Chereads / Neo : Mimpi Semalam / Chapter 45 - Premis

Chapter 45 - Premis

Seperti yang dirancang, Encik Murukesh pergi ke Yayasan Rahsia Hati. Tujuan utamanya adalah untuk mencari beberapa dokumen berkenaan derma berjumlah tiga juta dolar yang diperolehi yayasan itu. Hari ini, dia akan memastikan yang dokumen-dokumen itu akan berada di tangannya. Dia amat memerlukan dokumen-dokumen itu. Walau apa pun yang berlaku dan dengan cara apa sekalipun, dia perlu mendapatkan dokumen-dokumen itu. Apa yang pasti, dia perlu menyelinap masuk ke dalam Yayasan Rahsia Hati dengan penuh berhati-hati. Dia perlu memastikan setiap langkah yang diambil akan mengikut aturan rancangan yang telah disusun dan tiada siapa akan menyedari kehadirannya di Yayasan Rahsia Hati pada hari ini.

Murukesh membuka pintu masuk bahagian hadapan permis itu. Sebaik sahaja masuk, dia melihat sekitar permis itu. Sesiapa sahaja akan terpegun dengan rekaan kontemporari premis itu yang berlatarkan warna biru laut. Bertentangan dengan pintu itu, dapat dilihat tempat menyambut tetamu yang juga cantik dihias dengan tema yang sama. Encik Murukesh dengan segera pergi mendapatkannya.

"Selamat datang. Ya encik, boleh saya tolong" ucap seorang wanita yang bekerja sebagai penyambut tetamu di yayasan itu. Di sebelah kiri poketnya, tersemat tanda nama yang tertulis cantik nama empunya diri yang memakainya 'Nadia'. Dia melemparkan senyuman manis kepada Encik Murukesh.

"Boleh saya jumpa dengan presiden yayasan?" Murukesh menyusun kata-kata. Di tangan kirinya dia sudah bersedia dengan telefon bimbit.

"Encik ada buat temu janji sebelum ini?" tanya wanita itu.

"Tak ada. Kenapa cik? Dia tak ada ke?" soal Murukesh kembali. Dia pura-pura tidak tahu tentang ketiadaaan presiden yayasan itu, Doktor Sarah.

"Dia tiada hari ini encik. Tapi encik saya nak cakap sedikit, selalunya jika ada apa-apa urusan, kebanyakkan orang akan berhubung dengan pembantu presiden Cik Cammy terlebih dahulu sebelum mereka melakukan apa-apa urusan dengan presiden" jelas wanita muda yang bernama Nadia itu.

"Oh begitu." Kata Encik Murukesh. Dia berpura-pura termenung. Dia menunggu saat yang sesuai untuk dia memulakan langkah.

"Ada apa-apa yang encik nak…" penyambut tetamu itu tidak sempat menghabiskan kata-katanya. Telefon yang terletak di belakangnya tiba-tiba berbunyi.

"Sebentar ya…." Penyambut tetamu itu berpaling dan menjawab panggilan. Dalam keadaan ini Murukesh tidak dapat dilihatnya. Murukesh melihat kawasan sekelilingnya. Dia memastikan tiada siapa yang mengesan keberadaannya di situ. Ruangan itu nyata kosong. Pantas, dia mengambil peluang itu untuk menyelinap masuk ke tandas yang terletak tidak jauh daripada tempat menyambut tetamu itu.

"Encik….." wanita penyambut tetamu itu menoleh ke kiri dan kanan. "Eh mana dia ni? Tak sempat aku nak bagi nombor si Cammy ni….." gumalnya sendirian setelah melihat Murukesh hilang dari pandangan matanya. "Apa-apa jelah." Tambahnya lagi. Dia menyambung tugasnya.

Dalam masa yang sama, Murukesh menarik nafasnya dalam-dalam. Dia lega kerana langkah pertama berjalan dengan lancar. Dia pasti wanita yang bernama Nadia itu tidak nampak yang dia telah pun masuk ke dalam tandas ketika wanita itu sedang melayan panggilan telefon itu. Dia tersenyum sendirian.

Kini, dia hanya perlu menunggu semua orang di yayasan itu keluar daripada premis itu. Jika mengikut kebiasaan, mereka akan meninggalkan premis itu pada pukul 4.30 petang.

Dia melihat jam tangannya. Keluhan kedengaran. Dia memikirkan apa yang perlu dilakukannya pada jam-jam yang berikut. Tentu bosan. Jika diikutkan hati, tidak ingin dia berada di tandas itu walaupun ianya berada dalam keadaan bersih dan berbau harum.

Kini dia mengurungkan diri di salah satu bahagian tandas itu. Dia mula berkhayal dan memikirkan macam-macam perkara.