Chereads / Aku Di Dunia Elf / Chapter 74 - Tugas Seterusnya: Belajar Menguasai Kekuatan Yang Kedua

Chapter 74 - Tugas Seterusnya: Belajar Menguasai Kekuatan Yang Kedua

Aubree membuka pintu biliknya dan keluar dari biliknya. Saat dia berjalan di kawasan koridor, Aubree dapat melihat yang para pembantu Elf sedang berjalan ke sana ke mari, seakan-akan mereka sedang sibuk membuat sesuatu.

Bila para pembantu Elf itu melihat Aubree mereka terus menunduk ke arah Aubree.

Aubree tidak lagi melihat wajah mereka yang selalunya menunjukkan rasa meluat atau benci seperti selalu. Kali ini mereka menunduk dengan penuh sopan dan hormat.

Aubree yang belum biasa dengan sikap mereka yang seperti itu menjadi tidak senang hati. Dia tidak tahu hendak membalas seperti apa.

'Mereka merasa hormat begini hanya sebab saya lulus ujian itu? Takkan hanya lulus ujian saja buat mereka jadi sopan dan menghormati begini?' gumam Aubree dalam hati.

"Audrey, selamat pagi!" tegur seseorang dari arah belakang Aubree.

Aubree menoleh ke arah si pemilik suara itu dan melihat Hensel berjalan ke arahnya dengan wajah gembira.

Aubree terus tersenyum ke arah Hensel. "Hensel, selamat pagi!"

"Oh, sebelum saya terlupa lagi saya cuma nak ucap tahniah sebab sudah lulus ujian kelmarin. Kau sangat hebat, kau patut tahu itu!" Hensel menepuk bahu Aubree beberapa kali sebelum dia ketawa lagi.

Aubree tersengih. "Terima kasih... Saya tahu saya hebat. Sebelum ni pun ada orang yang cakap saya hebat..."

Aubree terdiam di perkataan terakhirnya. Saat itu, dia teringat pasal Issac sebab baru semalam dia mendengar lelaki itu memberitahu perkara yang sama padanya.

"Betulkah? Siapa orang yang pertama?" tanya Hensel.

"Ah, bukan siapa-siapa... Kau tak perlu risau tentang itu..." Aubree tidak mahu menjawab persoalan Hensel tadi. "Jadi, kenapa kau mencari saya?"

"Oh, ya... Saya hampir lupa. Tuan Gildam mahukan saya untuk bawa kau pergi berjumpa dengan dia. Selepas ujian kelmarin, Tuan Gildam belum sempat berjumpa dengan kau sebab keadaan kau yang tidak baik."

"Kalau begitu, marilah pergi. Saya juga ingin berjumpa dengan Tuan Gildam," kata Aubree.

Hensel tersenyum lebar dan dia berjalan beriringan dengan Aubree dan pergi ke tempat Tuan Gildam berada.

Hensel dan Aubree bercerita sepanjang perjalanan sehinggalah mereka tiba di tempat Tuan Gildam berada.

Tuan Gildam sedang duduk di sebuah pondok dalam taman sambil menikmati teh. Bau harum yang datang dari teh itu memenuhi kawasan taman. Bersama dengan Tuan Gildam ialah Ahli Sihir Yang Tertua.

Ahli Sihir Yang Tertua dan Tuan Gildam menoleh ke arah Aubree dan Hensel.

"Ah, Audrey. Kamu datang pun. Silakan duduk..." Ahli Sihir Yang Tertua menyuruh Aubree duduk di sebelahnya dengan suara yang tenang.

"Hensel, kamu boleh pergi sekarang," kata Tuan Gildam kepada Hensel.

Hensel menurut perintah dari Tuan Gildam. Setelah memberikan lirikan terakhir buat Aubree, Hensel menunduk hormat dan pergi dari sana.

Aubree mengambil tempat duduk di sebelah Ahli Sihir Yang Tertua setelah Hensel berpusing ke belakang tadi. Di depannya sudah ada gelas yang berisi teh yang sudah tersedia.

Ahli Sihir Yang Tertua memberi isyarat kepada pembantu Elf yang berdiri di luar pondok dan pembantu Elf itu berlalu dari sana.

"Saya tahu kamu belum bersarapan lagi dan saya sudah menyuruh para pembantu Elf untuk membawa sarapan ke sini. Bagaimana dengan keadaan kamu? Adakah kamu merasa lebih baik?" Ahli Sihir Yang Tertua bertanya kepada Aubree.

Aubree tersenyum kecil sambil menunduk kecil sebagai tanda hormat kepada Ahli Sihir Yang Tertua. "Keadaan saya sudah membaik. Ahli Sihir Yang Tertua tidak perlu risaukan keadaan saya lagi."

Ahli Sihir Yang Tertua pun mengangguk kecil. Dia mencapai gelas teh tadi dan meneguk satu atau dua kali minuman teh itu.

"Saya pasti yang kamu mungkin sudah tahu jika malam ini akan berlangsung majlis untuk merayakan kejayaan kamu kerana sudah lulus ujian ini. Tapi kamu harus ingat, ini cuma permulaan. Selepas ini, kamu harus belajar benda yang baru lagi sebelum kamu diumumkan sebagai pemilik Kristal Kehidupan yang sah..."

"Maksud Ahli Sihir Yang Tertua, saya masih perlu banyak benda lagi? Saya belum sah jadi pemilik Kristal Kehidupan itu?" tanya Aubree.

"Kamu memang pemilik Kristal Kehidupan selain Meliani sendiri, Audrey tapi kamu harus faham... Sebelum kamu diperkenalkan ke Dunia Elf sebagai pemilik Kristal Kehidupan yang sah, kamu harus menunjukkan kekuatan dan kemampuan kamu sebagai seorang pemilik Kristal Kehidupan yang layak dan kuat..."

"Kamu sudah menguasai kekuatan pertama kamu dalam ilmu bela diri. Kekuatan yang kedua adalah di mana kamu harus pandai dalam mengendali elemen kamu sendiri..."

Ahli Sihir Yang Tertua mencapai tangan kanan Aubree. Dia membaca beberapa buah rangkap patah perkataan dan tangannya yang memegang tangan Aubree bersinar terang.

Aubree mengaduh kecil kerana merasa sakit di tangan kanannya. Saat Ahli Sihir Yang Tertua melepaskan tangannya, Aubree tidak lagi melihat tatu hitam yang memenuhi tangan Aubree sebelum ini.

Aubree memandang Ahli Sihir Yang Tertua dengan wajah yang terkejut. "Saya menyangka yang Ahli Sihir Yang Tertua tidak akan membenarkan saya untuk menggunakan Kuasa saya ini lagi?"

Ahli Sihir Yang Tertua tertawa kecil mendengar kata-kata Aubree. "Kamu harus belajar menguasai kekuatan pertama kamu dulu sebelum kamu belajar menguasai kekuatan kedua kamu. Jika kamu tidak dapat menguasai ilmu bela diri dengan baik, kekuatan kedua kamu juga tidak akan menjadi stabil di dalam diri kamu. Dalam erti kata lain, kamu belum siap untuk menjaga Kristal Kehidupan itu..."

Aubree yang faham dengan maksud Ahli Sihir Yang Tertua hanya mengangguk dengan wajah yang masih tidak percaya dengan perkara yang baru saja berlaku.

Tuan Gildam tersenyum kecil saat melihat wajah Aubree. "Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada kamu, Audrey. Sepanjang kamu menjadi anak murid saya, saya merasa bangga. Selepas ini, pelajaran kamu mengenai ilmu bela diri sudah tamat. Kamu akan menjumpai seorang guru yang akan mengajar kamu tentang kekuatan kedua kamu pula."

"Tunggu... Jadi maknanya, saya tidak boleh berjumpa dengan Tuan lagi?" tanya Aubree.

"Kita tinggal di satu kawasan yang sama, Audrey. Mungkin memang kita tidak akan pernah berjumpa selalu tapi jika kamu tidak keberatan, kamu boleh berjumpa dengan saya di kawasan latihan. Siapa cakap yang kamu tidak boleh berjumpa dengan saya lagi?" Selepas Tuan Gildam bercakap seperti itu, dia ketawa lagi.

Aubree pula yang terkejut melihat sikap Tuan Gildam. Dia tidak pernah melihat Tuan Gildam ketawa gembira seperti itu ketika bersama-sama dengan Aubree. Mungkin sebab ujian pertama Aubree sudah selesai dan Tuan Gildam tidak perlu risau jika Aubree lulus atau tidak.

Aubree melihat Tuan Gildam yang ketawa itu juga turut ketawa. Tiba-tiba, dia berhenti ketawa dan teringat akan sesuatu.

'Sejak bila saya berhenti ketawa begini ya? Sudah lama saya tidak ketawa begini... Bila kali terakhir saya ketawa? Sejak Lucy mengkhianati saya? Ah, ya... Saya hampir lupa...'

Melihat Aubree yang diam saja itu, membuatkan Ahli Sihir Yang Tertua menjadi sedikit risau. Dia memegang lengan Aubree dengan lembut, cukup untuk membuatkan Aubree tersedar dari semua lamunannya.

"Kamu tidak apa-apa, Audrey?" tanya Ahli Sihir Yang Tertua.

Aubree menoleh ke arah Ahli Sihir Yang Tertua dan dia memberikan sebuah anggukan kecil. "Ya, saya tidak apa-apa."

Tidak lama kemudian, sarapan mereka dibawa masuk oleh pembantu Elf dan Ahli Sihir Yang Tertua pun menyuruh mereka menghidangkan menu sarapan itu ke atas meja.

Ahli Sihir Yang Tertua tersenyum ke arah Aubree. "Mari kita bersarapan dulu. Kamu perlu melakukan banyak benda hari ini dan kamu tidak patut bekerja dengan perut yang kosong."

Aubree mengangguk dengan kata-kata Ahli Sihir Yang Tertua.

Buat pertama kalinya, Aubree merasa tenang dan gembira ketika makan dalam satu meja yang sama dengan Ahli Sihir Yang Tertua dan Tuan Gildam.

Mereka mengingatkan Aubree dengan orang-orang yang Aubree sayangi ketika di dunia pertamanya tapi terkorban di tangan Lucy hanya kerana ingin menolong Aubree.

Dia berjanji, jika suatu hari nanti Kerajaan Kegelapan menyerang Kerajaan Elf, Aubree akan melindungi mereka dari tangan Raja Kegelapan sendiri.