"WAH!!!" Ye Xiu masih tidak tahu sama ada dia sudah memperolehi Blood Rifle lagi, apabila dia terdengar bunyi tercungap-cungap datang dari seluruh arah di sekelilingnya. Sehinggakan Chen Guo yang sedang menumpukan perhatian bermain Whack-a-Mole terkejut mendengarkannya.
Ramai pelanggan di Kafe Internet Gembira berdiri dan menuju ke sesuatu arah. Ada juga yang meninggalkan permainan mereka dan berlari ke sana.
"Apa yang terjadi? Apa yang terjadi?" Chen Guo melompat dari meja penyambut tetamu dan berlari ke arah tujuan semua orang.
"Lord Grim dapat pembunuhan pertama sekali lagi!" kata seorang pelanggan dengan teruja.
"Kenapa kamu semua gembira sangat? Siapa yang dia bunuh?" tanya Chen Guo.
"Blood Gunner!" jawab pelanggan itu.
Bos liar! Chen Guo tergamam. Ia jauh lebih sukar untuk diselesaikan berbanding 'dungeon'. Dia pernah menyaksikan proses pemburuan bos liar. Setiap persatuan akan bertarung sehinggakan asap dan debu memenuhi seluruh alam. Sementara mereka menyerang bos liar itu, mereka turut merancang bagaimana hendak menjatuhkan pihak pesaing masing-masing. Para penonton tidak tahu sama ada sedang menyaksikan pemburuan bos liar ataupun pertarungan antara persatuan. Dalam perkara sebesar ini, persatuan-persatuan biasa tidak layak untuk menyertainya, kerana mereka pasti dibunuh dengan sia-sia. Apatah lagi para pemain yang tidak menyertai mana-mana persatuan.
Walaupun Blood Gunner bos liar bertahap rendah, dia melambangkan tahap kekuatan sesebuah persatuan.
Chen Guo mengikut para pelanggan lain dan menuju ke komputer Ye Xiu. Tetapi apabila mereka tiba, mereka semua mendengar Ye Xiu menjerit: "Lari lari lari! Cepat lari!"
Nampaknya ada sesuatu yang tidak kena dari cara jeritan Ye Xiu itu.
Para pelanggan yang telah memperolehi maklumat berbisik sesama mereka: "Saya dengar dia mencuri bos liar itu daripada Tiga Persatuan Utama,"
"Wah, hebatnya!" Semua orang kagum mendengarkan cerita itu. Mereka melihat ke arah skrin Ye Xiu dan menyaksikan Lord Grim berlari sekuat hati. Dari semasa ke semasa, Lord Grim akan memalingkan kepala untuk melihat apa yang berlaku di belakangnya. Apabila dia berbuat demikian, semua penonton dapat menyaksikan begitu ramai pemain sedang mengejarnya. Mereka semua pemain dari Tiga Persatuan Utama.
"Memang bukan mudah nak mencuri bos liar itu!" kata semua penonton.
"Ada tak sesiapa di sini yang menyertai salah satu Tiga Persatuan Utama?" tanya salah seorang pelanggan.
Tiada jawapan.
"Mereka pasti bengang sekarang!" perli salah seorang pelanggan.
"Bos, cuba tengok kalau ada sesiapa yang pengsan di depan komputer mereka. Dail 911 cepat!" mereka bergurau apabila melihat Chen Guo menyertai mereka.
Chen Guo masih membisu. Ramai di antara mereka juga sama. Mereka semua ingin tahu sama ada Ye Xiu dapat melepaskan diri dari bahaya ataupun tidak. Bukan mudah hendak lari dari Tiga Persatuan Utama. Lord Grim hanya bertahap 20 sahaja, tetapi dia telah mencari pasal dengan kesemua Tiga Persatuan Utama di atas tindakannya ini. Ada yang menganggap dia cukup berani, ada juga yang beranggapan dia sungguh bodoh sekali.
Apa yang akan terjadi pada si bodoh ini? Itulah apa yang mereka semua ingin tahu.
Chen Guo pula risau melihatkan Ye Xiu menekan papan kekunci sekuat hati.
"Kamu semua lari dulu. Saya akan tahan mereka!" Ye Xiu menaip mesej ini di ruangan sembang kumpulannya.
"Lelaki sejati!" puji mereka semua. Melalui skrin Ye Xiu, para penonton dapat melihat ahli kumpulan Ye Xiu. Mereka semua lebih laju daripadanya.
Lord Grim memusingkan badan dan disambut oleh empat orang pemain lawan. Tombak pertarungannya dihunuskan dan dia melakukan tetakan silang. Keempat-empat pemain itu tidak menjangka Lord Grim akan tiba-tiba berhenti untuk menyerang, jadi mereka gagal mengelak.
Lord Grim melompat tinggi, menghunuskan pedangnya di tengah-tengah udara dan menetak ke arah bawah. Gelombang daripada serangan Falling Light Blade tepat mengenai keempat-empat pemain itu.
"Gerakannya sungguh pantas!" kata para penonton.
Di antara keempat-empat pemain lawan, tiga daripada mereka jatuh ke tanah. Seorang lagi pemain pula berjaya melakukan Quick Recover dan serta-merta melakukan serangan Sky Strike apabila bangun.
Dia adalah Thousand Creations!
Sememangnya dia layak digelar pemain handalan. Walaupun Quick Recover ialah kemahiran asas, ia bukan mudah untuk dilakukan. Para pemain lawan yang lain boleh melakukan Quick Recover juga, tetapi serangan Lord Grim terlalu pantas sehinggakan mereka tidak sempat untuk berbuat demikian.
Malangnya, sebelum serangan Sky Strike itu sempat disempurnakan, Lord Grim telah menendangnya sehingga jatuh.
Ini serangan Interrupt Attack!
Seperti namanya (Interrupt = Ganggu), serangan ini akan mengganggu tindakan pihak lawan.
Apabila Thousand Creations cuba untuk melakukan Sky Strike, Lord Grim bertindak balas dengan serangan Punisher untuk mewujudkan Interrupt Attack.
"Ha ha ha ha…." semua penonton ketawa melihatkan Thousand Creations dibelasah oleh Ye Xiu.
Tetapi mereka yang berpengalaman tidak turut sama ketawa kerana mereka tahu Thousand Creations pemain yang hebat. Namun, sehebat-hebat dia, hebat lagi Lord Grim. Setahu mereka, serangan Sky Strike selepas Quick Recover ialah serangan balas yang paling pantas untuk dilakukan, tetapi kelajuan Lord Grim lebih pantas dari Thousand Creations.
Keempat-empat pemain yang ditewaskan dari kelas Battle Mage semuanya. Ia kelihatan daripada Neutral Chaser di tubuh mereka. Neutral Chaser juga meningkatkan kelajuan pergerakan mereka, oleh kerana itu mereka jauh lebih laju dari semua pemain yang sedang mengejar.
Walaupun keempat-empat lawannya sudah terbaring di tanah, Lord Grim tidak berpeluang untuk membunuh mereka. Ini kerana dia sudah kehabisan 'mana'.
"Kalau kamu terus mengejar, saya takkan terus bersopan lagi! Saya akan serang dengan lebih kuat lagi!" kata Lord Grim kepada Thousand Creations.
Semua penonton ketawa. Mereka tahu ini hanyalah helah semata-mata. Lord Grim sudah tidak mempunyai 'mana', jadi dia sedang cuba untuk menakutkan Thousand Creations.
Lord Grim bangun dan terus berlari. Para penonton kembali berasa cemas. Mereka ingin tahu sama ada keempat-empat pemain itu akan terus mengejar, tetapi Lord Grim tidak memalingkan kepala untuk melihat. Para penonton tahu Ye Xiu akan dapat mendengar bunyi tapak kaki mereka melalui fon kepala yang dipakainya, tetapi dia kelihatan sangat tenang. Mungkin ini menandakan semua lawannya sedang ketakutan.
Dan mereka memang patut takut. Lord Grim sangat kuat. Mereka sepatutnya mengerti akan hakikat ini kerana telah ditumpaskan dengan mudahnya. Bahkan Thousand Creations yang handal juga telah ditewaskan dengan mudah sekali. Jika mereka terus mengejar, ia seumpama mencari maut. Lebih baik mereka menunggu bantuan daripada rakan-rakan mereka tiba.
"Kamu sempat kejar dia tak?" Blue River menghantar mesej kepada keempat-empat pemain lawan itu.
"Kami dapat kejar, tapi gagal tewaskan dia," jawab Thousand Creations dengan nada sugul.
"Jadi….berundur!" arah Blue River.
Thousand Creations hanya mampu melihat Lord Grim semakin menjauhkan diri. Dia tidak terdaya untuk bergerak, rakan-rakannya juga sama.