Chereads / AKU AKAN MENGUNCI SYURGA / Chapter 49 - Gunung Percubaan oleh Api

Chapter 49 - Gunung Percubaan oleh Api

"Sekta Takdir Ungu Lembayung ialah salah satu sekta besar dari Wilayah Selatan. Mungkin mereka hanya pengikut Sekta Luaran, tetapi untuk menyertai Sekta ini, setiap orang mesti melepasi sembilan ujian yang sukar. Setiap bulan, mereka akan membenamkan tubuh mereka dalam Mata Air Rohani. Mereka memiliki bahan berharga dalam jumlah yang tidak terkira dan semuanya memiliki bakat semulajadi yang luar biasa, jarang terlihat di Sekta lain."

"Pengikut ini mampu meratakan gunung dengan lambaian tangan dan haiwan Syaitan kamu juga tidak layak dimakan oleh para pengikut saya. Binatang Rohani kamu bukan binatang bermutasi, tetapi binatang tolol!" Wu Dingqiu menjeling. Para pengikut di belakangnya menunduk malu, melirik kepada Si Aneh Song.

Si Aneh Song merenung sejenak, terkejut. Dia melibas lengan bajunya dan seperti hendak mengatakan sesuatu ketika Wu Dingqiu tiba-tiba melompat dan menghadap pengikutnya.

"Pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung !" dia mengaum. "Ini mungkin kali pertama kamu berada di luar Sekta. Tetapi gunung ini, tempat hidup dan mati ditakdirkan. Tempat latihan kenaikan tahap untuk Sekta Dalaman. Siapa sekalipun yang mendaki ke gunung dan sampai ke pertengahan gunung akan diingati. Siapa yang mencapai puncak gunung, bahkan lebih dari itu dan berhasil mematahkan tiang bendera yang cabuk itu akan menjadi pengikut peribadi saya, dan akan dimasukkan ke dalam Sekta Dalaman Takdir Ungu Lembayung! Apa yang kamu termenungkan lagi? Cepat bertindak!"

Setelah mendengar kata-kata ini, wajah para pengikut berjubah putih penuh dengan inspirasi dan mata mereka bersinar. Ini pertama kalinya mereka berada di luar Sekta. Beberapa orang pengikut sangat ingin menjadi anggota Sekta Dalaman, manakala yang lain pula ingin mendapatkan khazanah. Menurut khabar angin yang mereka dengar di Sekta, sejumlah besar Batu Rohani, pil perubatan, dan barang sakti disembunyikan di gunung khazanah Negeri Zhao ini.

Hampir seratus susuk tubuh meluru ke arah gunung, sesuatu sangat yang mengejutkan.

Puncak gunung itu sangat tinggi, dan gunung itu sendiri dikelilingi oleh hutan.

Dengan serta-merta, satu suara gemuruh kedengaran di sebalik pokok-pokok. Raungan binatang buas memecah keheningan malam.

Dua jam berlalu di mana jeritan sengsara dapat didengar secara berterusan dari Hutan Binatang Syaitan, terutamanya di kawasan sempadan. Tiba-tiba, tujuh atau lapan orang pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung berlari keluar daripada hutan tersebut, wajah mereka dipenuhi ketakutan. Mereka dikejar oleh tiga binatang buas yang memiliki kepala naga dan tubuh harimau. Tanah bergetar di bawah kaki binatang-binatang itu.

Daya kehidupan ketiga-tiga binatang ini kelihatan seperti tiada batasan. Kekuatan biantang ini juga sangat luar biasa. Bulu yang panjang dan tebal, membuatkan semua binatang ini kelihatan benar-benar berbeza daripada Binatang Syaitan yang biasa. Semuanya kelihatan sangat buas dan ganas. Ketika bernafas, aura Binatang Syaitan ini berubah menjadi Ular Kabus yang melilit tubuh, membuat para pengikut yang baru dan tidak berpengalaman ini betul-betul takut. Wajah mereka menjadi pucat, dan mereka cepat-cepat melarikan diri.

Sebaik mereka melangkah keluar dari sebalik pokok, Binatang Syaitan itu berhenti mengejar mereka dan memberikan renungan tajam ke arah tujuh atau lapan orang pengikut itu. Kemudian binatang-binatang itu berpusing ke belakang dan menghilang ke dalam ke hutan.

Di dataran tinggi yang rata itu, Si Aneh Song ketawa terbahak-bahak. "Wu Dingqiu, inilah Binatang Rohani yang saya pelihara. Apa pendapat kamu? Walaupun pengikut kamu membesar di dalam Mata Air Rohani, tidak ada gunanya. Jangan kata Binatang Rohani yang lebih kuat di gunung khazanah, Pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung tidak mampu melawan Hutan Haiwan Rohani sekalipun! "

Wu Dingqiu duduk di situ dengan jubah putihnya, ekspresi tidak menyenangkan di wajahnya. Dia merenung marah pada tujuh atau lapan Pertapa itu. Namun, nada suaranya tetap sombong seperti biasa sambil dia dengan tenang, "Ini semua pengikut yang hanya berada di peringkat kelima atau keenam Pemekatan Qi. Yang benar-benar Terpilih dalam Sekta saya semuanya masih di dalam hutan. Tidak lama lagi mereka akan dapat melangkah masuk ke gunung cabuk kamu itu. Setelah itu mereka akan membersihkan semua sampah yang telah kamu sembunyikan di sana! "

Setelah dua jam masa berlalu...

Setakat ini, tidak ada yang mampu melawan Hutan Binatang Syaitan untuk melangkah kaki ke gunung itu sendiri. Saat ini, jeritan dan tangisan yang menyedihkan kedengaran keluar di sebalik pokok, dan tak lama kemudian, kekecohan terjadi di tepi hutan ketika lebih sepuluh orang Pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung melarikan diri. Ketakutan memenuhi wajah mereka, dan beberapa orang daripada mereka tercedera. Ini pertama kalinya mereka berada di luar Sekta, dan mereka seperti bunga yang ditanam di ruangan yang tidak pernah menghadapi angin dan hujan. Mereka dikejar oleh sekelompok lima ekor Binatang Syaitan yang melolong. Salah satu daripada binatang itu ialah harimau berwarna hitam pekat yang ganas. Seekor lagi ialah burung merak raksasa setinggi hampir enam meter. Selebihnya agak sukar untuk dikenalpasti, tetapi jelas sangat luar biasa.

Di dataran tinggi, Si Aneh Song sekali lagi ketawa dengan puas. Dia kelihatan sangat bersemangat dan menjadi semakin gembira sewaktu melihat wajah Wu Dingqiu yang semakin menggerunkan.

"Wu Dingqiu, benarkah ini semua pengikut yang paling cemerlang di Sekta Takdir Ungu Lembayung? Nampaknya dibesarkan di dalam Mata Air Rohani juga benar-benar tidak membantu. Saya rasa walaupun mereka makan makanan yang dibuat daripada bahan berharga, masih tidak ada gunanya. Gunung khazanah saya dipenuhi dengan barang-barang yang jarang dapat dilihat di Wilayah Selatan. Saya telah menghabiskan seluruh tenaga selama bertahun-tahun untuk projek ini. Setelah bertahun-tahun membiarkan makhluk itu membesar dalam kekuatan, gunung saya bersedia menghalang apa jua yang cuba mencerobohinya. Saya sudah lama menunggu Sekta Takdir Ungu Lembayung datang untuk mengujinya."

Wajah Wu Dingqiu menjadi sangat menggerunkan sehingga kelihatan boleh meletup pada bila-bila masa sahaja, seperti gunung berapi. Dengan suara kaku, dia berkata, "Ini hanya gunung yang cabuk, tidak ada apa yang hendak dibanggakan. Saya boleh meratakan semuanya dengan gelombang tangan. Semua pengikut yang kembali keluar tidak berguna. Yang terpilih ialah..." Saat kata-kata itu diucapkan, matanya tiba-tiba terbeliak. Segelintir pengikut baru saja berlari keluar dari pinggir Hutan Syaitan. Dia melompat berdiri. Sambil mengaum, dia berkata, "Kembali ke dalam hutan sana! Jika ada yang berani melarikan diri, saya akan keluarkan kamu dari Sekta!"

Raungannya bergema ke seluruh kawasan, tetapi tidak terlalu jauh. Dia membataskan bunyi itu sekitar lima puluh kilometer. Ketika mereka mendengarnya, para pengikut yang baru saja melarikan diri dari hutan tadi menjadi pucat dan mulai mengigil. Mereka tidak berani melarikan diri. Sambil menggertakkan gigi, mereka bergerak kembali ke dalam hutan. Binatang Syaitan yang mengejar mereka juga ketakutan, dan tidak berani menyerang.

Bagi dua puluh atau lebih pengikut yang sudahpun berjaya melarikan diri dari Hutan Syaitan, wajah mereka menjadi lebih pucat, dan mereka teragak-agak. Mereka tidak yakin jika mereka harus kembali atau tidak.

"Tidak kira sama ada pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung atau pengikut Sekta lain, selama tujuh hari ini, siapa sahaja dapat memasuki Hutan Binatang Rohani saya," kata Si Aneh Song dengan ketawa yang kuat. "Siapa sekalipun yang memiliki kemahiran untuk menjejakkan kaki di gunung khazanah saya akan dapat memiliki kesempatan untuk mengambil khazanah itu. Saya tidak akan menghentikan mereka ataupun mengerutkan kening. Malahan bendera di puncak gunung boleh menjadi sasaran sesiapa jua. Di sana saya telah meletakkan satu beg berisi Kosmos, yang dapat diisi dengan gunung dan sungai.

Setelah mendengar ketawa Si Aneh Song, wajah Wu Dingqiu kelihatan sangat menakutkan. Dia mulai merasakan Si Aneh Song ini sangat busuk hati. Dia telah meletakkan segala khazanah di gunung dan sangat yakin yang khazanah ini tidak akan disentuh oleh sesiapa sekalipun. Wu Dingqiu melibas lengan bajunya dan mahu berlalu pergi. Dia sudah mengalami terlalu banyak penghinaan, dan tidak dapat bertahan lagi. Tapi sebelum dia sempat pergi, Si Aneh Song berdiri dan menghalang jalannya.

"Rakan Taoist Wu, kita ada satu perjanjian. Sebelum kita selesaikan permainan Go, tiada siapa yang boleh pergi. Kamu Orang Kanan dari salah satu Sekta Besar di Wilayah Selatan. Kamu tidak akan memungkiri janji, bukan?" Saat dia ketawa, janggutnya ternaik sedikit. Wajahnya dipenuhi dengan kebanggaan, dan dia langsung tidak berniat untuk membiarkan Wu Dingqiu pergi.

Ketika itu, Meng Hao berada beberapa ribu kilometer jauhnya dan sedang terbang dengan cepat melalui hutan gunung. Di sekelilingnya, dedaunan musim gugur melayang di udara, dan di belakangnya, Shangguan Xiu sedang mengejar untuk membunuhnya.

"Gunung Perisai Negeri sangat panjang, Meng Hao," kata Shangguan Xiu, suaranya menggerunkan. "Kedalamannya dipenuhi bahaya! Bergerak ke arah ini sama seperti mengundang maut!"

"Diam," kata Meng Hao dengan dingin. Dia mengerutkan kening. Ini kali pertama dia berusara. Dia benar-benar menyampah dengan Shangguan Xiu. Pada pendapatnya, tidak ada masalah jika Shangguan Xiu ingin mengejarnya, tetapi celotehan tanpa henti itu tidak perlu.

Mata Shangguan Xiu berkilauan dan dia mengangkat kedua-dua tangannya ke hadapan, lalu menepuknya.

Meng Hao tiba-tiba merasakan satu tusukan yang menyakitkan di dadanya saat bunyi tepukan itu kedengaran. Rasanya seperti pedang yang tajam menembus ke dalam jantungnya. Wajahnya penuh dengan rasa sakit dan dia muntah darah.

"Akhirnya kamu bercakap, dasar anak anjing! Kamu terpedaya dengan muslihat saya! Itu sihir khusus dari keluarga saya yang telah direka untuk merosakkan jantung dan pembuluh darah." Dengan senyuman sinis, dia meningkatkan kelajuannya. Shangguan Xiu mengangkat tangan kanannya, dan sebutir mutiara lima warna muncul. Dia melemparkannya ke depan, dan lalu ditembak ke arah Meng Hao. Sebelum sampai pada Meng Hao, mutiara itu tiba-tiba meletup, berubah menjadi beberapa aliran kabus lima warna yang kemudiannya bergabung menjadi roh jahat yang mengerikan. Roh itu melolong saat menerkam ke arah Meng Hao.

Meng Hao menoleh ke belakang dengan ekspresi menggerunkan. Tidak ada masa untuk dia meludahkan darah daripada mulutnya. Tangannya bergerak-gerak dalam pola mantera, dan tubuhnya bergerak laju dengan kelajuan yang semakin meningkat. Saat Kabus Rohani lima warna itu menghampirinya, Glob Air berukuran sebesar kepala manusia terbentuk di tangan kirinya. Daripada kanannya muncul Ular Berapi sepanjang tiga puluh meter. Glob Air meluncur laju terlebih dahulu dan meletup membentuk hujan Panahan Air.

Ular Berapi terbang ke depan, lalu meletup di udara, mengeluarkan haba yang panas ke udara malam. Ini menyebabkan titisan air berubah menjadi kabus. Dipandu oleh aura dari asas Pertapaan Meng Hao, kabus ini mengelilingi kawasan itu, menyebabkan Kabus Rohani lima warna itu kebingungan dan tidak dapat mencari kedudukan Meng Hao.

Penglihatan Shangguan Xiu juga menjadi kabur dan membuatnya terkejut. Setelah kabus itu muncul, sebelum Shangguan Xiu sempat pulih, dua sinar yang dingin dan senyap, bergerak ke arahnya.

Bunyi ledakan kedengaran, dan Meng Hao mengeluh kecil. Tanpa teragak-agak, dia mengubah arahnya dan terus bergerak ke hadapan sambil menelan Teras Syaitan untuk menambahkan kekuatan rohaninya. Di belakangnya, raungan marah dapat didengari, dan kabus itu langsung hilang dibawa oleh puting beliung. Shangguan Xiu bergerak ke hadapan, ekspresi marah di wajahnya. Darah menitis daripada luka di tangan kanannya. Kabus Rohani tidak kelihatan lagi.

Ketika dia memikirkan kembali apa yang baru saja terjadi, matanya mengecil. Kalau bukan kerana reaksi cepatnya meletupkan Kabus Rohani untuk menghalang dua pedang kayu itu, dia pasti akan kehilangan tangan kanannya. Namun begitu, tangannya telah tercedera. Yang lebih merisaukan lagi, dia merasakan tenaga rohani di dalam tubuhnya perlahan-lahan keluar melalui lukanya. Selain itu, lukanya tidak sembuh dengan cepat seperti biasa. Dia dapat menghentikan aliran darah, tetapi bukan kebocoran tenaga rohaninya.

"Si celaka ini terlalu licik. Dia memiliki beberapa teknik tahap rendah, tetapi dia tahu menggunakannya dalam pelbagai cara yang rumit. Sangat sukar untuk ditangani!" Shangguan Xiu mengerutkan kening, tetapi dia terus mengejar Meng Hao.

Kedua-dua mereka terus bergerak, dan masa berlalu. Tidak lama kemudian, tibalah waktu fajar. Setelah semalaman mengejar dan melarikan diri, kedua-dua mereka sudah keletihan. Bagi Meng Hao, keadaannya lebih baik. Walaupun dia tidak mempunyai peluang untuk berehat, dia telah mengalami keadaan seperti ini di gunung hitam. Satu-satunya perbezaan adalah gunung liar ini tidak ada sebarang Binatang Syaitan. Sekiranya gunung liar ini mempunyai Binatang Syaitan, maka lebih mudah baginya untuk menangani Shangguan Xiu.

Bagi Shangguan Xiu pula, inilah kali pertama dia berlawan dengan seorang Pertapa seperti Meng Hao yang melancarkan teknik yang licik dan sulit. Kedua-dua pedang kayu itu amat menakjubkan. Dia pada mulanya merancang untuk mengejar Meng Hao sehingga tenaga rohani Meng Hao habis. Sebaliknya, Meng Hao kelihatan cergas dan penuh tenaga seperti naga atau harimau. Adakah mempunyai bekalan pil perubatan yang tiada had?

"Jika sangat sukar untuk mengalahkan Meng Hao ketika dia di peringkat ketujuh tahap Pemekatan Qi, pasti lebih sukar lagi apabila dia berada di tahap yang lebih tinggi?" Shangguan Xiu mengetap rahangnya, menelan pil perubatan kemudian terus mengejar. Dia di peringkat kesembilan tahap Pemekatan Qi, tahap yang sama seperti Meng Hao walaupun berbeza peringkat. Dia lebih laju berbanding Meng Hao tetapi tidak boleh melakukan apa-apa selain mengejar.

Sudah tentulah dia tidak mengetahui yang walaupun Meng Hao berada di peringkat ketujuh, kaedah Pertapaannya bukanlah kaedah biasa yang digunakan dalam Sekta Reliance, tetapi daripada Manual Pemekatan Qi Kitab Suci Rohani. Walaupun Meng Hao tidak mempelajari apa-apa teks khas berkaitan teknik serangan, dalam hal yang berkaitan dengan tenaga rohani, dia dapat bertahan lebih lama daripada Pertapa biasa.

Dengan bantuan tambahan daripada beberapa Teras Syaitan, tidak ada cara yang Shangguan Xiu dapat lakukan untuk menandinginya dalam masa yang singkat.

Menjelang pagi, kedua-dua mereka telah mengembara sangat jauh. Di hadapan Meng Hao muncul gunung yang sangat tinggi, puncaknya mencecah ke langit, separuh puncaknya terbenam di dalam salji. Sekilas pandang, semua orang boleh mengagak ini bukan tempat yang biasa.