"Semoga berjaya!" Itulah ayat terakhir yang dikatakan oleh Issac kepada Aubree sebelum Aubree masuk ke dalam stadium.
Aubree hanya mengangguk sekali ke arah Issac dan dia memandang ke depan, di mana tempat dia akan masuk sebentar lagi.
Aubree menarik nafas kecil sebelum dia berjalan ke hadapan. Di tangan kanannya adalah sebilah pedang yang panjang.
Ujian kedua ini memerlukan Aubree untuk menggunakan senjata dan melawan sekelompok Tentera Elf yang mempunyai ilmu bela diri yang tinggi.
Aubree sudah pun tiba di tengah-tengah arena dan berhenti di sana. Entah sejak bila Aubree menggenggam erat tangannya, dia pun tidak tahu. Saat ini, Aubree merasa sedikit gelabah dengan ujian kedua yang akan dia hadapi nanti.
Ketika Aubree melangkah masuk ke Salam arena, semua Elf bersorak untuk Aubree. Mereka sudah melihat bagaimana Aubree dapat mengalahkan Montee dan semua Elf bersemangat untuk melihat adakah Aubree akan berhasil di ujian kedua ini.
Aubree mengangkat kepalanya ke arah tempat duduk di mana Ahli Sihir Yang Tertua dan yang lain sedang duduk.
Ahli Sihir Yang Tertua berdiri dari tempat duduknya dan berjalan menuju ke pentas kecil.
Semuanya Elf yang bersorak, menutup mulut untuk memberi ruang kepada Ahli Sihir Yang Tertua untuk berucap.
"Seperti yang kamu semua sudah lihat, Audrey sudah tiba di peringkat kedua ujian setelah berhasil lulus dalam ujian pertamanya. Peraturan untuk ujian ini masih sama dengan peraturan ketika ujian pertama... Peraturan kedua, mana-mana pihak tidak dibenarkan untuk membunuh pihak lain selama ujian ini berlangsung..."
"... Ujian kedua ini memerlukan kekuatan dan strategi yang berkesan untuk melawan sekumpulan musuh yang kuat. Jadi tanpa membuang masa, saya umumkan ujian yang kedua ini dengan rasminya dilanjutkan..."
Loceng permulaan dibunyikan dan ujian kedua ini serta-merta dimulakan.
Aubree menarik nafas dalam-dalam dan memegang kepala pedang dengan erat.
Sorakan dari para Elf menjadi kuat dan bergema di seluruh area.
Sesaat kemudian, sekumpulan Elf berpakaian serba hitam yang berjumlah sepuluh orang muncul dari pintu gerbang yang bertentangan dengan Aubree masuk ke dalam arena.
Mereka berlari dalam dua barisan menuju ke arena sambil memegang pedang yang diangkat tinggi sehingga paras kepala. Mereka juga memakai topeng kepala yang hanya menampilkan bahagian mata saja.
Mereka segera mengelilingi Aubree yang berada di tengah-tengah arena.
Suara sorakan dari para penonton semakin menjadi-jadi. Ada yang sampai berdiri mahu menyorak Aubree.
Aubree memandang dengan teliti semua Elf yang mengelilinginya. Setelah itu, dia menarik keluar pedang yang dipegangnya tadi dari dalam sarung pedang itu.
Aubree menjatuhkan sarung pedang itu ke atas pasir dan dia menggunakan kedua tangannya ke depan.
Seorang Elf yang berdiri di belakang Aubree segera melompat ke arah Aubree sambil mengayunkan pedang yang dipegang. Dia mengayunkan pedang dari atas ke bawah, dengan niat mahu mencederakan Aubree dari atas.
Aubree menyedari serangan itu lalu dia menoleh laju ke belakang. Dia menaikkan pedang yang dipegang ke atas kepalanya, sekaligus menghalang mata pedang dari pihak musuh.
Pada masa yang sama juga, dua orang Tentera Elf dari arah belakang Aubree menyerang dia.
Aubree yang hanya sempat menahan serangan dari Tentera Elf yang pertama tadi kembali menoleh ke arah dua orang Tentera Elf tadi dan segera mengelak semua serangan yang mereka lancarkan ke arah Aubree.
Sedang Aubree bertarung dengan Tentera Elf yang berjumlah banyak itu, Meliani yang sedang duduk di bahagian tempat duduk penonton merenung Aubree dengan wajah yang penuh dengan kebencian.
Sayang sekali, di tengah-tengah perlawanan itu, tidak ada yang menumpukan perhatian kepada Meliani jadi tiada yang melihat kebencian yang terpancar jelas di mata wanita Elf itu.
Meliani menggenggam erat jari-jemarinya, sehingga kuku-kukunya yang tajam tenggelam di dalam tapak tangannya, menyebabkan tapak tangannya berdarah.
'Tak guna! Jika saja Issac tidak menghalang perempuan ni minum air yang saya sudah sediakan untuk Audrey, sudah tentu saat ini Audrey sudah merasa sakit perut dan gagal untuk meneruskan perlawanan ini...' Bentak Meliani penuh kebencian di dalam hati.
...
TTAAKK!
Tentera Elf yang terakhir akhirnya jatuh tidak sedarkan diri ke atas lantai yang berpasir.
Aubree memandang Tentera Elf itu jatuh ke atas lantai berpasir dengan nafas yang tercungap-cungap.
Melawan sepuluh orang Tentera Elf yang mempunyai kekuatan yang tinggi tidak mudah tapi Aubree berjaya mengalahkan mereka semua seorang diri.
Melihat Aubree yang sekali lagi berjaya mengalahkan semua Tentera Elf, semua Elf yang berada di stadium itu berdiri dan bertepuk tangan untuk Aubree.
Aubree kembali berdiri tegak dan menjatuhkan pedang yang dipegangnya itu ke sisi.
Dalam diam, dia melirik ke arah tatu di tangan kanannya. Keadaan tatu di tangannya nampak normal tapi di sekeliling kawasan tatu itu terdapat bekas-bekas merah seakan-akan melecur.
Hal ini kerana Aubree tidak sengaja mengeluarkan kuasanya saat bertarung dengan sepuluh orang Tentera Elf tadi.
Saat Aubree tidak sengaja mengeluarkan kuasanya, tatu di tangannya menjadi aktif dan menghalang kuasa Aubree daripada terkeluar, membuatkan kulit tangan Aubree mengalami kemerahan seperti melecur.
"Sstt..."
Meskipun sakit, Aubree tidak menunjukkan rasa sakitnya di wajahnya. Malah Aubree hanya membuat wajah selamba untuk mengelakkan daripada diketahui oleh Elf lain.
Ahli Sihir Yang Tertua berdiri kembali di pentas kecil. Dia mengangkat tangan kanannya ke atas dan semua Elf kini menjadi diam.
"Ujian kedua sudah selesai! Dengan ini, saya umumkan yang Audrey berjaya melepasi ujian kedua dan akan menghadapi ujian yang terakhir. Audrey boleh kembali ke khemah persediaan untuk berehat. Setelah enam jam kemudian, kamu akan kembali ke sini untuk menghadapi ujian terakhir kamu. Jika kamu tidak dapat menghadiri ujian ini, kamu akan dikira gagal. Semua boleh bersurai!"
Sekali lagi, kawasan stadium itu kembali bising dengan suara sorakan dari para Elf.
Aubree memandang ke arah Ahli Sihir Yang Tertua sebelum dia menoleh ke arah Meliani yang juga saat itu sedang menatap ke arahnya.
Aubree memberikan senyuman sinis yang terakhir sebelum dia berpusing ke belakang dan meninggalkan tempat itu.
Meliani yang melihat senyuman sinis itu merasa dirinya seolah-olah dipandang rendah oleh Aubree. Dia menggigit bibir bawahnya dalam diam sambil menahan rasa marah.
Seorang pembantu rumah mendekati Meliani untuk memberitahu dia yang Meliani mahu kembali ke bilik sekarang atau tidak.
Meliani masih memandang kelibat Aubree yang hampir menghilang. Dia terfikir akan sesuatu lalu wajah marahnya tadi bertukar menjadi sinis.
Meliani berdiri dengan gaya elegan. "Saya mahu melawat dulu pemenang kita pada hari ini. Saya belum sempat berjumpa dengan dia sejak ujian pertama lagi dan saya ingin memberikan dia semangat terakhir untuk ujiannya yang terakhir..."
Pembantu rumah yang tadi bertanya kepada Meliani memandang Meliani dengan wajah yang pucat sebelum dengan cepat, dia menunduk kembali.
Tanpa banyak pilihan, para pembantu rumah terpaksa Meliani menuju ke khemah persediaan di mana Aubree sedang berada.