Chen Guo segera mengemaskan semuanya dan muncul di kafe internet sepantas kilat. Sewaktu kesemua pekerja menyambutnya dengan ucapan "Selamat pagi bos", pandangan matanya tertumpu pada Tang Rou di zon larangan merokok. Ekspresi wajahnya tetap sama sewaktu Chen Guo hendak tidur: penuh dengan konsentrasi tanpa sedikit kepenatan pun. Chen Guo pergi pula ke zon merokok dan pandangan matanya tertumpu pada Ye Xiu. Ye Xiu sedang merokok tidak henti-henti. Di sebalik kepulan asap, tubuhnya kelihatan sedang fokus pada permainan.
Awal pagi lagi dia sudah bermain! Waktu ini, kafe internet sedang kosong. Tidak ramai pelanggan berbanding dengan waktu malam. Mereka berdua bermain dengan lancar sehingga seluruh kafe internet mendengar bunyi ketikan papan kekunci mereka. Pa pa pa pa.
Chen Guo tidak mempedulikan Ye Xiu dan bergerak ke arah Tang Rou dahulu. "Masih main lagi. Kamu nak mati awal ke?" kata Chen Guo sewaktu berjalan ke arahnya.
Tiada jawapan. Tang Rou sedang memakai fon kepala, jadi dia hanya mendengar bunyi permainan sahaja. Chen Guo bagaikan berada di dunia lain baginya.
Chen Guo melangkah ke hadapan dan menarik fon kepala Tang Rou. Akhirnya, Tang Rou memberikan jawapannya.
"Awalnya bangun!" Tang Rou memalingkan kepala untuk melihat Chen Guo buat setengah saat sebelum berpaling semula ke arah permainan. Pa pa pa pa.
"Kamu ni dah ketagih bermain," Chen Guo tidak mampu berbuat apa-apa. Dia mula menyesal dan tertanya-tanya sama ada tindakannya mengenalkan Glory kepada Tang Rou perkara yang patut dilakukan.
"Ha ha," Tang Rou hanya ketawa, tetapi tidak menjawab apa-apa.
"Dah tahap berapa?" tanya Chen Guo sambil melihat ke arah skrin.
"Tahap 16. Saya ketinggalan 5 tahap berbanding Lord Grim," Tang Rou menjawab sambil membuka senarai rakannya. Setelah melihat nama Lord Grim, dia menjerit terkejut: "Wah, dia dah naik tahap lagi. Sekarang dia tahap 22!"
"Kamu ni bersaing kuat sangat! Habiskan 'dungeon' ini dan pergi tidur. Bila dah berehat, kamu boleh sambung bermain," Chen Guo melihat Soft Mist milik Tang Rou sedang bertarung di Perkuburan Tulang dalam Beginner's Village. Dia bertarung secara bersendirian. Ini sangat hebat bagi seorang pemain yang baru bermula.
"Tidur apa? Dah hampir tiba masa untuk saya bekerja," kata Tang Rou.
Chen Guo terkejut. Memang betul. Hari ini Tang Rou perlu bekerja syif pagi. Kebiasaannya, dia sudah pun duduk di meja penyambut tetamu.
"Saya akan pergi ke meja penyambut tetamu sebaik sahaja saya keluar dari 'dungeon' ini!" Tang Rou tersenyum pada Chen Guo. Tidak kira serapat mana hubungan mereka, mereka tetap bos dan pekerja. Tang Rou perlu bekerja di kafe internet, dia tidak mahu mendapatkan segalanya secara percuma. Cukuplah dia tidak perlu untuk membayar makanan dan tempat tinggal.
"Rehat dulu sekejap! Saya akan minta seseorang untuk gantikan kamu," kata Chen Guo.
"Tak payah, tak payah," Tang Rou bersembang sambil tangannya tidak henti-henti bergerak. Tang Rou sudah banyak mempelajari tentang Battle Mage melalui membaca panduan dan melalui pengalaman bermain. Dia sudah maju berbanding sebelumnya dan tidak hanya sekadar bergantung pada kelajuan tangan dan kelajuan reaksi untuk bermain.
"Suka hati kamulah!" Chen Guo menyaksikan Soft Mist bertarung secara bersendirian menentang bos di Gua Labah-Labah. Setelah log keluar dari permainan dan memadamkan komputer, Tang Rou segera menuju ke meja penyambut tetamu. Chen Guo mengikut secara senyap-senyap. Dia melihat Tang Rou segera log masuk semula ke dalam permainan sebaik sahaja dia duduk di meja penyambut tetamu.
"Sekurang-kurangnya, kita kena makan dulu, betul?" tanya Chen Guo.
"Kamu pun belum makan lagi? Terima kasih ya!" Tang Rou ketawa.
"Saya tak tahulah nak cakap apa!" Chen Guo terpaksa senyum. Dia keluar membeli sarapan dan memberikan satu bungkus untuk Tang Rou. Dia juga membeli sebungkus lagi makanan untuk Ye Xiu.
"Ah! Bos, kamu sangat baik hati," kata Ye Xiu sewaktu mengambil bungkusan sarapannya. "Malam tadi saya tak sempat selimutkan kamu. Kamu tidur lena tak?"
"Kamu berdua dah gila!" kata Chen Guo apabila terfikir adegan pagi tadi sewaktu dia sedar yang kedua-dua bilik Ye Xiu dan Tang Rou kosong sewaktu dia bangun.
"Oh? Adik Tang pun tak tidur juga?" tanya Ye Xiu sambil membuka senarai rakannya untuk memeriksa. Soft Mist masih bermain lagi.
"Kamu tak tahu ke?" Chen Guo tergamam. Mereka berdua berjaga sepanjang malam tetapi tidak berbual dengan satu sama lain? Nampaknya Tang Rou terlalu asyik mengejar tahap Ye Xiu, tetapi Ye Xiu pula langsung tidak sedar.
"Saya tak perasan. Bagus, saya ada sesuatu nak dibincangkan dengan dia!" Ye Xiu mengambil bungkusan sarapannya dan pergi mencari Tang Rou.
Pada ketika ini, Tang Rou sedang menjamah sarapannya sambil membaca panduan Battle Mage. Apabila melihat Ye Xiu datang, dia segera menelan makanan di dalam mulutnya. Selepas mengelap mulut, dia mengangguk dan memberikan salam.
"Kamu dah tahap berapa?" tanya Ye Xiu.
"Tahap 16,"
"Cepatnya! Kalau begitu, cepat naikkan tahap sampai tahap 25, Ada sesuatu yang seronok untuk dilakukan," kata Ye Xiu.
"Oh? Apa dia?" tanya Tang Rou.
"Kamu ada lihat rekod penyelesaian Hutan Fros?" tanya Ye Xiu.
"Ada. Nampaknya, rekod kamu telah dipecahkan!" jawab Tang Rou. Dia memang sentiasa memerhatikan catatan rekod di papan pendahulu kerana dia hendak mengatasi Ye Xiu. Tapi akhirnya, dia tidak menyangka ada orang yang berjaya memecahkan rekod Ye Xiu itu terlebih dahulu. Tang Rou turut menyedari yang Lord Grim telah memperbaharui rekod lamanya tetapi masih berada di tempat kedua.
"Bukan sahaja mereka pecahkan rekod saya. Rekod itu ialah rekod terbaik di antara kesemua sepuluh server Glory," kata Ye Xiu.
"Kamu nak rampas semula rekod itu?" tanya Tang Rou.
"Betul. Seronok kan?" jawab Ye Xiu.
"Kalau kamu rampas semula rekod itu, lepas itu saya pecahkan rekod baru kamu itu, lagi seronok!" kata Tang Rou.
"Eh, sejak bila kita bermusuhan ni?" Ye Xiu tidak tahu hendak ketawa atau menangis. Nampaknya, Tang Rou memang benar-benar ingin menewaskan dia.
"Ha ha," Tang Rou ketawa.
"Bila kamu dah sampai ke tahap 20, cuba selesaikan 'dungeon' tu bersendirian dahulu! Kamu ni fokus sangat pada rekod tu!" kata Ye Xiu.
"Saya bergurau sajalah. Memang menakjubkan kalau rekod itu rekod terbaik di antara kesemua sepuluh server!" kata Tang Rou.
"Kalau macam itu, cepat naikkan tahap!" Ye Xiu mengeluh.
"Okey, boleh," Tang Rou mengangguk.
"Malam ni kamu tidur tak?" tanya Ye Xiu.
"Saya…."
"Hey, kamu berdua jangan melampau sangat!!" Chen Guo tiba-tiba menyampuk. Mendengarkan kata-kata mereka, nampaknya mereka berdua bercadang untuk tidak tidur lagi malam ini. Perlu ke mereka berdua main seperti orang gila?
"Tenanglah bos. Kami akan pastikan kerja kami tidak terganggu," kata Ye Xiu.
"Tak boleh. Semua komputer di kafe internet ini milik saya. Saya takkan benarkan kamu menggunakannya!" kata Chen Guo dengan melampaunya.
Ye Xiu mengeluh. "Adik Tang, daftarkan sebuah kad ahli untuk saya,"
Tang Rou terkejut, tetapi dia serta-merta berkata: "Kalau macam itu, saya pun nak daftar juga!"
Chen Guo tewas. Dia akan mati kerana kemarahan! Tetapi apa yang lebih menyakitkan hatinya adalah Tang Rou rela mengikut Ye Xiu. Habislah Tang Rou! Dia baru sahaja bermain Glory selama beberapa hari tetapi telah dirosakkan oleh Ye Xiu!
"Kalau macam itu, saya malas nak ambil peduli tentang kamu berdua!" Chen Guo beredar dengan marah.
"Cepat naikkan tahap ya," Ye Xiu terus melupakan hal tentang kad ahli dan memesan Tang Rou supaya menjaga diri. Dia kembali ke zon merokok dan terus berjuang.
Syif pagi Tang Rou bermula pada pukul 7 pagi sehingga pukul 3 petang. Tidak ada ramai pelanggan di waktu pagi, jadi dia tidak terlalu sibuk dan boleh terus bermain. Pada waktu tengahari, ramai pelanggan mula datang, jadi Tang Rou sedikit terganggu. Tetapi, dia tetap bertahan.
Ye Xiu berhenti bermain pada waktu tengahari. Dia mencari Tang Rou dan melihat gadis itu masih terus bermain walaupun keadaan di kafe internet mula sibuk. Memang bukan mudah berbuat demikian.
"Kamu memang tak nak tidur ke?" tanya Ye Xiu.
"Saya kerja syif pagi. Pukul 3 baru saya habis kerja," jawab Tang Rou.
"Okey," kata Ye Xiu ringkas. "Kamu tetap perlu tidur juga. Kekuatan fizikal kamu akan mempengaruhi kebolehan kamu bermain."