Linley baru sahaja hendak melangkah ke luar pintu. Kuasanya telah meningkat selepas Pembaptisan Moyang, jadi sememangnya dia berasa gembira.
'Dia memanggil aku?' Linley kebingungan apabila mendengar jeritan tersebut.
Walau bagaimanapun, Linley masih menoleh ke belakangnya, hanya untuk melihat wajah Tetua botak itu kemerah-merahan dan matanya bertukar merah menyala. Tetua itu kini kelihatan seperti serigala rakus. Linley mula meningkatkan kewaspadaannya. Pada masa yang sama, dia membuka mulutnya lalu bertanya, "Tetua, ada apa yang boleh saya bantu?"
"Emanuel, ada apa ini?" Tanya pemuda tampan itu.
Apakah yang berlaku?
Kini barulah Emanuel tersedar dari keterujaannya dan kembali waras. Wajahnya bertukar normal dan dia memandang ke arah Linley yang berada di hadapannya. Dalam hatinya, dia tahu, 'Kemunculan cincin Naga Lazuardi moyang tidak boleh dihebahkan. Aku tidak boleh biar Garvey mengetahui perkara ini.'