Chereads / Avatar Raja / Chapter 24 - Rekod ‘Dungeon’

Chapter 24 - Rekod ‘Dungeon’

Chen Guo yang baru sahaja tadi menangis teresak-esak kerana persaraan Ye Qiu sudah memulihkan dirinya, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Dia menerangkan tugasan Ye Xiu sekali lagi, lalu pergi mencari sebuah stesen komputer yang kosong untuk bermain Glory.

Ye Xiu berdiri berhampiran dengannya dan melihat Chen Guo memasuki arena dan bermain mode 'Player Kill' (PK). Tetapi, ia kelihatan jelas sekali yang mindanya agak bercelaru. Sedang dia bertarung, dia telah melakukan beberapa kesilapan besar, kesilapan yang biasanya dilakukan oleh pemain-pemain baru. Setelah tewas sebanyak tiga pusingan berturut-turut, Chen Guo menghentak papan kekunci dengan geram dan log keluar. Dia memalingkan kepala dan melihat Ye Xiu sedang mencungkil giginya, seolah-olah dia tidak ada perkara lain untuk dilakukan. Chen Guo menunjukkan riak wajah yang menyampah bercampur benci, lalu berlari naik ke tingkat kedua.

Ye Xiu melihat ke arah jam. Tidak lama lagi akan masuk pukul 11 malam. Pekerja wanita yang sedang bertugas juga sedar yang syifnya akan berakhir tidak lama lagi, malahan drama Korea yang ditontonnya juga berakhir tepat pada masanya. Apabila jam mencecah tepat pukul 11, gadis tersebut bangun dan tersenyum pada Ye Xiu sambil berkata, "Abang Ye, saya balik dulu ya?"

"Ok, pergi, pergi!" Ye Xiu sudah lama menantikan komputer itu. Gadis tersebut melangkah keluar bersama dengan beberapa orang pekerja lain. Para pemain yang datang pada waktu malam lebih sedikit jika dibandingkan dengan waktu siang, jadi, Ye Xiu seorang sudah cukup untuk menguruskan semuanya. Semua pekerja lain melambai-lambai ke arah Ye Xiu sebelum berangkat pulang.

Kafe internet mula menjadi sunyi sehinggakan bunyi ketikan tetikus dan bunyi papan kekunci boleh didengari dengan jelas. Ia jauh berbeza jika dibandingkan dengan keadaan sewaktu pembukaan server kesepuluh pada malam sebelumnya. Ye Xiu sedar kekosongan pada malam ini disebabkan oleh pengumuman persaraannya juga. Dia mengeluh panjang lalu duduk di kaunter.

Dia memasukkan kad akaunnya dan log masuk ke dunia permainan Glory. Sebaik sahaja dia masuk, beberapa mesej telah diterima olehnya. Salah satunya daripada Seven Fields dan teman-temannya.

"Abang jaguh, abang dah sampai!"

Kata-kata ini diucapkan serentak oleh Seven Fields, Sunset Clouds dan Drifting Water. Sleeping Moon pula diam membisu.

"Semua dah sampai ke?" jawab Ye Xiu kepada ketiga-tiganya.

"Oh, Sleeping Moon tak ada hari ini," jawab Seven Fields.

"Dia merajuk lagi ke?" tanya Ye Xiu.

"Eh taklah. Dia tak berapa sihat hari ni. Ini semua gara-gara pengumuman persaraan Ye Qiu. Sleeping Moon sangat menyukai Ye Qiu, dia ialah idolanya. Jadi, dia tak ada mood untuk bermain malam ini," terang Seven Fields.

Ye Xiu tidak tahu sama ada hendak ketawa atau menangis. Sungguh tidak sangka Sleeping Moon ialah peminatnya! Jika dia diberitahu dia telah memfitnah dan memburuk-burukkan nama Ye Qiu, bagaimana agaknya reaksinya?

"Kalau kita kurang satu orang, bos tersembunyi di Gua Labah-Labah agak susah untuk dibunuh," kata Ye Xiu.

"Kita jemput sajalah sesiapa sahaja yang nak menyertai kita?" cadang Seven Fields.

"Apa kata kita pergi ke 'dungeon' Perkuburan Rangka? cadang Ye Xiu.

"Boleh, boleh!" kata Seven Fields serta-merta.

Perkuburan Rangka ialah 'dungeon' bertahap 15-20. Seven Fields dan rakan-rakannya telah lama menyelesaikan 'dungeon' ini sebelum ini. Mereka berharap Ye Xiu akan memimpin mereka untuk mendapatkan 'first clear' di 'dungeon' ini juga. Tetapi, pada waktu ini, Ye Xiu langsung tidak berminat untuk mendapatkan pencapaian tersebut. Ini kerana, mereka harus sentiasa memastikan watak mereka berada pada tahap tertinggi jika hendak mendapatkan 'first clear', dan Ye Xiu tidak mempunyai banyak waktu ketika ini.

Sewaktu dia log keluar pagi tadi, Lord Grim berada pada kedudukan kelima di papan pendahulu. Tetapi kini, namanya sudah hilang! Para pemain yang berada di kemuncak papan pendahulu sudahpun mencecah tahap 22.

Ini kerana para pemain daripada Persatuan-Persatuan besar akan mempunyai kelebihan yang agak tidak adil. Sebuah akaun akan digunakan oleh dua atau tiga orang pemain, maka akaun tersebut boleh dimainkan selama 24 jam tanpa henti. Apabila seorang pemain berehat, akaunnya akan dimainkan oleh pemain gantian. Tidak kiralah setinggi manapun kemahiran Ye Xiu, mustahil untuk dia bersaing dengan pemain yang mempunyai kelebihan seperti ini.

Disebabkan itu, dia tidak lagi kisah tentang pencapaian 'first clear'. Padanya, pencapaian dan rekod dalam menyelesaikan 'dungeon' yang sukar ialah jauh lebih bermakna.

Untuk pencapaian seperti ini, kayu ukurnya ialah kepantasan. Sistem permainan akan memberikan waktu untuk menyelesaikan sesebuah 'dungeon' yang sukar. Misalnya, 20 minit. Jika sesebuah kumpulan berjaya menyelesaikan 'dungeon' tersebut dalam tempoh 19 minit, rekod baru akan tercipta. Begitulah caranya.

Ganjaran untuk mencatatkan rekod sebegini lebih lumayan. Paling tidak, para pemain akan dihadiahkan dengan senjata berkelas ungu.

Rekod-rekod sebegini hanya boleh dicatatkan apabila pemain sampai ke 'dungeon' bertahap 20 atau lebih tinggi. Ye Xiu melihat dan mempelajari rekod tahap 20 untuk 'dungeon' Hutan Salji sudahpun diselesaikan dan rekod asal sudahpun dipecahkan. Pada waktu ini, rekod terbaik dicatatkan oleh Persatuan Herb Garden dengan masa 26 minit, 12 saat dan 48 milisaat.

Ye Xiu tahu rekod masa sebegini tidaklah terlalu menakjubkan. Ianya mampu untuk dipecahkan oleh kumpulan pemain yang bersemangat tinggi dan teratur permainannya. Rekod di 'dungeon' Hutan Salji tersebut boleh dipecahkan oleh pemain yang berada pada tahap 25 ke bawah.

Sedang Ye Xiu termangu-mangu di dalam pemikirannya, Seven Fields menghantarnya satu mesej,

"Abang jaguh, kita dah sampai ke Perkuburan Rangka,"

Ye Xiu baru sahaja menyedari yang Seven Fields dan rakan-rakannya masih berada pada tahap sama sewaktu mereka log keluar tengahari tadi. Nampaknya mereka semua turut sama tidur nyenyak seperti Ye Xiu juga.

"Okay, saya akan ke sana segera,"

Ye Xiu mengawal Lord Grim untuk bergegas ke Perkuburan Rangka. Sepatutnya mereka sudah boleh bermain di 'dungeon' ini apabila mencecah tahap 15, tetapi Ye Xiu memerlukan waktu untuk menaiktarafkan Payung Seribu Manifestasi miliknya. Dia bertegas dengan Seven Fields dan teman-temannya yang dia tidak akan pergi ke Perkuburan Rangka selagi senjata miliknya belum diperkuatkan. Seven Fields dan rakan-rakannya akur dengan keputusan Ye Xiu tersebut dan menemaninya untuk mengumpul lebih banyak Sutera Labah-Labah Kukuh buat sepanjang malam.

Sungguhpun telah berusaha keras, Ye Xiu masih belum mempunyai jumlah Sutera Labah-Labah Kukuh yang mencukupi. Bahan mentah ini akan 100% diberikan sebagai ganjaran jika menewaskan Maharaja Labah-Labah, tetapi peluang untuk mendapatkannya agak rendah jika sekadar menewaskan bos biasa seperti Spider Lord. Sepanjang malam semalam, mereka telah menyelesaikan 'dungeon' sebanyak 11 kali. Di dalam 11 kali itu, mereka menewaskan Maharaja Labah-Labah sebanyak 3 kali, dan Ye Xiu berjaya mendapatkan 9 helai sutera hasil daripada kemenangan itu. Dia berjaya mengumpul 7 helai lagi hasil daripada menewaskan bos-bos yang lain. Ye Xiu kini mempunyai 16 helai Sutera Labah-Labah Kukuh, tetapi dia memerlukan sebanyak 40 helai semuanya, jadi dia kekurangan sebanyak 24 helai lagi.

Jika mereka terus bertarung dengan rentak dan kelajuan semalam, dia memerlukan sekurang-kurangnya dua hari lagi untuk mendapatkan 24 helai sutera tersebut. Seven Fields dan rakan-rakannya kini berada pada tahap 18. Apabila mereka semua mencecah tahap 20, jumlah 'experience' yang akan diperolehi dalam Gua Labah-Labah akan berkurangan secara drastik. Pada saat itu, lebih baik jika mereka beralih ke 'dungeon' yang lain, dan Ye Xiu tidak ingin untuk memaksa mereka terus menemaninya di Gua Labah-Labah demi mengumpulkan sutera tersebut.

Sedang Ye Xiu sibuk memikirkan cara terbaik untuk mengumpulkan sutera-sutera tersebut, dia sudahpun tiba di Perkuburan Rangka. Dia menemui Seven Fields di tengah-tengah khalayak ramai dan memohon untuk menyertai kumpulan mereka.

"Kita masih memerlukan seorang pemain lagi tak?" tanya Seven Fields.

"Tak perlu," jawab Ye Xiu.

Ye Xiu sedar terdapat bahan-bahan yang diperlukannya di Perkuburan Rangka juga. Cuma, dia tidak memerlukan bahan-bahan tersebut buat waktu ini.

"Haih, saya baru saja menggunakan Payung Seribu Manifestasi ini, tetapi ia sudahpun menjadi beban buat saya. Sememangnya bukan mudah untuk bermula dari awal semula," keluh Ye Xiu.

Tanpa berlengah-lengah, dia pun memasuki Perkuburan Rangka bersama dengan kumpulannya.