Chereads / Neo : Mimpi Semalam / Chapter 76 - Ada Apa Dengan Marina, Sarah?

Chapter 76 - Ada Apa Dengan Marina, Sarah?

"Terima kasih puan! Sekiranya ada apa-apa kami akan hubungi puan." Ucap salah seorang daripada pegawai polis yang mengiringi Doktor Sarah keluar dari Balai Polis Bukit Semarak. Dia baru sahaja member keterangan lanjut mengenai Doktor Adam.

Sebagai salah seorang yang rapat dengan Doktor Adam Raufal, dia sudah menduga yang dia akan dipanggil untuk membantu siasatan. Malah dia juga yakin yang dia merupakan antara senarai suspek yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan itu. Ada kemungkinan mereka mengaitkannya dalam kes ini dan jika namanya dikaitkan, sudah pasti mereka akan meneliti motif utama dia membunuh Doktor Adam.

Tetapi dia tidak takut dengan semua itu kerana dia yakin yang dia berada di pihak yang benar. Kes pembunuhan ini benar-benar mencalar Pasadianka yang selama ini dianggap sebagai negara contoh di benua Utopia. Ia bukanlah satu kes pembunuhan yang biasa. Ia melibatkan seorang tokoh terkenal di Utopia. Siapa tidak kenal Doktor Adam Raufal dan siapa pula yang tidak kenal dengan Doktor Sarah Faridah Darius. Mereka berdua merupakan tokoh terkenal yang telah mengharumkan nama negara ke peringkat dunia. Projek yang mereka jalankan bersama telah menghasilkan satu penemuan yang menakjubkan. Tetapi dia tahu sejarah di sebalik kejayaan itu. Kejayaan itu bukanlah milik mereka berdua. Ia milik mereka bertiga. Seorang lagi rakan mereka yang bernama Fendi. Kebanyakkan yang mengenalinya juga

menggelarnya Doktor Fendi.

Fikirannya mengelamun memikirkan reaksi Doktor Fendi apabila dia memberitahu lelaki itu tentang berita kematian Doktor Adam. Dalam diam, dia mula menaruh syak kepada lelaki itu. Tetapi jika betul Doktor Fendi yang melakukannya. Kenapa? Apa motifnya? Memang benar Doktor Adam dan Doktor Fendi ada berselisih faham sejak akhir-akhir ini. Sebagai rakan yang selalu menjadi tempat mereka meluah perasaan, dia tahu apa yang menyebabkan mereka berselisih faham.

Dia tidak mahu menyebelahi sesiapa tetapi dalam perselisihan itu. Dia tahu apa yang dikatakan oleh Doktor Adam itu betul dan Doktor Fendi tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan hasil penemuan mereka untuk tujuan yang tidak elok. Dia ada bercakap dengan Doktor Fendi mengenai perkara itu dan dia rasa lelaki itu menerima nasihatnya dengan hati yang terbuka.

Apa yang pasti, Doktor Fendi semestinya tidak akan dipanggil untuk siasatan ini kerana hanya dia dan Doktor Adam sahaja yang tahu akan kewujudannya.

Sewaktu sesi soal jawab sebentar tadi, dia langsung tidak menyebut nama Doktor Fendi. Dia tidak mahu memanjangkan hal ini dan dia juga tidak mahu Doktor Fendi terlibat kerana...…..ahhh…cukuplah. Dia tidak mahu lagi berfikir tentang Doktor Fendi. Tetapi, bagaimana pula dengan Marina? Bukankah dia tahu mengenai Doktor Fendi? Dia tahu yang Doktor Adam selalu menceritakan tentang Doktor Fendi kepada Marina dan walaupun Marina dan Doktor Fendi tidak pernah bersua. Dia tahu mereka selalu berbual melalui telefon. Doktor Sarah tidak boleh berlengah. Dia perlu pergi mencari Marina segera.