Chereads / Waktu Remajaku Bermula Dengannya / Chapter 15 - Provokasi

Chapter 15 - Provokasi

Kemudian, dia berpusing untuk melihat ke luar tingkap dengan air muka yang sukar ditafsir. Selepas seketika barulah dia memberi respon, "Apa kena mengena kalau saya sayangkan dia atau tidak? Perkara sudah berlalu. Ianya tidak boleh diputar semula dan apa yang sudah terjadi tidak boleh diubah lagi."

Zhu Lingling dapat mendengar nada melankolik yang berat dalam suara Huo Mian. Dia sejujurnya turut merasakan terluka untuk pihak kawannya.

"Mian, ketika kita di sekolah tinggi, kenyataan yang kamu dan Qin Chu berpasangan membuatkan saya percaya pada cerita dongeng. Kamu berdua adalah insan luar biasa. Macam mana kamu berdua boleh jadi begini hari ini? Sungguh kasihan. Saya akan cakapkan sesuatu, tetapi kamu jangan marah. Saya selalu merasakan yang Ning Zhiyuan tidak cukup bagus untuk kamu. Maksud saya, semasa di sekolah, kamu…"

Huo Mian memotong Zhu Lingling sebelum dia sempat menghabiskan kata-kata.

"Lingling, sudahlah. Semuanya sudah berlaku di masa lampau. Tidak kisahlah apa yang saya rasakan mengenai Qin Chu, tiada jalan untuk kami bersama lagi. Kamu tahu apa yang berlaku, kejadian tujuh tahun yang lalu dan apa yang perkara itu buat pada saya. Saya sudah kehilangan keluarga saya. Apa lagi yang boleh jadi lebih teruk daripada itu? Saya benar-benar berharap yang saya sebenarnya yang mati ketika itu."

Ketika ini, suara Huo Mian tersekat di kerongkongnya.

Zhu Lingling sedar apa yang telah berlaku. Itulah kejadian yang menyebabkan Huo Mian menyembunyikan auranya yang berseri-seri, menyerahkan dirinya menjadi salah satu daripada ahli golongan orang biasa.

Zhu Lingling meletakkan tangannya pada bahu Huo Mian dan memujuknya, "Mian, dengarkan cakap saya. Sudah terlalu lama kamu menyalahkan diri kamu sendiri. Bukankah kamu sudah sedaya upaya menebus diri kamu selama ini? Saya tidak rasakan kamu boleh salahkan Qin Chu juga. Kamu tahu kan bahawa dia berada di luar negara bertahun-tahun lamanya. Kalau mempertimbangkan perasaannya kepada kamu, saya tidka rasa yang dia tahu apa yang telah berlaku."

"Jadi? Dia masih ahli Keluarga Qin, bukan? Bolehkah dia membersihkan kesalahan yang dilakukan oleh keluarganya?" mata Huo Mian merah semasa dia mendesak.

"Mian…" Zhu Lingling masih mahu berkata sesuatu.

Namun, dia terpaksa berhenti apabila dia melihat Huo Mian mengangkat tangannya. "Lingling, kamu tidak perlu berkata apa-apa lagi. Kamu memang sahabat baik saya dan saya tahu kamu hanya memberitahu saya apa yang kamu rasa terbaik untuk saya. Tapi, kamu tidak mungkin faham mengenai pengalaman yang telah saya lalui. Biar saya buat keputusan sendiri untuk perkara ini, okey?"

"Baiklah. Saya cuma berharap, yang apa pun keputusan kamu ambil, kamu jangan salahkan diri kamu. Saya sudah menyaksikan betapa sukarnya beberapa tahun sebelum ini untuk kamu. Saya benar-benar berharap yang kamu akan kembali menjadi Huo Mian yang berkuasa seperti sebelum ini. Seseorang yang tidak akan membenarkan orang lain mempengaruhinya."

Huo Mian tersenyum pahit tetapi dia tidak membalas.

Apa yang dia mahu hanyalah untuk menikmati masa indah dan kaki ayam. Namun, dengan subjek berat mengenai Qin Chu menerawang di udara, dia sudah tidak ada selera lagi.

Dia hanya menyentuh sedikit sahaja makanan tersebut sebelum segera meninggalkan rumah kawannya.

Dalam perjalanan pulang, dia terfikir sekiranya dia patut menelefon Ning Zhiyuan lagi. Lagipun, dia yang salah.

Sebaik sahaja dia mengambil telefonnya dan hampir mendail nombor, ia berdering.

Nama pemanggil memaparkan nombor adik lelakinya.

Dia segera mengangkatnya, "Zhixin."

"Kakak, cepat. Kakak perlu datang ke hospital. Mak pengsan." Di hujung sana suara Jing Zhixin kedengaran sarat dengan keresahan.

"Apa? Mak pengsan? Macam mana? Hospital mana? Saya ke sana sekarang."

"Kami di Hospital Rakyat Keempat, yang dekat dengan rumah. Datang ke tingkat tujuh, bilik 709."

"Okey, saya akan ke sana sekarang."

Selepas mengakhiri perbualan, reaksi Huo Mian begitu tertekan. "Encik, tolong pusing dan pergi ke Hospital Rakyat Keempat!"

Dua puluh minit kemudian –

Huo Mian berlari mendaki tangga dan menerjah masuk ke pintu bilik hospital.

Emaknya terbaring di atas katil, masih tidak sedarkan diri. Mukanya pucat dan dia memakai topeng oksigen.

Di sebelahnya ada seorang budak lelaki dalam usia lewat remaja memakai baju sukan Nike. Rambutnya agak panjang dan wajahnya kelihatan lembut.

Dia ialah adik berlainan bapa Huo Mian, Jing Zhixin. Mereka berkongsi emak yang sama.

"Kak, kakak dah sampai."

"Zhixin, apa yang berlaku kepada emak? Kenapa kamu tidak berada di sekolah? Kenapa kamu di hospital?"