah asalkan dapat tinggal dekat dengan alam. Kerabat yang memerintah adalah Keluarga Diraja Elf. Selain itu, ada beberapa minoriti macam dwarf. Mereka ni kebanyakannya tinggal di kawasan perlombongan. Dekat tempat Ray yang kita pernah singgah dulu"

"Itu secara ringkasnya"

"Cikgu beritahu Akademi tu tak ada kaitan dengan Empayar", Adam mengubah topik. Lokasinya berada di luar Empayar. Tapi ia masih dekat.

"Ya. Akademi tu bukan juga kerajaan. Di sekitar Akademi ada macam-macam tempat. Semua orang yang ingin menimba ilmu pergi ke sana. Perpustakaan Teragung Alexandria terletak di situ. Ia tempat tumpuan setiap ilmuwan dan mampu menempatkan satu ke dua juta penduduk"

"Satu ke dua juta?!", terkejut Adam mendengar. Dia ingat tempat tu Akademi sahaja.

"Itu sebab banyak golongan ilmuwan tinggal di sana untuk lakukan kajian, perbincangan dan macam-macam lagi. Tempat tu selalu penuh dengan orang"

Tak dapat Adam bayangkan bagaimana rupa Akademi itu.

"Cikgu kamu ada beritahu siapa yang jaga Akademi tu?", tanya Vyrut. Ia sangat penting untuk Adam tahu.

"Ya. Cikgu cakap walaupun ia bukan kerajaan tempat itu masih perlu seseorang untuk menjaga kestabilan semua orang sebab banyak orang dari pelbagai status datang ke situ. Kerabat Crawford"

"Ya. Mereka semua golongan cendekiawan dalam bidang masing-masing. Ada juga yang mengajar di akademi untuk tengok sendiri keadaan di sana", kata Vyrut. Semua orang kagumi kehebatan mereka.

"Kamu ada dapat kan soalan percubaan untuk ujian tu?", akademi itu dikenali bukan sahaja dengan taraf pendidikan yang berkualiti tetapi ujian kemasukan yang amat sukar.

"Ada", banyak juga lah. Setiap gurunya sudah memberi sejak awal lagi.

"Mew?", si kucing mendekati Vyrut lalu memeluknya.

"Kenapa ni?", dia suka sangat nak bermanja dengannya.

"Tak nak dengan Emylle hari ni?"

"Abang sibuk", katanya dengan muka sedih.

"Duduklah sini dulu", Vyrut membelai lembut rambutnya.

"Ada nak tanya lagi?"

"Saya nak duduk sini kejap. Kalau ada saya tanya lagi"

⚜️⚜️⚜️

Setiap pasukan berlatih secara berpasangan hari ini sementara semua Kapten sedang berbincang di pejabat.

"Kita nak buat ujian macam tahun lepas ke?", tanya Ian.

"Aku cadangkan kita buat ujian berlainan kali ni", kata Emylle.

"Okay. Ada apa-apa cadangan Luc?", Ian menoleh ke Lucillez yang sedang membaca fail berkaitan ujian kemasukan tahun lepas.

"Bagi ujian praktikal. Kita boleh buat dalam 2 kategori, individu dan berkumpulan. Ini untuk menguji kemahiran mereka secara individu dan kerjasama berpasukan", Ian mengangguk mendengar penjelasan Lucillez.

"Ada nak tambah lagi Emylle?"

"Aku nak kendalikan sendiri semasa tempoh percubaan nanti", pada tahap ini ramai yang akan dihantar pulang.

"Maksudnya aku uruskan ujian asas", kata Ian. Selain dari ujian praktikal, ada ujian lain iaitu menyukat tahap genshi dan ujian bertulis.

Ya. Ujian bertulis. Memandangkan mereka ingin menjadi kesatria Kerabat Artorius ia adalah mengenai perkara yang mereka tahu mengenai mereka dan juga organisasi kesatria.

"Kita mula bulan depan kan?", kata Lucillez.

"Ya", mereka akan lebih sibuk sepanjang masa itu.

"Ada nak tambah lagi?"

"Itu saja", balas Emylle. Lucillez mengangguk. Maka bermulalah tugasan masing-masing.

⚜️⚜️⚜️

Sewaktu sesi latihan pagi, dia perasan Aiden nampak teruja. Sebab dia boleh tengok dari hayunan pedangnya. Seorang kesatria mendekati Aiden dan bertanya kalau dia boleh berpasangan dengannya pula. Aiden mengangguk sebelum pergi melepaskan dahaga sekejap.

"Aiden. Macam mana semalam?", tanya Kapten.

"Mereka setuju", cepatlah masa. Dari awal pagi lagi dia dah tak sabar.

"Kamu seorang saja?"

"Ya"

"Cubalah mereka pun berminat juga macam kamu", dia menoleh ke kesatria-kesatria di padang.

"Bila tiba masanya"

Waktu makan tengah hari di dewan makan, Aiden memberitahu rakannya.

"Lepas ni kau pergi terus kan?"

"Ha'ah", Aiden mencucuk daging panggang. Belum sempat dia menyuap terus diletak ke pinggan semula bila melihat mukanya.

"Kenapa? Kalau kau risau ikutlah"

"Bila pula aku risau", dia menyuap makanan.

"Heh. Kau tak nak berlatih pun tak apa. Kau tengok saja pun boleh", cadang Aiden. Dia diam saja. Memikirkan perlu ke tidak.

"Tengoklah", kalau tengok saja bolehlah... Tapi bukan sekarang.

Aiden tersenyum nipis. Sebelum mereka berpecah dia letak sesuatu dalam tangannya. Apa ni? Biskut?

"Makanlah. Jumpa nanti", belum sempat dia nak cakap apa-apa Aiden sudah pergi seperti angin yang melintas.

Aiden tak menunggu lama di ruang lobi. Zinx muncul dan melihat pedang yang dibawanya.

"Kita berdua saja berlatih nanti. Mereka semua ada latihan berkumpulan petang ni", katanya sambil membawa Aiden ke padang latihan. Zinx mengambil dua bilah pedang kayu dan menghulur satu kepada Aiden.

"Simpan saja pedang kamu. Kita guna ni", Aiden letak pedangnya di tempat duduk. Mereka panaskan badan dengan berlatih pedang sekejap.

"Saya mulakan dengan penjelasan mengenai kebolehan kami"

"Serang saya dengan teknik biasa", arah Zinx. Aiden gunakan bilah angin. Dia menghalakan tangan ke arah ia. Sebelum ia dapat sentuh, bilah angin itu meletus.

Bila dapat lihat dengan lebih dekat, barulah Aiden perasan. Dia tak sentuh pun serangan tu. Jadi... kebolehan dia yang padam serangan itu dahulu.

"Kamu dapat tengok tu tadi?"

"Bolehlah", Zinx tersenyum saja.

"Kebolehan kami adalah imunisasi terhadap genshi. Tapi... Teras kebolehan ini adalah tetap berasal dari genshi", Aiden langsung tak faham apa yang dia cakap.

Zinx tahu Aiden bingung dengan penjelasannya. Cuma mereka saja yang faham kebolehan sendiri.

"Bagi kamu mungkin kebolehan kami ini nampak kebal tapi tak. Apa-apa serangan tetap akan ada kelemahan. Kamu cuma perlu cari"

"Serangan fizikal berkesan juga tapi lebih baik kalau kamu dapat cari jalan lain"

"Jadi... Latihan ni adalah untuk cari kelemahan tu?"

"Ya", berapa lama agaknya masa dia akan ambil?

Aiden tercungap-cungap mengambil nafas. Peluh di pipi dilap dengan lengan baju. Dia berlaga pedang sambil matanya bergerak mencari peluang untuk serang hendap. Bilah angin terbang ke arahnya. Zinx memadam serangannya dengan menghalang dengan lengan. Aiden merenung tajam. Kenapa susah sangat serangannya nak sentuh dia?

"Sampai sini saja hari ni", kata Zinx sambil pergi ke tepi padang dan mengambil tuala. Aiden baru saja nak protes bila Zinx terus menghulur tuala di mukanya.

"Tak perlu tergesa-gesa. Masuklah dulu", dia tahu Aiden masih nak berlatih.

Aiden lap peluh di dahi dan leher lalu mengikut Zinx. Dia memberi segelas air. Aiden teguk sehingga habis.

"Aiden. Tak ada orang lain nak ikut kamu?"

"Saya ada cuba tanya kawan saya. Mungkin dia akan datang"

"Ada markas lain yang terima kesatria demi-human?", dia mengubah topik.

"Hmmm. Kalau tak silap saya ada", Aiden cuba ingat di mana.

"Ahh. Ya. Dekat Seksyen Sempadan. Ia di bawah kelolaan Komander Christopher Espendevia dari Kerabat Haze. Dia terima ramai kesatria demi-human", dia ada dengar Komander Chris sangat suka dengan kanak-kanak demi-human.

'Ada juga yang terima ya', mungkin dia tak pernah dengar sebab tak pernah nak ambil tahu. Tapi dia rasa lega.

"Saya pergi dulu. Jumpa esok", kata Aiden. Dia belajar sesuatu yang baru hari ini. Agaknya ada peluang ke untuk dia bersemuka dengan puak demi-human lain?

Zinx melihat belakang Aiden dari pintu masuk. Dia seorang lelaki dengan personaliti menarik. Dia tak sangka akan berjumpa dengan orang sepertinya. Bibirnya mengorak senyuman bila memikirkan apa yang akan menantinya esok.

⚜️⚜️⚜️

"Kapten. Macam mana dengan latihan hari ni?", tanya Cain. Dia tak bersama mereka tadi.

"Ada kemajuan kali ini. Tapi seperti yang kita sangka ia sangat sukar. Cuma ada beberapa orang yang sudah mula dapat kawal", lapor Kapten. Dia memberi fail laporan.

"Baguslah begitu", kalau sudah ada yang mampu kawal tak lama lagi kita boleh mulakan fasa dua. Cain melihat fail dengan nama Projek Domain.