Chereads / Neo : Mimpi Semalam / Chapter 55 - Rumah Lama di Brechala

Chapter 55 - Rumah Lama di Brechala

Jam menunjukkan pukul 10.00 malam. Marina sedang memandu keretanya di lebuhraya di tengah-tengah kota Pasadianka menuju ke Brechala. Di sanalah terletaknya rumah tinggalan arwah ayahnya Doktor Adam Raufal. Sudah lama juga Marina tidak menjenguk rumah itu. Entah apalah agaknya khabar rumah itu.

Sejurus sahaja tiba di perkarangan rumah itu, Marina terus memetik suis lampu halaman rumah yang berada bersebelahan dengan pintu utama ke ruang tamu rumah itu. Dengan sekali sentuhan, halaman rumah bersinar diterangi cahaya.

Bip! Bip! Telefon bimbit Marina berbunyi. Bunyi itu menunjukkan yang dia baru sahaja menerima mesej daripada seseorang. Dia membuka peti mesej telefon bimbitnya. Dia menerima mesej daripada Doktor Fendi.

-Hai Marina. Apa khabar? Ada di mana?-

Marina kemudian membalas ringkas.

-Baik. Ada di Brechala. Rumah kami yg lama-

Selang seminit kemudian, Doktor Fendi membalas lagi.

-Ok..saje nak tanya… take care….-

Setelah selesai membaca mesej yang diterima daripada Doktor Fendi, Marina menyimpan kembali telefon bimbitnya ke dalam beg yang digalasnya. Perhatian dialih kepada rumah yang tersergam indah di hadapanya.

Marina melangkah masuk dan sejurus sahaja kakinya menjejaki lantai rumah itu, ada satu perasaan yang sukar dijelaskan meresapi hati Marina. Dia melihat keadaan sekeliling rumah itu. Di situlah dia dibesarkan. Banyak kenangan manis yang tersimpan di rumah itu. Jika dapat dia merakam saat-saat itu. Sudah pasti dia akan ketawa melihat kenangan-kenangan manis bersama ibu dan bapanya.

Namun, masa tidak akan berputar kembali. Ia akan terus berdetik. Jika kita tidak mengejarnya, kita akan ditinggalkan.

Air mata Marina mengalir. Perasaannya tidak dapat dikawal. Lalu, dia menghampiri potret keluarganya yang terletak di satu sudut yang dihiasi dengan bunga dan meja kecil yang diperbuat daripada kayu jati. Gambarnya bersama ayah dan ibunya masih kelihatan cantik terjaga. Mereka nampak begitu gembira dan bahagia sekali dalam gambar itu. Bagi Marina, itulah saat-saat paling bahagia dalam hidupnya. Namun sekarang, dia tidak punya sesiapa.

Dulu, ibunya pulang ke hadrat Ilahi dalam satu kemalangan jalan raya dan kini ayahnya pula meninggalkannya.

Marina menaiki tangga rumah yang berusia lebih daripada dua puluh tahun itu. Walaupun begitu, ia tetap utuh dan tidak dimakan usia. Perlahan-lahan dia menaiki tangga itu untuk pergi ke tingkat dua. Di situ, terletaknya bilik bapanya dan juga biliknya sendiri sebelum dia berpindah keluar dari rumah itu.

Sejurus sahaja sampai di hadapan pintu biliknya, dia memusingkan tombol pintu dan membuka pintu bilik tersebut. Dia menjengahkan kepalanya ke dalam bilik itu. Ianya masih seperti dulu, bilik itu kelihatan kemas. Patung beruang besar yang dihadiakan oleh rakan baiknya satu ketika dahulu masih ada di kepala katil.

Marina tidak mahu menunggu lama melihat keadaan biliknya. Gerak hatinya merasakan yang dia perlu pergi ke bilik bapanya. Lantas dia melangkah ke bilik ayahnya. Seperti bilik Marina, bilik Doktor Adam juga kelihatan kemas dan tersusun rapi. Cuma ia sedikit berhabuk kerana sudah berhari tidak disapu. Marina melabuhkan punggungnya di atas katil dan memerhatikan keadaaan sekeliling bilik itu.

Matanya terpandang ke arah satu buku di atas meja yang terletak berhadapan dengan tingkap. Marina menghampiri meja itu dan mendapati bahawa buku itu adalah buku catitan milik ayahnya.

Marina mengambil buku itu dan membukanya. Namun, apa yang menghairankan ia bukan hanya mengandungi catitan harian bapanya. Tetapi keratin-keratan akhbar yang digunting dan ditampal di dalam buku catitan itu. Yang lebih menghairankan, keratin-keratan akhbar itu mempunyai tajuk-tajuk yang lebih kurang sama iaitu mengenai penyeludupan manusia dan laporan mengenai kehilangan sebilangan orang yang dilaporkan oleh beberapa pihak. Pada dua muka surat terakhir, ada beberapa laporan tentang kematian dua orang pensyarah. Marina mengenali mereka kerana keduaorang pensyarah itu adalah rakan baik ayahnya. Mereka disyaki dibunuh.

Kenapa ayahnya menyimpan keratin-keratan ini? Adakah dia mempunyai kaitan dengan kes-kes ini? Bermacam-macam soalan keluar dari kotak fikirannya. Dia sendiri tidak tahu jawapannya.

Marina mengambil buku catitan itu dan memasukkannya ke dalam beg galas yang dibawanya sejak dari tadi dan melangkah keluar dari bilik itu. Dia harus mencari jawapan kepada persoalan ini. Dia mula memikirkan seseorang yang boleh membantunya dan Inspektor David adalah wajah pertama yang terbayang di dalam kotak fikirannya. Dia yakin ada sesuatu di sebalik surat dan buku catitan ayahnya itu. Inspektor David adalah harapannya untuk menyelongkar segala rahsia yang terselindung di sebalik pembunuhan ini.

Tetapi, dengan tidak semena-mena, lampu tiba-tiba sahaja terpadam. Seluruh rumah bergelap. Marina mula panik, dia merangkak dan meraba-raba lantai mencari tangga.

"Jangan bergerak!" satu suara tiba-tiba menegurnya daripada belakang. Marina dapat merasakan yang sepucuk pistol diacukan ke lehernya. Daripada suara yang kedengaran, Marina mengagak yang dia adalah seorang wanita.

"Bangun dan ikut arahan saya. Angkat kedua belah tangan kamu" Marina bergerak seperti mana yang diarahkan. Kedua-dua belah tangannya diangkat ke atas.

Wanita itu kemudiannya menyalakan lampu suluh dan menyuluh ke arah tangga.

"Turun sekarang!"

Marina memulakan langkah menuruni tangga itu. Berkali juga dia ditujal wanita itu menyuruh agar dia berjalan dengan lebih cepat. Marina berjalan menuju ke pintu dan menyarungkan kasutnya sejurus selepas keluar melepasi pintu. Di halaman rumah, ada sebuah kereta merah yang menunggu. Dari luar, Marina dapat melihat seorang lagi wanita bertopeng sedang menunggu di dalam kereta. Wanita yang mengacukan pistol kepadanya tadi juga bertopeng. Dia membuka pintu belakang bahagian kanan kereta itu dan menolak Marina masuk ke dalam kereta dan sejurus kemudian wanita itu pula masuk.

Tanpa banyak soal, kereta it uterus meluncur laju meninggalkan banglo itu. Marina bingung. Dia seperti sudah mati akal. Dia tidak tahu apa yang patut dilakukannya.