Chereads / Cinta Gadis Kafe / Chapter 11 - Kemarahan Carl II

Chapter 11 - Kemarahan Carl II

Garisan terakhir dilakar dengan penuh rasa teruja. Dia membentangkan hamparan kertas pelan yang hampir menutupi separuh meja. Melihat pelan bangunan yang telah siap dilukis sempurna menyebabkan dia mengukirkan senyuman kepuasan. Matanya bersinar melihat keajaiban yang berlaku di depan mata. Berminggu juga dia cuba untuk menyiapkan pelan tersebut. Akhirnya....

Akhirnya siap juga! Hahaha....I'm genius! I'm genius! Jerit hati Carl keriangan sambil memuji dirinya sendiri dalam diam. Lepas ini terdiam kau tengok masterpiece aku. Detik hatinya lagi.

Carl mengerling ke arah jam di pergelangan tangannya. Pukul 10.25? Hmm...dah lewat sangat ni. Kerja aku pun dah siap, tunggu apa lagi balik rumahlah. Fikirnya. Pertama kali dalam hidupnya, dia pulang lewat ke rumah disebabkan kerja.

Tangannya pantas mengemas segala peralatan yang berselerak di atas meja. Segala barang berharganya seperti kunci, telefon dan beberapa dokumen penting dimasukkan segera ke dalam beg kulit yang berwarna hitam. Kot kelabu yang tersangkut elok di kerusi diambil lalu disarung ke tubuh sasanya itu. Kemudian disandang pula beg kulit itu di sisi kirinya.

Dia memegang tombol pintu dan cuba membuka pintu tersebut. Dia buka kemudian dia tutup kembali. Hampir tiga kali dia ulangi perbuatan yang sama. Carl mengeluh kekesalan. Dia tidak perasan perubahan tersebut kerana sepanjang masa dia berada dalam bilik. Jika dia mahu buang air atau bersolat, dia hanya perlu lakukan itu semua di dalam biliknya saja. Biasalah bilik esklusif. Semua itu disediakan oleh Gabriel setelah berkali-kali dia memujuk dan merayu kepada anak saudaranya itu memberikan dia sebuah bilik yang serba serbi tersedia kemudahannya.

"Pompuan ni memang cari nahas. Habis pintu bilik aku longgar dia kerjakan. Malang betul nasib aku, tak fasal-fasal aku teringat kes tadi. Spoiled mood betul! Ni satu kerja aku kena tukar pintu baru. Lepas ni kena letak papan tanda kalau tidak tak sampai setahun ranap semula pintu bilik aku, " bicara Carl sendiri. Nadanya sedikit merungut.

Dia mengorak langkah sambil dalam kotak fikirannya berkira-kira jenis pintu apa yang sesuai untuk dia tukar agar tahan lebih lama jika ada makhluk seperti Eliza membuat kecoh di pejabatnya lagi. Tanpa dia sedar kakinya berjalan ke arah kafe yang berdekatan dengan syarikat dia berkerja.

Matanya tajam melihat ke arah kafe yang masih terang berderang tapi lenggang dengan pelangan, yang tinggal hanya beberapa pekerja kafe yang tengah mengemas sebelum kafe tersebut ditutup. Apa yang berlaku di dalam kafe itu sangat jelas di pandangan kerana dindingnya dilengkapi dengan cermin lut sinar.

Tiba-tiba dia teringat akan seseorang. Nostalgia betul kafe ini. Mana mungkin dia akan lupa kejadian yang berlaku di kafe ini. Di sinilah, dia terasa maruah diri dia sebagai seorang lelaki tercabar. Dia menggelengkan kepala seolah ingin mengenyahkan segala fikiran yang bermain di minda.

Ah! Lupakan. Simpan dendam pun tidak berguna. Dia tak kerja sini lagi. Hatinya berbisik memperingatkan dirinya bahawa perasan dendam yang dirasai itu hanyalah satu perasaan yang sia-sia.

Carl meneruskan gerak langkah kakinya. Ketika dia cuba melepasi lorong di sebelah kafe tersebut. Dia terdengar bunyi bising seperti bunyi besi yang keras disepak berkali-kali. Tang! Tang! Pada mulanya dia ingin abaikan saja kerana lorong tersebut agak sempit dan gelap tetapi bunyi bising yang semakin deras di pendengarannya menyebabkan hati Carl tidak senang lalu dia memasuki lorong itu untuk melihat apa yang berlaku.

Mata Carl membulat melihat susuk tubuh yang dikenali olehnya. Walaupun gelap dan agak sempit, cahaya lampu yang samar-samar membantu Carl mengenal pasti wajah itu. Wajah itu memandangnya dengan ketakutan. Melihatnya, membuatkan urat-urat hijau terkeluar di dahi licin Carl. Marah. Dia sangat marah. Ketika ini itulah perasaan yang hadir dalam dirinya. Otaknya seperti hilang arah dan kakinya bergerak sendiri membiarkan kemarahan menguasai dirinya.

Mary meletakkan skuter merah milik Eylem di tempat letak kenderaan bermotosikal. Dia berjalan sambil melambung-lambungkan kunci motosikalnya. Bibir dia tidak lekang mengalunkan lagu kegemaran dia. Sesekali tubuhnya bergerak mengikut irama. Tidak dipedulikan pandangan orang dipersekitarannya. Nak tengok, tengok. Tak nak tengok lagi bagus.

Sedang dia asyik melambung kuncinya, ada tangan yang menggapai kunci tersebut dari belakang. Kacau mood betul lah...Desis hatinya. Mary menoleh ke belakang. Melihat wajah lelaki di hadapannya membuatkan Mary berdecik kegeraman.

"Kenapa datang sini? Tak boleh telefon?" Tanya Mary sedikit sebal. Lelaki yang sedikit berumur tetapi masih segak bergaya tersenyum sinis.

"Dah telefon tapi tak berangkat. Lepas tu tak reti nak call balik. Buat apa semalam sampai tak jawab call?" Tanya lelaki itu dengan wajah ketatnya.

"Tak check history ke cik abang oii. Ni kenapa datang sini? Tak takut bini kat rumah marah?" Perli Mary.

Berkerut dahi lelaki itu mendengar jawapan Mary. Lantas dia mengambil telefon di poket seluarnya lalu menyemak panggilan masuk dan ternyata Mary ada menelefonnya tetapi telah dijawab panggilan tersebut. Siapa lagi kalau bukan kerja isterinya di rumah.

"Jom ikut pergi Melaka hujung minggu ni." Ajak lelaki itu lagi.

"Tak naklah. Orang banyak kerja. Nanti mengamuk pula Suzie tu." Tolak Mary sambil berpeluk tubuh.

"Suzie tak ikut. Kita berdua je." Pujuk lelaki itu lagi. Terbeliak biji mata Mary.

"Hah! Lagi haru." Kau tak tahu semalam bini kau basuh aku macam mana. Kalau bini kau dapat tahu ni, arwahlah aku jawabnya.

"Haih...macam tak biasa pula. Nak ikut tak nak? Menyesal nanti." Ugut lelaki itu lagi. Mary terdiam sambil wajahnya berkeriut memikirkan sesuatu. Dalam diam bibir lelaki itu terangkat sedikit. Tercuit dengan riaksi Mary.

"Yalah. Yalah. Nanti apa-apa orang call balik. Dah nak masuk waktu kerja ni." Cepat-cepat dia membuat keputusan. Tidak mahu membuang masa lagi, dia terus mencapai kunci yang ada dalam genggaman lelaki itu.

"Sekejap. Cepat betul nak lari. Motor mana? Ni motor cikai siapa?" Tanya lelaki itu sambil matanya meneliti segenap inci skuter merah yang digunakan oleh Mary. Tangan lelaki itu memegang lengan Mary agak tidak lari daripadanya.

"Mulut cakap baik sikit. Dengar Si Eylem sedih dia pula nanti. Motor kat bengkel." Balas Mary sedikit tegas dan menarik kembali tangannya dengan perlahan.

"Motor baru lagi kan? Macam mana boleh ada dekat bengkel?" Tanya lelaki itu sedikit tidak puas hati.

"Entahlah. Dah nak rosak. Nak buat macam mana. Bengkel lah tempatnya, " Jawab Mary acuh tak acuh.

"Nanti bagitahu dekat mana. Senang nak settle." Lelaki itu memberi keputusan menyebabkan bibir Mary tersenyum.

"Wah!!! Thanks babe. Love you so much." Ucap Mary penuh kegirangan. Motor besar macam tu maintenance tinggi. Selamat duit aku bulan ni. Bisik hati Mary. Lelaki itu hanya membuat muka meluat mendengar kata-kata Mary.

"Balik nanti dengan apa?" Tanya lelaki itu lagi dengan prihatin.

"Itu orang tahulah nak settle. Dah pergi balik. Shuhh..shuhh.." Halau Mary sambil menolak tubuh lelaki itu pergi dari situ. Cukuplah bantuan yang lelaki ini berikan. Walaupun dia selalu juga bergantung dengan lelaki ini tetapi dia juga ingin berdikari kalau tidak kenapa dia perlu bekerja di kafe ini?

Haih...untung hidup aku. Rumah dia bagi. Motor dia belikan. Rosak dia tolong baikikan. Nak apa lagi? Apa yang ada ni pun aku dah bersyukur. Jangan kau tinggalkan aku sudah. Pohon Mary di dalam hati.

Eylem menerpa ke arah Mary apabila dia melihat gadis itu masuk ke dalam kafe. Mary menyerahkan kembali kunci motosikal kepada Eylem. Pagi tadi sebelum ke kampus dia hantarkan Mary dahulu ke tempat kerja.

"Minyak aku dah isi. Kau boleh balik." Kata Mary bersahaja lalu bergerak ke arak loker miliknya. Eylem mengekor Mary dari belakang.

"Lelaki tua tu buat apa kat sini?"

"Kau cakap baik sikit. Handsome lagi tu. Orang kata, lelaki makin tua makin menawan. Poket pun makin tebal." Balas Mary. Eylem menjulingkan mata. Mary menggelengkan kepala melihat reaksi Eylem. Elok sangatlah tu, dua-dua tanpa sedar saling kata-mengata.

"Hump! Yalah, aku betulkan panggilan dia. Buat apa abang sado tu datang sini?" Tanya Mary lagi ingin tahu.

"Sedap sikit aku dengar. Adalah. Private matter. Kau mana boleh tau, "kata Mary.

"Hump! Tak nak cite sudah. Aku balik dulu, " rajuk Eylem. Mary hanya tersengih. Dia tidak mempedulikan Eylem lalu terus pergi melaksanakan tugasnya sebagai pekerja mithali kafe ini.

Eylem merenung tidak puas hati. Kalau hal kau semua nak berahsia dengan aku tapi kalau hal aku semua kau nak ambil tahu. Nasib aku tak cerita fasal Mr. Gorgeous. Lantak kau lah, jangan nanti kata aku tak ambil berat. Yang penting kau bahagia. Bicara hatinya lalu bersiap sedia untuk pulang.

Mary mengusap dahinya yang sedikit berkeringat. Hari ini, dia sedikit kepenatan. Dalam fikirannya sudah terbayang katil empuk di rumah. Dia gagahkan diri mengemas apa yang patut agar kafe ini ditinggalkan dalam keadaan yang bersih. Pelangan pun tiada jadi kerja kemas mengemas semakin mudah. Jep menyapa dirinya.

"Mary! Aku dah siap bungkus sampah-sampah tu. Kau tolong buangkan. Aku nak kemas stor sekejap. Nak cari barang untuk esok." Kata Jep. Mary hanya menganggukkan kepala.

Dia tidak mampu berkata-kata hanya mampu menurut perintah. Dari pagi tadi hingga kini dia banyak menggunakan tenaga. Dia membuka tong sampah yang besar dan berbau lalu dilemparkan dua buah beg sampah hitam yang dijinjit tadi. Setelah selesai, dia menutup kembali tong sampah besi tersebut. Bunyi dum kedengaran.

Belum sempat dia berpaling, dia terasa tubuhnya ditolak ke dinding. Terdapat satu tangan sasa menolak kasar kepalanya hingga pipi mulus dia bergesek dengan dinding bersimen. Dia boleh mengagak malaun di belakangnya adalah seorang lelaki memandangkan tekanan dan kekuatan yang diterima bukan kudrat seorang perempuan.

Terasa lehernya tergeliat sedikit. Tekanan yang diterima menyebabkan dia mengerang kesakitan. Dia cuba bersuara tetapi ada sesuatu benda yang disumbat ke dalam mulutnya. Dia tidak tahu apakah itu tetapi baunya agak tengik dan busuk. Dicampur dengan bau sampah yang membusuk meloyakan lagi tekaknya.

Dia cuba untuk berlawan tetapi pergelangan tangannya dikilas dan dicengkam hingga kesakitan yang dirasai hanya tuhan saja yang tahu. Tidak cukup dengan itu tubuh dia ditindih pula dari belakang. Semua itu berlaku dengan pantas. Mary cuba menguatkan semangat untuk meronta tetapi hentakan di kepala beberapa kali ke dinding menyebabkan kepalanya sakit dan berpinar. Air mata mula bergenang kerana kesakitan yang dia alami.

Dia cuba lagi untuk mempertahankan dirinya dengan menggunakan kudrat di kaki dan menyepak tong sampah besi yang berhampiran dengan harapan ada insan yang mendengar tetapi belum sempat dia menendang tong itu berkali-kali, lelaki itu tanpa belas kasihan memberikan beberapa tumbukan di bahagian rusuk kirinya. Di dalam hati dia menjerit kesakitan. Nafasnya tidak teratur menahan keperitan. Badan dia terasa lemah.

Mati aku kali ni. Ya Tuhan bantulah aku. Rintih Mary di dalam hati. Peristiwa dua tahun yang lepas kembali terlayar di mindanya. Dia tidak sanggup. Sungguh dia tidak sanggup melalui saat hitam itu lagi.