Chereads / Neo : Mimpi Semalam / Chapter 63 - Mama Tika

Chapter 63 - Mama Tika

Marina mencelikkan matanya. Kepalanya berdenyut-denyut. Penglihatannya masih lagi samar-samar. Dia berdehem beberapa kali. Membetulkan kerongkongnya yang masih lagi terasa perit. Matanya memerhati suasana di sekitarnya. Dirinya kini berada di atas katil dalam sebuah bilik yang begitu asing baginya.

Marina berusaha untuk bangun. Namun dia tidak berdaya, kepalanya masih berdenyut-denyut. Dia masih lagi lemah. Suasana ketika itu sunyi sepi sekali. Telinganya tidak dapat mengesan apa-apa bunyi. Yang ada hanyalah bunyi putaran kipas yang berpusing pada siling bilik itu. 'Apa yang terjadi sebenarnya? Di mana aku sekarang?' Marina bermonolog. Dia menjadi seperti bingung alang seketika. Marina melihat bajunya yang tergantung kemas pada dinding. Dia menyingkap selimut. Pakaiannya telah pun disalin.

Marina memejamkan matanya semula. Dia cuba mengingati apa yang berlaku sebelum ini. Walaupun samar-samar, tetapi imbasan demi imbasan datang dalam fikirannya. Kali terakhir dia berada di rumah keluarganya di Berchala dan tiba-tiba dua orang wanita menyerangnya. Lalu dia dibawa ke dalam kereta. Ketika dia cuba melawan, salah seorang dari wanita itu memukulnya dari belakang. Kemudian dia terus pengsan. Marina mengurut-urut kepalanya. Dia masih berasa sedikit pening.

Tiba-tiba pintu bilik yang berkunci itu dibuka. Jantung Marina berdegup. Dia berasa cemas. Tidak tahu siapa yang akan masuk ke bilik itu. Dia hanya mampu memohon supaya dia tidak diperapa-apakan. Seorang wanita, yang kelihatan agak berusia, melangkah masuk dan menghampiri Marina yang terbaring di atas katil. Dia tersenyum melihat Marina yang telah pun sedar dari lena yang panjang. Marina memerhatikan wajah wanita yang tidak dikenalinya itu.

"Syukur… kamu tak apa-apa" kata wanita itu.

Mata Marina tidak pernah lekang melihat wanita itu. Dia memakai baju berwarna putih beserta dengan selendang hitam yang dililit di lehernya.

"Dah bangun ya," kata wanita tua itu. Tangannya membawa segelas air yang kemudian diletakkan di atas meja kecil yang berada di sebelah katil.

"Siapa mak cik ni?" tanya Marina. Dia cuba untuk bangun dari pembaringan.

"Nama mak cik Mama Tika. Panggil sahaja 'Mama'" wanita itu memperkenalkan dirinya.

"Bagaimana Mama boleh tahu nama saya?" tanya Marina.

"Perlahan-lahan Marina. Kamu… sakit lagi tu." Kata Mama Tika. Dia membantu Marina menyandar tubuh di kepala katil. Dari situ dia dapat melihat dompetnya di atas sebuah meja yang terletak bertentangan dengan katilnya. Mungkin dengan melihat kad pengenalannya, wanita itu dapat mengetahui namanya.

"Apa yang berlaku sebenarnya Mama? Bagaimana saya boleh berada di sini?" Marina bertanya.

"Kamu ditinggalkan di kaki bukit, Marina" Mama Tika mula bercerita. Marina sedikit terkejut dengan penjelasan Mama Tika. "Mama tengok kamu dan tiga orang wanita. Dua sedang memapah kamu dan seorang lagi hanya berdiri tercegat memerhati. Ketika itu, kamu masih lagi tidak sedarkan diri. Kemudian, mereka mencampakkan kamu di kaki bukit" jelas Mama Tika secara ringkas, dia mengambil sebuah kerusi yang terdapat dalam bilik itu dan duduk berdekatan dengan Marina.

Marina tidak bersuara. Diam dan menunggu cerita seterusnya.

"Saya bernasib baik kerana Mama berada di situ pada ketika itu." kata Marina menunjukkan rasa terima kasihnya kepada Mama Tika yang begitu baik sekali membantunya.

"Macam mana Mama boleh nampak semuanya pada ketika itu?"

"Semuanya berlaku secara kebetulan. Pada malam kejadian, Mama baru sahaja turun dari bukit itu dan pada ketika itulah Mama nampak kejadian tu berlaku." Cerita Mama Tika lagi. Marina mendengar dengan sepenuh perhatian.

"Sebaik sahaja Mama nampak mereka keluar dari kereta, Mama cepat-cepat sembunyikan diri di sebalik pokok. Mama nampak dengan mata kepala Mama sendiri. Mereka pergi meninggalkan Marina di situ. Sebaik sahaja mereka beredar pergi, Mama pun terus dapatkan kamu dan bawa kamu ke rumah Mama." Cerita Mama Tika.

Jam yang tergantung pada dinding bilik itu berbunyi menunjukkan pukul 8.30. Marina menoleh ke sebelah kanan melihat keluar tingkap. Dari situ dia dapat melihat waktu yang sudah pun bertukar malam. 'Lapan setengah malam rupanya'

"Dah berapa lama saya berada di sini?" tanya Marina kepada Mama Tika.

"Kamu dah pengsan sehari suntuk dari malam tu lagi" kata Mama Tika. Senyuman manis tidak pernah lekang dari bibirnya.

"Kamu jangan bimbang Marina, Mama sudah panggilkan seorang doktor untuk merawat kamu." Jelas Mama Tika.

"Jadi apa katanya?"

"Kamu tak ada apa-apa. Kamu perlukan rehat. Tapi doktor tu menasihatkan supaya kamu buat pemeriksaan lanjut."

"Terima kasih, Mama Tika. Tak tahulah apa nasib saya kalau Mama tak ada."

Mama Tika hanya tersenyum mendengar kata-kata Marina. "Rehat dulu ya. Mama siapkan makan malam. Nanti kita makan sama-sama. Kalau kamu nak mandi, tu dia, Mama dah sediakan tuala. Lepas tu kamu keluar ya. Kita makan sama-sama" kata Mama Tika dengan penuh mesra. Kemudian Mama Tika pun keluar dari bilik itu.

Marina cuba untuk bangun. Perlahan-lahan, dia bangkit dari katil dan mula melangkah. Dia mengambil sehelai tuala yang disediakan oleh MamaTika dan memasuki bilik air yang terdapat di bilik itu.

Beberapa minit kemudian, Marina keluar dari bilik. Dilihatnya, Mama Tika sedang sibuk menyiapkan meja makan dengan makanan dan minuman yang sudah siap dimasak.

"Jemput duduk Marina." pelawa Mama Tika. Marina hanya tersenyum, dia mengambil tempat di meja itu.

"Makan Marina. Jangan malu-malu" kata Mama Tika. Marina membantu Mama Tika walaupun dihalang oleh wanita itu. Dia menyenduk nasi di atas pinggan lalu diberikan kepada Mama Tika. Kemudian dia menyenduk nasi di atas pinggannya sendiri. Marina begitu berselera sekali menikmati hidangan yang disediakan oleh Mama Tika. Apa tidaknya, sudah hampir dua belas jam dia tidak menjamah sedikit makanan pun.

"Cantik rumah Mama," kata Marina.

"Biasa-biasa sahaja," Mama Tika merendah diri.

"Mama tinggal seorang saja di sini?"

"Mama tinggal dengan keluarga. Mereka semua tiada di sini. Suami dan anak Mama pergi ke Zuria. Mereka pergi melawat saudara kami di sana." jawab Mama Tika.

"Kenapa Mama tak ikut?" Marina bertanya lagi.

"Mama tak ikut sebab…." Mama Tika tidak sempat memberikan jawapannya. Telefon tiba-tiba bordering, Mama Tika bergegas pergi mendapatkan telefon itu.

"Barangkali itu suami mama" kata Mama Tika. Dia menjawab panggilan itu. Nada suaranya diperlahankan seperti sedang bercakap mengenai satu rahsia. Namun, Marina masih dapat mendengar bahasa yang dituturkan oleh Mama Tika. Bahasa yang begitu asing sekali baginya. Dia tidak dapat memahami apa yang dituturkan oleh Mama Tika.

Mama Tika kembali ke meja makan sebaik sahaja dia meletakkan gagang telefon.

"Suami Mama ke tadi?" Marina bertanya.

"Ya… Suami mama" Mama Tika mengangguk.

"Rancak nampaknya berbual"

"Suami dan anak Mama akan sampai ke sini esok pagi. Jadi mama ambil kesempatan ini untuk kirim macam-macam dengan dia" jelas Mama Tika.

Marina hanya tersenyum mendengar kata-kata Mama Tika. Dia ingin sekali bertanya mengenai bahasa yang digunakan oleh Mama tadi, namun dia membatalkan niatnya itu.

"Dah habis makan? Tak mahu tambah lagi Marina?" pelawa Mama Tika apabila dia melihat Marina selesai membasuh tangannya dan meneguk segelas air kosong.

"Dah kenyanglah Mama…. Tak boleh masuk lagi," jawab Marina.

"Mama…" teragak-agak Marina ingin memanggil wanita itu.

"Sebenarnya…"

"Kenapa Marina?"

"Sebenarnya…"

"Kamu mahu pulang malam ini ya?" kata Mama Tika. Dia seperti dapat membaca fikiran Marina.

"Ya Mama, Marina mahu balik malam ni, Mama Tika." Jawab Marina. "Saya sebenarnya ada masalah yang perlu diselesaikan."

"Masalah keluarga ya?" tanya Mama Tika. Dia cuba meneka masalah yang sedang dihadapi oleh Marina.

"Maksud Mama?" Marina bertanya kembali. Dia tidak faham apa yang dikatakan oleh Mama Tika.

"Apa yang Mama ingin beritahu ni mungkin akan memeranjatkan kamu. Tapi…." Kini Mama Tika pula yang teragak-agak untuk berkata-kata.

"Kenapa Mama?"

"Mama nampak adik kembar kamu yang mencampakkan kamu di kaki bukit itu"

"Adik kembar saya?" mata Marina terbeliak besar.

"Ya. Kamu pasti ada adik kembar. Wajahya serupa benar dengan kamu."

"Mama tak tahu apa masalah kamu, tapi jika kamu ingin selesaikannya pun. Nanti-nantilah dulu. Dah malam ni. Esok sajalah kamu balik Marina. Lagipu kamu tak sihat lagi," pujuk Mama Tika. Dia meneguk minuman yang tinggal.

"Esok pagi Mama hantar kamu balik. Suami dan anak Mama pulang esok pagi, bolehlah kamu berkenalan dengan mereka" pujuk Mama Tika.

"Tak apalah Mama, saya dah banyak menyusahkan Mama. Saya betul-betul perlu pergi. Ramai yang sedang risaukan saya sekarang. Saya memang ada hal mustahak yang perlu diselesaikan" kata Marina.

"Baiklah. Kalau itu yang kamu mahukan. Tapi, Mama nak kamu terima ni" Mama Tika memberikan Marina sebuah buku berwarna putih.

"Buku apa ni?" tanya Marina kehairanan.

"Jika ada masa, bacalah. Mungkin, ianya akan mengubah cara kamu melihat dunia." Kata Mama Tika. Dia tersenyum penuh makna.

"Baiklah Mama. Terima kasih banyak-banyak." Ucap Marina. Marina memeluk Mama Tika.

"Alah. Sudah menjadi tanggungjawab Mama sebagai seorang manusia"

"Oh ya! Ini nombor telefon saya. Jika ada apa-apa hubungilah saya." Marina menyerahkan kad namanya kepada Mama Tika. Mama Tika hanya tersenyum. Dia melihat Marina berlalu. Sejurus sahaja kelibatnya hilang dari pandangan, Mama Tika terus masuk ke rumahnya kembali.