Chereads / VIRGIN / Chapter 3 - BAB 1 Jangan pergi ayah....

Chapter 3 - BAB 1 Jangan pergi ayah....

IAN menanti ayah untuk pulang ke rumah. Memandangkan dia tiada meja belajar khas, dia terpaksa siapkan kerja sekolahnya di atas meja makan. Di atas meja makan itu, ada sepinggan nasi putih, semangkuk kecil ayam masak merah dan satu cawan air masak. Ayah akan pulang dalam keadaan penat. Kalau makanan tidak dihidang begini, ayah akan sangat culas untuk makan. Biasanya, ayah akan terus tidur atas kerusi sebaik sahaja masuk ke dalam rumah.

Sudah pukul 11.00 malam, ayah masih belum pulang. Enjin motor lama ayah juga tidak kedengaran. Ian bosan. Dia melukis gambar Doreamon atas muka surat buku Matematik yang terbuka.

"Bila ayah nak balik ni? Lambatnya! Biasanya ayah balik pukul 10.30!" rungut Ian. Mata Doraemon yang sepatutnya bulat dilukis berapi-api. Marah kerana ayah pulang sangat lambat. Dia hendak berbual dengan ayah dan temankan ayah makan. Kalau tidur, memang esoklah dia bangun.

Selesai melukis api pada mata Doraemon, dia lukis taring pula pada mulut Doraemon yang terbuka luas. Entah macam mana selesai sahaja melukis itu, dia tertidur dengan kepala diletakkan atas meja.

Ian tersedar dari tidur apabila telinga terdengar keriuhan di luar rumah. Terpisat-pisat dia bangun.

Dia pandang sekeliling. Terang pandangannya. Baru dia teringat dia tunggu ayah tadi. 'Dah pukul berapa ni?' Ian pandang sekilas pada jam dinding. "Dah pukul dua belas? Mana ayah ni tak balik lagi?"

Bunyi riuh rendah tadi menggamit Ian untuk menjengah. Ada siren polis yang kedengaran kuat di luar sana. "Ada apa-apa yang dah jadi ke kat luar tu?"

Buka sahaja pintu, dia terkejut ada ramai orang berkerumun di hadapan rumahnya. Terpinga-pinga dia di situ.

"Ian, buka pintu pagar ni nak!" Suara itu milik Mak Cik Anis. Cemas bunyinya.

"Kenapa semua orang datang sini? Kenapa polis pun ada? Ian tak ada buat salah apa-apa!" Matanya terbeliak. 'Alamak!' Dia teringat yang dia pijak kaki mulut mak cik jahat tengah hari tadi.

"Ian memang tak salah apa-apa! Ian buka sekejap pintu pagar ni boleh?" pinta Mak Cik Anis.

Takut-takut Ian melangkah ke hadapan. Dia terasa mata-mata orang yang sedang berkumpul di hadapannya memandangnya.

Sebaik pintu pagar dibuka, Mak Cik Anis meluru masuk memeluknya. Belakang badannya diusap lembut. "Ian…Ayah Ian dah tak ada. Dia kemalangan pukul sebelas tadi." Mata berair mak cik menatap wajah takut-takut Ian.

Ian diam tidak berkutik di situ. Dia hanya terkebel-kebel memandang Mak Cik Anis. Dia ketawa kecil selepas itu. "Ayah tu memang selalu balik lambat, mak cik. Ian tengah tunggu ayah tadi. Nak teman ayah makan ayam masak merah mak cik."

Ian seakan tidak faham, maksud 'tak ada' yang disampaikan Mak Cik Anis. Keriuhan orang sekeliling buat dia tak dengar Mak Cik Anis cakap tentang ayah kemalangan.

Mak Cik Anis yang rendahkan badan untuk memandang Ian terpaksa mendongak memandang suami yang ada di sebelah. Meminta suaminya pula terangkan situasi itu kepada Ian.

"Ian…Ayah Ian dah meninggal dunia. Dia... Kemalangan waktu nak balik ke rumah tadi," terang suami Mak Cik Anis perlahan-lahan.

Otak Ian kosong. Dia tak faham istilah itu. Tapi, hatinya sudah menggesa kelenjar pada mata untuk keluarkan air mata. Dia hampir terjelepok namun sempat dipeluk Mak Cik Anis.

"Ayah dah meninggal dunia… Maksudnya, ayah dah tak ada…Maksudnya, ayah tak akan balik lagi? Maksudnya....Ayah tak akan balik jumpa Ian lagi? Jadi...Ayah tak boleh nak makan ayam masak merah tu…" Mata Ian berbalam-balam lalu perlahan-lahan terpejam sendiri dengan kepala terlentok atas bahu Mak Cik Anis.

Goncangan kuat pada bahu Ian pun tidak membuatkan Ian buka matanya.