Chereads / Neo : Mimpi Semalam / Chapter 99 - Pesawat

Chapter 99 - Pesawat

Suara wanita yang memberitahu penumpang untuk menaiki pesawat mengejutkan Doktor Sarah dari lamunannya. Dia lantas mengangkat beg dan mempercepatkan langkah ke pintu pelepasan. Dia berasa sangat lega kerana apa yang dibimbanginya selama ini tidak muncul menganggu.

"Sarah…" tiba-tiba seseorang menepuk bahu Doktor Sarah dari belakang. Degupan jantung Doktor Sarah semakin laju.

"Ya…" Doktor Sarah menoleh. Dia amat terkejut sekali. Jantungnya pantas berdegup apabila melihat lima orang wanita yang menyerupai dirinya sedang berdiri sambil merenung tajam dirinya yang nyata tergamam.

"Sarah, kau perlu ikut kami." Kata salah seorang daripada mereka.

"Tidak!" bentak Doktor Sarah.

"Aku tak peduli. Kau perlu ikut kami" mereka beramai-ramai mengikat kaki dan tangannya. Doktor Sarah menjerit-jerit meminta tolong namun tiada seorang pun yang berada di lapangan terbang itu menghiraukannya apatah lagi membantu. Dia diseret keluar dari lapangan terbang itu dengan kasar.

"Puan... Puan..." tiba-tiba seorang wanita memanggilnya.

"Ya. Saya" Doktor Sarah melihat ke kiri dan ke kanan. Dia menggosok-gosok matanya. Dia menarik nafas lega. Dia bermimpi rupanya sebentar tadi.

"Puan…" seorang pramugari yang sedari tadi berdiri di sebelahnya memerhatikan gelagat Doktor Sarah. Dia ketawa kecil melihat Doktor Sarah yang masih lagi dalam keadaan mamai.

"Ya." Lambat Doktor Sarah menjawab.

"Ada apa-apa yang puan perlukan?" lembut pramugari itu bertanya.

"Em…... Bawakan saya segelas air ya" jawab Doktor Sarah.

"Itu sahaja? Ada apa-apa lagi yang puan mahukan?" pramugari itu bertanya lagi.

"Tidak. Itu sahaja" Doktor Sarah menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Baiklah" Pramugari mengangguk dan berlalu

mendapatkan air untuk Doktor Sarah. Doktor Sarah membuka majalah For Life yang dibawanya bersama ke dalam pesawat.