Download Chereads APP
Chereads App StoreGoogle Play
Chereads

bercerita kisah seram

🇲🇾linchufeng
--
chs / week
--
NOT RATINGS
30.6k
Views
Synopsis
dipetik dari beberapa cerita penulis buku tamar jalis, amaran! ini bukan hasil penulisan saya, saya cuma mengongsikan salah satu buku kegemaran saya. AMARAN CERITA INI BUKAN KEPUNYAAN SAYA ATAUPUN HAK SAYA, SAYA CUMA BERKONGSI BEBERAPA CERITA DARI Novel Bersiri TAMAR JALIS.
VIEW MORE

Chapter 1 - Siri Tamar Jalis - Siri Bercakap Dengan Jin (Jilid 1) Siri Bercakap Dengan Jin Jilid 1(1) : Bercakap Dengan Jin

Suatu petang dalam tahun 1960. Datuk yang sudah menjangkau usia 57 tahun, membersihkan senapang kampung berlaras satu di anjung rumahnya. Dengan tenang dia berkata pada saya "Kamu usah jadi pemburu." "Kenapa tok?" Dia tidak terus menjawab. Datuk terus menimang-nimang senapangnya. Kemudian datuk ambil golok perak dia mengasah golok di batu dekat kepala tangga. Dan saya masih menanti jawapan dari datuk. "Aku tak mahu cucu-cucu aku jadi pemburu," tiba-tiba datuk bersuara. Dia duduk di anjung rumah kembali. Mendengar cakapnya itu saya buat keputusan tidak akan mengajukan sebarang pertannyaan lagi padanya. Datuk mudah naik darah, kalau selalu ditanya atau disoal. Dia juga tidak suka orang membangkang cakapnya, terutamanya dari anak-anak cucunya sendiri.

Datuk memang handal memburu. Tidak ramai orang kampung Mandi Upeh macam datuk. Cukup asyik dengan kegemaran memburunya, hampir seluruh hutan Jajahan Dinding dijelajahnya. Orang-orang kampung menganggap datuk bukan pemburu sebarangan. Pemburu yang ada isi, kalau tidak masakan dia berani masuk ke dalam hutan yang tidak pernah didatangi oleh manusia. Datuk tidak menembak sebarangan pada binatang-binatang buruannya. Dia akan memilih tepat dikening diantara kedua-dua kening binatang itu. Dan setiap kali datuk masuk ke hutan dia akan memulakan langkah kaki kiri dahulu. Kedua belah tumitnya tidak memijak bumi, kecuali sesudah lima tapak melangkah. Lepas itu datuk berhenti dia membaca sesuatu, lalu mematah ranting kayu yang berada di bawah ketdiak kanannya lalu dilemparkanya sebelah kiri.

Datuk dapat senapang bukan kerana dia HomeGuard atau AP. Dia minta sendiri pada kerajaan dengan alasan mahu menjaga tanahnya yang seluas lima belas ekar yang ditanam dengan getah, durian dari serangan monyet dan babi hutan. Pemintaan datuk dipenuhi oleh Inggeris, sesudah pegawai polis, tuan DO serta penghulu dan ketua kampung memeriksa tanah datuk. Datuk beli senapang dari Taiping dalam tahun 1949. Sejak itulah datuk giat memburu dengan senapang. Sebelum itu datuk hanya berburu dengan membuat jerat dan sebagainya. Banyak perkara-perkara aneh yang datuk lalui sepanjang kariernya. Dan saya antara cucu yang selalu mendengar cerita-cerita datuk itu, kerana saya selalu menolongnya mencangkul di kebun, kadang-kadang menjadi temannya ke surau. Datuk terlalu sayangkan saya, kerana saya adalah cucu lelakinya yang pertama dari anak sulungnya diaitu ibu saya. Saya tahu apa kelemahan datuk dan kegemaranya. Dia pemurah dan suka mendengar orang mengaji Al-Quran, kebetulan pula saya cucunya yang agak terkenal membaca al-Al-Quran di kampung itu. Datuk tidak kedekut mengeluarkan wangnya untuk memberikan pada orang mengaji tapi datuk tidak memberikannya sendiri melainkan melalui saya.

Biasanya, kalau datuk suruh beri sepuluh ringgit, saya hanya memberikan separuh saja, yang separuh lagi masuk saku saya. Pernah datuk bercerita pada saya: "Suatu ketika datuk dan kawan-kawannya masuk hutan dekat dengan Gunung Tunggal di Kawasan Segari berhampiran denga Pantai Remis. Kawasan itu tidak pernah dimasuki oleh manusia. Datuk dan kawan-kawannya berjaya menembak beberapa ekor binatang. Kerana terlalu asyik memburu, tanpa disedari datuk telah terpisah dengan seekor rusa besar. Datuk mengikutnya dengan teliti. Datuk memintas rusa itu sebelah kiri dan mengambil tempat di sebalik pokok besar. Datuk mengahala muncung senapang pada kepala rusa. Dia yakin sasarannya akan tepat pada tempat yang dimahunya. Tetapi rusa itu bagaikan mengerti dan mempunyai pengalaman. Dia mempermainkan datuk, macam mempermainkan kucing. Rusa merendahkan badannya kemudian menyelinap di depan datuk dan terus hilang.

Datuk terkejut dan bercampur hairan, tapi datuk bukanlah manusia yang mudah putus asa. Dia mencari kesan jejak rusa itu. Diperhatikannya ke arah mana tapak rusa itu lari. Dia mencium daun-daun kering yang terdapat di situ. Akhirnya, datuk merapatkan telinganya dengan bumi. Dia mengeluh, ternyata kesan rusa itu sukar diperolehinya. Waktu datuk berpusing-pusing di situ. Seekor rusa lain muncul di depan datuk. Rusa itu jauh lebih besar dan tegap dari rusa yang pertama tadi. Matanya berkilau-kilau bagaikan menentang mata datuk yang terbeliak kerana terkejut. Datuk tidak melepaskan peluang dan terus melepaskan tembakan. Datuk gembira, tembakannya tepat mengenai kening rusa itu. Dia mencabut golok perak di tangan untuk menyembelih rusa. Golok ditayangkan di depan matanya. Datuk membaca sesuatu dan menghentakkan ulu golok ke tanah.

Bila datuk memulakan langkah. Rusa itu segera bangun. Di depan mata datuk sekarang wujud dua ekor rusa. Serentak dengan itu dada datuk berdebar. Dia mula terasa ada sesuatu yang kurang baik akan terjadi. Datuk terdengar kokok ayam hutan. Datuk melepaskan tembakan. Kena pada salah seekor rusa itu di kening. Rusa itu rebah dan bangun kembali menjadi tiga ekor. Datuk yakin ada sesuatu kejadian yang lain di sebalik semuanya itu. Tapi, datuk bukannya manusia lemah semangat, kalau tidak masakan dia berani meninggalkan kampung halamannya di Aceh, berperahu ke Pengkalan Bharu dan bermukim di kawasan Bruas. Datuk terus menembak bertalu-talu. Rusa terus menjadi tiga, empat, lima, enam dan tujuh. Kokok ayam hutan bertambah nyaring.

Daun-daun hutan di keliling datuk bergerak-gerak bagaikan digoncang orang. Tanah yang dipijaknya jadi bersih tanpa sehelai daun. Datuk menumbuk tanah dengan tangan kiri. Dirasa daging pangkal lehernya bergerak-gerak. Datuk senyum. Dia tahu perkara ini mesti dihadapi dengan cara lain. Dia teringat pesanan arwah neneknya dari tanah seberang, kalau berburu binatang dan terasa daging pangkal leher bergerak, alamatnya yang diburu bukan binatang lagi, tapi boleh jadi penunggu hutan atau syaitan dan orang bunian. Datuk letakkan senapang atas tanah. Dia duduk bertafakur mengumpulkan tenaga batin sambil membaca mentera yang diamalkannya. Melalui pancaindera batin datuk, datuk dapat melihat dengan jelas, bahawa rusa itu adalah jin penunggu hutan itu.

Muka datuk jadi merah padam, merecik peluh, gigi dilagakannya rapat-rapat. Mata datuk tidak berkelip. Dia melihat di depannya, terdiri lembaga berbadan besar, matanya merah menyala, rambut panjang sampai ke tumit. Giginya besar, dua giginya di sebelah kiri dan kanan terjulur keluar, macam gading gajah. Dia diapit oleh enam jin yang sama hebat dengannya.

"Kurang ajar, manusia laknat," suara itu bergema, daun-daun hutan bergerak macam ditiup angin. Datuk diam bertafakur.

"Kau tahu kesalahan kau manusia ?" Tambah suara itu . Belakang datuk terus dibasahi peluh datuk. Datuk diam, dia sudah pun menutup lubang-lubang kelemahan tubuhnya dengan ilmu batin yang dipusakainya dari arwah neneknya, hingga jin itu tidak berpeluang menyatukan dirinya ke dalam tubuh datuk.

"Tidak," jawab datuk dengan berani.

"Kau masuk ke dalam kawasan larangan ku."

"Aku sudah meminta kebenaran."

"Aku tidak membenarkan." Jawab jin itu dengan keras. Dua batang giginya yang terjulur bergerak-gerak.

"Kalau kau tidak membenarkanya, kenapa kau tidak memberi isyarat, masa aku masuk tadi." Cukup tenang datuk menjawab. Dia sudah bersedia menghadapi semuanya.

"Kau manusia biadap," pekik jin itu, pokok hutan bergerak-gerak.

(Bersambung.....)