Ye Xiu melihat pada kesemua senarai bahan mentah yang telah dikumpulkannya. Terdapat beberapa bahan yang belum boleh digunakan lagi. Ye Xiu menutup 'Equipment Editor' dan menyelesaikan proses penaiktarafan Payung Seribu Manifestasi.
Sekembalinya ke permainan, dia melihat perubahan yang telah dilakukan pada senjatanya itu. Payung Seribu Manifestasi masih berada pada tahap 5, tetapi bentuk pedang dan bentuk pistol senjata itu telah meningkat ke tahap 15. Beratnya tidak berubah, begitu juga dengan kelajuan serangannya. Tetapi Serangan Fizikal dan Serangan Sakti sudah menunjukkan perubahan yang ketara.
Payung Seribu Manifestasi (Bentuk Pedang), Serangan Fizikal: 240; Serangan Sakti: 265
Payung Seribu Manifestasi (Bentuk Pistol), Serangan Fizikal: 238; Serangan Sakti: 210
Senjata ini mempunyai perbezaan tersendiri dari segi atribut apabila bentuknya bertukar. Malah, semua senjata dalam dunia Glory mempunyai perbezaan dan keistimewaan tersendiri.
Misalnya, bagi senjata pedang, Pedang Gergasi mempunyai kekuatan Serangan Fizikal yang paling tinggi, tetapi kelajuan serangannya hanya mempunyai nilai 1, nilai yang paling perlahan sekali. Pedang Pendek mempunyai Serangan Sakti yang paling tinggi dan mempunyai nilai kelajuan sebanyak 5. Pedang Cahaya mempunyai kelajuan serangan paling tinggi iaitu nilai 9. Dua jenis pedang yang lain adalah Pedang Lebar dan Tachi. Pedang Lebar mempunyai Serangan Fizikal yang tinggi. Ia tidak setinggi Pedang Gergasi, tetapi kelajuan serangannya adalah 3. Tachi pula mempunyai Serangan Sakti yang tinggi, tetapi tidak setinggi Pedang Pendek. Tetapi, kelajuan serangannya adalah 7. Oleh itu, para pemain kelas Swordsman perlu memilih senjata yang paling sesuai dengan kehendak dan gaya permainan mereka. Sebagai contoh, pemain kelas Spellblade dan Ghostblade ialah dua kelas yang bergantung kepada Serangan Sakti, jadi tidak ramai yang memilih untuk menggunakan Pedang Gergasi sebagai senjata. Berserker dan Blade Master pula bergantung pada Serangan Fizikal, jadi mereka tidak akan memilih untuk menggunakan Pedang Pendek. Pedang Cahaya pula istimewa sekali. Hanya pemain kelas Blade Master yang boleh menggunakan senjata ini.
Pada ketika ini, atribut Payung Seribu Manifestasi agak sama dengan Tachi, tetapi ia mempunyai kelajuan serangan sebanyak 5, sama laju dengan Pedang Pendek. Jika dibandingkan dengan Tachi pada tahap yang sama, statistiknya lebih rendah. Tetapi jika dilihatkan bentuk tombak Payung Seribu Manifestasi yang mempunyai Serangan Fizikal sebanyak 290, ia senjata yang mempunyai Serangan Fizikal paling tinggi, malah kekuatan serangannya setaraf dengan Pedang Gergasi. Tetapi jangan lupa, kelajuan serangan Pedang Gergasi hanya 1, manakala Payung Seribu Manifestasi pula 5. Oleh itu, Payung Seribu Manifestasi (Bentuk Tombak) memang lebih bagus jika dibandingkan dengan tombak-tombak lain yang sama tahap dengannya.
Setelah selesai memeriksa senjatanya, Ye Xiu beralih pula kepada kesemua kemahiran yang dimiliki Lord Grim.
Pada tahap 20, kesemua 'skill points' boleh diaturkan semula sesuka hati. Walaupun Lord Grim pemain unspecialized, dia tetap boleh berbuat demikian juga. Tetapi pada tahap 50, kesemua kelas lain akan dapat mengatur semula 'skill points' mereka sekali lagi, tetapi pemain unspecialized tidak boleh. Disebabkan itu, mulai dari sekarang kesemua 'skill points' harus digunakan dengan penuh berhati-hati. Tetapi dengan pengalaman yang dimiliki Ye Xiu, dia sudah sangat arif dengan kesemua kemahiran yang ada. Dia hanya perlu memastikan rancangannya untuk Lord Grim dijalankan sebaik-baiknya.
Glory mempunyai enam kelas asas, dan setiap kelas mempunyai empat kelas khas tersendiri, menjadikan jumlah kesemua kelas sebanyak 24 kesemuanya. Pada kebiasaannya, setiap kelas ada lebih kurang 5 kemahiran pada tahap 20, menjadikannya sebanyak 120 kemahiran semuanya. Kesemua ini kemahiran yang boleh dipelajari oleh pemain kelas unspecialized. Walaupun jumlahnya banyak, ia kemahiran bertahap rendah semuanya, jadi ia tidak boleh dibandingkan dengan kemahiran berkelas sederhana ataupun tinggi. Ye Xiu harus memilih dengan penuh berhati-hati di antara 120 kemahiran kelas rendah ini, kerana 'skill points' memang sangat terhad.
Walaupun kemahiran kelas rendah tidak memerlukan banyak 'skill points' untuk dipelajari, Ye Xiu perlu merancang kemahiran mana yang harus dipilih demi memastikan Lord Grim benar-benar digeruni di medan pertarungan. Ye Xiu belum lagi memastikan kesemua kemahiran yang dikehendakinya, tetapi dia akan mencuba kemahiran-kemahiran yang disukai sedikit demi sedikit sewaktu bertarung. Oleh itu, dia hanya memilih untuk memberikan 'skill points' pada kemahiran yang dianggapnya wajib untuk dimiliki terlebih dahulu.
Dia memeriksa kesemua kemahiran sekali lagi untuk memastikan yang dia tidak terlepas apa-apa. Tiba-tiba, Ye Xiu terbau aroma teh. Dia memusingkan kepala dan melihat Tang Rou memegang secawan teh dan berdiri di hadapan meja penyambut tetamu.
Ye Xiu terganggu seketika. Tabiatnya untuk berjaga sepanjang malam telah dibentuk sejak dahulu lagi. Pada waktu dahulu, Su Mucheng akan selalu membuatkannya teh hijau apabila dia berjaga malam. Gadis itu berkata semua orang yang berjaga malam perlu minum teh hijau.
Hari ini pula…..
Dia melihat Tang Rou meneguk dari cawan teh miliknya.
Ye Xiu mula dilanda nostalgia. Sehinggakan dia terfikir yang Tang Rou sebenarnya adalah Su Mucheng yang menyamar.
"Abang buat apa tu?" tanya Tang Rou.
"Tengah tengok semua kemahiran yang saya ada," jawab Ye Xiu.
"Oh, saya pun sudah mempelajari beberapa kemahiran baru," kata Tang Rou.
"Sky Strike dan Dragon Tooth?"
"Betul!"
"Itu dua kemahiran yang sangat berguna. Pastikan kamu mahir dengan kedua-duanya!" kata Ye Xiu.
"Okay," Tang Rou beredar sambil membawa cawannya. Aroma teh terus berlegar-legar di udara, membuatkan Ye Xiu tidak dapat menumpukan perhatian. Setelah menyalakan sebatang rokok, dia kembali melihat kemahirannya.
Pada ketika itu, Blue River sedang melihat senarai kawan-kawannya dan megentik pada nama Lord Grim. Dia berasa keliru di dalam hatinya.
Pertarungan dengan Blood Gunner hari ini sememangnya huru-hara sekali.
Blue River menjemput Lord Grim untuk menyertai kumpulannya supaya mereka boleh membentuk persahabatan. Dia tidak menyangka Lord Grim akan melakukan apa yang dilakukannya hari ini. Mencuri bunuh bos liar hanya dilakukan oleh persatuan besar. Tidak pernah ada individu yang berjaya melakukannya selama ini!
Tetapi Lord Grim berjaya berbuat demikian. Dia telah menewaskan Tiga Persatuan Utama dengan teruk, sehinggakan ketua persatuan Herb Garden, Plantago Seed, turut terkorban dalam pertarungan.
Blue River tidak tahu apa pendapat ketua persatuan yang lain tentang Lord Grim. Tetapi tidak kira apa pun, dia tetap mengaguminya. Dia tahu kemahiran Lord Grim jauh mengatasi semua orang yang dikenalinya, termasuk dirinya sendiri. Blue River pasti tidak akan dapat membawa Blood Gunner lari, apatah lagi membunuhnya seorang diri.
Tetapi tidak kira bagaimana dia kagum sekalipun, Blue River tidak berasa seronok. Dia telah cukup dimalukan hari ini.
Semua orang tahu Blue River orang yang telah membawa Lord Grim datang bersama-sama. Tetapi pemain yang dibawanya ini telah mengkhianati dia. Betapa bodohnya Blue River kerana berbuat demikian.
Blue River memutuskan yang dia perlu bercakap dengan Lord Grim. Dia menghantar mesej: "Abang, apa yang abang lakukan hari ini sangat teruk, tahu tak?"