Chereads / MMORPG: Kelahiran Semula Pelindung Legenda / Chapter 97 - Cabaran Tugasan Tahap 30

Chapter 97 - Cabaran Tugasan Tahap 30

Asap Gurun Terpinggir telah berjaya memecahkan rekod kepantasan penyelesaian Mod Paling Sukar di Sarang Marzerway! Khabar angin yang mengatakan pasukan Zhang Yang yang lemah hanya bernasib baik dalam memperolehi Pencapaian Penyelesaian Pertama sebanyak tiga kali berturut-turut itu terhenti serta-merta. Pencapaian mereka menimbulkan amarah membara di kalangan persatuan lain. Satu persatu turut cuba untuk memecahkan rekod itu.

Rekod kepantasan Zhang Yang tidak bertahan lama. Setengah hari selepas itu, rekod mereka dipecahkan oleh Fajar Menyinsing yang selesai sembilan saat lebih awal! Beberapa jam kemudian, Amarah Membera memecahkan rekod tersebut dan merekodkan tempoh serangan yang bertahan lebih lama. Mereka berjaya menyerang dungeon dalam masa 17 minit dan dua saat! Walaupun rekod kepantasan penyelesaian ini sering dipecahkan dan prosesnya sentiasa berulang, setiap rekod mencatatkan tempoh dengan perbezaan hanya beberapa saat! Namun, rekod itu terus-menerus dipecahkan sehingga pasukan yang kuat dan yang lemah mula menunjukkan perbezaan mereka. 

Memandangkan pasukan Zhang Yang pernah sekali memecahkan rekod itu, mereka tiada keinginan untuk terus berada di situ. Mereka perlu terus grind untuk meningkatkan tahap! Dengan Rekod Kepantasan penyelesaian yang sentiasa dipecahkan oleh pasukan berbeza, tiada sesiapa yang berani mendakwa rekod kepantasan mereka tidak boleh ditewaskan! Namun begitu, Pencapaian Penyelesaian Pertama berbeza berbanding Pencapaian Kepantasan. Setelah ia diperolehi, pasukan lain tidak akan dapat memperolehinya lagi.

Sejak beberapa hari lepas, Zhang Yang telah menerima pendapatan yang berterusan sebanyak 300,000 keping syiling emas yang dimasukkan ke dalam simpanannya. Namun, kadar pertukaran emas dengan dolar telah menurun kepada 6:1. Ia telah sedikit-sebanyak mempengaruhi simpanannya, tetapi jumlah simpanannya tetap besar.

Resepi kedua [Posyen Anti Bayangan Pemula] telah ditemui di Kota Bintang Ungu. Walaupun Zhang Yang akhirnya mempunyai pesaing, mereka berdua masih tidak mampu memenuhi permintaan untuk posyen tersebut, jadi ia tidak mempengaruhi jualan Zhang Yang langsung. Keadaan begini hanya akan berterusan selama lebih kurang 10 hari di mana pemain ketika itu akan mencapai Tahap 30. Apabila tiba waktu itu nanti, mereka tidak akan memerlukan posyen itu lagi untuk menyerang Sarang Marzerway.

Dalam hatinya, Zhang Yang sangat berharap hari-hari di mana dia perlu gigih menghasilkan posyen itu akan segera berakhir. Kekayaannya mungkin sedang berganda seperti gunung, tetapi dia terlalu sibuk dengan penghasilan posyen sehingga gambaran palang perkembangan sistesis dalam penghasilan posyen itu bermain-main di benaknya setiap kali dia ingin tidur.

Pada hari terakhir bulan Julai, semasa kebanyakan pelayan sedang nyenyak tidur, Zhang Yang telah sekali lagi menyerang Sarang Marzerway lalu meningkatkan tahapnya dan mencapai Tahap 30!

Nasib juga menyebelahi Zhang Yang kerana dia turut menerima peralatan terakhir untuk melengkapkan peralatan setnya dan mengaktifkan kesan set! Dalam dua serangan lepas, Marzerway sangat kedekut dengannya dan tidak pernah menggugurkan peralatan topi keledar yang paling Zhang Yang perlukan.

Maka, stat terkininya ialah seperti berikut:

HP: 4,350

Kekuatan: 191

Ketangkasan: 74

Pertahanan: 260

Kerosakan jarak dekat: 445-467

Peluang kritikal: 12%

Ratusan Tembakan merupakan orang pertama yang mencapai Tahap 30 sebelum Zhang Yang. Han Gemuk dan lain-lain pula masih pada Tahap 29. Mereka mungkin akan mencapai Tahap 30 malam esok. Zhang Yang telah memilih empat orang lagi pemain mahir yang telah log masuk dengan berterusan dan mempunyai kemahiran bertarung untuk mengisi tempat kosong buat sementara waktu dalam pasukannya yang akan menyerang dungeon Istana Bayangan Rembulan. 

Walaupun keempat-empat pemain yang terpilih itu berusaha bersungguh-sungguh, mereka masih berada pada Tahap 27. Mereka memerlukan paling kurang empat hari untuk mencapai Tahap 30! Seingat Zhang Yang, dalam kehidupannya yang lepas, pasukan utama Amarah Membara akan mencapai Tahap 30 dalam masa dua hari lagi. Apabila pasukan mereka dapat disusun, 20 orang ahlinya akan bergerak dalam dua pasukan berbeza dengan 10 orang ahli sepasukan untuk menyerang dungeon.

Dungeon untuk 10 orang sepasukan ini berbeza berbanding dungeon di Makam Bangar atau Marzerway di mana tiada pepijat muka bumi yang boleh pemain gunakan dan tiada posyen istimewa yang boleh pemain ambil untuk menyelesaikan serangan. Kedua-dua dungeon tersebut boleh ditakluki dengan mudah sekiranya pemain dilengkapi peralatan yang bagus dan mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang kemahiran bos. Setakat ini, dungeon tersebut merupakan dungeon paling klasik dan ringkas dalam permainan video ini. 

Walau apapun terjadi, Zhang Yang enggan melepaskan peluang untuk memperolehi Penyelesaian Pertama dungeon. Dia tetap akan menyerang dungeon itu esok walaupun ketika itu, dia hanya mempunyai enam orang ahli! 

Sekembalinya dia ke kota, perkara pertama yang Zhang Yang lakukan ialah menunggang Kuda Perang Bertulangnya.

"Ringkik…!" Kuda yang berada di belakang Zhang Yang tersebut meringkik dan pada masa yang sama, terdapat api marak yang keluar daripada semua kakinya. Haiwan yang besar dengan tulang berwarna putih tersebut memang menakjubkan. Api hijau zamrud itu membara dalam soket matanya! Sebaik sahaja ia muncul, semua orang berkumpul untuk menyaksikan sendiri tunggangan menakjubkan itu. Mereka semua terkejut apabila terdapat raksasa yang tiba-tiba muncul di tengah-tengah kota! 

"Yang Kecil! Ya Tuhan! Cemburu aku dengan kau!" Han Gemuk berteriak sambil dia mendekati dan menggosok kuda tersebut hingga dia berasa puas hati.

"Oh tak mengapalah. Aku tak boleh naiki tunggangan ini, jadi aku akan naiki gadis milikku di rumah nanti!"

"Tolonglah, Si Gemuk. Kau ini sangat tak senonoh hingga hampir mati aku mendengarnya."

Zhang Yang menaiki kuda tersebut dan mengawalnya dengan berhati-hati. Kuda itu meringkik dengan kuat, menaikkan kakinya yang berapi itu dengan tinggi, dan mula menderap di sekeliling kota. 

"Wah! NPC apa itu? Aku tak pernah nampak pula di sini sebelum ini!"

"Tengoklah tunggangan itu! Itu bukan tunggangan biasa yang kita selalu nampak! Itu Kuda Perang Bertulang!"

"Ya Tuhan! Aku pun mahukannya!"

"Hebatnya! Menariknya!"

Zhang Yang tiba di rumah lelong dan berdiri di hadapannya. Dia kemudian mendedahkan nama profilnya.

Zhan Yu, Penyembelih Makam, Sahabat Doktor, Wira Istana Jed Putih, Tahap 30, .

Dengan pengenalannya yang panjang dan kudanya yang menakjubkan itu, Zhang Yang telah menarik perhatian pemain yang sedang dalam perjalanan ke rumah lelong itu.

"APA! Itu bukan NPC!"

"Hei tengok, itu Zhan Yu yang terkenal itu! Patutlah pengenalannya panjang sebegitu, dia memang banyak pencapaian!"

"Kuda bertulang itu nampak sangat menakjubkan!"

"Aku ingatkan kau hanya boleh menunggang tunggangan setelah capai Tahap 40?"

"Kawan! Apa yang kau cakap ini? Itu Zhan Yulah! Tentulah dia boleh dapat tunggangan pada Tahap 30!"

"Sesiapa yang beri tunggangan macam itu kepada aku, aku akan tidur dengannya selama tiga malam!"

"Tolonglah! Dengan rupa macam itu, tiada sesiapa yang akan beri kau apa-apa walaupun dibayar 10 dolar! Teruskanlah bermimpi, perempuan hodoh!"

Zhang Yang sebenarnya tidak gemar menunggang tunggangannya itu di khalayak ramai. Namun, dia dipaksa untuk mempromosikan persatuan mereka oleh kedua-dua Han Yin Xue dan Wei Yan Er.

Dia tidak gemar menonjol di kalangan orang ramai, tetapi dia lagi rimas sekiranya dia perlu menghadapi desakan daripada setiap seorang ahli "geng"nya. Sesetengah daripada mereka turut menyuruhnya menjual dirinya sendiri untuk kebaikan semua orang dan membantu dalam mempromosikan nama persatuan mereka. Zhang Yang langsung tidak dapat menyuarakan pendapatnya. Dia terpaksa akur mendengar permintaan mereka dan menunggang kudanya di khalayak ramai seperti barangan yang dipamerkan. Keadaannya menyerupai model robot gergasi di Jepun yang dikelilingi peminat yang sedang menghargai pameran tersebut.

"Budak kecil tak guna!"

Penontonnya semakin lama, semakin ramai. Walaupun Zhang Yang telah menyahaktif mesej peribadi daripada orang asing, dia tetap digasak dengan begitu banyak permintaan untuk menambah kenalan sehinggakan tatapannya terhalang dengan notifikasi! Zhang Yang tidak mampu lagi menghadapi situasi yang memalukan ini. Dia cepat-cepat menyembunyikan profilnya, turun daripada kudanya sebelum menyimpannya, lalu berlalu pergi dari situ.

Wei Yan Er pula tertawa seperti seorang gadis yang kurang siuman. "Haha! Kau telah ambil kuda idaman aku! Inilah balasannya!"

Zhang Yang menggeleng kepalanya dan berkata, "Aku tak mahu bercakap dengan kau! Semua, dengar sini. Ada satu cabaran tugasan Tahap 30. Cabaran ini agak mudah dan ringkas. Apa yang kita perlu lakukan hanya tewaskan satu NPC! Tetapi, cabaran ini hanya boleh diselesaikan seorang diri tanpa apa-apa bantuan! Ia mempunyai empat tahap kesukaran. Tahap kesukaran yang berbeza akan memberi ganjaran kekuatan kemahiran yang berbeza! Tahap kesukaran S hanya boleh diterima pada Tahap 30. Tahap kesukaran A boleh ditangguh hingga kau capai Tahap 35, tahap kesukaran B pula boleh diselesaikan pada Tahap 40 manakala tahap kesukaran C boleh diselesaikan pada bila-bila masa walaupun selepas kau mencapai Tahap 300!"

"Tahap kesukaran S memang sukar, tapi aku cadangkan kau semua ambil pilihan ini. Perbezaan antara ganjarannya terlalu ketara. Selesaikannya untuk masa depan kau sendiri! Bertahan dan laluinya! Ada lagi satu syarat. Sepanjang cubaan untuk selesaikan cabaran itu, watak kau seolah-olah tidak mempunyai apa-apa kelengkapan langsung! Semua atribut bonus peralatan akan dimiutkan. Cabaran ini benar-benar menguji kemahiran pemain!"

"Menarik! Sangat menarik! Aku mahu pergi cuba!" Wei Yan Er bersorak. "Kak, jom kita grind sedikit lagi! Tank noob ini telah menyedut mata pengalaman kita selama beberapa hari ini! Kalau tak, mesti kita sudah capai Tahap​ 30!"

Zhang Yang tertawa. Dia menyeru Kuda Perang Bertulang dan menunggangnya hingga ke Rumah Pahlawan untuk bertemu dengan pengajar kelas yang cantik.

Emmy masih lagi memakai baju perisai seksi yang sama dan masih ramai lelaki miang yang mengerumuninya seperti biasa. Satu-satunya perbezaan antara pemain itu semua dan Zhang Yang ialah daripada sudut pandangannya, Zhang Yang dapat melihat satu tanda seru berwarna kuning yang besar di atas kepalanya.

Zhang Yang mula-mula mempelajari kemahiran pahlawan Tahap 30 dan kemudian meneruskan perbualan untuk memulakan cabaran tersebut.

"Zhan Yu! Perkembangan kekuatan kamu sangat mengagumkan. Empayar ini sentiasa memerlukan pahlawan seperti kamu untuk melindungi wilayahnya serta kepentingannya daripada bayangan, syaitan, dan ancaman lain! Namun, kamu masih perlu melalui satu ujian dan berdasarkan keputusan tersebut, aku akan mengajarmu satu kemahiran kelas!"

Emmy meletakkan satu tangan di pinggangnya dan tunduk. Zhang Yang dapat melihat lurah dadanya yang dalam itu dengan jelas.

"Adakah kamu bersedia untuk menghadapinya?"

"Ya!" Zhang Yang serta-merta membalas.

"Terdapat empat cabaran yang boleh kamu pilih! Cabaran yang berbeza akan mempunyai tahap kesukaran berbeza. Namun, aku perlu menyaksikan kesungguhan kamu sebelum aku memberimu kemahiran yang hebat!"

"Tahap kesukaran S! Perlu diselesaikan pada Tahap 30!"

"Tahap kesukaran A! Perlu diselesaikan pada Tahap 40!"

"Tahap kesukaran B! Perlu diselesaikan pada Tahap 50!"

"Tahap kesukaran C! Tiada had tahap!"

Zhang Yang tidak memerlukan masa untuk memikirkannya lalu dia terus memilih tahap kesukaran S.

"Pilihan yang bijak, pahlawan muda! Kamu mempunyai jiwa kental seorang pahlawan sejati, tetapi sekarang aku perlu menyaksikan sama ada kamu mempunyai kemampuan dalam menyelesaikan cabaran ini! Sekiranya kamu telah bersedia, kamu boleh datang berbicara denganku pada bila-bila masa dan aku akan membuka pagar tapak latihan untukmu!" kata Emmy.

'Ding! Anda telah menerima cabaran: Laluan untuk terus maju (Tahap S)! Cabaran ini mesti diselesaikan pada Tahap 30 dan akan dipadamkan secara automatik apabila watak tersebut mencapai tahap seterusnya!'

Cabaran ini mengehadkan satu-satu watak itu di mana mereka hanya boleh menyelesaikan cabarannya pada tahap mereka ketika itu dan pemain dengan tahap seterusnya dihalang daripada kembali semula untuk menyelesaikan cabaran ini memandangkan mereka telah mempunyai kelebihan dari segi tahap yang lebih tinggi.

Zhang Yang menarik nafas panjang dan berkata, "Pengajar yang dihormati, aku bersedia untuk menghadapi ujianku!"

Emmy mengangguk dan mengeluarkan sebuah kristal hijau yang besar. Dia memegang kristal tersebut dengan kedua-dua belah tangannya dan mula membaca satu jampi dalam satu bahasa asing.

'Adakah dia seorang pahlawan? Atau seorang ahli sihir? Atau mungkin kedua-duanya sekali?' Zhang Yang terfikirkan ini secara tidak sedar.

Satu palang perkembangan muncul di atas kepalanya. Dia terus membaca jampi itu dengan perlahan-lahan dan selesai membacanya 30 saat kemudian. Sebuah bulatan cahaya hijau muncul di hadapan Zhang Yang. Bulatan itu sangat besar sehinggakan ia mampu memuatkan tiga orang lelaki yang berjalan serentak melaluinya.

Zhang Yang meluruskan kakinya dan melangkah memasuki bulatan tersebut. Satu cahaya terang terpancar dan kemudian terus lenyap, dan Zhang Yang serta-merta dihantar ke tengah-tengah arena pertempuran yang besar. Ia menyerupai arena pertempuran yang digunakan orang Rom Purba di mana pahlawannya bertarung antara satu sama lain. Para penontonnya terdiri daripada pelbagai jenis kaum di dunia ini. Selain daripada empat kaum utama di dunia tersebut, terdapat juga Naga, Makhluk Unsur Semula Jadi, Gnomes, dan kaum lain yang sangat jarang ditemui.

"Selamat datang! Ke Arena Pertempuran! Kepada semua pejuang di luar sana! Tiada peraturan lain melainkan bunuh atau dibunuh! Sekiranya kamu mahu keluar dari sini dengan selamat, kamu perlu bunuh pejuang lain! Semoga Dewa Perang merestuimu!"

Suara pembaca pengumuman itu bergema ke seluruh arena. Tiada sesiapa yang tahu dari mana datangnya suara tersebut!

Kang Kang Kang…!

Bunyi pagar besi yang diturunkan kedengaran dan datang dari satu sudut arena itu.

"RRROOOOAAAA!"

Satu dengusan yang kuat bergema di kawasan itu dan satu gergasi besar setinggi tiga meter dan berwarna biru meluru keluar dari satu laluan dengan ganasnya. 

"HULL!" Mata gergasi itu sangat menggerunkan. Ia mengangkat penumbuknya dan menumbuk lalu menggegarkan tanah arena tersebut. Terdapat sebuah tanda nama yang terapung di atas kepalanya yang bertulis "Gergasi Biru Hull".

Adakah pemaju permainan video ini terlalu terdesak sehingga cuba meniru Hulk dari Marvel?"

'Ding! Pertarungan Maut akan bermula dalam 10… 9… 8…"

'3… 2… 1!"

"GRAHHHHH!"

Boom!

Ia menghentak tanah untuk melambungkan dirinya dan menyerang Zhang Yang.

Daripada sudut pandangan Zhang Yang, gergasi itu kelihatan seperti sebuah gunung besar yang sedang bergerak ke arahnya untuk menghempapnya.

  1. Perkataan pendek untuk statistic yang merupakan atribut penuh tentang maklumat satu-satu watak.
  2. Miut merupakan kesan pembatalan peralatan semasa kejadian atau keadaan tertentu. Sekiranya semua peralatan dimiutkan, satu-satu watak itu masih akan memakai peralatan tersebut, tetapi atribut bonusnya tidak akan ditambah kepada atribut watak tersebut.