Chereads / Neo : Mimpi Semalam / Chapter 110 - Berdiri dalam Bulatan

Chapter 110 - Berdiri dalam Bulatan

Marina, Inspektor David dan Profesor Kardiff tiba pada masa yang dijanjikan. Walaupun mereka tersesat sebentar tadi, namun dengan bantuan orang sekeliling, mereka sampai juga di gudang itu. Dari jauh lagi, dia sudah dapat melihat Puan Leela yang telah menunggu di hadapan pintu gudang kosong itu.

"Hai Puan Leela." Ucap Marina sejurus sahaja turun.

"Hai" ucap Puan Leela kembali. Dia tidak tersenyum seperti selalu. Wajahnya nampak agak tegang.

"Bagaimana dengan kamu Marina?" Puan Leela bertanya khabar.

"Baik." Jawab Marina ringkas.

"Bagaimana dengan siasatan kes pembunuhan Adam Raufal"

"Belum ada petunjuk lagi. Terlalu banyak kekeliruan yang timbul."

"Apa yang berlaku?"

"Panjang ceritanya. …Ummm..kata tadi ada hal penting. Mana dia?" Marina segera menukar topik perbualan mereka. Dia bertanya tujuan utama Puan Leela yang beria-ia ingin berjumpa dengannya.

"Seperti mana yang saya cakapkan tadi, saya nak memperkenalkan kamu kepada seseorang."

"Siapa sebenarnya orang tu?" tanya Marina. Dia nampak begitu teruja sekali. Puan Leela tidak segera menjawab. Dia berpaling.

"Ikran….. marilah keluar" Puan Leela memanggil Ikran yang sedari tadi duduk di dalam gudang tersebut dan perlahan-lahan Ikran keluar daripada gudang itu bersama-sama dengan Maya.

"Ayah!" kata Marina sebaik sahaja melihat wajah Ikran. Inspektor David dan Profesor Kardiff juga kelihatan agak terkejut.

"Bukan Marina. Dia bukan ayah kamu. Dia adalah Ikran, klon Doktor Adam Raufal yang diprogramkan untuk menghapuskan semua klon-klon Doktor Fendi. Dia ada sesuatu yang ingin disampaikan" jelas Puan Leela.

"Ya, Marina. Saya ke sini atas arahan ayah kamu dan dia juga menyuruh saya untuk membawa kamu ke satu tempat. Ada sesuatu yang ingin diberikan kepada kamu" kata Ikran dengan perlahan. Dia memberi penjelasan. Sesekali, sinaran kecil berwarna biru keluar daripada matanya. Begitu juga dengan Maya yang sedari tadi mengekorinya.

"Ke mana?" soal Marina.

"Marina, ada baiknya kamu ikut sahaja dia kerana dia tidak punya banyak masa lagi." kata Puan Leela. "Ya Marina." Ikran mengiyakan apa yang dikatakan oleh Puan Leela.

"Baiklah." Marina mengangguk, dia memberi persetujuan. "Tapi boleh saya bawa mereka semua bersama?" Marina membuat satu permintaan. Ikran memandang wajah mereka satu-persatu.

"Baiklah. Saya benarkan" Ikran bersetuju dengan permintaan Marina. Dia mendekati semua yang ada di situ dan menyuruh mereka untuk berdiri dalam bulatan.

"Sekarang hulurkan tangan kamu" arah Ikran. Marina, Inspektor David, Profesor Kardiff dan Puan Leela hanya mengikut.

"Pejam mata dan genggam kuat tangan saya" Ikran memberi arahan seterusnya. Dia mengeluarkan sejenis alat berbentuk bulat dan menekan beberapa punat yang terdapat di situ. Kedua-dua mereka hilang perlahan-lahan daripada gudang itu.