Pada waktu ini, Ye Xiu sedang menunggu Seven Fields dan rakan-rakannya untuk menyelesaikan 'dungeon' bersama-sama sekali lagi. Setelah membuat temujanji dengan Tyrannical Ambition untuk menyelesaikan 'dungeon' pada tahap 25 (tahap 25 untuk mereka, bukan untuk Ye Xiu), mereka langsung tidak menjemput Ye Xiu untuk berlatih bersama-sama. Jika dibandingkan dengan Blue River, Tyrannical Ambition tidak peduli untuk menjalinkan hubungan persahabatan dengan Ye Xiu. Mereka bayar, Ye Xiu melakukan tugasnya, mudah sahaja.
Seven Fields dan rakan-rakannya tidak berpuas hati kerana nama Lord Grim tidak tersenarai dalam papan pendahulu atas kejayaan pembunuhan pertama Goblin Merchant. Tetapi Ye Xiu sedikit pun tidak ambil kisah. Dia langsung tidak peduli tentang kegemilangan yang diidam-idamkan oleh kebanyakan pemain. Apa yang penting dia mendapat habuannya daripada Tyrannical Ambition atas kejayaan menewaskan Goblin Merchant tersebut.
Seven Fields dan rakan-rakannya berasakan yang usaha Ye Xiu tidak berbaloi, tetapi Ye Xiu pula menganggap ia sebagai jalan yang mudah untuk mendapatkan ganjaran. Tyrannical Ambition tidak ingin membayar harga yang tinggi untuk khidmat Ye Xiu, tetapi memandangkan mereka sangat mementingkan nama persatuan mereka muncul di papan pendahulu, mereka tidak mempunyai pilihan lain.
Atas kejayaan mereka mendapat pembunuhan pertama Goblin Merchant, Ye Xiu telah menerima 20 helai Bulu Keras Serigala Putih dan 30 keping Gigi Labah-Labah daripada Tyrannical Ambition sebagai ganjaran.
Gigi Labah-Labah datang daripada dua bos tersembunyi iaitu Spider Elite dan Spider Warrior di 'dungeon' Gua Labah-Labah.
Kedua-dua bos tersembunyi ini mempunyai rupa yang aneh. Spider Warrior mempunyai perisai berbentuk labah-labah, sementara Spider Elite menggunakan kelapan-lapan kakinya untuk bertinju. Apabila kedua-dua bos tersembunyi ini terbunuh, para pemain akan berpeluang untuk mendapatkan Gigi Labah-Labah. Oleh kerana 'dungeon' boleh diselesaikan berkali-kali, Tyrannical Ambition telah berjaya mengumpul jumlah bahan mentah yang banyak. 30 keping Gigi Labah-Labah tidak menjadi masalah.
Bagi Bulu Keras Serigala Putih pula, ia diperoleh dari bos tersembunyi Hutan Fros, Serigala Putih. Dalam beberapa hari sejak server dibuka, para pemain Tyrannical Ambition tidak mempunyai bahan mentah ini dalam jumlah yang banyak. Tambahan pula, Endless Night pernah membazirkan Bulu Keras ini dengan sia-sia sahaja. Pada awalnya, mereka gagal membayar Ye Xiu dengan jumlah yang diperlukan. Syukurlah, setelah para pemain dapat memasuki 'dungeon' semula selepas tempoh 24 jam berlalu, dan setelah Goblin Merchant dibunuh, Tyrannical Ambition segera membentuk kumpulan beramai-ramai untuk menyelesaikan Hutan Fros dan membayar hutang mereka. Dalam hati, mereka tertanya-tanya mengapakah mereka perlu berhempas-pulas sebegini rupa semata-mata demi Lord Grim seorang?
Ketua persatuan mereka, Cold Night, lebih risau lagi. Lord Grim memang memerlukan banyak bahan mentah yang berharga. Tidak lama lagi, apabila tahap pemain semakin meningkat, akan ada lebih banyak 'dungeon' dan bos liar untuk diselesaikan. Mampukah mereka untuk membayar harga yang ditetapkan oleh Lord Grim setiap kali mereka ingin mencatatkan rekod baru? Selera Lord Grim memang besar. Dia tidak menerima wang, dia hanya mahukan bahan mentah dari bos tersembunyi. Nampak gayanya, mereka takkan mampu terus mengupahnya!
Jika mereka mampu sekalipun, ia sangat menyusahkan mereka. Adakah keseluruhan papan pendahulu server kesepuluh dikawal oleh Lord Grim seorang? Terutama sekali pembunuhan pertama bos liar dan rekod penyelesaian 'dungeon'. Kedua-dua papan pendahulu ini melambangkan kekuatan sesebuah persatuan.
Ia kelihatan seperti situasi di server kesepuluh tidak lagi dapat dikawal gara-gara kemunculan Lord Grim. Dari mana datangnya lelaki ini? Cold Night tidak mengerti. Dia juga turut berkunjung ke ibu pejabat persatuannya untuk mendapatkan khidmat nasihat.
Kerisauan ini berlegar-legar di minda setiap pemain. Pada malam itu, kesemua para pemain Tyrannical Ambition telah mencecah tahap 25. Mereka segera menukar kelengkapan senjata dan mempelajari kemahiran baru. Kekuatan mereka meningkat satu tahap. Walaupun Cold Night dibelenggu kerisauan, dia sudahpun membuat temujanji dengan Ye Xiu untuk memecahkan rekod Hutan Fros.
"Helo helo, kami semua dah mencecah tahap 25, mari pecahkan rekod!" Endless Night utusan Tyrannical Ambition untuk berurusan dengan Ye Xiu.
"Oh? Tunggu sekejap. Saya masih di 'dungeon'," kata Ye Xiu.
"Kamu masih boleh memasuki 'dungeon' kan? Kuota kamu belum habis lagi kan?" Endless Night kerisauan.
"Saya ada satu lagi kuota," kata Ye Xiu.
"Cepat, cepat!" Endless Night melompat-lompat tidak sabar.
"Apa yang tergesa-gesa sangat? Kita tak perlukan Cleric untuk memecahkan rekod pun," kata Ye Xiu.
"Jahanam. Saya nak tahu apa yang kamu perlukan sebagai ganjaran kali ini?" tanya Endless Night.
"Sepuluh helai Bulu Keras Serigala Putih, dua loket Mithril dan sebatang Tongkat Kristal Ais," jawab Ye Xiu.
"Kamu… kamu obses dengan Bulu Keras Serigala Putih!" Endless Night ingin menangis.
Keseluruhan persatuannya terpaksa bekerja keras menyelesaikan Hutan Fros berkali-kali demi mengumpul Bulu Keras tersebut dan membayar hutang mereka. Sekarang Lord Grim mahu lagi sepuluh helai pula! Sebaik sahaja Endless Night menyampaikan berita ini kepada Cold Night, Cold Night nyaris-nyaris membalikkan mejanya kerana marah.
"Dia ini mencari pasal ke? Dia sengaja nak cari pasal kan? Kenapa dia nak banyak sangat Bulu Keras Serigala Putih? Kalau dia nak jual semua bahan ni untuk duit, kan ada banyak lagi bahan mentah yang lain? Taring Serigala Putih! Bulu Serigala Putih! Air Mata Ahli Sihir Putih! Sisa Ais! Tanya dia sama ada bahan-bahan mentah ini boleh dijadikan sebagai ganti!"
Endless Night segera bertanyakan soalan itu dan Ye Xiu menjawab dengan megahnya: "Okey, saya akan ambil semua bahan-bahan ini sebagai cagaran. Bila kamu semua sudah mengumpulkan jumlah Bulu Keras Serigala Putih yang saya mahu, saya akan pulangkan kesemua barangan ini, macam mana?"
"Apa yang kamu nak buat dengan semua Bulu Keras Serigala Putih tu?" Nampak gayanya dia tetap mahukan kesemua Bulu Keras itu tidak kira apa yang terjadi. Dia pasti mempunyai tujuan tertentu, bukan sekadar wang semata-mata.
"Untuk mencipta kelengkapan senjata," jawab Ye Xiu.
"Mengarutlah...." Endless Night membeliakkan matanya. Kesemua bahan mentah ini memang boleh digunakan untuk membuat senjata, tetapi dia baru mencecah tahap 21. Tidak berbaloi dia menggunakan bahan mentah yang sukar ditemui itu untuk membuat sebarangan senjata, jadi dia pasti sedang mencuba untuk mencipta senjata tahap tinggi.
Ye Xiu tidak menjawab soalan Endless Night lagi dan Endless Night tidak terus bertanya.
Selain daripada Bulu Keras Serigala Putih, loket mithril tidak menjadi masalah buat Tyrannical Ambition kerana ia tidak lebih dari barang perhiasan dan tidak berharga. Tetapi ganjaran yang ketiga pula teramat menyakitkan.
Tongkat Kristal Ais ialah senjata kelas Oren tahap 25. Tidak ada seorang pun ahli Tyrannical Ambition yang memiliki senjata tersebut. Senjata kelas Oren sangat jarang dijumpai. Ia sangat berharga dan tidak dijual di pasaran. Bahkan senjata kelas Oren bertahap rendah pun sangat dibangga-banggakan kerana mereka teramat sukar untuk ditemui. Disebabkan itulah Endless Night sentiasa menunjuk-nunjukkan Salib Kristal kelas Oren miliknya.
"Kami memang tak ada Tongkat Kristal Ais!" kata Endless Night.
"Jadi, kita berbual lagi bila kamu dapat cari!" Ye Xiu tidak tergesa-gesa langsung. Lord Grim baru tahap 21 dan masih ada banyak peluang untuk memecahkan rekod Hutan Fros. Tetapi Tyrannical Ambition pula gusar! Kesemua pemain handalan mereka sudah mencecah tahap 25. Jika mereka terus menaikkan tahap, mereka pasti mencapai tahap 26 tidak lama lagi. Apabila sudah mencecah tahap 26, mereka tidak boleh memecahkan rekod Hutan Fros lagi!
"Mintalah sesuatu yang lain. Ataupun, boleh tak kami cagarkan sesuatu?" tanya Endless Night.
"Salib Kristal kamu boleh?" tanya Ye Xiu.
"JAHANAM!!" Endless Night menjerit.
Ye Xiu belum habis bercakap: "Senjata kelas Oren tahap 20 kamu masih tak cukup sebenarnya. Apa kata kita tambah lagi beberapa bahan mentah yang lain?"
Endless Night terdiam buat jangka masa panjang. Dia telah mencari nahas sendiri. Dia merayu kepada Cold Night supaya tidak dijadikan utusan bagi berurusan dengan Lord Grim lagi.
"Sesiapa yang nak jadi utusan, dipersilakan!" Endless Night memeluk erat Salib Kristal miliknya dan melarikan diri.
Cold Night tidak boleh berbuat apa-apa dalam keadaan ini. Dia hanya mampu menambah Lord Grim di dalam senarai rakannya dan bertanya sendiri. Apabila Ye Xiu menyebut tentang Tongkat Kristal Ais, Cold Night nyaris muntah darah.
"Kami memang tak ada senjata ini!" jerit Cold Night. Adakah pertolongan jaguh ini sebuah berkat ataupun sumpahan?