Mata Meng Hao bersinar sebaik sahaja dia dapat melihat gunung itu di hadapannya. Gunung itu sangat luar biasa dan mungkin terdapat beberapa haiwan Syaitan di dalamnya juga. Walau apa-apa pun, dia tidak mempunyai masa untuk memikirkannya dan tubuhnya kelihatan melayang ke hadapan sewaktu dia terus meluncur ke arah hutan belantara di kaki banjaran itu.
Riak wajah Shangguan Xiu berubah di belakangnya. Asas Pertapaannya lebih tinggi daripada Meng Hao dan dia telah menempuhi dunia Pertapaan selama bertahun-tahun serta sudah melihat macam-macam. Dia tahu yang ada sesuatu yang tidak kena tentang gunung ini. Tetapi setelah dia melihat Meng Hao terus meluru ke hadapan, dia membuang semua keraguannya. Dia mengetap giginya dan terus mengekori Meng Hao.
Sementara itu, Wu Dingqiu yang berjubah putih dan Si Aneh Song sedang duduk di atas penara. Mereka seolah-olah sedang bermain Go, tetapi sebenarnya mereka sedang menumpukan perhatian pada pertarungan yang sedang berlaku di bawah mereka. Dari sudut pandangan mereka, pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung memang jelas tersekat di dalam belantara gunung itu dan setelah satu malam berlalu, mereka masih tidak dapat menjejakkan kaki di gunung itu. Seorang demi seorang telah didesak keluar oleh haiwan Syaitan.
"Pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung memang luar biasa," Si Aneh Song bersuara sambil ketawa. "Kemampuan untuk bertahan di dalam hutan Haiwan Rohani ialah sangat hebat. Wu Dingqiu, awak patut bangga." Dia kelihatan sangat puas hati dan lebih gembira sewaktu dia melihat riak wajah Wu Dingqiu yang kemarahan.
Malah wajah Wu Dingqiu semakin bengis ketika melihat keadaan pengikutnya yang menyedihkan di dalam hutan itu. Dia mendengus marah.
"Wu Dingqiu, awak patut berbangga. Sebelum ini, Sekta Fros Emas telah datang pada saya untuk menerima cabaran ini dan semuanya telah ditumpaskan oleh haiwan Rohani saya. Tiada seorang pun yang berjaya tiba ke gunung khazanah saya untuk melihat kekuatan sebenar haiwan Syaitan itu. Saya berasa sangat sedih tentang hal itu. Saya benar-benar berharap pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung boleh menunjukkan kehandalan mereka. Hutan Rohani ini dipenuhi haiwan Rohani yang telah dipilih dengan teliti. Contohnya, yang itu." Dengan bangga dia menunjuk dengan jari ke arah seekor mawas berwarna putih.
Seluruh badan termasuklah matanya putih seperti salji dan rupa bentuknya sangat bengis. Dengan sekali hayunan cakarnya, lengan seorang pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung dicantas dan menyebabkan darah terpercik ke merata tempat. Mawas itu bergerak dengan kepantasan luar biasa seperti angin putih dan telah pun mencederakan dalam tujuh atau lapan pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung di sekitarnya.
"Itu haiwan berubah bentuk Puncak Salji yang jarang dilihat di dunia ini. Saya berjaya menangkapnya dalam sepuluh tahun lepas. Mawas itu hampir pupus. Lihatlah bulunya itu yang putih suci seperti salji dan licin seperti sutera. Suatu hari nanti, harganya pasti melonjak naik." Si Aneh Song ketawa puas hati. Qu Dingqiu kelihatan lebih muram. Dia tidak pernah sangka yang setelah beberapa tahun ini, gunung khazanah Si Aneh Song telah mempunyai banyak haiwan Syaitan yang kuat.
Sewaktu Si Aneh Song sedang bercakap, satu susuk tubuh muncul di hujung hutan berhampiran dengan mawas putih itu. Itu adalah Meng Hao bersama Shangguan Xiu di belakangnya. Si Aneh Song tertawa.
"Oh! Ada orang luar datang mahu menganggu. Wu Dingqiu, sila perhatikan apa maksudnya dengan berpegang pada janji. Saya takkan halang mana-mana Pertapa tahap Pemekatan Qi daripada memasuki kawasan ini. Sesiapa sahaja boleh masuk. Walaupun mereka pasti akan mati, saya takkan halang mereka."
Wu Dingqiu mendengus dan tidak menghiraukan sedikit pun Meng Hao dan Shangguan Xiu. Sebaliknya, dia hanya melihat pada mawas putih yang baru sahaja berdepan dengan seorang lagi pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung. Pengikut itu berusia lebih kurang dalam tujuh belas atau lapan belas tahun umurnya. Tangannya terhayun-hayun sambil membaca jampi dan tiba-tiba bayangan manuskrip kuno terbentang di belakangnya. Sebuah aura mengalir keluar dan menekan mawas putih itu lalu ia menjerit kesakitan.
"Mawas berubah bentuk yang hebat," Wu Dingqiu bersuara. "Si Aneh Song, tidak kira betapa hebatnya haiwan itu, ia akan jadi haiwan peliharaan pengikut saya! Nama dia Shi Yan. Sewaktu dia memasuki Sekta ini, dia memperolehi manuskrip kuno yang boleh menangkap haiwan Syaitan di peringkat ketujuh Pemekatan Qi." Walaupun hati Dingqiu berdegup kencang, tetapi riak wajahnya tenang dan sedikit bangga. Memandangkan kedudukan dan asas Pertapaannya, dia tidak boleh menunjukkan perasaan amarahnya. Tetapi Si Aneh Song membuatkan dia sukar untuk menyimpan perasaannya. Terutama sekali setelah penghinaan malam semalam.
Namun, sebaik sahaja kata-kata itu keluar daripada mulutnya, satu raungan kesedihan dapat didengari. Darah membuak-buak keluar dari dada Shi Yan dan manuskrip kunonya berkecai menjadi keping-kepingan. Dia berundur dan rasa ketakutan terpancar dari matanya. Tubuh mawas putih itu mula membesar sehingga hampir lapan belas meter tingginya dan ia memukul-mukul dadanya seolah-olah dipenuhi dengan kekuatan.
Si Aneh Song ketawa berdekah-dekah. Wu Dingqiu menatap mawas putih itu dengan wajah yang berang. Dia cuba mengawal dirinya daripada meluru ke hadapan dan menghancurkan makhluk itu hingga mati.
Pada masa itu juga, Meng Hao sedang meluncur keluar dari hutan itu. Sebaik sahaja dia ternampak mawas yang meraung itu, matanya bercahaya terang. Dia juga ternampak pemuda yang ketakutan itu dari jauh, tetapi dia tiada masa untuk mempertimbangkan keadaan itu.
Dengan kehadiran orang ramai, Meng Hao takkan mendedahkan cermin tembaga itu. Dia berasa teruja ketika mawas putih itu menyedari kehadirannya. Haiwan itu meluru ke arahnya, melolong dengan sangat ganas. Meng Hao mengangkat tangan kanannya dan sebilah lembing waja muncul dengan tiba-tiba. Lembing itu ciptaan bapa Si Gempal yang ditempa mengikut perincian yang diberi olehnya. Pertapa muda bernama Shi Yan telah menyaksikan kemunculan lembing itu.
Sudah tentu bukan lembing panjang itu sahaja yang muncul. Cermin tembaganya juga turut timbul dan disembunyikan di dalam lengan baju Meng Hao. Kain lengan bajunya sangat lebar dan tiada siapa yang boleh melihatnya, terutama sekali memandangkan mata mereka akan tertarik pada lembing panjang itu.
Lembing itu ditempa daripada besi biasa, tetapi permukaannya dilitupi oleh pelbagai rekaan rumit yang telah direka oleh Meng Hao. Sekali imbas, ia kelihatan seperti luar biasa. Dengan mengayun-ayunkan lembing itu, dia mara ke hadapan sambil menghunuskannya ke arah mawas yang meluru ke arahnya.
Tiba-tiba, mulut lebar mawas putih itu meletup dengan dahsyat sehingga darah dan daging berterbangan di merata tempat. Jeritan kesakitan kedengaran serta-merta. Mawas itu jatuh terhempas ke tanah sambil melihat Meng Hao dengan ketakutan.
"Mungkin sewaktu cermin ini menyinari seekor haiwan yang berbulu lebat, ia akan menyebabkan gangguan pada Qi di dalam badannya sehingga membengkak. Haiwan Syaitan lebih besar dan kuat. Jadi, haiwan ini akan cuba keluar dari mana-mana titik kelemahan tubuh itu dan bukan punggung sahaja. Itulah yang mengakibatkan kecederaan letupan ini." Ini semua memang sekadar tanggapan sahaja, tetapi Meng Hao kelihatan seperti telah memahami cermin ini dengan lebih dalam lagi setelah melihat benda yang berlaku pada mawas putih itu. Setelah memiliki cermin tembaga itu selama tiga tahun, dia dapat rasa dia semakin hampir untuk memahaminya kali ini.
Namun, ini bukan masanya untuk meneka-neka. Tanpa menghiraukan mawas putih yang cedera parah itu, dia terus meluncur sambil memegang lembing waja itu. Dalam sekelip mata dia telah tiada di kawasan itu. Kemudian, Shangguan Xiu telah tiba di sana dan terkejut setelah melihat mawas putih itu.
Mawas putih itu juga terkejut dan perasan yang Shangguan Xiu juga kebetulan membawa sebilah lembing. Api kemarahannya meletup dan mawas itu menerkam ke arah Shangguan Xiu.
Manakala di penara itu pula, gelak ketawa Si Aneh Song sudah tidak kedengaran lagi. Di sebelahnya, Qu Dingqiu juga terkejut sewaktu menyaksikannya. Mereka melihat pada Meng Hao dan lembing wajanya dengan penuh kekaguman.
Meng Hao memecut menerusi hutan Haiwan Syaitan sambil mendengar lolongan mawas putih dan raungan Shangguan Xiu. Matanya berkelip-kelip dan dia mendengus. Tidak lama kemudian, dia terdengar satu lagi kekecohan yang datang dari hadapan. Beberapa ketika kemudian, dia melihat empat atau lima Pertapa berjubah putih sedang di dalam pertarungan ganas dengan tiga ekor haiwan Syaitan yang setiap seekor berketinggian enam meter.
Seekor ialah harimau kumbang besar dan seekor lagi ialah seekor merak yang tubuhnya memancarkan cahaya ungu lembayung. Terakhir sekali itu ialah tikus raksasa yang kelihatan ganas dan kejam, dan seperti sukar untuk dibunuh.
Sebaik sahaja Meng Hao muncul di tengah-tengah pertarungan itu, mata merak itu menjadi ganas dan haiwan itu meluru seperti ribut taufan ke arah Meng Hao.
Dengan kelihatan tenang seperti biasa, Meng Hao terus mara dan mengacu lembing waja itu ke hadapan. Tiba-tiba, tubuh merak raksasa itu menggigil dan haiwan itu terus meraung dengan dahsyat. Kemudian, kepalanya meletup dan badannya jatuh ke tanah. Merak itu mati dengan isi kepala terburai. Harimau kumbang dan tikus raksasa terkejut. Sewaktu mereka tergamam melihatnya, tubuh Meng Hao bertukar menjadi satu jalur cahaya dan dia terus meluncur jauh.
Pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung telah melihatnya dan tergamam sewaktu Meng Hao menghilang. Lembing wajanya telah meninggalkan mereka terpinga-pinga.
Meng Hao terus berlari tanpa berhenti walau sejenak pun. Pada saat ini, Shangguan Xiu telah meneruskan pemburuannya.
Satu senyuman sinis telah muncul di wajah Meng Hao. Dia meningkatkan kelajuannya dan meluru ke hadapan. Setiap kali dia bertembung dengan seekor haiwan Syaitan, dia akan mengayunkan lembingnya dan haiwan itu akan melarikan diri dengan menjerit kesakitan. Tiada seekor haiwan pun yang dapat menghalang laluannya. Manakala, Shangguan Xiu pula asyik dihalang di setiap tempat dan raungan kemarahannya kedengaran semakin jauh dari Meng Hao.
Meng Hao juga bertembung dengan lebih ramai Pertapa berjubah putih yang muda di sepanjang perjalanannya dan mereka semua tersekat di dalam pertarungan maut dengan haiwan Syaitan. Sewaktu dia melepasi mereka, makhluk ganas yang seolah-olah tidak dapat ditandingi ini tersentak ke belakang dengan jeritan yang mengerikan. Para Pertapa itu melihat sosok tubuh Meng Hao yang melarikan diri itu dengan kagum.
"Siapa itu tadi?"
"Lembing panjang itu macam benda ajaib! Ia sangat berkuasa!"
"Kejam betul! Tak guna. Kalaulah aku ada lembing macam itu, aku boleh mengamuk dalam seluruh Hutan Haiwan Syaitan ini."
Perbualan hangat mula meletup dalam kalangan pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung yang disebabkan laluan Meng Hao yang mengejutkan itu. Di atas penara, mata Wu Dingqiu bercahaya dan dia tersenyum sinis. Dia ketawa berdekah-dekah kerana kegembiraan yang bercampur-baur dengan kemarahan.
"Jadi, inilah haiwan berubah bentuk," dia bersuara. "Bagus, sangat bagus. Ini semua haiwan yang menakjubkan. Biar saya lihat. Hmm, ada yang kehilangan mata dan ada yang kepalanya telah direntap. Ada beberapa ekor dengan seluruh tubuh berlumuran darah dan malah ada yang punggungnya meletup. Si Aneh Song, bukankah awak cakap yang Hutan Haiwan Syaitan telah disuburkan dengan tanah dari Laut Timur? Dan bukankah awak cakap yang haiwan berubah bentuk ini sangat luar biasa? Nampaknya mereka mengalami sedikit kesukaran hari ini."
Riak wajah Si Aneh Song berubah menjadi marah sewaktu melihat Meng Hao melalui Hutan Haiwan Syaitan. Dia telah menyaksikan kesemua haiwan Syaitan yang disayanginya melarikan diri dengan raungan kesakitan dan berlumuran darah. Ketika dia melihat kematian burung merak itu, hatinya seolah-olah ditusuk sebilah pisau. Jenis burung merak ini dipanggil Phoenix Salji dan hampir pupus. Dia telah membayar harga yang sangat tinggi untuknya beberapa tahun lalu dan dia menjaganya ibarat permata berharga. Namun, lembing waja itu telah meletupkan kepalanya dengan sekelip mata. Walaupun telah mati, daya hidupnya yang kuat menyebabkan mayatnya menggerenyet dan menggeliang-geliut. Si Aneh Song berasa sangat menyesal, tetapi matanya yang bersinar itu tidak menunjukkan rasa simpati langsung.
"Siapa peduli?" Dia bersuara. "Ada banyak haiwan Syaitan di dalam Hutan Haiwan Syaitan saya. Ini hal kecil sahaja. Apa-apa pun, budak ini bukanlah pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung awak, jadi kenapa awak gembira sangat?" Dia bercakap dengan tenang, tetapi hatinya mula berdegup kencang.