Chereads / Neo : Mimpi Semalam / Chapter 90 - Gelap

Chapter 90 - Gelap

Cammy memandu keretanya memasuki kawasan rumah rehat Doktor Sarah. Keretanya lantas diparkir di sebelah kiri kawasan lapang rumah itu. Dia mematikan enjin keretanya, lalu melangkah keluar. Sejurus dia membuka bonet mengeluarkan sebuah kotak. Di dalam kotak itu, terkandung dokumen-dokumen dan beberapa barang milik Doktor Sarah.

Cammy bergerak mendekati rumah itu dan melangkah masuk. Dia membuka suis lampu dan penghawa dingin. Kemudian meletakkan kotak yang dibawanya tadi di atas meja tamu. Dia lantas melabuhkan punggungnya ke atas sofa empuk yang berwarna krim. Dia menarik nafas lega kerana segala urusan yang diarahkan kepadanya telah berjaya diselesaikan.

Sejak beberapa hari yang lalu, dia begitu sibuk sekali membantu Doktor Sarah melakukan persiapan sebelum dia berlepas ke Zuria.

Cammy mengurut-urut batang kerongkongnya. Tekaknya terasa kering. Dia berasa teramat haus. Manakan tidak, sedari tadi dia tidak meneguk segelas air pun. Dia inginkan sesuatu untuk membasahi tekaknya.

Cammy bangun dan berjalan menuju ke dapur. Dapur rumah rehat Doktor Sarah itu nampak kemas dan tersusun dengan hamparan karpet biru. Tiada kotoran yang kelihatan. Cammy mencapai sebuah mug dan menuang air kosong dari cerek ke dalamnya. Dia meminumnya perlahan-lahan.

Tidak semena-mena, mug yang dipegangnya itu terlepas dan air membasahi karpet biru itu. Menyedari kecuaiannya, dia segera mengambil kain lap dan mengelap air tumpahan itu.

Cammy merasa bersalah apabila melihat karpet biru yang sentiasa terjaga rapi itu menjadi basah akibat tumpahan air tadi. Dia harus mengeringkan karpet itu sebelum Doktor Sarah pulang semula ke rumah. Dengan segera dia menggulung karpet itu dan bercadang untuk membentangkannya di bawah putaran kipas agar ianya cepat kering. Dia bercadang untuk mengeringkan karpet itu di bilik bawah tanah kerana ruangnya luas.

Cammy bergerak menuju ke bilik bawah tanah yang terletak di ruang makan rumah itu. Dia mencari kunci mangga untuk membuka pintu bilik itu. Namun apa yang mengejutkan, pintu itu tidak berkunci. Ianya tidak dimangga. Cammy berasa sedikit hairan kerana selama ini, Doktor Sarah tidak pernah dia membuka pintu bilik bawah tanah ini.

Cammy membuka pintu yang diperbuat daripada kayu itu. Sejurus membukanya dia dapat melihat sebuah tangga menuruni sebuah bilik bawah tanah. Dia menunduk dan menjengukkan kepalanya ke dalam. Gelap dan menyeramkan. Adakah dia patut masuk? Apa yang ada di dalam bilik ini? Dia bermain teka-teki sendirian.

Namun, tiada tempat yang paling sesuai untuk dia menjemur karpet yang basah ini melainkan di bilik ini. Lagi pun apa yang perlu ditakutkan? Lantas, dia memberanikan diri dan menuruni tangga itu. Kebetulan pula, memang terdapat lampu suluh di atas kabinet dapur itu tadi. Dapatlah dia menyuluh bilik yang gelap itu.

Lampu suluh di tangannya digerak-gerakkan. Dia menyuluh ke arah dinding untuk mencari suis lampu dan dia terpandang satu suis putih yang terletak tidak jauh di atas dinding sebelah kiri tempat dia berdiri. Dia segera pergi mendapatkan sui situ dan memetiknya. Perlahan-lahan lampu yang terdapat di situ menyala menerangi bilik yang gelap dan menyeramkan itu. Isi bilik itu dapat dilihat dengan jelas sekali.

"Ehemmm…..!"

Suara berdehem itu mengejutkannya dan dia melihat seorang lelaki sedang duduk sambil bersandar di satu tiang di situ.

"Encik…. Siapa encik ni? Apa yang encik buat di sini?" tanya Cammy. Dia berasa amat cemas melihat seorang lelaki yang tidak dikenali duduk di bilik itu. Dengan pantas, dia menghubungi Doktor Sarah.

"Helo. Saya..." Cammy terhenti. Kepalanya terasa dihentak sesuatu. Kepalaya berpinar-pinar. Dia rebah ke tanah dan terus tidak sedarkan diri.

Bunyi bising mengejutkannya yang sedari tadi tidak sedarkan diri. Kelopak matanya dibuka perlahan-lahan. Gelap. Dia dapat merasakan yang matanya ditutup dengan sehelai kain yang diikat meliliti kepalanya. Kepalanya berdenyut-denyut. Mungkin kerana hentakkan di kepalanya tadi. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Dengan matanya yang tertutup, dia tidak dapat melihat apa-apa. Tetapi dia dapat merasakan apa yang terjadi pada dirinya. Kaki dan tangannya diikat. Dia cuba meleraikan ikatan tali yang mengikat tangannya itu. Namun, ikatan tali itu tidak dapat dileraikan.

Tiba-tiba bunyi tapak kaki berjalan kedengaran dari belakang. Dia menoleh. Kedengaran suara seorang lelaki, dia sedag menyanyi-nyanyi kegembiraan. Suara itu pernah didengarnya sebelum ini. Dia lantas mula menegur.

"Doktor Adam?" Cammy bersuara.

"Kau tahu nama aku?"

"Ya. Doktor tak kenal saya?"

"Aku tak ingat tentang kau"

"Doktor kenapa doktor buat macam ni?" Cammy bertanya. Suaranya kedengaran lemah.

"Kenapa? Apa yang saya buat?" soal Doktor Adam selamba. Dia tidak menjawab soalan Cammy.

"Kenapa saya diikat sebegini rupa?"

"Aku hanya menjalankan tugas yang diarahkan."

"Siapa yang mengarahkan doktor?"

"Fendi. Kadang-kadang kami boleh panggil dia Tuan Shahril. Bergantung pada mood dia"

"Dia yang suruh doktor tangkap kami di sini?"

"Ya. Aku hanya menjalankan tugas"

"Saya akan lepaskan kamu. Tetapi, seperti yang diarahkan. Saya akan lepaskan kamu dari jasad kamu" kata Doktor Adam. Dia seperti seorang yang tiada hati perut.

Bagi Cammy, dia bukan Doktor Adam yang dikenalinya. Dia bagaikan orang tidak siuman, kelakuannya seperti dirasuk. Dia umpama si neurotik.

"Doktor…. Tolonglah doktor...." Cammy merayu lagi. Air matanya mula mengalir. Perasaan takut mula meresapi jiwanya. Dia takut mendengar apa yang dikatakan oleh Doktor Adam.

"Doktor…. Tolonglah doktor jangan buat saya macam ni….."

Doktor Adam mengeluarkan bom jangka daripada beg yang dibawanya. Dia memandang Cammy.

"Kau tahu apa bendanya ini?" Doktor Adam menyoal Cammy.

"Bom. Apa yang doktor nak buat dengan bom itu?"

"Hadiah terakhir untuk kamu." Kata Doktor Adam ketawa selamba. Wajahnya langsung tidak menggambarkan apa-apa ekspresi. Dia mula memasang bom itu pada dinding bilik itu.

"Doktor jangan! Doktor jangan! Jangan" Cammy meminta belas dari lelaki itu namun lansung tidak dipedulikannya.