Chereads / Neo : Mimpi Semalam / Chapter 68 - Culik

Chapter 68 - Culik

Marina hanya membatukan diri. Dia membiarkan sahaja wanita bertopeng hitam itu memegang bahunya. Keadaan di dalam kereta itu amat kotor sekali dengan habuk dan barang yang bersepah-sepah. Ia menyebabkan Marina lemas dan rimas. Marina mula menyesal kerana tidak mengikut nasihat Mama Tika yang menyuruhnya tinggal di rumahnya untuk seketika. Jika tidak, dia tidak perlu berhadapan dengan situasi ini.

Marina mula merancang sesuatu. Dia mesti melarikan diri dari tawanan dua wanita bertopeng itu.

"Hei kawan! Macam mana?" wanita yang memandu kereta itu menegur kawannya.

"Okey je….senang nak kawal dia ni" jawab wanita itu dengan angkuh. Dia menujal kepala Marina dengan kasar. Perbualan wanita itu benar-benar membuat Marina berang. Dia menjeling tajam wanita itu.

"Hei apa kau jeling-jeling aku ha… Kau tak puas hati ke?" wanita itu menengking. Marina mendiamkan dirinya. Tak kuasa rasanya dia melayan manusia kurang ajar seperti itu.

"Hei. Jangan apa-apakan dia. Nanti Shahril marah. Ingat Shahril mahukan dia hidup-hidup. Dahlah hari tu kita buat silap." Wanita yang memandu itu menegur.

'Shahril? Siapa dia?' Marina berkata-kata di dalam hati.

"Cantiknya kulit kau Marina…" wanita itu meraba-raba wajah Marina. Marina yang tidak senang dengan perlakuan wanita itu menegah.

"Kau jangan sombong sangat ya. Kau sekarang ni dalam tawanan kami." Ugut wanita itu. Dia menampar muka Marina berulang kali.

"Hei! Kau dah gila ke?" wanita yang sedang memandu kereta itu memarahi rakannya. Dia tidak suka dengan tindakan kasar yang dilakukan ke atas Marina. Tugas mereka hanya membawa Marina kepada Shahril. Shahril mahukannya hidup-hidup.

Marina nampaknya sudah tidak boleh menahan sabar lagi. Dia perlu bertindak dengan bijak. Dia menyusun strategi untuk melarikan diri daripada mereka. Marina memberanikan diri dan dengan penuh bertenaga dia bertindak menyiku wanita yang berada disebelahnya itu berulang kali dengan sekuat hatinya.

Wanita yang memandu kereta itu menekan brek kereta serta-merta. Ini menyebabkan kawannya itu tersembam ke hadapan. Kepalanya terhantuk pada cermin depan kereta. Dia pengsan tidak sedarkan diri.

""Kurang ajar kau! Apa yang kau cuba lakukan?" wanita yang memandu kereta itu menengking Marina.

Marina dengan pantas membuka pintu dan melangkah keluar. Tanpa mempedulikan orang ramai yang melihat, dia segera mengejar sebuah teksi yang terletak di seberang jalan. Dengan pantas, dia bergegas masuk.

"Pakcik! Bawa saya ke Pangsapuri Seri Damai!" Marina yang tercungap-cungap memberitahu pemandu teksi itu arah yang ingin ditujunya. Tanpa berlengah lagi, teksi itu terus laju menyusuri jalan. Marina menarik nafas lega. Syukur kepada Tuhan, dia berjaya juga melarikan diri.