Chereads / NAGA PUSAR / Chapter 72 - Nama Dia Alice (Bahagian 2)

Chapter 72 - Nama Dia Alice (Bahagian 2)

"Hrm?" Linley berpaling sambil berkerut.

Kalan terus mara ke depan untuk berterima kasih kepada Linley. "Nama saya Kalan. Saya mahu berterima kasih kepada kamu atas bantuan kamu sebentar tadi. Jika bukan kerana kamu, mungkin Alice sudah mati."

Gadis yang bernama Alice juga ikut berlari menghampiri. Dia jelas masih lagi panik dan termengah-mengah dengan dadanya naik dan turun dengan setiap nafas. Tetapi matanya yang lembut dan redup itu merenung tepat ke arah Linley. "Terima kasih kerana selamatkan saya. Saya Alice. Nama penuh saya Alice Straf [Si'da'fu']. Saya juga ahli sihir unsur tanah."

Pandangan Linley berhenti sejenak pada Alice.

Dia mengaku, Alice seorang anak gadis yang sangat cantik. Dia mempunyai aura yang membuatkan orang lelaki mahu menghargai dan melindunginya. Dia seorang gadis yang sudah cukup cantik tanpa perlu melunakkan suaranya atau menggunakan alat kosmetik.

'Linley, apabila melihat orang dalam kesusahan di Banjaran Gunung Makhluk Ajaib, kamu selalunya enggan menghulurkan bantuan. Apa yang berlaku hari ini?' Suara mengusik Doehering Cowart kedengaran dalam kepalanya. 'Oh, Atuk tahu. Kamu suka gadis bernama Alice itu, bukan?'

Linley berkerut.

'Atuk Doehring, bukan saya tak mahu membantu mereka yang saya temui sebelum ini. Cuma, semasa berada dalam kawasan tengah Banjaran Gunung Makhluk Ajaib, mereka berhadapan dengan makhluk ajaib tahap enam, malah ada yang di tahap tujuh. Saya tak mempunyai keupayaan untuk membantu mereka. Membunuh makhluk ajaib tahap lima tak begitu susah. Sebab itu saya tampil untuk membantu.' Linley terus menjelaskan pada Doehring Cowart.

Doehring Cowart ketawa kecil dan tidak lagi bercakap.

"Nama saya Tony [Tuo'ni]. Tuan ahli sihir, apa nama kamu?" Seorang lelaki lain turut bercakap.

Linley melihat mereka dengan tenang. "Berapa lama kamu sudah berada dalam Banjaran Gunung Makhluk Ajaib?"

"Ini hari pertama," Kalan mengaku. "Saya tak sangka kami akan berjumpa dengan makhluk ajaib tahap lima pada hari pertama kami masuk. Kami memang bernasib malang. Menurut buku, kawasan luar hanya mempunyai makhluk ajaib tahap tiga dan empat. Kami berempat sepatutnya tak berada dalam keadaan bahaya."

"Bodoh." Linley menggeleng kepalanya.

Pemanah perempuan yang bernama Nina terus menyampuk marah. "Hey, kenapa kamu berlagak sangat? Walaupun kamu telah selamatkan Alice, tapi tak bermakna kamu boleh hina kami!"

"Niya!" Kalan terus menjerit marah.

Linley terus menjelaskan, "Saya sangat kagum dengan keberanian kamu untuk masuk ke dalam Banjaran Gunung Makhluk Ajaib seperti ini. Tapi dalam masa yang sama, saya perlu kata yang kamu semua sangat bertuah. Kamu tak terserempak dengan mana-mana penyamun semasa dalam perjalanan ke Banjaran Gunung Makhluk Ajaib."

"Penyamun?" Kalan memandang sesama mereka. Mereka memang tidak pernah bertembung dengan penyamun.

Lagipun, panjang Banjaran Gunung Makhluk Ajaib mencecah sepuluh ribu kilometer. Terlalu banyak jalan untuk masuk. Tidak terserempak dengan penyamun ialah satu perkara biasa.

"Biar saya beri nasihat kepada kamu. Jika kamu semua tak mahu mati, lebih baik keluar dari pergunungan ini dengan cepat," kata Linley, terus-terang.

"Kenapa? Di luar kawasan ada banyak makhluk ajaib tahap lima juga ke?" tanya remaja bernama Tony itu, ingin tahu.

Linley menjelaskan dengan tenang. "Dalam pergunungan ini, bahaya yang paling besar bukan datang daripada makhluk ajaib, tapi dari manusia lain. Lebih-lebih lagi di kawasan luar. Keempat-empat kamu terlalu lemah dan tak berpengalaman. Saya percaya ada orang yang tamak akan mengambil kesempatan ke atas kamu semua. Saya rasa sebab utama kamu tak ditemui lagi hanya kerana ini hari pertama kamu dalam pergunungan ini. Jika tidak, kamu berempat pasti telah dibunuh."

"Bahaya paling besar datang dari manusia lain?" Kalan berkerut, tetapi raut wajahnya terus berubah seketika kemudian.

Kalan berkata penuh hormat kepada Linley, "Tuan ahli sihir, kami masuk ke pergunungan ini hanya untuk mengetahui sedikit sebanyak mengenai kawasan ini. Kami semua telah sepakat untuk datang ke sini. Saya harap Tuan ahli sihir boleh membantu kami keluar dari tempat ini."

Linley tidak boleh menahan diri dari berkerut.

Dia tidak suka pada masalah. Tapi jika mereka berempat terserempak dengan penyamun, nyawa mereka pasti akan melayang.

"Tuan ahli sihir, kami memohon bantuan Tuan." Alice juga merayu.

Linley menoleh ke arah Alice. Melihat pandangan merayu dalam mata gadis itu dan membayangkan bagaimana dia akan dibunuh oleh penyamun, hati Linley menjadi lembut. Linley mengangguk sambil berkata, "Baiklah. Saya memang dalam perjalanan balik. Kamu semua boleh ikut saya. Tapi jika kita bertembung dengan penyamun dalam perjalanan turun ini, saya hanya mampu berjanji hanya untuk beri yang terbaik. Jika ada antara kamu yang mati, tiada apa yang saya boleh buat."

Kalan terus mengangguk dengan gembira. "Kami sudah cukup bersyukur Tuan ahli sihir mahu membantu kami."

Linley mengangguk dan meneruskan perjalanan pulang. "Ikut saya." Kalan dan yang lain mula menurut Linley. Di bawah perlindungan Linley, mereka berangkat dari Banjaran Gunung Makhluk Ajaib dan menghala ke arah bandar.

Dalam perjalanan pulang, Kalan dan yang lain-lain mengetahui nama Linley. Alice, yang juga seorang ahli sihir unsur tanah, melihat Linley penuh kagum. Dia juga berusia lima belas tahun dan dianggap seorang genius nombor satu di Institut Welle [Wei'lin].

Akan tetapi, Alice hanya ahli sihir tahap empat. Jika di Institut Ernst, pencapaian sebegitu hanya dianggap sederhana.

Mereka berehat sebentar untuk makan. Linley dan Alice duduk bersama.

"Abang Linley, kamu terlalu hebat. Abang menjadi ahli sihir tahap lima ketika baru berusia empat belas tahun. Saya mungkin akan mencapai ahli sihir tahap lima apabila berusia dua puluh tahun nanti." Alice mula memuji Linley.

"Itu hanya pencapaian biasa. Genius nombor satu di institut kami bernama Dixie. Dia telah menjadi ahli sihir tahap empat semasa di usia sembilan tahun dan ahli sihir tahap lima semasa dia berumur dua belas tahun," kata Linley, bersahaja. Tetapi dia tidak menyatakan… semasa dia berumur tiga belas tahun, dia juga telah menjadi ahli sihir tahap empat. Tetapi di usia empat belas tahun, dia sudah pun mencapai ahli sihir tahap lima.

Dalam masa setahun yang singkat, dia telah menyaingi pencapaian Dixie, manakala Dixie pula memerlukan masa tiga tahun.

"Seorang ahli sihir tahap empat di usia sembilan tahun? Saya lima belas tahun, tapi saya hanya ahli sihir tahap empat. Dan saya dianggap genius paling tinggi di institut saya. Institut Wellen kami memang tidak boleh dibanding dengan Institut Ernst Abang." Alice mengeluh.

"Abang Linley. Saya tengok Jajaran Lembing Tanah yang dilaksanakan Abang, lebih kuat dan berkuasa berbanding Lembing Tanah dari ahli sihir tahap lima dari sekolah kami. Kenapa begitu?" Alice juga ahli sihir unsur tanah. Sudah tentu dia akan perasan perbezaan mantera yang dilaksanakan Linley.

Linley tersenyum kecil. Bukan sahaja kuat, kelajuan ia meletus juga sangat pantas.

"Asal usul mantera unsur tanah berasal dari intipati bumi ini sendiri…" Linley mula memberi penjelasan kepada Alice. Secara jujur, Linley jauh lebih mendalami sihir unsur tanah berbanding jurulatih unsur tanah di Institut Ernst. Lagipun, dia ada ahli sihir Agung tahap Dewa sebagai guru peribadi.

Alice merenung Linley, memberi seluruh tumpuan kepadanya.

Seorang mendengar dan seorang lagi bercakap. Sambil mereka berbual, kedua-dua mereka semakin dekat dengan satu sama lain. Selepas begitu fokus menjelaskan teori sihir, Linley berhenti seketika dan baru sedar wajah mereka begitu rapat dengan hanya jarak satu penumbuk yang memisahkan mereka.

Linley terkejut. Ini kali pertama dia begitu rapat dengan perempuan. Apabila begitu hampir, baru dia nampak dengan jelas dua mata redup dan lembut serta hidung comel milik Alice… Linley juga dapat merasa hembusan nafas gadis itu dan menghidu wangian dari tubuhnya.

"Abang Linley, kenapa kamu berhenti bercakap?" tanya Alice, ingin tahu. Tetapi, sejenak kemudian baru dia sedar apa yang berlaku. Dia terus tersentak ke belakang dan wajahnya terus bertukar merah seperti epal.

Linley memaksa dirinya untuk bertenang. Dia kemudian berdiri untuk berhadapan dengan mereka yang lain. Berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku, dia berkata, "Baiklah, semua orang makan dulu. Kita akan bergerak sebentar lagi. Mari kita cuba sebaik mungkin untuk sampai awal ke bandar."