Chereads / Waktu Remajaku Bermula Dengannya / Chapter 36 - Kemahsyuran dan Kemewahan

Chapter 36 - Kemahsyuran dan Kemewahan

"Umm, secara teorinya, kamu boleh kata begitu." Kata lelaki pertengahan usia itu dengan tegas walaupun sedikit kekok.

Dia berasa sedikit geram bercakap dengan anak muda ini, seorang doktor muda dan juga presiden sebuah empayar perniagaan.

"Kalau begitu, bolehkah kamu beritahu saya siapa yang beritahu kamu saya tiada teman wanita?" Qin Chu bertanya lelaki pertengahan usia itu sambil menyilangkan tangannya dan merenung lelaki itu.

Lelaki pertengahan usia itu terkaku seketika. Kemudian, dia segera mengambil satu set dokumen lain, menyemaknya dan mengangkat kepalanya untuk membalas, "Kami buat sedikit kajian, Doktor Qin. Selama beberapa tahun ini, kami perasan kamu tidak mempunyai hubungan intim dengan mana-mana wanita."

"Kalau begitu kenapa kamu tidak membuat andaian yang saya sebenarnya seorang homoseksual?" Qin Chu terus bertanya.

"Kerana berdasarkan kajian kami, kamu juga tidak mempunyai banyak hubungan dengan mana-mana lelaki." Lelaki pertengahan usia itu menjawab dengan jujur.

Qin Chu terdiam tanpa sepatah kata. Nampaknya, mereka ini telah menjalankan siasatan yang agak teliti terhadap dirinya. Mereka turut menyiasat lelaki dan wanita di sekililingnya. Malah, mereka mungkin menyiasat semua nenek moyangnya sekali.

"Bawa pergi semua dokumen ini. Saya tidak perlukan sebarang sosialit." Kata Qin Chu dengan bangga. Dia belum cukup terdesak untuk pergi ke janji temu rambang, bukan begitu? Mungkin dia tidak mempunyai ratusan wanita yang jatuh hati padanya selama beberapa tahun sebelum ini. Tetapi, sekurang-kurangnya ada 80 orang wanita yang mengaku cintakannya. Peminat dia datang daripada pelbagai bentuk dan jenis, tetapi mereka semua gagal memenuhi standardnya.

"Mengapa kamu menolak? Ini cara pegawai kami menunjukkan penghargaannya."

"Kalau begitu biar saya bertanya. Adakah pegawai kamu mempunyai hak untuk menculik seorang wanita dan memaksanya berkahwin dengan saya?" Qin Chu bertanya dengan serius.

Bibir lelaki pertengahan usia itu menggerenyet sedikit mendengarkan soalan tersebut.

"Saya…tidak rasa kami dapat berbuat begitu." Tidak kiralah betapa berkuasa pun bos dia, dia tidak boleh menculik orang lain mengikut undang-undang dan memaksanya berkahwin. Perkara itu dilarang sama sekali memandangkan negara mereka menghargai hak kemanusiaan.

"Kalau begitu, lupakan sahaja. Saya mencintai seseorang tetapi memandangkan kamu semua tidak dapat menculiknya dan memaksa dia berkahwin dengan saya, tidak perlu berkata apa-apa lagi."

"Kalau begitu, mungkin kamu boleh membantu kamu daripada segi lain?"

"Tidak apa. Saya tidak memerlukan sebarang bantuan. Kamu semua boleh pergi." Qin Chu mempelawa tetamunya untuk beredar.

Lelaki pertengahan usia itu mengeluh sedikit dan berfikir, anak muda ini langsung tidak memberitahu saya apa yang dikehendakinya. Macam mana saya boleh kembali kepada bos saya tanpa menyelesaikan misi ini?

Oleh itu, dia membuat keputusan untuk menguruskan hal ini sendiri…

-Tiga hari kemudian-

Bandar C tiba-tiba mengeluarkan satu kenyataan rasmi: Tiga hari lalu, seorang pegawai berpangkat tinggi melawat Bandar Jing untuk memeriksa keadaan ekonomi bandar itu. Pegawai tersebut menzahirkan perasaan puas hatinya terhadap salah satu syarikat yang besar, Syarikat GK, selepas satu lawatan teliti.

Selepas pengeluaran kenyataan ini, saluran media utama mula mengulang cetak dan mengulang memuat naik kenyataan itu…

Pada masa yang sama, saham Syarikat GK meningkat naik sebanyak 25% menjelang hujung hari itu.

Qin Yumin begitu gembira melihatkan berita tersebut. Nampaknya, keputusan dia menyerahkan GK kepada anak lelakinya ialah satu tindakan yang betul.

Dia tidak tahu bagaimana anak lelakinya boleh berhubung dengan pegawai Bandar C, tetapi syarikatnya benar-benar mendapat faedah daripada hubungan itu.

-Di sebelah petang-

Jam sudah menunjukkan 8.30 malam apabila Qin Chu pulang ke rumah.

"Chu, adakah kamu sudah makan?" Puan Qin bertanya dengan bersemangat.

"Sudah." Qin Chu membalas dan menuju ke tangga.

"Chu, Ayah tengok berita hari ini dan kamu sudah buktikan yang Ayah salah. Ayah sangat ingin tahu bagaimana kamu boleh berhubung dengan pegawai misteri ini." Qin Yumin bertanya dengan formal sambil meletakkan akhbar yang dibacanya.

"Dengan memperjudikan nyawa saya." Qin Chu berpusing sebelum melangkah ke tingkat atas selepas jawapan pendeknya.

Itu memang kebenarannya. Jika ada kesilapan yang berlaku semasa pembedahan tersebut, dia mungkin berakhir di penjara dan dipaksa makan kerak nasi untuk seumur hidupnya.

Ramai yang meminati dan ada juga yang mencemburui rupa luaran seseorang yang luar biasa. Tetapi hanya tidak ramai yang mengetahui betapa banyaknya usaha yang digunakan untuk seseorang mengekalkan rupa luaran yang berseri.

"Kenapa dengan perangainya?" Qin Yumin berasa marah.

"Yumin, anak kita sangat sibuk dengan kerja kebelakangan ini. Tolonglah faham. Syarikat sudah pun berkembang dengan langkah yang stabil. Bukankah ini yang paling kamu mahukan?" Puan Qin bercakap, menyebelahi anak lelakinya.

-Di Hospital Rakyat Pertama-

Sewaktu shif malamnya, Huo Mian bertembung dengan Ning Zhiyuan di dewan.

Ning Zhiyuan nampaknya baru selesai bekerja. Dia memakai kemeja biru dipasangkan dengan seluar khaki cerah dan kasut sukan putih. Dia kelihatan agak kemas dan teratur.

Ketika itu, dia tersedar yang mereka tidak berjumpa satu sama lain selama beberapa hari.

"Huo Mian," Ning Zhiyuan memberhentikannya.

Dia mendongakkan kepalanya dan memandang Ning Zhiyuan dengan mata yang tenang, seolah-olah dia memandang rakan sekerjanya yang lain.

Ning Zhiyuan sedikit kecewa dengan reaksi Huo Mian. Dia menjangkakan yang Huo Mian akan berasa gembira melihatnya.

"Kamu perlukan sesuatu daripada saya?" Huo Mian bertanya dengan tenang.