"Hrm, ada tiga arca di dewan utama yang dijual dengan harga 1500 syiling emas setiap satu?" Austoni [Ao'Si'Tuo'Ni], pengurus Galeri Proulx sedang melihat rekod yang ditulis dengan penuh hairan. Selepas menyelak beberapa halaman dalam butiran biografi Linley, pengukir arca-arca tersebut Linley, dia tidak boleh menahan diri daripada berasa kagum. "Ketiga-tiga arca ini diukir oleh Linley dan dia baru berusia lima belas tahun?"
Dunia arca sangat mirip dengan piramid.
Keseluruhan Kesatuan Suci mempunyai lima hingga enam orang pengukir di tahap pakar yang berdiri di puncak bidang ini. Di bawahnya, ada seratus lebih pengukir di tahap mahir. Dalam situasi seperti ini, seseorang boleh membayangkan betapa sedikitnya pengukir tahap mahir yang berada di dalam bidang ini. Selalunya, seseorang yang dianggap pengukir 'mahir' ialah seseorang yang mempunyai pemahaman yang tinggi tentang kehidupan. Pengukir di tahap ini boleh menerapkan pemahaman tentang kehidupan ke dalam ukirannya. Hanya pada masa itu, ukiran mereka akan mempunyai aura yang istimewa.
Pengukir mahir yang berusia lima belas tahun?
Tidak pernah berlaku!
"Dan Linley ini seorang pelajar dari Institut Ernst?" Austoni menjadi lebih terkejut dengan setiap maklumat baru berkenaan si pengukir ini. Institut Ernst ialah akademi ahli sihir nombor satu dalam benua Yulan. "Dan dia seorang pelajar gred lima? Pelajar gred lima yang berusia lima belas tahun?"
Austoni menarik nafas dalam.
Genius!
"Tiga arca ini hanya bernilai seribu syiling emas setiap satu. Namun begitu, berdasarkan umur pengukir, nilai sebenarnya ialah berlipat kali ganda." Austoni sangat yakin dengan kenyataan ini.
Untuk seorang budak berusia lima belas tahun boleh mencipta arca di peringkat ini bermakna karya seninya akan menjadi lebih baik.
Untuk pengukir ini yang berusia lima belas yang juga seorang pelajar di Institut Ernst bermakna dia seorang genius di kalangan genius. Sekali lagi, ini akan menggandakan nilai arca-arcanya.
'Tengah hari ini aku akan ke Institut Ernst. Sudah agak lama Galeri Proulx tak menambah pengukir mahir dalam kalangan kita.' Austoni membuat keputusannya. Berdasarkan kenyataan ketiga-tiga arca pengukir ini telah dibeli dengan harga yang tinggi sudah cukup untuk membuktikan kelayakan Linley.
Dia sudah cukup layak dijemput untuk mempamerkan arca-arcanya dalam bilik peribadi di dewan pengukir mahir.
Tengah hari itu.
Sebuah kereta kuda berhenti di hadapan pintu utama Institut Ernst. Itu adalah Austoni dan dua pengawalnya. Setelah tiba di pintu utama, Austoni mengeluarkan pengenalan dirinya sebagai bukti bahawa dia pengurus Galeri Proulx. Institut Ernst juga turut menghantar salah seorang pengawal mereka untuk mengiringi Austoni.
Di kawasan latihan untuk pelajar gred lima di Institut Ernst.
"Encik Austoni, di sini tempat di mana kebanyakan jurulatih bagi ahli sihir tahap kelima selalu berkumpul." Sambil tersenyum, pengiring menolak pintu untuk membukanya. "Kira-kira sepuluh orang ahli sihir sedang berbual dan bergurau senda sesama mereka di sini sekarang. Sebagai kelayakan untuk mengajar ahli sihir tahap kelima, mereka sendiri perlu berada di tahap ketujuh atau tahap kelapan."
Setelah pintu dibuka, semua ahli sihir peringkat tinggi di situ berpaling untuk melihat.
"Tuan, ini adalah Encik Austoni dari Galeri Proulx. Dia ada urusan yang memerlukan perhatian daripada pihak Tuan," kata pengiring itu dengan penuh hormat.
Semua ahli sihir yang berada di sana mengangguk tenang.
Galeri Proulx memiliki beberapa cawangan merentasi semua kerajaan dan empayar dalam benua Yulan. Ia juga memiliki kekuatan dan pengaruh yang mengagumkan. Oleh sebab itu, ahli sihir yang angkuh dan bangga juga akan bertukar menjadi agak mesra apabila melibatkan Galeri Proulx.
"Tuan ahli sihir semua." Austoni memulakan bicara. "Saya ke sini untuk mencari seorang pelajar bernama Linley."
Semua ahli sihir di situ ketawa. Di kalangan mereka, seorang ahli sihir berjubah ungu berkata sambil tersenyum, "Linley? Salah seorang dari Dua Genius Terhebat Institut Ernst. Dia ahli sihir dua unsur iaitu unsur tanah dan angin. Pergi cakap dengan jurulatih unsur anginnya. Dia mungkin tahu."
"Tak perlu berjumpa jurulatih unsur tanah itu. Budak Linley ini hanya menunjukkan muka dua kali dalam kelas unsur tanah sepanjang tiga bulan yang lalu," kata seorang orang tua bermisai dengan tidak gembira. "Tapi Linley hadir hampir setiap kelas unsur angin."
Seorang orang tua berjanggut mencelah dengan senyuman di wajah, "Saya jurulatih unsur angin Linley. Saya agak kenal dengan pelajar itu. Jika kamu ada soalan, kamu boleh bertanya pada saya."
Austoni mengangguk. "Sebulan yang lalu, Linley telah menghantar tiga arca ke Galeri Proulx. Berdasarkan harga jualan arca tersebut pada bulan ini, kami telah membuat keputusan bahawa Linley layak untuk mempamerkan arca-arcanya di bilik peribadi dalam dewan pengukir mahir. Jadi, saya telah datang untuk menghadiahkan dia sekeping kad magik perak."
"Satu bilik peribadi?"
Semua ahli sihir berada di situ berasa kagum.
Semua ahli sihir yang bangga dan meninggi diri ini agak berpengetahuan tentang perkara melibatkan arca. Mereka semua tahu bahawa sangat susah untuk mengukir arca berfizikal sempurna, apatah lagi yang mempunyai aura atau intipati yang unik. Untuk mendapat bilik peribadi dalam Galeri Proulx ialah impian setiap pengukir.
"Kamu pasti itu Linley? Budak Linley ini selalunya agak tekun dan rajin dalam pelajarannya. Dan dia baru berusia lima belas tahun," kata jurulatih unsur angin Linley yang berambut putih dan memakai jubah putih, tidak percaya.
Austoni tersenyum. "Saya pasti tanpa ragu-ragu. Di Galeri Proulx, kami telah merekod semua data biografi Linley. Berdasarkan data kami, dia telah datang ke Galeri Proulx dengan ditemani oleh Tuan Muda Yale."
Semua ahli sihir itu mengangguk.
Mereka semua mula bercakap sesama sendiri dengan begitu rancak. Salah seorang daripada Dua Genius Terhebat Institut Ernst sebenarnya juga seorang pengukir yang mahir. Untuk seorang ahli sihir genius mendapat bilik peribadi di Galeri Proulx ialah sesuatu yang sangat jarang berlaku sepanjang tempoh seribu tahun lepas.
Sudah tentu semua ahli sihir ini berasa kagum.
"Tuan ahli sihir, boleh sesiapa antara Tuan beritahu saya di mana Linley tinggal?" tanya Austoni.
Lelaki tua berambut putih dan berjubah putih itu menjawab, "Linley tinggal di bilik asrama 1987."
"Bilik asrama 1987?" Apabila mendengar maklumat tersebut, Austoni baru sahaja ingin melangkah untuk pergi ke tempat itu.
Namun, lelaki tua berambut putih dan berjubah putih itu menyambung, "Tapi tunggu dahulu. Walaupun Linley tinggal di bilik asrama 1987, saya dapat tahu bahawa beberapa minggu yang lalu, Linley telah berangkat keluar dari sekolah untuk menjalani latihan. Malangnya, saya rasa kamu terpaksa pulang dengan tangan kosong hari ini."
"Latihan?" Austoni terkejut.
Austoni tahu ahli sihir tahap kelima dan keenam sudah layak untuk bertarung dalam latihan lapangan di dunia sebenar. Institut Ernst sangat menggalakkan amalan ini.
Austoni tidak dapat menahan keluhannya.
Dia tidak menyangka walaupun dia bergegas ke Institut Ernst dengan begitu bersemangat, akhirnya perkara ini yang berlaku.
"Jadi kalau begitu, Tuan ahli sihir semua, saya pulang dahulu." Austoni tunduk penuh hormat. Semua ahli sihir itu mengangguk bersahaja kepadanya, menandakan penerimaan mereka. Mereka tidak lagi kisah akan kehadirannya dan mula berbual sesama mereka dengan begitu teruja.
'Aku tak sangka budak Linley ini begitu hebat…'
Semua jurulatih ahli sihir itu tidak boleh berhenti daripada memuji Linley. Tiada siapa sangka dia layak untuk mendapat bilik peribadi di Galeri Proulx.