Chereads / AKU AKAN MENGUNCI SYURGA / Chapter 37 - Air dan Dakwat pada Waktu Petang

Chapter 37 - Air dan Dakwat pada Waktu Petang

Bunyi loceng, bergema di dalam hati Meng Hao dan ke seluruh Sekta Reliance. Sejurus kemudian, Meng Hao dapat melihat pengikut yang tidak terhitung jumlahnya bergegas ke hadapan.

Tidak lama kemudian, dataran itu menjadi sesak. Sewaktu berjalan masuk, mereka semua memandang Meng Hao dengan terkejut, kemudian memberi tabik hormat.

Si Gempal berdiri di tengah-tengah orang ramai. Dia kelihatan gembira sambil mengikir giginya dengan pedang terbang. Dia dikelilingi oleh sekelompok pengikut yang mengampunya.

"Abang Meng yang akan mengedarkan Pil Perubatan hari ini. Aku masih ingat sewaktu dia masih seorang pengikut Sekta Luaran seperti kita, tapi sekarang dia ahli Sekta Dalaman."

"Abang Meng ialah seorang yang berilmu dan berpekerti lembut. Aku dengar dia pernah menjadi sarjana yang bertaraf tinggi, tetapi dia lebih berminat dengan Pertapaan. Jadi dia berhenti dan menyertai Sekta Reliance."

"Sekarang setelah kamu menyebutnya, aku teringat pertama kali aku melihat Abang Meng bertahun-tahun lalu. Aku dapat merasakan dia bukan orang biasa. Sepanjang pertarungannya dengan Wang Tengfei, aku tahu Abang Meng pasti akan mencapai kemenangan." Bunyi perbualan mengisi ruang udara sehingga akhirnya sampai ke telinga Meng Hao. Dia terus terbatuk-batuk.

Walaupun bunyi batuk itu perlahan, tetapi bunyi itu telah menyebabkan semua pengikut yang berada di dataran tiba-tiba terdiam. Mereka memandang Meng Hao dengan hormat. Matahari pagi menyinari jubah peraknya dan membuatkan dia kelihatan seperti makhluk cakerawala.

Meng Hao ternampak Zhou Kai di celah-celah orang ramai itu. Wajahnya nampak berkonflik. Kemudian dia terlihat Yin Tianlong yang kelihatan serius dan tersenyum paksa terhadap Meng Hao. Dia juga melihat para pengikut di peringkat keempat Pemekatan Qi yang dikenalinya sewaktu ujian Sekta Dalaman. Ketika dia melihat mereka, mereka kelihatan berpura-pura baik.

Dia juga terlihat Cao Yang yang sedang berdiri sambil menggigil.

"Hari ini saya akan mengetuai Pembahagian Pil," kata Meng Hao. Dia seorang sarjana, jadi dia tidak perlu menyediakan teks ucapannya. Dia boleh bercakap secara spontan. Apabila dia bercakap, kata-katanya mempunyai kesan dan terpahat di hati para penonton. "Pengikut yang ikhlas, tekunlah berlatih Pertapaan dan akhirnya kamu pasti akan melepasi peringkat keenam. Saya menantikan hari di mana Sekta Dalaman Reliance mendapat seorang lagi pengikut."

Kekuatan kata-katanya bukan datang dari asas Pertapaannya, tetapi statusnya sebagai pengikut Sekta Dalaman.

"Kami akan mengingati teguran Abang Meng." Beberapa orang di bawah mula berbual, muka mereka penuh dengan emosi. Keadaan mereka seolah-olah baru sahaja mendengar suara Syurga. Seorang demi seorang memberikan tabik hormat pada Meng Hao.

Sejurus selepas itu, semua orang mengulangi kata-kata Meng Hao tadi sehingga seluruh dataran mengucapkan kata-kata itu secara serentak dan berharmoni.

Meng Hao mengambil beg sakti daripada Zhao Hai yang berada di sebelahnya. Dia membuka beg itu dan melambaikan lengan bajunya. Pil perubatan dan Batu Rohani mula diagihkan pada semua orang.

Selepas itu, tangan kanannya melayang ke atas beg saktinya. Seketika kemudian dia memegang sebiji Pil Perubatan berwarna putih susu. Pil itu memancarkan aura putih dan aroma yang wangi dan seolah-olah mengandungi cahaya fajar.

"Itu ... itu Pil Rohani Putih!"

"Pil itu sangat berkesan untuk sesiapa yang berada di peringkat keempat Pemekatan Qi atau di peringkat lebih rendah. Sudah lama pil ini tidak diedarkan. Akhirnya ada sebiji yang muncul!" Tidak lama kemudian, semua orang di dataran bernafas dengan berat sambil merenung pil ubat di tangan Meng Hao.

Mata Meng Hao mengimbas orang ramai. Si Gempal tersenyum. Baginya pil ini bukan sesuatu yang sukar ditemui. Meng Hao telah memberi beberapa biji pil ini kepadanya dan dia menyimpan pil-pil itu di dalam beg saktinya.

"Pil ini sangat luar biasa. Kamu semua pasti tahu yang saya telah merancang untuk memberikan pil ini kepada seorang pengikut yang sesuai. Namun begitu saya ialah seseorang yang lebih mementingkan hubungan persahabatan lama. Saya baru saja terlihat melihat seorang sahabat lama, jadi saya akan kurniakan pil ini padanya." Pandangannya ditumpukan ke arah Cao Yang, yang tiba-tiba mula gementar. Meng Hao menggerakkan tangan kanannya, dan pil itu meluru ke hadapan.

'Habislah aku!' fikir Cao Yang. Dia kelihatan seperti akan menangis. 'Aku akan ambil masa berbulan lamanya untuk sembuh dari kecederaan.' Dia meraung di dalam hatinya, dan sekarang dia tahu bahawa Meng Hao seorang yang berdendam. Walaupun dia telah menjadi pengikut Sekta Dalaman, dia tidak lupa semua perkara yang telah berlaku sebelum ini.

Sewaktu lampu di dataran mulai malap, Meng Hao mengibaskan lengan bajunya dan berlalu pergi. Dia tidak menunggu untuk menyaksikan pertempuran yang akan berlaku.

Si Gempal berlari mengekorinya dengan muka merah padam. Dia merenung Zhao Hai, dan memberikan isyarat supaya hamba suruhan itu berundur jauh sedikit. Dia seolah-olah bimbang budak itu mungkin akan mengambil tempatnya. Dia berjalan di sebelah Meng Hao.

"Abang Meng," katanya dengan penuh harapan. "Apa kata kita berjalan-jalan di sekitar Sekta Luaran?"

Mengimbas kembali bagaimana dia melakukan perkara yang sama dengan Kakak Seguru Xu bertahun-tahun yang lalu, Meng Hao menganggukkan kepalanya sambil senyuman.

Kedua-dua mereka berjalan di hadapan, diikuti oleh Zhao Hai yang kelihatan jengkel. Tidak lama selepas meninggalkan dataran, mereka melihat Zhou Kai bergegas mengejar mereka.

"Salam, Abang Meng," katanya. Riak wajahnya kelihatan risau. Dia telah menyinggung perasaan Meng Hao lebih daripada sekali. Zhou Kai beranggapan setelah Meng Hao menyertai Sekta Dalaman, perilaku Meng Hao akan menjadi lebih terkawal. Tetapi melihatkan nasib Cao Yang, dia menjadi gugup lalu bergegas mendapatkan Meng Hao.

Meng Hao memandangnya tetapi tidak berkata apa-apa. Si Gempal melangkah ke hadapan dan berkata dengan kuat, "Apa yang kau mahu?"

"Beberapa hari yang lalu, saya menemui barang yang berharga. Sebaik sahaja saya melihatnya, saya tahu bahawa barang ini telah ditakdirkan untuk Abang Meng. Sila terima hadiah dari saya." Sambal menggigit lidahnya, dia mengeluarkan beg sakti daripada jubahnya dan menyerahkannya kepada Meng Hao. Si Gempal memberikan mendengus dingin kemudian merampasnya lalu menyerahkan beg itu pada Meng Hao sambil tersenyum lebar.

Meng Hao menerimanya dan melihat isi kandungannya. Kemudian dia mengangguk ke arah Zhou Kai, berpusing dan berlalu pergi. Riak wajahnya sedingin awan di langit. Zhou Kai hanya memerhatikan dengan tidak berdaya. Dia mengeluh di dalam hatinya.

"Saya tidak layak menjadi pengikut Sekta Dalaman, mungkin barangan ini akan menjadikan kamu tidak puas hati..."

Sewaktu Meng Hao berjalan pergi, Yin Tianlong mengeluh dari jauh. Sambil tersenyum, dia bergegas ke hadapan. Dia juga mengatakan dia telah menemui beberapa barang yang ditakdirkan untuk menjadi milik Meng Hao. Dia turut menawarkan beg saktinya, yang di dalamnya ada lima puluh biji Batu Rohani. Meng Hao menerima pemberian ini dengan wajah yang dengan sedikit berkerut.

"Kita berdua sama-sama merupakan pengikut," katanya. "Kejadian masa lalu tidak patut dikenang. Kamu tidak perlu bertindak seperti ini."

Mendengarkan kata-kata ini, jantung Yin Tianlong berdebar. Dia memahami makna sebenar Meng Hao. Dalam hatinya dia mengutuk Zhou Kai yang telah memberikan lebih banyak barang. Dia mengetap rahangnya dan mengeluarkan satu lagi beg sakti. Meng Hao menganggukkan kepalanya.

Sepanjang dia berjalan, Meng Hao bertemu dengan lebih ramai orang yang telah menyinggungnya dahulu. Mereka semua membuat tindakan yang sama. Tidak lama kemudian dia mendapat sepuluh beg sakti baru.

"Apa pendapat kamu?" kata Si Gempal yang kelihatan gembira. "Saya menangani perkara ini dengan baik, bukan? Saya bertemu mereka sebelum ini dan memberikan mereka sedikit nasihat. Saya memberitahu mereka seseorang itu perlu berkorban sedikit hari ini untuk mengelakkan masalah di masa hadapan."

Meng Hao ketawa dan menggelengkan kepalanya. Dia telah merasakan sesuatu yang aneh tentang kejadian-kejadian itu dan menduga Si Gempal pasti sudah merancang sesuatu sejak setengah bulan yang lalu.

"Macam mana dengan pengikut peringkat kelima yang cuba membunuh kamu tempoh hari?" tanya Meng Hao.

"Oh, dia. Saya menggunakan kepingan jed yang kamu berikan untuk membuatnya pergi berjumpa Menteri Sekta Luaran. Menteri itu mengaturkan untuk dia pergi ke pergunungan liar bagi menangkap beberapa binatang syaitan. Dia tidak boleh kembali sehingga dia mendapatkan 100 binatang." Apa yang Si Gempal pedulikan ialah sesiapa yang menyinggung perasaannya perlu membayar harganya.

"Jangan lakukan sesuatu secara terbuka yang boleh membuatkan kamu terperangkap," kata Meng Hao, matanya bersinar dan suaranya rendah.

"Saya faham," kata Si Gempal dengan suara yang sama rendah. "Perkara ini telah diuruskan. Zhou Kai dan Yin Tianlong menyingkirkan pengikut peringkat kelima itu buat selamanya."

Mereka saling berpandangan, kemudian ketawa. Mereka tidak pernah membangkitkan perkara itu lagi selepas itu.

Setelah mengelilingi Sekta Luaran dan disambut oleh ramai pengikut, mereka akhirnya sampai ke Bengkel Pil Pertapaan. Meng Hao berhenti seketika untuk melihat bengkel itu, kemudian dia tersenyum dan melangkah masuk.

Apabila lelaki pertengahan umur yang menguruskan bengkel itu terlihat Meng Hao, dia berdiri.

"Salam, Abang Meng."

Meng Hao tersenyum dan menganggukkan kepalanya, sambil melirik ke arah pil perubatan.

"Jangan risau, Abang Meng," kata lelaki pertengahan umur itu. "Adik Seguru Li Fugui yang menguruskan Bengkel Pil. Perniagaan berjalan dengan baik. Saya tidak akan memberi peluang kepada pengikut lain untuk membeli Pil Perubatan." Dia menepuk telapak tangannya ke dadanya.

Si Gempal berseri-seri kegembiraan. Sebelum ini, dia telah memberikan beg sakti kepada Pertapa pertengahan umur itu tanpa diketahui oleh orang lain. Tidak lama kemudian, lelaki itu telah terbiasa dengan ini. Walaupun Pil Perubatan di sini milik Sekta, dan bukan harta peribadi, lelaki tidak kisah mahu mendapatkan keuntungan sendiri.

Meng Hao terpaksa menghabiskan masa sehingga waktu tengah hari sebelum dia dapat memuaskan harapan dan kedegilan Si Gempal. Mereka berjalan mengelilingi seluruh Sekta Luaran sehingga semua orang melihat mereka bersama. Akhirnya, selepas berkali-kali memujuk dan merayu, mereka pergi ke Astaka Khazanah.

Lelaki yang berwajah licik di Astaka Khazanah telah lama menanti di luar. Apabila dia melihat Meng Hao menghampiri tempat itu, dia memberi tabik hormat yang luar biasa. Kemudian dengan suara keras dan jelas dia berkata, "Pengikut Astaka Khazanah, Sun Tiandi, memberikan salam kepada Abang Meng. Abang Meng ibarat naga di kalangan manusia. Kuat dan sangat mengagumkan, melebihi biasa…" Lelaki itu tidak berpendidikan, dan kata-katanya itu sedikit berlebih-lebihan. Riak wajahnya sangat teruja, tetapi hatinya agak risau, meskipun hanya dia yang tahu mengenainya.

Dia takut Meng Hao akan mengungkit hal penipuan yang dilakukannya bertahun-tahun yang lalu. Dia memandang ke arah Si Gempal yang kelihatan teruja.

Si Gempal berdeham. "Rakan saya ini mahu saya masuk untuk mengambil sesuatu harta berharga," katanya. Dia kedengaran agak malu. "Jika hal ini melanggar sebarang peraturan, kamu boleh menyalahkannya."

Meng Hao tidak mampu berkata apa-apa. Akhirnya, dia masuk bersama Si Gempal untuk memeriksa Astaka Khazanah. Beberapa ketika kemudian, mereka keluar dari Astaka Khazanah meskipun Si Gempal merayu untuk berada di situ lebih lama lagi. Sewaktu Meng Hao sampai semula di Gunung Timur, matahari sudah mulai terbenam. Dia duduk di atas batu di luar Gua Dewa dan memikirkan tentang kejadian hari ini. Sekarang dia semakin memahami apa maksudnya menjadi anggota Sekta Dalaman.

Menjelang waktu petang, Meng Hao memandang ke arah langit. Kemudian dia menyedari seorang wanita sedang menghampirinya. Dia kelihatan seperti makhluk cakerawala. Wanita itu memakai jubah perak, dengan rambut hitam yang panjang dan wajah pucat yang cantik walaupun tanpa secalit solekan. Pada pandangan Meng Hao, walaupun wajah wanita itu kelihatan dingin, terdapat kehalusan juga padanya.

"Kakak Xu," kata Meng Hao, sambil membuat tabik genggam.

"Tahniah, kamu telah menjadi ahli Sekta Dalaman." Sama seperti namanya, Kakak Xu dingin dan tidak ceria. Itulah keperibadiannya. Namun dia tidak melayan sesiapa sekalipun dengan dingin. Sebagai contoh, sebaik mendengar hamba suruhnannya menyebut nama Meng Hao, dia lantas datang ke sini untuk bertemu dengan Meng Hao.

Meng Hao tersenyum, berdiri di sebelah Kakak Xu. Jubah panjang mereka beralun-alun ditiup angin gunung.

"Hari ini saya pergi ke Bengkel Pil Pertapaan dan berdagang untuk Pil Pertapaan Rupawan." Dia mengangkat pil itu dan menyerahkannya pada Kakak Xu.

Kakak Xu tidak berkata apa-apa, memandang pil itu untuk seketika, kemudian akhirnya menerimanya. Dia berdiri berdekatan Meng Hao. Dalam diam dia memandang ke arah kaki langit yang merah.

Dia sangat cantik, seolah-olah tidak ada cacat cela sekalipun, sama seperti jed. Cahaya matahari terbenam dipantulkan pada dirinya dan menjadikan dia semakin jelita..

Masa seolah-olah terhenti. Ketika mereka berdiri di atas Gunung Timur, bayangan mereka bergabung bersama di bawah sinaran matahari petang, seperti dakwat yang menjadi sebati dengan air. Keadaan ini ibarat sesuatu yang akan bertahan buat selama-lamanya.

Sinar matahari petang perlahan-lahan memudar di kaki langit, dan kemudian bulan muncul. Akhirnya, Kakak Xu berpaling dan mula berlalu pergi. Dia hanya mengambil lima langkah sebelum berhenti.

"Saya pergi ke Bengkel Pil Pertapaan. Pil Pertapaan Rupawan yang kamu berikan sebelum ini bukan dibeli oleh kamu." Setelah mengatakannya, dia terus pergi tanpa menoleh ke belakang lagi.

Meng Hao terkejut, dan tidak dapat memberikan sebarang reaksi sehingga lama masa berlalu. Dia menggaru-garu kepalanya. Matanya secara beransur-ansur dipenuhi cahaya. Dia tidak pernah membayangkan sesuatu seperti ini akan berlaku. Namun, nampaknya perkara ini baru saja terjadi...