Chereads / MMORPG: Kelahiran Semula Pelindung Legenda / Chapter 2 - Kelahiran Semula

Chapter 2 - Kelahiran Semula

"Hu!" Zhang Yang tiba-tiba terjaga. Nafasnya laju dan dia hanya terasa peluh sejuk yang membasahi seluruh tubuhnya. Dia membuka mata dan melihat sekeliling, terus terkejut dengan keadaan di hadapannya.

Di hadapannya ialah sebuah kelas. Sebuah bilik yang boleh memuatkan beratus-ratus orang. Namun, hanya 30 orang sahaja yang mengisi bilik tersebut. Beberapa daripada mereka sedang membaca, berbual, atau membuat bising tentang sesuatu hanya mereka yang tahu. Setiap satu daripada mereka ialah wajah yang dia kenali. Mereka semua rakan universitinya!

Adakah ini… universiti?

'Kenapa aku dekat sini? Aku sepatutnya dah mati.' Fikiran Zhang Yang penuh dengan soalan bertubi-tubi yang tiada jawapannya.

"Zhang Yang, apa yang berlaku? Awak tak sihat?" tanya seseorang.

Zhang Yang memusing kepalanya untuk melihat. Dia merenung satu wajah sentimental yang terukir satu senyuman ikhlas itu. Ia satu perasaan biasa padanya tetapi kelihatan aneh. Dia Li Shang Yuan, wakil kelasnya semasa dia di universiti dahulu, tetapi… dia telah mati 3 tahun lalu dalam satu kemalangan kapal terbang!

Zhang Yang mengangguk kepalanya tanpa disedari seperti dia sedang bercakap dalam tidur. "Saya okey!" Dia mencubit dirinya sendiri dan terasa bibit pedih dari cubitan itu. Zhang Yang membuka luas mulutnya dan menarik satu nafas udara yang sejuk ini!

Ini memang bukan mimpi!

Maksudnya aku belum mati! Dan nampaknya aku telah mengembara ke beberapa tahun yang lepas! Zhang Yang mengeluarkan telefon bimbitnya dan mendapati tarikh yang tertera di situ adalah 16 Jun 2034.

Lima tahun!

Tuhan telah memberinya satu peluang untuk mengubah nasib!

Zhang Yang berasa bimbang dan juga teruja pada ketika itu. Dia tidak peduli bagaimana dia boleh mengembara ke 5 tahun yang lepas. Dia hanya tahu ini satu peluang untuk dia kembali! Untuk seseorang yang 'telah mati', tidak ada apa yang lebih berharga daripada itu.

Ini tahun terakhir dia di universiti dan dalam 7 atau 8 hari lagi, dia akan tamat pengajian dan memperoleh kerja. Jika segalanya mengikut hala tuju yang sepatutnya, dia akan bekerja di sebuah syarikat perisian dan hidup senang tanpa apa-apa pencapaian yang membanggakan.

Hanya 2 tahun selepas itu baru dia mula bermain permainan dalam talian 'Keajaiban Tuhan', yang diperkenal oleh rakan sejawatnya. Pada waktu itu, 'Keajaiban Tuhan' telah mula beroperasi lebih dari 2 tahun. Pada mulanya, hanya 4 juta pemain berhubung pada waktu yang sama, tetapi jumlah tersebut melonjak ke berbilion-bilion pemain dalam talian pada satu-satu masa dalam sehari dan berterusan melonjak naik saban hari! Setengah tahun selepas 'Keajaiban Tuhan' diperkenal dalam talian, Syarikat Mimpi, pasukan yang membangunkan 'Keajaiban Tuhan', telah menyediakan Liga Profesional Kelas-A dan Kelas-S di mana pemain profesional boleh mempamer kemahiran masing-masing.

Seperti mana-mana sukan elektronik, kemasyhuran pemenang juga akan meningkatkan kemasyhuran permainan tersebut. Syarikat global mula melabur dalam 'Keajaiban Tuhan' sehingga sanggup menaja pasukan yang menggunakan nama mereka sebagai maskot jenama mereka. Malah, sesetengah daripada mereka membentuk pasukan mereka sendiri untuk menghantar penyertaan. Pendapatan pemain profesional meningkat dengan stabil sama seperti selebriti sukan tradisional yang lain. 

Dalam fasa terakhir pemantapan permainan tersebut, tidak pelik apabila 'Keajaiban Tuhan' menjadi sangat bernilai dalam industri berkenaan. Jumlah transaksi mayanya mampu membuat syarikat global cemburu! Dengan penubuhan pasukan elit yang tersendiri, syarikat global tersebut telah memasuki perang komersial dalam dunia maya.

Zhang Yang memang seorang yang cergas sejak lahir. Dalam permainan maya yang bersifat realistik dan menggunakan gelombang otak untuk beroperasi, dia boleh mencapai potensi yang setanding dengan pemain-pemain profesional. Dia telah membentuk pasukannya sendiri dan menjelang tahun kedua, dia telah menyertai satu pasukan amatur Kelas-B. Akhirnya, setahun kemudian, dia telah menyertai Liga Profesional Kelas-A! 

Setelah menyertai Liga Kelas-A, Zhang Yang serta-merta menerima tajaan yang besar daripada sebuah syarikat besar bersama dengan pendapatan bulanan yang tinggi. Pada masa yang sama, dia berkenalan dengan Lin Yu yang mengguna nama-dalam-permainan (NDP) sebagai Air Jernih. Disebabkan konflik kecil yang menemukan mereka, perkenalan mereka bermula dengan teruk kerana mereka kadangkala berlawan sesama sendiri, tetapi mereka akhirnya menjadi kawan baik.

Pada masa itu, Lin Yu mula terlibat dengan Liu Wei. Untuk menyelamatkan nasib dari perkahwinan yang dirancang, dia telah membuat perjanjian dengan keluarganya. Selagi dia mampu mencipta kerjaya yang membanggakan dalam 'Keajaiban Tuhan' dan berkongsi sebahagian daripada kemasyhuran dan keuntungan daripada rangkaian industri yang besar itu, keluarganya tidak akan campur tangan dalam urusan perkahwinannya. Jadi, Zhang Yang dan Lin Yu bersama-sama bekerja keras untuk membangun dan mengukuhkan persatuan Air Jernih untuk menyertai Liga Kelas-S.

Malangnya, Air Jernih telah terus-menerus digasak oleh Mitos, sebuah persatuan yang diketuai oleh Liu Wei. Kerana mereka tidak mampu menandingi jangkaan pangkat mereka, kedudukan Air Jernih kekal sebagai persatuan taraf kedua. Ini secara langsung telah menghalang perkembangan mereka dalam menjana pendapatan dan dari terus berkembang.

Berbanding pemain profesional yang lain, Zhang Yang telah menyertai permainan tersebut sedikit lewat dan ini menyebabkan dia ketinggalan dari segi alat kelengkapan dan peringkat. Walaupun dia punya kebolehan dan kecergasan yang lebih hebat, dia masih tidak dapat mengisi jurang kosong yang besar itu! Selain itu, dia juga seorang yang gemar bersendirian dan tidak mempunyai rakan sepasukan yang boleh diharap yang akhirnya membawa kepada kegagalannya untuk menembusi Liga Kelas-A.

Pada ketika itu, Liu Wei telah menggunakan Strategi Kuda Trojan. Dia telah menghantar wanita simpanan ke Air Jernih untuk menggoda Zhang Yang. Zhang Yang dan Lin Yu masih belum menyedari perasaan mereka antara satu sama lain. Jadi, sejurus selepas Zhang Yang terjebak dengan wanita itu, dia termasuk dalam perangkap mereka dan hampir menyebabkan pembubaran Air Jernih.

Zhang Yang mujur masih lagi berfikiran waras serta berasa bersalah dan tewas. Semasa dia murung, Lin Yu telah menentang cemuhan orang awam dan menyokong penuh Zhang Yang. Disebabkan kepercayaan dan sokongan penuh yang diberikan Lin Yu kepada dirinya, mereka menyedari perasaan mereka kepada satu sama lain dan akhirnya bersama.

Malangnya, perniagaan Lin Yu dalam 'Keajaiban Tuhan' akhirnya gagal sepenuhnya. Orang tua dalam keluarganya telah menetapkan perkahwinan dia dengan Liu Wei walaupun cadangan itu ditentang hebat oleh Lin Yu. Dia telah menentang kuat perkahwinan berunsur politik itu, namun tiada apa lagi yang boleh dia dilakukan. Satu-satunya hasil daripada tentangannya ialah penangguhan perkahwinan tersebut. Kejadian selepas itu telah menyebabkan Zhang Yang menghadiri perkahwinan tersebut dan akhirnya mati bersama Liu Wei.

'Hu!'

Zhang Yang memaksa dirinya menghela nafas. Memandangkan dia mempunyai satu lagi peluang untuk melalui semua itu sekali lagi, dia tidak akan membenarkan tragedi yang sama berulang. Jika satu-satunya sebab Keluarga Lin enggan menerima Zhang Yang kerana dia tidak punya kemewahan, jadi satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah ini dengan mencapai status yang sama seperti Keluarga Lin. Namun, mencapai status yang sama seperti Keluarga Lin bukanlah sesuatu yang mudah.

Walaupun Zhang Yang mempunyai sedikit harta dalam hidupnya yang lepas, dia sedar yang dia tidak sesuai dalam dunia perniagaan. Satu tugasan yang mustahil baginya untuk menjadi usahawan terkemuka atau ahli perniagaan berjaya walaupun dia mempunyai ilmu mengenai pembangunan dan perkembangan yang akan terjadi dalam masa 5 tahun akan datang. Sekiranya beberapa peristiwa boleh diingat kembali, mungkin dia dapat memperolehi beberapa ratus ribu dolar. Namun, itu masih belum cukup untuk menyaingi mereka.

Bidang yang dia paling mahir dan cekap ialah dalam 'Keajaiban Tuhan'!

Mengikut statistik rasmi 'Keajaiban Tuhan' dalam 'ulasan 5 tahun permainan', Hayunan Satu Pedang ialah pemain Liga Kelas-S dengan pendapatan tertinggi iaitu mencecah 420 juta dolar setahun!

Ulasan tersebut juga menyatakan dalam masa 5 tahun, keseluruhan transaksi mikro barangan maya yang diperdagang dalam platform permainan itu mencecah 7.9 trilion dolar!

Realitinya, Zhang Yang bukanlah seorang peramal, tetapi dia faham keseluruhan permainan itu. Dari naik turun harga apa-apa barangan, strategi bilik kurungan bawah tanah, strategi taktikal untuk bos dunia tersebut, hinggalah syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk mencapai misi tersembunyi, semua maklumat ini telah tertanam dalam benak fikiran Zhang Yang.

Rancangan utamanya, untuk membentuk persatuannya sendiri untuk mencipta kemasyhuran dan reputasi sehingga dapat mencapai kedudukan tertinggi dalam negara China dan seterusnya kedudukan 8 tertinggi dalam dunia. Dia kemudiannya akan memperolehi wang yang banyak dengan mengumpul dan menguasai barang-barangan. Dia tahu dia tidak akan dapat berkuasa jika dia seorang diri. Namun, sekiranya dia mempunyai persatuan, ada kemungkinan untuk dia memperolehi berbilion-bilion dolar dalam permainan berunsur tuhan ini.

Keluarga Lin akhirnya akan mula mencari alternatif lain untuk mengganti perniagaan mereka yang lapuk. Apabila sampai waktunya, Zhang Yang tidak perlu melakukan apa-apa dan mereka sendiri akan menyerahkan Lin Yu padanya untuk memperoleh sedikit bahagian daripada kemewahan industri maya ini!

Zhang Yang pula akan dapat mencapai impiannya untuk memasuki Liga Kelas-S dan bertanding untuk gelaran juara dalam Liga Pasukan Dunia!

'Ta ta ta'

Bunyi kasut tumit tinggi yang semakin menghampiri tenggelam dalam bunyi deringan loceng tamatnya sesi. Seorang wanita yang cantik memasuki kelas tersebut. Badannya yang tinggi dan langsing itu dihiasi dengan baju sut formal. Kulitnya jelas menunjukkan umurnya yang dalam lingkungan 23 hingga 24 tahun. Rambut panjangnya diikat dengan gaya sanggul yang membuat dia kelihatan agak matang. 

"Pelajar semua, anda semua akan memulakan langkah pertama ke dalam masyarakat dan ke alam pekerjaan dalam masa kurang dari 10 hari. Sebagai guru anda, saya ucapkan selamat maju jaya dalam pekerjaan anda…"

Zhang Yang yang begitu asyik dengan memorinya apabila senyuman manis Lin Yu yang tertanam jauh di dalam memorinya tiba-tiba meletus keluar seperti gunung berapi! Walaupun dia kini sedang berada di dalam kelas, dia terus bingkas bangun dan menuju ke luar kelas. Pelajar lain yang terkejut, merenung ke belakang tubuhnya. Guru cantik itu pula menggigil kemarahan. 

Namun, langkah Zhang Yang tiba-tiba terhenti sebelum dia sempat keluar dari kelas tersebut. Dia dan Lin Yu masih tidak mengenali satu sama lain pada ketika itu. Dia tidak boleh pergi berjumpa dengannya dan terus katakan, "Hei, saya kekasih awak pada masa akan datang yang akan mati dan kembali pada masa lampau. Mari, kita bercinta semula!" 

Aku pasti akan dianggap gila. Aku hanya boleh bersabar!

Mengikut 'sejarah', Lin Yu hanya akan menyertai 'Keajaiban Tuhan' setahun selepas ia mula beroperasi. Satu-satunya pilihan yang dia ada kini hanyalah menunggu. Zhang Yang mengeluh. Semasa dia berpusing untuk pulang ke tempat duduknya dalam kelas itu, dia mendapati guru cantik itu sedang menghalang pintu kelas dengan wajah yang menakutkan dan tangan yang dicekak ke pinggang. 

"Zhang Yang!" Dia mengetap giginya sambil memanggil namanya. Dua tangannya dibuka dan digenggam bersilih-ganti.

Zhang Yang hanya menyedari sesuatu pada ketika itu. Guru cantik itu adalah Yu Li, wanita yang dia lakukan hubungan seks malam sebelum dia mati. Dia mabuk pada waktu itu dan tidak mengingati banyak perkara yang berlaku malam itu. Namun sekarang, baru dia teringat dengan jelas betapa mengghairahkan tubuh wanita itu! Bentuk tubuhnya yang disembunyikan di bawah sut itu cukup menggiurkan!

Matanya lantas merenung bahagian atas dada wanita itu apabila dia melihat lehernya yang putih bak batu jed. Sebagai seorang pelajar, Zhang Yang tidak pernah melihat gurunya 'sedemikian rupa'. Satu perasaan yang membara menguasainya, seperti 'hubungan hebat' yang terjadi antara mereka tidak lama dahulu. Justeru, walaupun dia hanya dapat melihat sedikit ketika itu, dia mampu melihat lebih dari itu dengan jelas! 

Dia tersenyum lebar dan berkata, "Cikgu, saya mahu ke tandas!"

Yu Li rasa seperti hampir gila!

Budak nakal ini bukan sahaja ingin keluar semasa waktu kelas tanpa meminta kebenaran, malah dia berani merenungnya dengan pandangan yang gatal. Ia membuat dia berasa seperti bertelanjang dan tidak boleh melakukan apa-apa, ibarat seperti dia boleh melihat tubuhnya menerusi pakaian formalnya. 

Dengan perasaan marah dan malu, Yu Li menunjuk ke arah tandas dan berkata, "Pergi!"

Zhang Yang mengangguk dan berlari pergi seperti angin. Dia kembali ke kelas setelah berlegar-legar seketika. Dia menyapa Yu Li dan kembali ke tempat duduknya. Zhang Yang mengangkat kepalanya dan menyedari Yu Li masih lagi marah kepadanya. Walaupun wajahnya kelihatan muram, kelihatan sedikit tanda merah yang menggoda pada kulit putihnya. 

Yu Li memang seorang wanita yang cantik. Dia tumpuan pelajar lelaki yang nakal. Gayanya pada ketika itu yang seakan lemah membuatkan pelajar lelaki terus-menerus tergoda. Zhang Yang salah seorang pelajar lelaki yang meminati Yu Li. Namun, setelah waktu terus berjalan dan lebih banyak masalah dihadapi, dia mula meninggalkan cinta remajanya.

Dia tertanya-tanya. 'Cik Yu sangat cantik, kenapa dia bekerja sebagai pelacur? Sia-sia betul! Jika ada peluang, aku pasti akan tolong dia!'

Yu Li mengumumkan kelas dua waktu itu telah tamat. Dia merenung geram kepada Zhang Yang sebelum keluar dari kelas.

Para pelajar mula membuat bising sejurus selepas guru itu keluar.

"Zhang Yang, awak akan buat apa selepas tamat pengajian?" Li Shang Yuan menyerahkan buku alamat kepada Zhang Yang. Kebiasaannya, orang akan menulis nombor telefon apabila mereka semakin menghampiri masa tamat pengajian supaya mereka dapat terus berhubung pada masa akan datang. 

Zhang Yang mengambil buku tersebut dan menulis nombor rumahnya dengan bersahaja. Dia berkata, "Mungkin pemain permainan video profesional!"

"Pemain video prefesional?" Seorang yang gempal bernama Zhao Xiao Song datang mencelah. Gelarannya adalah 'Si Tiang Gemuk'. Dia bertanya, "Awak boleh dapat duit dengan bermain permainan video?"

"Saya tak pasti permainan yang lain, tetapi jika 'Keajaiban Tuhan', tidak mustahil untuk mendapat duit yang banyak!" Seorang yang kurus dan tinggi bernama Zhou Xiang menyertai perbincangan itu dan menyambung, "Saya ada seorang saudara yang bekerja di Syarikat Mimpi. Mengikutnya, topi keledar untuk bermain 'Keajaiban Tuhan' telah terjual lebih dari 500 juta unit!"

"Topi keledar apa?" Beberapa orang datang bertanya bersahaja.

"Tch, jangan kata awak tak tengok televisyen atau melayari laman sesawang? Iklan 'Keajaiban Tuhan' telah tersebar ke seluruh dunia. Ia satu permainan maya berunsurkan realiti terulung dan pertama di dunia yang tercatat dalam sejarah. Ucapkan selamat tinggal kepada permainan video tradisional. Kini kita boleh menyertai permainan ini di mana-mana dan pada bila-bila masa saja dengan topi keledar itu! Semua ini kerana Syarikat Mimpi yang memperkenal permainan video itu tahun ini setelah 10 tahun ia dalam ujian beta!" Salah seorang peminat permainan video itu bersuara dengan penuh semangat. 

"Jika ia sangat menyeronokkan, saya akan pergi beli dan mencubanya nanti."

"Mari, kita kira kepala. Siapa yang nak main 'Keajaiban Tuhan', sila daftar. Kita akan bentuk satu persatuan dan menjelajah 'Keajaiban Tuhan' bersama-sama!"