Chereads / Cinta Rahsia Sempurna : Isteri Baru Jahat Manis Juga / Chapter 64 - Penyamarannya akan Terbongkar!

Chapter 64 - Penyamarannya akan Terbongkar!

Mo Xuan melihat pada Ye Wan dan berkata, "Tuan ke-9 sudah tertidur, jadi saya minta diri dulu."

Ye Wan Wan tidak sedar akan sebarang perubahan pada wajah Mo Xuan, jadi dia mengangguk sahaja dan menjawab, "Okey."

Selepas Mo Xuan beredar, Ye Wan Wan terus menemani Si Ye Han selama setengah jam sebelum dia benar-benar pasti Si Ye Han sudah tidur nyenyak. Kemudian, dia pulang ke bilik tidurnya sendiri.

Keesokan harinya.

Di bawah pergola di halaman rumah, Si Ye Han sedang melakukan kerjanya sambil ditemani Ye Wan Wan yang sedang menyiapkan kerja rumahnya. Mereka berdua menumpukan kerja masing-masing sambil kelihatan mesra dan harmoni.

Mungkin disebabkan tidur malam semalam yang baik, mood Si Ye Han sangat baik sepanjang pagi ini. Dia tidak mengamuk pun walaupun orang gajinya tertumpah air di atas kertas kerjanya secara tidak sengaja. Dia hanya mengerutkan dahinya dan memberi isyarat agar orang gaji tersebut berlalu pergi, kemudian dia mengarahkan Xu Yi untuk menaip semula dokumen tersebut.

Orang gaji tersebut berlalu pergi bagaikan dia sedang bermimpi.

Xu Yi membawa dokumen yang ditaip semula dengan berhati-hati kepada Si Ye Han, kemudian dia terus berdiri di sisi tuannya, diam membisu.

Dua hari kebelakangan ini, fikiran Xu Yi agak kusut. Ye Wan Wan kelihatan sangat patuh sehingga membuatkan dia tertanya-tanya kemungkinan perempuan ini telah dirasuk.

Puan tua pun sangat menyenangi kehadirannya dan perkara yang dia bimbangi tidak berlaku.

'Mungkin aku ini terlampau berfikir?'

Pada ketika itu, kedengaran telefon berdering.

Mata Xu Yi melirik pada meja tersebut dan dia melihat deringan tersebut datang dari telefon Ye Wan Wan. Pada skrin telefon tersebut, terteranya nama…Shen Meng Qi.

Melihat nama ini, suatu firasat yang kurang menyenangkan timbul dalam hati Xu Yi…

Ye Wan Wan menyiapkan semua kerja rumahnya dengan pantas dan sementara dia sedang melakukan kerja matematiknya, ada panggilan yang menggangu tumpuannya.

Nama yang terpapar di atas skrin telefon itu membuatkan mata Ye Wan Wan bersinar.

'Shen Meng Qi…'

Jika ingatannya tidak salah, Shen Meng Qi pada kehidupan lalu memanggilnya pada waktu ini untuk memaklumkan kepadanya Gu Yue Ze telah terbabit dalam nahas jalanraya.

Walau bagaimanapun, kali ini Shen Meng Qi tidak tahu dia kini berada di rumah lama, namun dia masih membuat panggilan…

Hal ini mungkin tidak boleh dielakkan kerana dia boleh mengubah siri kejadian di rumah lama tetapi dia tidak dapat menghalang Gu Yue Ze daripada terbabit dalam kemalangan kereta.

Dengan peluang yang cukup baik untuk menimbulkan masalah, sudah tentulah Shen Meng Qi tidak akan melepaskannya begitu sahaja, maka dia memanggilnya sama seperti yang dilakukannya dalam kehidupan yang lalu.

"Biar saya jawab panggilan ini!" Ye Wan Wan memaklumkan Si Ye Han, kemudian dia berjalan ke bawah teduhan pohon yang jauh.

Si Ye Han memandang susuk belakang Ye Wan Wan, renungannya muram.

Beberapa saat selepas Ye Wan Wan berlalu pergi, telefon Xu Yi pula berdering.

Xu Yi yang tidak percaya akan berita yang dimaklumkan oleh pemanggil tersebut, mukanya terus berubah pucat bagaikan kiamat sudah tiba.

Selepas beberapa ketika, Xu Yi memutuskan panggilan dan melihat pada Si Ye Han dalam keadaan tertekan dan dia kelihatan teragak-agak tentang perkara yang ingin dikatakan.

Si Ye Han sedar akan tingkah laku Xu Yi yang ganjil, maka dia merenung tajam padanya dan berkata, "Beritahu."

Badan Xu Yi menggeletar semasa dia bercakap, "Saya…baru…baru terima berita yang Gu Yue Ze terlibat dalam kemalangan jalanraya. Ia agak serius dan sekarang dia sedang menjalani rawatan kecemasan di hospital…"

Pada ketika itu, Xu Yi tidak berani untuk terus bercakap.

Apa yang dibimbanginya akhirnya sudah berlaku dan ia lebih dahsyat daripada apa yang dia bayangkan!

Panggilan yang diangkat oleh Ye Wan Wan sebentar tadi berkemungkinan besar daripada Shen Meng Qi yang memberitahunya perkara yang sama.

Gu Yue Ze cedera teruk — tidak mungkin Ye Wan Wan tidak mahu melawatnya? Mungkin sebaik sahaja dia mendengar khabar ini, penyamarannya akan terbongkar!