"Kawan rupanya, ingatkan siapa tadi. Tak pun lain macam pula cara korang sambut kawan"perli Zafrey lalu mengerli pada dua orang kawan Arif yang duduk berdekatan dengannya.
Melihat jelingan Zafrey itu, mereka bergerak ke kiri sedikit supaya tidak 'dibaham' oleh Zafrey. Garang betul kalau tengok mata dia. Muka saja kacak tapi kalau menjeling memang seram yang teramat seram.
"Maaflah bang, dorang ni memang macam ni. Kami kawan sejak kecil lagi. Anyways abang Zafrey biar saya perkenalkan mereka"kata Arif kepada Zafrey.
Bermula dari situlah Zafrey mengenali ketiga-tiga kawan Arif. Ternyata bukan sahaja Arif yang mempunyai bakat yang tertentu dalam bidang komputer. Malahan kawan-kawannya juga.
Contohnya, Azrul mempunyai bakat dalam seni mempertahankan diri. Setiap kali ada pertandingan di peringkat sekolah Azrul akan dipilih sebagai pelajar yang mewakili sekolah untuk bertanding. Sudah beberapa kali Azrul berjaya mengharumkan nama baik sekolah mereka.
Manakala, Farhan adalah seorang pelajar yang pintar dalam pelajaran matematik. Dia sering menjadi rujukan pelajar lain terutama dalam subjek matematik tambahan.
Seorang lagi kawan kepada Arif ialah Wahida. Perempuan? Ya, memang perempuan. Nama pun Wahida bukannya Wahid. Wahida mungkin sahaja seorang gadis yang manja tetapi dia seorang yang bijak dalam menyelesaikan setiap masalah yang hadapi.
"Eh, Wahida. Yang awak nak melekat sangat dengan Abang Zafrey itu kenapa? Dia dah ada makwe"perli Arif.
Mana boleh Arif tidak kata melekatnya. Dari tadi lagi duduk sebelah dengan Zafrey. Malah, cukup dekat sehingga memegang lengan Zafrey.
"Ala dah ada girlfriend. Kenapa dah ada girlfriend? Tak boleh ke tunggu Ida habis belajar dulu"omel Wahida.
Farhan dan juga Azrul ketawa mendengarnya. Ada ke patut sampai kena tunggu Wahida habis belajar. Ingat Abang Zafrey mengidam sangat ke nak kahwin dengan dia.
"Tak payah nak beranganlah Ida. Macamlah awak cantik sangat"perli Arif.
"Kalau betul saya tak cantik kenapa sampai sekarang Mr Arif kita yang paling menawan di sekolah kita ni tak pernah ada girlfriend? Mesti sebab awak tunggu saya,kan?"kata Wahida yang menghampiri Arif.
Arif terdiam. Zafrey tersenyum melihat reaksi Arif itu. Oh, dengki ke? Patutlah marah sangat Wahida dekat dengan dia. Kalau macam ni bolehlah dia mengenakan Arif.
"Wahida nak jadi girlfriend abang?"soal Zafrey. Mereka semua memandang Zafrey mendengar soalan itu. Biar betul apa yang keluar daripada mulut Zafrey itu?
Sedangkan Wahida baru sahaja berumur 16 tahun dan dia? Dia sudah 25 tahun. Jauh betul perbezaannya itu kalau ditolak tambah.
"Mana boleh Wahida jadi girlfriend abang. Dia masih sekolah. Tak boleh bercinta. Lagipun beza umur abang dengan Wahida macam gunung dengan langit"bebel Arif.
Terkebil-kebil Farhan dan Azrul mendengar rungutan Arif itu. Sejak bila ada seorang lagi perempuan dalam kumpulan mereka. Rasanya hanya Wahida seorang sahaja perempuan di dalam kumpulan itu.
Sekali lagi bunyi telefon Zafrey kedengaran. Panggilan daripada pekerjanya tentang sesi perbicaraan berkenaan kes Eyra yang hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi.
Tamat sahaja perbualan itu, Zafrey menghampiri Arif. Dia mengangguk pada Arif menandakan mereka perlu bertolak sekarang juga. Zafrey bersalaman dengan bapa Arif sebelum berjalan ke arah kereta yang dibawa olehnya.
"Mak, ayah. Arif pergi dulu, ya. Doakan Arif dapat bantu abang Zafrey, ya?"kata Arif semasa bersalaman dengan ibu bapanya.
Setelah bersalaman dengan mereka, Arif masuk ke dalam kereta Zafrey untuk bertolak ke mahkamah.
Sepanjang perjalanan ke mahkamah tiada satu pun di antara mereka yang bersuara. Hanya bunyi siaran radio yang kedengaran di dalam kereta itu. Sebenarnya masing-masing memikirkan nasib mereka kelat.
Zafrey takut dia tidak dapat membantu Eyra membebaskan diri daripada fitnah yang dibuat sehingga menyebabkan dia jadi tersangka kebakaran. Sementara Arif pula takut si pembunuh akan datang mencarinya nanti.
Lama juga mereka diam, sehinggalah mereka tiba di mahkamah. Pada masa itu, Zafrey dan Arif berpisah. Zafrey perlu ke pejabatnya terlebih dahulu untuk mengambil beberapa dokumen yang akan digunakan nanti.
Seumur hidup Arif, dia tidak pernah terbayang dirinya akan menjadi saksi di dalam mahkamah.
"Ouch!".
Arif terkejut kerana bajunya terkena air kopi yang masih lagi panas dan dibawa oleh salah seorang pekerja di situ. Dia menundukkan kepala beberapa kali tanda minta maaf. Benda kecil buat apa nak perbesarkan. Dia hanya membiarkan pekerja itu pergi.
Bagi membersih tumpahan kopi itu, Arif masuk ke dalam tandas. Dia membersihkan bajunya yang sedikit kotor di singki tandas. Telefon Arif jatuh di atas lantai. Arif mengambilnya dan memeriksanya. Manalah tahu rosak.
Alhamdulillah telefonnya masih lagi elok. Dia kembali membersihkan tangannya sebelum mula terhenti. Entah kenapa dia terasa dia melihat sesuatu di cermin di hadapannya itu. Arif cuba memeriksanya tapi lampu tandas malah terpadam.
Disebabkan cuaca yang sedikit mendung, tandas itu memang gelap. Tapi kenapa gelap sangat? Adakah ada seseorang yang menutup pintu hadapan tandas itu? Sedang dia leka memikirkannya, lampu tandas kembali menyala.
Matanya terbuntang luas melihat tulisan yang berada di cermin. Dia berharap itu hanya ilusinya sahaja. Akan tetapi tidak. Itu adalah realiti. Tulisan itu betul-betul ada.
MATI
Itulah tulisannya. Tulisan yang ditulis dengan warna merah. Di cermin itu juga terdapat beberapa kesan tapak tangan yang juga berwarna merah. Arif bergegas ke arah pintu untuk keluar dari tandas tersebut tetapi pintunya dikunci dari luar.
Dia memeriksa jam tangan. Perbicaraan telah bermula. Adakah ini semua sengaja dibuat supaya dia tidak menjadi saksi nanti. Beberapa kali Arif cuba mengetuk pintunya tetapi tetap sahaja tiada siapa yang membantunya.
Manakala di dewan perbicaraan itu, Zafrey sudah keresahan kerana Arif masih belum tiba. Mana pula Arif menghilang di saat yang genting begini. Adakah Arif telah mengubah fikirannya untuk membantunya menyelesaikan kes itu?
"Penguam bela? Di mana saksi yang kamu cakapkan?"soal hakim kepada Zafrey.
"Maaf ya tuan hakim, tolong beri saksi sedikit lagi masa"kata Zafrey.
Suasana semakin panas kerana saksi masih belum muncul walaupun 15 minit telah berlalu. Sang pendakwa raya tersenyum melihat Zafrey yang keresahan. Di mata sang pendakwa raya, dia melihat ada sosok yang bakal kalah dalam perbicaraannya kali ini.
"Maafkan saya tuan hakim, rasanya sudah 15 minit kita semua menunggu. Saya rasa lebih baik kita mulakan sahaja kerana tuan pastinya perlu hadir ke perbicaraan yang seterusnya"kata sang pendakwa.
Zafrey mengerli pada sang pendakwa. Orang yang tidak pernah ada rasa simpati iaitu Azmeer. Dia selalu memanaskan api di dalam diri Zafrey. Sejak dari dulu lagi hubungan mereka tidak pernah membaik. Mungkin sebab itu mereka selalu ditemukan sebagai penguam bela dan pendakwa raya.
Para hakim mula berbincang dan memutuskan untuk memulakan perbicaraan itu tanpa kehadiran saksi.
"Krek".
Bunyi pintu dibuka. Pada awalnya mereka mengira orang itu adalah saksi namun sangkaan mereka meleset kerana orang itu adalah Eyra. Memang dari awal Zafrey mencegah Eyra untuk hadir ke perbicaraan kali ini namun gadis itu berdegil.
Bagi Eyra dia perlu ada untuk membuktikan dirinya tidak bersalah walau macam mana sekali pun keadaan dirinya. Zafrey menatap wajah Eyra seketika waktu sebelum sesi perbicaraan itu bermula setelah hakim membenarkan Eyra untuk turut serta dalam perbicaraan itu.