Bank Emas Empat Empayar ialah sebuah bank penubuhan bersama empat empayar terbesar benua Yulan. Mereka yang mampu membuka akaun kad kristal ajaib sememangnya orang yang kaya-raya. Kad itu sendiri bernilai seratus syiling emas. Orang biasa tidak akan sanggup membelanjakan wang sebanyak itu.
Sepuluh ribu syiling emas, jika dibahagikan kepada kantung-kantung bersaiz tangan, akan mengisi seratus kantung. Ia akan turut mengisi setengah guni burlap hingga berat.
"Seratus syiling emas melayang begitu sahaja." Linley tidak dapat menahan keluhannya apabila melangkah keluar dari cawangan tempatan Bank Emas Empat Empayar di Institut Ernst. Kini, tersemat di dadanya sekeping kad kristal ajaib miliknya.
Linley sedar selagi dia masih tinggal di Institut Ernst, jika dia menyimpan timbunan syiling emas di bilik asramanya, ia tidak akan selamat. Pilihan yang selamat ialah menyimpannya di dalam kad kristal ajaib.
Untuk pengetahuan semua, kos yang diperlukan untuk membuat kad bukanlah rendah. Pakar tukang emas menghabiskan masa berabad-abad lamanya untuk mencipta kad ini. Setiap kad hanya bertindak balas terhadap cap jari pemiliknya sahaja. Oleh itu, setiap kad kristal ajaib hanya boleh digunakan oleh pemilik asalnya sahaja.
Inilah sebabnya mengapa kad kristal ajaib ini bernilai seratus syiling emas.
'Sepuluh ribu syiling emas ini lebih dari cukup untuk menampung perbelanjaan aku di Institut Ernst malah akan banyak berbaki. Pada masa yang sama, aku dapat membantu Ayah.' Linley berasa sangat gembira.
Yale memeluk bahu Linley. Dia bersiul sebuah lagu sambil mengamati Rand dan rakan-rakannya dengan gembira.
Rand dan tiga rakannya telah mengeluarkan duit perbelanjaan mereka. Besar kemungkinan, simpanan mereka berempat hanya tinggal seribu syiling emas. Mujurlah tahun akademik akan tamat tidak lama lagi.
Reynolds dan George kedua-duanya tersenyum tentang dan bergurau sesama sendiri di sebelah Linley.
Sejujurnya, baik Reynolds mahupun George, tidak pernah berada dalam kesusahan sebelum ini.
"Bro Kedua, Bro ketiga, Bro Keempat, esok hujung bulan. Bapa saya akan datang. Selalunya, saya akan aturkan kereta kuda dan pengawal untuk dibawa bersama. Ke mana kita empat bersahabat patut pergi?" Yale memberi cadangan.
"Ibu Kota Suci?"
Mata Reynolds, George dan Linley semuanya bersinar.
Ibu Kota Suci iaitu Kota Fenlai, bukan kota biasa.
"Ibu Kota Suci merupakan idea yang menarik. Dalam perjalanan ke sini dari Empayar O'Brien, saya bermalam di kota Fenlai selama dua hari. Saya tak berpeluang untuk melawat banyak tempat di sana," cepat-cepat Reynolds berkata.
George dan Linley kedua-duanya mengangguk.
"Ada banyak tempat yang boleh dilawati di Ibu Kota Suci. Esok, saya akan bawa kamu semua keluar untuk meluaskan pandangan kamu," kata Yale penuh misteri.
…
Fajar keesokan harinya, Yale dan yang lain-lain bersarapan bersama. Kemudian mereka menuju ke pagar utama Institut Ernst untuk menunggu kereta kuda Yale yang diiringi pengawal.
Selepas menunggu selama dua jam, kereta kuda tersebut masih lagi belum tiba.
*Decit decit* Bebe bertenggek di atas bahu Linley dan mendecit.
"Bebe sudah tak sabar. Yale, kamu buat kami tunggu di sini dari awal pagi tetapi kereta kuda kamu masih tak kunjung tiba." Reynolds berkata tidak gembira, sementara Yale ketawa kerana rasa bersalah. "Saya pun tak tahu. Sepatutnya mereka sudah tiba." Linley hanya mengusap kepala Bebe.
"Itu pun mereka." Yale tiba-tiba berteriak.
George, Reynolds dan Linley yang hampir terlelap berpaling untuk melihat. Di kejauhan, mereka dapat melihat empat buah kereta kuda dan beratus orang pengawal berkuda bergegas ke arah mereka secara beramai-ramai. Di atas formasi itu, terdapat tujuh ke lapan Griffon. Dalam beratus pengawal, sepuluh daripada mereka menunggang makhluk ajaib seperti Lembu Besi Penghisap Darah atau Serigala Angin.
'Jadi, pengawal puak Yale memang sangat menggerunkan.' Linley berasa terkejut. Mata Reynolds dan George juga turut bercahaya.
Doehring Cowart duduk di sebelah Linley, menikmati sinaran matahari. Apabila melihat divisyen pasukan pengawal berkuda itu, matanya juga turut bersinar. Tidak lama selepas itu, empat kereta kuda dan beratus penunggang itu tiba di pintu utama. Tiga orang ahli sihir keluar dan menyapa mereka di pintu utama.
Seorang lelaki pertengahan umur melangkah dan berdiri di hadapan empat kereta kuda tersebut. Sebelum bercakap dengan tiga orang ahli sihir lain, dia menuju ke arah Yale terlebih dahulu.
"Pak Ngah, kenapa lambat sangat?" Yale berkata dengan nada tidak gembira.
'Pak Ngah' Yale segera ketawa dan berkata, "Haha, kamu marah? Baiklah, kereta kuda yang kamu minta semuanya sudah tersedia. Kereta kuda yang terakhir dipenuhi dengan barangan. Saya akan arahkan mereka keluarkannya supaya kamu ada ruang untuk duduk. Kamu mahu ke Ibu Kota Suci, bukan?"
"Cass (Ka'qi), bawa tiga yang lain bersama kamu. Kamu bertanggungjawab melindungi Tuan Muda Yale," arah 'Pak Ngah'.
Nun jauh di sana, seorang penunggang botak segera turun dari haiwan tunggangannya dan berjalan ke hadapan Yale lalu menunduk hormat. "Cass memberi hormat kepada Tuan Muda Yale."
Di sebelah Linley, mata Doehring Cowart bersinar lalu berkata, "Linley, saudara itu seorang yang luar biasa. Berdasarkan cara dia turun dari haiwan tunggangan dan sinar matanya, Atuk dapat merasakan Cass merupakan seorang pakar yang jauh lebih hebat daripada Pak Cik Hillman kamu. Tambahan pula, helang yang bertenggek di atas bahunya ialah makhluk ajaib tahap ketujuh, 'Helang Guruh Bermata Biru'."
Jika Doehring Cowart memberi pujian kepada Cass, pastinya dia memang seorang yang luar biasa.
"Linley, mari kita pergi. Masuk ke dalam kereta kuda cepat. Mari kita ke Ibu Kota Suci." Yale memberi isyarat.
Linley dan tiga orang sahabatnya masuk ke dalam kereta kuda bersama-sama. Ruang dalamnya sangat luas dan mereka berempat langsung tidak berasa bersempit. Penunggang kereta kuda itu segera menuju ke Ibu Kota Suci, Kota Fenlai.
Cass dan tiga penunggang lain mengikut mereka dari belakang.
Di dalam kabinet kereta kuda itu terdapat buah-buahan, madu dan juga wain. Empat sahabat itu makan dan minum sambil berbual di dalam kereta kuda itu. Institut Ernst hanya 20 kilometer dari Kota Fenlai. Kira-kira setengah jam selepas itu, mereka pun tiba.
Mereka turun dari kereta kuda tersebut.
Di bawah perlindungan Cass dan tiga pengawal lain, kumpulan Linley bersiar-siar di Kota Fenlai.
"Hei, kamu semua hendak ke mana? Kota Fenlai mempunyai banyak tempat menarik untuk kita berseronok. Di Kota Fenlai Timur terdapat banyak tempat mewah untuk berbelanja dan ramai pelayan wanita yang cantik. Sementara Kota Fenlai Barat terdapat banyak muzium seni seperti Galeri Proulx yang terkenal itu." Yale sudah biasa dengan Kota Fenlai.
"Pelayan cantik? Baiklah, baiklah, mari kita Kota Fenlai Timur." Mata nakal Reynolds mula bersinar.
"Sekarang baru tengah hari. Tempat-tempat seperti itu hanya seronok untuk dikunjungi pada waktu petang. Tetapi boleh saja kalau kita ke sana sekarang." Yale berkata sambil ketawa.
Linley tidak gemar pergi ke tempat-tempat sebegitu lalu dia pun berkata, "Yale, lupakan sahaja. Apa gunanya budak-budak macam kita pergi ke tempat sebegitu? Tadi kamu ada sebut tentang Galeri Proulx? Memandangkan galeri tersebut dinamakan sempena Pakar Agung Proulx, pasti tempat itu luar biasa. Mari kita ke sana."
Proulx, pengukir nombor satu dalam sejarah benua Yulan.
"Pakar Agung Proulx? Saya juga pernah dengar tentang beliau. Suatu ketika dahulu, salah sebuah hasil seninya dijual dengan harga jutaan syiling emas. Nama arca tersebut adalah 'Hope'. Jutaan syiling emas, oh Tuhanku. Sangat kaya." Reynolds mengeluh.
George ketawa dengan nada yakin. "Dalam sejarah pengukir, daripada awal hingga sekarang, jumlah semua arca yang pernah dihasilkan tak terkira banyaknya. Semua sepuluh arca terbaik dijual dengan harga sejuta syiling emas setiap satu. Dan dalam sepuluh yang terbaik itu, tiga daripadanya dihasilkan oleh Pakar Agung Proulx. Dia boleh dianggap sebagai pengukir terbaik dalam sejarah ukiran batu!"
Linley menghela udara dingin.
Jutaan syiling emas?
Besar sungguh nilainya. Walaupun puaknya menjual rumah pusaka moyangnya, kemungkinan besar mereka hanya mampu mendapat seratus ribu syiling emas sahaja.
"Mari kita pergi lihat." Linley segera berkata.