Chereads / Awanama Kosmos / Chapter 1 - Bab 1

Awanama Kosmos

🇲🇾HdinHafizuddin
  • --
    chs / week
  • --
    NOT RATINGS
  • 58k
    Views
Synopsis

Chapter 1 - Bab 1

SINARAN mega diufuk barat telah memancarkan cahayanya, menerangi segenap dimensi permukaan bumi yang semakin samar-samar kelihatan. Lalu, muncullah pula sejasad rembulan bersama pancaran sinaran purnama yang hadir bersama beberapa butir bintang-bintang diufuk timur. Bintang-bintang ini mewujudkan formasi-formasi tertentu yang dikenali sebagai buruj yang menjadi panduan kepada para pelaut dan juga pengembara dimasa lalu dan kini.

"Ibu, suatu hari nanti Nora nak jadi angkasawan, nak bantu orang-orang susah macam kita." Kedengaran lembut suara anak kecil berusia 7 tahun bersama ibunya yang sedang memandang ke arah langit malam. Tubuh genit anak kecil terbabit didakap mesra oleh sang ibunya,  meskipun sang ibunya tahu mereka hidup dalam serba kekurangan.

Langit malam yang tiada selubungan awan, terbogel oleh pancaran sinaran rembulan dan juga kerdipan bintang-bintang capricorn. Malam itu terasa sedikit panas, dengan tiada tiupan lembut angin kotaraya mengguris pipi dan hidung anak kecil berkenaan. Hanya bunyi deruan aliran air longkang selain lalulalintas yang memecah kesunyian kotaraya khatulistiwa terbabit.

"Insya-Allah, nak. Ibu doakan kamu berjaya menjadi seorang insan yang berguna bila kamu sudah besar nanti." Ibu Nora Yuhanis, Aunty Anne mengelap kotoran tanah yang tercalit disekitar muka Nora sambil tersenyum. Alas guni keronyot dan cebisan koyakan kotak-kotak kosong yang diperolehinya dari pusat pengumpulan barang kitar semula menjadi saksi kepayahan dua insan yang malang ini.

"Ibu, Nora akan pastikan yang Nora akan dapat nombor satu dalam kelas tiap kali, banggakan ibu walaupun kita hidup gelandangan macam ni. Nora akan tebus maruah dan nasib ibu supaya kita dapat hidup senang nanti." Nora mencium tangan ibunya, air mata Aunty Anne cuba diempang namun menitis jua akhirnya. Tidak dapat tidak untuk menahan sebak apatah lagi dia sedih memikirkan terpaksa hidup gelandangan, dibuang keluarga dan kawan-kawan.

Selepas diceraikan oleh suaminya, Aunty Anne yang juga seorang mualaf berbangsa cina lari membawa diri bersama si cilik Nora Yuhanis yang merupakan satu-satunya anak tunggal Aunty Anne, membawa diri ke bawah jambatan disekitar Jalan Pudu bagi meneruskan kehidupan. Sepanjang perkahwinan dengan suaminya yang lagaknya seperti seorang ustaz, Aunty Anne dan Nora Yuhanis sudah biasa dengan hentakan sepak terajang kaki berkudis, libasan tali pinggang tanpa belas kasihan, berbuku-buku penumbuk lelaki lewat 30-an serta segala macam perbuatan yang dihalalkan atas nama denda dan pengajaran.

Dengan berbumbungkan langit malam, dan berlantaikan serpihan kotak-kotak, kedua beranak ini tetap meneruskan kehidupan seperti biasa, menyekolahkan Nora Yuhanis ke sekolah kebangsaan yang terdekat sementara Aunty Anne akan mencari dan mengumpulkan sisa-sisa botol dan tin aluminum diwaktu siangnya untuk dijual ke pusat pengumpulan bahan-bahan kitar semula. Wang yang terkumpul ini nanti akan digunakan untuk tujuan mengisi perut mereka berdua dan membayar yuran persekolahan Nora. Pernah beberapa kali mereka terpaksa mengikat perut, hanya mencari sisa-sisa makanan di tong sampah dan juga disekitar pusat kitar semula.

Buku 'Estidotmy' yang ditemui Nora di pusat pengumpulan surat khabar dibawa ke 'teratak sementara' nya lalu dibaca berulang-ulang kali tanpa jemu. Tajuk 'Angkasawan Negara Berjaya Lakar Sejarah' pada muka hadapan majalah sains terbabit ditatapnya setiap hari sehinggalah waktu tidur. Dari sinilah terlahirnya minatnya terhadap bidang sains dan teknologi. Aunty Anne tidak pernah menghalang waima sekalipun menetapkan hala tuju masa depan Nora, hanya doa dan pengharapan supaya Nora Yuhanis menjadi insan yang berguna, dapat membela keluarga kecilnya serta menjadi seorang yang tidak dipandang rendah walaupun hidup serba kekurangan.

***

Akal sari, Nora Yuhanis berjaya menjejakkan kaki ke menara gading berbekalkan semangat, ilmu dan tunjuk ajar daripada guru-guru sekolahnya. Walaupun bersekolah di sekolah harian biasa sahaja dan bukanlah hasil produk sekolah berasrama penuh mahupun sekolah primier, namun, sudah cukup untuk membanggakan satu-satunya orang tuanya, tentulah Aunty Anne yang telah bertungkus lumus membesarkan Nora Yuhanis merasa bangga dengan pencapaian satu-satunya anak perempuan kesayangan itu.

Nora Yuhanis mengambil jurusan Fizik sebagai sub-bidang kepada bidang perubatan kerana minatnya terhadap ilmu sains, astrofizik dan astronomi sebagai kepuasan diri waima bidang perubatan pula sebagai galang ganti untuk berkhidmat kepada masyarakat. Beliau mahu menjadi seorang yang berbakti kepada masyarakat, namun, masih tidak akan dapat melupakan hasrat hati untuk terbang ke angkasaraya, seperti yang berjaya di lakukan oleh Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor pada tahun 2007 yang lalu jika ditakdirkan berlaku dalam hidupnya.

Akhirnya, Dr. Nora Yuhanis berjaya melanjutkan pelajaran ke Universitas Padjajaran (UNPAD) Bandung yang terletak di Kabupaten Jawa Barat. UNPAD telah bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Kampus Perubatannya di Cheras (HUKM) dalam bidang perubatan melalui ijazah berganda (double degree) dengan nisbah 3 tahun di UNPAD dan baki 3 tahun lagi di UKM. Beliau akhirnya berjaya menyempurnakan pengajian pra-perubatan dan ijazah MBBS lalu menjadi doktor pelatih selama 8 tahun di Indonesia pada usia 25 tahun sebelum kembali semula ke tanah air tercinta untuk menabur bakti kepada anak bangsa khususnya mereka yang tidak berkemampuan.

Sekembalinya ke Malaysia, Dr. Nora Yuhanis berkhidmat sebagai doktor pakar di sebuah hospital kerajaan di ibu kota. Berkat usahanya apalagi berjaya mencegah penularan wabak Covid-19 dikawasan hospitalnya pada tahun 2020 yang melarat sehingga tahun 2022 kerap meniti di bibir para frontliners lain sehingga diangkat sebagai doktor harapan, frontliners terbaik dan anugerah khidmat terbaik bagi jabatan yang bernaung dibawahnya.

Dr. Nora Yuhanis teramat cintakan tugasnya sebagai seorang doktor. Jauh dilubuk hatinya, dia mahu berkhidmat kepada masyarakat umum, mengembalikan ukiran senyuman daripada wajah-wajah kanak-kanak yang menghidapi pelbagai kesengsaraan, melihat kanak-kanak bermain gembira dan kembali sihat, tidak sepertinya yang hidup di kaki lima dan bawah jambatan sebagai gelandangan suatu masa dahulu. Niat murninya mahu membantu seramai mungkin anak-anak gelandangan yang hidup tanpa arah tujuan, supaya mereka terus bersemangat untuk menimba ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains dan teknologi, dan bidang-bidang lain yang boleh menjanjikan masa depan yang cemerlang.

Dia mahu membuktikan, anak gelandangan sepertinya juga mampu membina masa depan yang lebih baik, anak gelandangan juga mampu untuk berbakti kepada masyarakat dan negara amnya. Anak gelandangan juga mampu untuk melakar cita-cita dan menempa impian yang takkan mungkin anak-anak daripada golongan T20 fahami.

***