Chereads / AKU AKAN MENGUNCI SYURGA / Chapter 42 - Siapa Yang Berani Sentuh Dia!?

Chapter 42 - Siapa Yang Berani Sentuh Dia!?

"Sahabat Taoist Zhou Yanyun rupanya," kata wanita pertengahan umur yang cantik itu sambil menyambutnya dengan tangan berpegangan di belakang. Malah, Zhao Shanling yang sasa pun memberi salam hormat dengan senyap, rasa takut tersembunyi di wajahnya.

Melihat perkembangan yang mendadak ini, jantung Meng Hao mula berdegup kencang. Inilah kali pertama dia melihat begitu ramai orang berkuasa daripada begitu banyak Sekta. Dia sangat kagum dengan kemunculan ahli-ahli Tiga Sekta Terhebat dari Wilayah Selatan yang sangat besar; yang pernah diberitahu Chen Fan.

"Wilayah Selatan..." Meng Hao menarik nafas panjang. Xu Qing yang berdiri di sebelahnya kelihatan tenang. Mustahil untuknya mengatakan apa yang sedang difikirnya.

Di belakang dewan utama tokong, Chen Fan dengan wajah yang pucat mengangkat tangan kanannya dan menolak di tempat tersembunyi di patung itu dengan sedih.

Dengan serta-merta, pintu masuk ke zon meditasi Bapa Reliance ditutup tanpa bunyi dan ghaib. Sebenarnya, tidak ada sesiapa di dalam atau di luar Sekta yang dapat mengesan apa yang sedang belaku, sama juga dengan Zhou Yanyun dan yang lain dari Wilayah Selatan.

"Bapa, Pengikut Chen akan sentiasa memastikan Bapa selamat dan sihat," katanya, dengan suara yang penuh dengan kebenaran. "Saya tidak akan membenarkan sesiapa pun mengganggu meditasi Bapa." Dia seorang yang setia dan benar-benar taat kepada Sekta, bersedia untuk melindunginya walaupun dengan risiko yang sangat besar. Apabila rancangannya berjaya, dia mengeluh dan tidak berasa menyesal sedikit pun.

Sementara itu, di ruang rahsia di kubur bawah tanah Sekta Reliance, Bapa Reliance menyaksikan kekecohan dengan penuh kemenangan dan kegembiraan.

"Tidak lama lagi, mereka akan terjumpa pintu masuk zon meditasi aku. Kemudian, mereka akan masuk dan membuka kamar tersembunyi aku. Akhirnya, aku tidak akan terkurung lagi di sini." Walaupun dia bersemangat ketika mengucapkan kata-kata ini, wajahnya tiba-tiba berubah.

"Ini...ini...tak guna! Kamu...apa yang kamu buat?!" Dia memerhatikan Chen Fan yang mula bergerak dengan berhati-hati. Bapa Reliance memandang dengan kebingungan ketika pintu masuk zon meditasi secara senyap hilang tanpa jejak. Dia tidak mempercayainya.

Sudah tentulah sistem keselamatan ini telah dibuat olehnya bertahun-tahun yang lalu sebagai sandaran jika musuh yang kuat tiba. Dia telah menyampaikan rahsia itu kepada penggantinya, dan rahsia ini telah diturunkan dari generasi ke generasi sebagai kaedah untuk menghalang orang luar memasuki zon meditasinya.

Setelah diaktifkan, tidak ada yang akan boleh menemui pintu masuk, kecuali seseorang di tahap Pemisahan Roh. Pada saat dia menciptanya, dia dipenuhi dengan keangkuhan kerana dia tahu dia akan selamat sepenuhnya.

Namun, dia tidak pernah membayangkan hari ini akan tiba, bertahun-tahun kemudian. Dia benar-benar lupa tentang keseluruhan pengaturan, tetapi...ada yang tidak melupakannya.

"Tak guna! Aku seharusnya meninggalkan perintah untuk tidak menerima orang bermoral di Sekta! Tidak mahu orang jujur, tidak mahu orang baik. Budak ini..." Dia duduk dengan kebingungan, bergumam pada dirinya sendiri dan ingin menangis, tetapi tidak memiliki air mata untuk ditumpahkan. Dia berfikir tentang batu bersurat itu, rencananya yang diatur dengan hati-hati, tentang darah yang telah dia korbankan, dan bagaimana semuanya dihancurkan oleh satu orang. Tentu saja, niat orang ini baik, tetapi ketika dia berfikir tentang keberanian dan sikapnya yang setia, Bapa Reliance mula menggeletar.

Pada saat dia merasa sangat berputus asa, Zhou Yanyun dari Sekta Pedang Pertapa tiba. Dia memandang Sekta dan menggunakan pancainderanya untuk memeriksa kawasan ini. Wanita cantik daripada Sekta Tapisan Hitam dan Zhao Shanling yang sasa juga melakukan perkara yang sama. Dengan pancaindera yang hebat, mereka menyerbu Sekta Reliance dan mengeledahnya secara teliti.

Para pakar dari Negara Zhao menyaksikan perkara ini dengan ketakutan. Kemudian, mereka juga mulai mencari dengan pancaindera mereka.

Setelah seketika, Zhou Yanyun daripada Sekta Pedang Pertapa mengerutkan keningnya. Dia dapat merasakan aura dari Kitab Suci Rohani di pergunungan ini, tetapi dia juga tahu itu bukan milik salah seorang murid Sekta Reliance. Dia tidak dapat menemuinya.

Bukan hanya dia sahaja, wanita cantik itu dan Zhao Shanling juga mengerutkan kening mereka. Mereka turun ke tanah dan mula mencari sendiri.

Para pakar dari Negeri Zhao melakukan hal yang sama dan orang ramai mula memenuhi Sekta Reliance. Meng Hao dan yang lainnya ditendang keluar dari dewan utama tokong dan tokong itu diselongkar sehingga menjadi tunggang-terbalik. Di langit, tanda aneh tersebut mulai pudar, namun, tidak ada yang terjumpa satu petunjuk pun.

Bahkan orang yang mencari di bahagian bawah tanah juga tidak menemui apa-apa pun.

Mereka menyaksikan tanda itu perlahan-lahan tersebar, berubah menjadi cahaya kristal yang akhirnya menghilang. Aura Kitab Suci Rohani juga menghilang, seolah-olah ia datang dan pergi dengan tanda itu.

Sekta Reliance perlahan-lahan mula tenang. Tidak ada khazanah berharga yang ditemukan. Bahkan, gua naga di gunung hitam turut digeledah. Bangkai naga itu pula telah dialihkan oleh Wang Tengfei, lantas meninggalkan gua itu kosong.

Saat senja terbenam, pencarian ini mencapai satu kesimpulan. Tiga anggota Sekta Besar Wilayah Selatan kelihatan agak malu. Mereka telah menggunakan Batu Rohani untuk merentas jarak ke sini, namun pulang dengan tangan kosong. Mereka berasa sangat rugi.

"Budak ini tidak kurang hebatnya" kata Zhou Yanyun, berdiri di atas pedangnya yang besar sambil melayang di udara. Matanya memerhati ke bawah lalu memandang Chen Fan. "Jika kamu bersedia menjadi murid Sekta Pedang Pertapa, maka ikutlah aku ke Wilayah Selatan." Selama pencarian Kitab Suci Rohani, dia telah memerhatikan bakat terpendam Chen Fan dan dia mengakui kelebihan yang dimiliki Chen Fan. Dia terutamanya memerhatikan aura kejujuran Chen Fan yang selari dengan latihan Pertapaan Sekta Pedang Pertapa.

Saat dia berbicara, dia mengangkat satu jari dan Chen Fan melayang ke udara. Di depan mata Meng Hao, Xu Qing dan semua pengikut Sekta Luaran, dia melayang ke arah Zhou Yanyun.

Para pakar dari Negara Zhao memandangnya dengan cemburu. Mereka mengetahui betapa beruntungnya pemuda itu. He Luohua dan Orang Lama Ouyang memandang dalam diam, perasaan mereka agak bercampur aduk. Akhirnya, mereka tahu Sekta Reliance terlalu kecil; mereka berasa sangat senang jika seorang pengikut Sekta Dalaman memiliki kesempatan untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.

"Saya Chen Fan...", wajah Chen Fan mula dipenuhi dengan perasaan bercampur aduk. Dia menatap Sekta Reliance, pada He Luohua dan Orang Lama Ouyang ketika mereka diam-diam mengangguk setuju. Dia menatap Meng Hao dan Xu Qing. Kemudian, tekad menghiasi wajahnya. "Saya mengucapkan terima kasih atas niat baik para senior," katanya, sambil mengangkat kepalanya ketika dia menatap Zhou Yanyun. "Tetapi, saya anggota Sekta Reliance. Dalam kehidupan ini, saya tidak dapat menyertai Sekta yang lain." Dia tahu jika dia setuju, dia akan memiliki peluang yang lebih baik pada masa depan. Namun, ada beberapa hal yang tidak boleh dilakukan seseorang. Baginya, hanya akan ada satu Sekta dalam hidupnya.

Kata-katanya membuatkan para pakar dari Negeri Zhao cukup tersentuh. Pengikut seperti ini ialah harta bagi mana-mana Sekta pun! Namun, sebahagian besar daripada mereka juga menunjukkan riak kasihan pada wajah mereka. Menolak Sekta Pedang Pertapa dengan cara ini akan mengundang maut.

He Luohua tidak berkata apa-apa. Dia menatap Chen Fan, perasaannya lebih bercampur aduk. Dia menghela nafas panjang, tertanya-tanya bagaimana pemuda itu begitu keras kepala. Dia tidak perlu berdegil seperti itu.

Mata Zhou Yanyun berkilauan. Dia menatap Chen Fan sejenak, lalu dengan perlahan berkata, "Apakah kamu tahu apa makna 'Sekta Pedang Pertapa' di Wilayah Selatan?"

Chen Fan terdiam beberapa saat, lalu mengangguk. Dia telah mempelajari catatan kuno, jadi tentu saja dia tahu tentang Sekta Pedang Pertapa, Sekta nombor satu di Wilayah Selatan.

"Maka kamu harus tahu status aku dalam sekta." Raut Zhou Yanyun suram, dan matanya memancarkan niat membunuh. Bahkan langit di sekitarnya menjadi gelap, seolah-olah sedang dikoyak oleh kekuatan auranya.

"Saya tahu tentang Sekta Pedang Pertapa, serta tuan, Orang Lama Zhou," kata Chen Fan dengan suara lembut. "Semua orang kenal tuan. Tuan adalah Pelindung Tao generasi sekarang. Asas Pertapaan tuan sangat mendalam dan nama tuan telah tersohor di Wilayah Selatan."

"Jadi, kamu kenal aku. Oleh itu, kamu tahu akibat menolak peluang ini." Suaranya bertambah dingin, begitu juga suhu udara.

"Sekta Pedang Pertapa memiliki sejarah puluhan ribu tahun. Tokong Pertapaannya, perkembangan para pakar yang hebat, kemajuan yang sangat cepat oleh anggota Sekta, saya yang muda ini sangat menyedari semua hal ini." Dia mengangkat kepalanya tinggi dan tidak mahu berundur. Matanya yang berkilau tidak menunjukkan tanda penyesalan.

Zhou Yanyun menatapnya, lalu tiba-tiba ketawa terbahak-bahak.

"Awalnya aku merancang untuk menjadikan kamu murid Sekta Luaran yang biasa. Tapi dengan personaliti seperti ini..kamu luar biasa. Luar biasa! Kamu akan menjadi pengikut peribadiku!" Senyuman Zhou Yanyun dipenuhi dengan kekaguman. Dengan gerakan lengan, dia menarik Chen Fan ke pedang besar itu dan bersiap untuk pergi.

Melihat tindakan Sekta Pedang Pertapa, wanita pertengahan usia yang cantik itu sedar jika dia membawa balik seorang pengikut yang berkelayakan bersamanya, kedatangannya ke Sekta Reliance tidak menjadi sesuatu yang sia-sia.

"Gadis ini tidak kurang hebatnya. Sekta Tapisan Hitam mahukan dia."

Dia sudah lama memerhatikan Xu Qing. Dia berkenan dengan kecantikan dan kedinginannya. Tanpa menunggu Xu Qing berbicara, dia membengkokkan jarinya, menarik Xu Qing ke atas kompas Feng Shui. Semua orang menyaksikannya dengan cemburu ketika dia mulai berubah menjadi pembelauan cahaya.

Si Gempal berdiri di suatu sudut sambil menggeritkan giginya. Di matanya, dengan pembubaran Sekta dia sekarang telah bebas. Dia dipenuhi dengan kebahagiaan yang mengelirukan. Dia baru sahaja menyertainya beberapa tahun, ini bermakna saat dia kembali ke Daerah Yunjie, rumah dan pengantin wanita yang telah disiapkan ayahnya masih menunggunya. Kelak, dia akan dapat menikmati kehidupan orang kaya.

"Sayang sekali aku tidak akan dapat bertemu dengan Meng Hao. Tapi, kami bersaudara, jadi aku akan membantunya membayar kembali wang yang dihutangnya dengan Pengelola Zhou. Akhirnya, aku akan mengaut seluruh kekayaan di semua desa sekitarnya, dan kemudian, seluruh Negari Zhao. Hahaha! Aku, Li Fugui, akan menjadi orang terkaya di dunia!" Semakin dia memikirkan rencananya, semakin dia merasa bahagia. Dia berdiri di situ sambil menggeritkan giginya dan menanti penuh harapan untuk masa depan.

Pada saat itu, Zhao Shanling yang sasa daripada Sekta Fros Emas mengerutkan keningnya. Dia agak terlambat bertindak. Setelah melihat dua pengikut Sekta Dalaman diambil, dia melirik ke arah Meng Hao. Dia sedikit terkejut ketika dia melihat kesan samar aura Syaitan di dalam diri Meng Hao. Bergumam pada dirinya sendiri, Zhao Shanling memandang seluruh Sekta, di mana dia melihat Si Gempal berdiri dalam kalangan pengikut Sekta Luaran. Dia melihat dengan takjub ketika Si Gempal menggeritkan giginya dengan pedang terbangnya. Matanya bersinar, dan dia benar-benar lupa tentang Meng Hao dan aura Syaitannya.

"Bagaimana Si Gempal ini berlatih amalan Pertapaanya? Dia berjaya mengembangkan satu teknik Gigi Rohani. Di Sekta kami, teknik untuk mengembangkan Gigi Rohani telah hilang selama lapan ratus tahun. Dengan Gigi Rohani, kamu dapat menghancurkan Batu Rohani dengan mulut sahaja, di mana ini diperlukan untuk mengamalkan teknik ITU. Nampaknya perjalanan ini sama sekali tidak sia-sia. Jika kita membawa budak ini kembali bersama kita, dia akan menjadi khazanah yang terbaik di Sekta kami." Dengan mata yang bersinar garang, Zhao Shanling mengangkat tangan kanannya dan menyambar Si Gempal yang terpana. "Budak, mulai sekarang, kamu murid Sekta Dalaman daripada Sekta Fros Emas Wilayah Selatan." Dia membaling Si Gempal yang terkejut ke dalam karung berwarna kelabu. Teriakan nyaring Si Gempal kedengaran samar saat dia dimasukkan ke dalam karung tersebut.

Zhao Shanling berpaling. Diikuti oleh rombongannya, dia menuju ke rekahan niskala.

Oleh demikian, dia bersama-sama Zhou Yanyun dan wanita cantik daripada Sekta Tapisan Hitam, bersiap untuk pergi.

Tapi kemudian, Zhao Shanling tiba-tiba teringat sesuatu. Dia patah balik ke Sekta Reliance, dan pandangannya tertuju pada Meng Hao.

Ketika dia melakukannya, dia berhenti, terkejut. Wanita cantik daripada Sekta Tapisan Hitam, serta Zhou Yanyun, juga berhenti.

Badan Meng Hao menggeletar. Ketika lelaki sasa itu menatapnya, dia terasa bagaikan lelaki itu dapat melihat dirinya sepenuhnya, seolah-olah pandangannya dapat menembusi ke bahagian paling dalam, sehingga ke Teras Syaitan yang ada di tasik Terasnya.

"Ini..." Mata lelaki sasa itu mengecil, lalu mula bersinar. Beberapa saat yang lalu, dia sama sekali tidak peduli tentang pengikut yang kelihatan lemah ini dan hanya terfikir untuk mengambil Si Gempal. Namun, ada sesuatu yang menarik perhatiannya tentang Meng Hao. Dia berpaling dan mula berjalan ke arah Meng Hao.

"Aku juga mahukan budak ini!" katanya dengan suara yang sangat kuat. Wajah Meng Hao berubah dingin, dan dia merasa seolah-olah tubuhnya akan hancur menjadi keping-kepingan. Tasik Terasnya mendidih, dan Teras Syaitannya merasa seolah-olah hendak dicabut dari tubuhnya oleh kekuatan tak terlihat.

Rasa sakit memenuhi dirinya, dan dia berpeluh dingin. Dia sekali lagi merasa seolah-olah tubuhnya dihancurkan, dan dia mengepalkan tangannya dengan erat. Tidak ada apa-apa yang dapat dia lakukan.

Ketika itu, satu ledakan kedengaran daripada dalam Sekta Reliance. Itu suara yang begitu kuat sehingga menggoncang langit dan bumi. Sewaktu Zhou Yanyun berjalan ke arah Meng Hao, dia dan wanita pertengahan usia yang cantik, serta lelaki sasa itu tiba-tiba kelihatan terkejut. Mereka menoleh dan merasa sangat hairan.

"Aku hanya ada seorang pewaris di Sekta Reliance. Siapa yang berani menyentuhnya!?"